Wednesday, January 21, 2026

Perbandingan melampau mengaburkan fakta

Soalan seorang wartawan portal Free Malaysia Today, Rex Tan, dalam satu wawancara antarabangsa baru-baru ini telah mencetuskan polemik besar di dalam negara. Soalan tersebut, yang menyentuh perbandingan antara situasi di Gaza dan Palestin dengan kedudukan etnik Cina di Malaysia telah mengundang tekanan awam yang luar biasa sehingga wartawan berkenaan akhirnya membuat permohonan maaf secara terbuka.


Pelajar universiti awam

Jawapan balas tokoh politik Britain, George Galloway, bagaimanapun membuka ruang perbincangan yang lebih rasional dan berasaskan realiti. Beliau menyatakan secara jelas bahawa beliau tidak melihat kehadiran kereta kebal, sekatan jalan bersenjata, atau sistem pengasingan kaum di Kuala Lumpur sebagaimana yang berlaku di wilayah Palestin. Malah, beliau menegaskan bahawa masyarakat Cina di Malaysia secara umumnya berjaya dari sudut ekonomi dan sosial, hasil kerajinan serta peluang yang terbuka dalam sistem negara ini.

Hakikat ini penting untuk difahami dalam konteks sejarah dan perlembagaan Malaysia. Selepas hampir tujuh dekad kemerdekaan, masih wujud sebahagian kecil masyarakat yang gagal menerima realiti bahawa hak-hak bukan Melayu dilindungi secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Jaminan ini bukan bersifat simbolik tetapi diterjemahkan melalui dasar dan amalan pentadbiran negara sejak 1957.

Sebagai contoh, kewujudan dan pembiayaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil merupakan bukti nyata pengiktirafan kerajaan terhadap kepelbagaian budaya dan bahasa. Kementerian Pendidikan Malaysia terus menyalurkan peruntukan tahunan bagi penyelenggaraan, pembangunan dan latihan guru di sekolah-sekolah ini. Dalam masa yang sama, tiada larangan terhadap pengamalan budaya, bahasa atau tradisi etnik Cina dan India termasuk sambutan perayaan, pendidikan bahasa ibunda dan kegiatan kebudayaan.

Dari sudut sejarah, kemasukan besar-besaran pekerja dari China dan India pada era penjajahan British adalah bagi memenuhi keperluan ekonomi kolonial khususnya dalam sektor perlombongan dan perladangan. Menjelang kemerdekaan, komposisi penduduk Tanah Melayu hampir mencecah keseimbangan antara Melayu dan bukan Melayu. Namun, yang jarang diketengahkan ialah hakikat bahawa tiada penentangan berskala besar oleh orang Melayu terhadap kehadiran komuniti pendatang ini walaupun mereka sendiri berada dalam keadaan ekonomi yang jauh lebih lemah pada ketika itu.

Selepas merdeka, kerajaan Persekutuan mengambil pendekatan integrasi, bukan penindasan. Pelbagai dasar diperkenalkan untuk menyatukan masyarakat majmuk di bawah satu kerangka negara bangsa. Antara dasar yang paling berpengaruh ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan selepas peristiwa 13 Mei 1969. Matlamat utamanya jelas iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat supaya fungsi ekonomi tidak lagi terikat kepada identiti etnik.

Menurut data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar kemiskinan mutlak negara telah menurun secara drastik daripada lebih 40 peratus pada era awal kemerdekaan kepada sekitar empat hingga lima peratus sebelum pandemik COVID-19. Penurunan ini sebahagian besarnya hasil intervensi kerajaan melalui bantuan bersasar, pembangunan luar bandar, akses pendidikan dan peluasan peluang pekerjaan. Walaupun orang Melayu dan bumiputera menjadi fokus utama kerana kedudukan awal mereka yang jauh ketinggalan, tiada bukti bahawa etnik lain dihalang daripada memajukan diri.

Berbeza sama sekali dengan realiti di Palestin, Malaysia tidak menyaksikan rumah dirampas atas dasar etnik, penduduk diusir secara paksa atau keganasan bersenjata yang disokong negara terhadap kumpulan tertentu. Di Palestin, perampasan tanah oleh pendatang Yahudi sering berlaku dengan perlindungan ketenteraan, berpaksikan tafsiran sejarah dan agama yang dipertikaikan. Rasional seperti “jika aku tidak ambil sekarang, orang lain akan ambil” tidak pernah menjadi asas pembentukan negara Malaysia.

Soalan yang wajar ditanya ialah adakah mana-mana justifikasi sedemikian wujud dalam pengalaman sejarah Malaysia? Jawapannya jelas, tidak.

Toleransi orang Melayu terhadap kehadiran etnik Cina, India dan lain-lain adalah asas kepada pembentukan kontrak sosial yang dimeterai menjelang kemerdekaan. Kontrak ini mengekalkan kedudukan istimewa Melayu dan bumiputera dalam beberapa perkara teras sambil memberikan kewarganegaraan dan hak penuh kepada bukan Melayu. Hasilnya ialah sebuah negara yang stabil walaupun berbilang kaum, bahasa dan agama.

Selagi wujud jurang ekonomi yang ketara, selagi itulah kerajaan akan terus memperkenalkan dasar pembetulan demi keseimbangan sosial. Dalam tempoh ini, sindiran dan ketegangan kaum mungkin tidak dapat dielakkan. Namun, matlamat akhirnya ialah sebuah masyarakat di mana semua etnik mampu bersaing secara adil, tanpa prasangka dan rasa terancam.

Apabila keseimbangan ini benar-benar tercapai, barulah keharmonian yang sering dilaungkan dapat dirasai secara nyata oleh seluruh rakyat Malaysia, bukan sekadar sebagai slogan tetapi sebagai realiti hidup bersama.

Sunday, January 18, 2026

Israk dan mikraj menguji iman


Ketika perjalanan jauh dari utara ke selatan, meredah lebuh raya saya mendengar lagu nasyid Israk Mikraj berulang kali. Liriknya ringkas dan mudah dihafal. Sambil memegang stereng kereta dan memandang ke hadapan, saya menghayati rangkap demi rangkap lagu tersebut. Penyanyi asal adalah orang Indonesia, jadi sebutannya ke arah keindonesiaan.


Liriknya seperti berikut: Di suatu malam, di bulan Rojab, Allah memanggil Nabi Muhammad, untuk menerima wahyu solat, sehari semalam 17 rokaat. Dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, dari Masjidil Aqsa ke Sidratul muntaha. Subuh 2 rokaat, zuhur asar 4, maghrib 3, isyak 4, jangan sampai lupa. Tanggal 27 pada bulan Rejab, kita peringati itu hari israk mikraj.

Lirik ini ringkas sahaja, dinyanyikan dengan penuh penghayatan oleh kanak-kanak, cikgu tadika malah ustazah-ustazah di kelas pengajian. Dilihat pada rangkap awal, kisahnya mengenai perjalanan Nabi Muhammad SAW ke angkasa lepas, menembusi lapisan langit demi langit sehingga ke tempat paling tinggi iaitu sidratul muntaha.

Panggilan yang agung ini adalah ketentuan Allah SWT untuk menyampaikan perintah solat lima waktu sehari semalam yang berjumlah 17 rakaat. Bermula dari sinilah, setiap orang Islam yang mukallaf wajib menunaikan solat setiap hari. Solat subuh, zohor, asar, magrib dan isyak tanpa pengecualian. Setiap solat ada waktunya, ada waktu yang singkat seperti subuh dan ada yang panjang seperti isyak.

Cara utama bersolat ialah berdiri. Jika tidak boleh berdiri, hendaklah duduk. Jika tidak boleh duduk, hendaklah berbaring. Jika tidak boleh baring, hendaklah dengan mata, iaitu gerakan mata. Jika mata pun tidak dapat, boleh sahaja dengan hati. Andai kata dengan hati pun masih tidak dapat, bolehlah diberitahu kepada keluarganya untuk menyiapkan kain kafan dan menempah liang lahad.

Begitulah seriusnya kewajipan solat bagi seorang Islam di mana sahaja mereka berada. Penghujung dan pemisah adalah liang lahad, tempat sementara sebelum dihidupkan kembali untuk menghadap dan menerima pengadilan Tuhan.

Walaupun serius, ada sahaja orang-orang Islam yang tidak mengambil berat. Mereka tahu tetapi tidak memberi perhatian, melalaikan malah menganggap ia urusan peribadi dengan Tuhan. Oleh kerana peribadi, orang Islam jenis ini menentang apa juga gesaan menunaikan solat. Citra mereka ini disuarakan oleh individu atau kelompok melalui media sosial atas alasan gesaan tersebut mencampuri hak asasi. Hujah lain ialah unsur agama tidak seharusnya diberikan kepada mana-mana institusi sebagai pentadbir kerana aktiviti keagamaan adalah hak setiap penganut, terpulang kepada mereka untuk melaksanakannya ataupun tidak.

Saya tidak mahu berdebat perkara ini kerana tumpuan tulisan ini ialah sejauhmana orang-orang Islam khususnya dan orang-orang bukan Islam amnya melihat peristiwa israk' dan mikraj sebagai satu kejadian aneh dalam kehidupan manusia. Israk dan mikraj menjadi pemutus kepada keyakinan dan pembohongan pada sesetengah manusia yang mahu percaya atau kepada manusia yang menganggap ia sebagai cerita karut-marut dalam beragama.

Keyakinannya ialah adanya kewajipan solat lima waktu. Ia disampaikan secara langsung di tempat yang sangat istimewa. Tidak seperti puasa atau amalan wajib yang lain. Semuanya disampaikan melalui wahyu. Puasa disampaikan melalui wahyu dalam surah al-Baqarah ayat 183.Hanya dengan satu perintah ayat, orang-orang Islam berpuasa sebulan pada Ramadan. Ayat perintah itupun kita boleh lihat, baca dan dengar malah boleh diiramakan, dicetak dan dipamerkan. Tetapi perintah solat sangat istimewa. Allah SWT memanggil Nabi Muhammad SAW untuk memberitahu kewajipan solat ini, perintah yang lebih agung daripada perintah raja atau panglima perang.

Oleh kerana keagungan dan kebesaran solat ini, makhluk lain tidak mahu menerimanya. Mereka semua enggan. Bukit, gunung dan langit telah ditawarkan solat, semuanya enggan. Tidak mahu kerana beratnya beban solat yang hendak ditanggung.

Tetapi manusia lain, mereka sangat istimewa. Allah SWT yakin manusia dapat melakukannya walaupun ada sebahagiannya berasa berat. Malah sebahagiannya langsung tidak mahu melakukannya. Mereka ini adalah kelompok manusia yang memilih untuk menyembah lembu, pokok dan batu. Mereka inilah kelompok yang akan berada di dalam neraka. Di dalamnya ada makanan dan minuman yang tidak mengenyangkan, panas dan menyakitkan. Walaupun telah dijelaskan, namun ada sahaja manusia yang enggan mempercayai perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram ke sidratul muntaha ini.

Mereka menganggapnya sebagai satu pembohongan terbesar kepada manusia. Soalan ini pernah ditanya kepada Dr. Zakir Naik oleh seorang wanita Jepun yang tidak percaya kepada ketuhanan. Soalannya begini: "Saya ingin bertanya iaitu anda semua sebagai muslim yang percaya pada perjalanan malam Muhammad ke Jerusalem hanya dalam satu malam. Dan ini adalah kebohongan besar. Ini adalah kebohongan yang nyata dan besar kepada kaumnya iaitu kepada orang-orang pada zaman itu. Dan orang-orang Quraisy juga mengkritiknya kerana telah menceritakan kebohongan seperti itu kerana Muhammad berkata dia melakukannya hanya dalam satu malam. Tetapi orang-orang seharusnya tidak mempercayai pembohongan seperti itu".

Orang-orang Islam pada zaman ini tidak pernah berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW secara zahir, cuma menziarahi kubur di Madinah. Terdapat sesetengah orang yang dipilih untuk bertemu dengan baginda di dalam mimpi mereka. Itu pun ada yang hanya dapat melihat bayang-bayang, susuk badan dari arah belakang atau suara. Penerangan perjalanan israk dan mikraj ini di dalam al-quran adalah penguat kepercayaan mereka, percaya dan sangat yakin tanpa berbelah-bahagi. Kepercayaan dan keyakinan ini akan terus ada sehingga akhir hidup mereka. Ia menjadi pemisah antara iman dan kufur. Mereka yang percaya akan terus dengan kepercayaan tersebut dan meningkatkan iman, bagi yang enggan percaya dan menolak kejadian israk dan mikraj sebagai suatu realiti, mereka dapat hidup seperti biasa namun di akhirat nanti akan betul-betul menyesal.

Ia umpama dialog seorang atheis dengan Ahmad Deedat berkenaan akhirat. Seorang atheis bertanya, "Bagaimana perasaan anda jika anda meninggal dunia dan mendapati bahawa akhirat adalah pembohongan?" Lalu Ahmad Deedat menjawab, "Tidak lebih buruk dari pada saat kamu mati dan mendapati akhirat itu ada".

Pemikiran logik tanpa iman tidak akan mempercayai bahawa perjalanan dari bumi ke angkasa lepas seterusnya menembusi lapisan langit telah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Logik tanpa iman tidak dapat melihat apa yang berlaku kepada mukjizat yang diberikan kepada para nabi dan rasul. Sama seperti mukjizat Nabi Isa AS yang menghidupkan orang mati dan menyembuhkan penyakit. Atau seperti Nabi Musa AS yang telah membelah laut.

Bagi orang beriman, logik yang dipayungi oleh wahyu akan terus meningkatkan iman mereka, mengukuhkan jati diri dan memotivasikan diri untuk beribadah sepanjang hayat.

Pada akhirnya, israk dan mikraj bukan sekadar kisah perjalanan malam yang luar biasa, tetapi cerminan hubungan langsung antara manusia dan Tuhan. Ia menuntut lebih daripada sekadar kefahaman akal, ia menuntut keberanian untuk percaya dan kesediaan untuk patuh. Solat yang diwajibkan melalui peristiwa agung ini bukan beban yang menghimpit tetapi tali yang menghubungkan bumi dengan langit, manusia dengan Penciptanya. Selagi tali itu dipegang, manusia tidak akan hilang arah, walaupun dunia berubah dengan pantas dan nilai sering terbalik. Apabila solat ditinggalkan, yang sebenarnya terputus bukan sekadar amalan tetapi makna hidup itu sendiri. Israk dan mikraj mengingatkan kita bahawa iman bukan sekadar cerita untuk dikenang setahun sekali tetapi amanah yang mesti dipikul setiap hari sehingga langkah terakhir menuju liang lahad.

Tuesday, January 13, 2026

Trend pendidikan Malaysia: pelajar Melayu memenuhi sekolah Cina

Gambar ini, kita melihat satu perhimpunan pagi di hari pertama persekolahan 2026 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Chee. Yang paling menonjol ialah pelajar perempuan lengkap dengan pakaian seragam dan tudung putih, berkumpul di hadapan bangunan sekolah yang secara tradisi dikaitkan dengan komuniti Cina. Di celah-celah barisan pelajar perempuan bertudung, sebarisan pelajar lelaki yang berseluar panjang biru berdiri tegak dengan tangan di sisi kaki. Pemandangan ini, walaupun kelihatan biasa sebagai suasana sekolah, sebenarnya sarat dengan makna sosiopendidikan yang besar.


Sumber: Media sosial

Apa yang ditunjukkan oleh gambar ini?

Gambar ini mencerminkan satu realiti baharu iaitu SJKC bukan lagi ruang pendidikan yang didominasi oleh satu kaum. Perhimpunan pagi yang dipenuhi pelajar Melayu Islam menunjukkan perubahan ketara dalam corak pilihan pendidikan ibu bapa, khususnya di kawasan bandar. Sekolah Cina kini dilihat sebagai alternatif arus perdana, bukan lagi sekolah vernakular “untuk orang Cina sahaja”.

Ini bukan fenomena terpencil. Data dan pemerhatian beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan peningkatan berterusan kemasukan pelajar bukan Cina, terutamanya Melayu, ke SJKC. Gambar ini hanyalah manifestasi perubahan kepada trend tersebut.

Hubung kait dengan trend populasi dan demografi Cina

Untuk memahami kenapa ini berlaku, kita perlu melihat trend populasi Cina di Malaysia. Kadar kelahiran dalam kalangan masyarakat Cina terus menurun, selari dengan corak urbanisasi, kos sara hidup yang tinggi dan perubahan keutamaan keluarga. Akibatnya, banyak SJKC, khususnya di bandar besar, berdepan risiko kekurangan murid.

Dalam masa yang sama, populasi Melayu dan Bumiputera kekal sebagai kumpulan majoriti dengan kadar kelahiran yang lebih tinggi. Apabila bilangan murid Cina menurun, kekosongan tempat di SJKC secara semula jadi diisi oleh pelajar daripada kaum lain. Ini bukan soal “pengambilalihan” tetapi penyesuaian demografi yang tidak dapat dielakkan.

Peningkatan kemasukan pelajar Melayu ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) wajar difahami bukan sebagai anomali sosial tetapi sebagai tindak balas rasional terhadap perubahan struktur dalam sistem pendidikan nasional.

Berdasarkan data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), peratusan murid bukan Cina di SJKC meningkat secara konsisten sejak dua dekad lalu daripada sekitar 15 peratus pada awal 2000-an kepada lebih 25 peratus pada awal 2020-an. Di kawasan bandar utama, angka ini jauh lebih tinggi dan dalam sesetengah kes melepasi ambang majoriti.

Dari perspektif dasar awam, fenomena ini mencerminkan apa yang boleh ditakrifkan sebagai “pengundian dengan kaki” oleh ibu bapa. Apabila pilihan terhadap sekolah kebangsaan tidak lagi memenuhi jangkaan tertentu, ibu bapa mencari alternatif dalam sistem sedia ada. Faktor yang sering dikemukakan termasuk persepsi terhadap disiplin sekolah, penekanan terhadap kemahiran asas serta konsistensi pencapaian akademik.

Ini selari dengan hujah Tan Sri Dr. Amin Senin bahawa ibu bapa semakin bersifat instrumental dan hasil-orientasi dalam membuat keputusan pendidikan dengan pertimbangan ideologi dan etnik menjadi semakin sekunder.

Selain itu, dimensi ekonomi politik bahasa tidak boleh diabaikan. Dalam konteks globalisasi dan perubahan struktur ekonomi Asia, penguasaan Mandarin dilihat sebagai modal budaya dan ekonomi yang bernilai. Justeru, pilihan terhadap SJKC bukan semata-mata refleksi kelemahan sekolah kebangsaan tetapi juga reaksi terhadap perubahan permintaan pasaran buruh dan aspirasi kelas menengah bandar Melayu.

Implikasi terhadap pendidikan Cina: daripada institusi etnik kepada institusi nilai

Perubahan komposisi murid di SJKC membawa implikasi signifikan terhadap pendidikan Cina sebagai satu tradisi institusi. Dari sudut kelangsungan, kemasukan pelajar bukan Cina telah mengurangkan kesan penurunan kadar kelahiran dalam kalangan masyarakat Cina yang menurut Jabatan Perangkaan Malaysia berada di bawah paras penggantian sejak sekian lama. Dalam erti kata dasar, SJKC hari ini berfungsi sebagai mekanisme penstabil sistem pendidikan, bukannya sekadar institusi vernakular.

Namun, perubahan ini turut mencabar asas identiti pendidikan Cina. Apabila majoriti murid bukan lagi penutur jati Mandarin, pendekatan pedagogi perlu disusun semula. Risiko yang sering dibangkitkan ialah penurunan tahap penguasaan bahasa dan pencairan budaya sekolah.

Walau bagaimanapun, pandangan seperti yang dikemukakan oleh Tan Sri Dr. Tham Seong Chee menunjukkan bahawa identiti pendidikan Cina tidak semestinya terikat secara eksklusif kepada etnik tetapi kepada nilai seperti ketekunan, etos kerja dan penglibatan komuniti.

Dari sudut dasar pendidikan, ini membuka ruang kepada penakrifan semula SJKC sebagai institusi berasaskan nilai dan prestasi, bukannya warisan etnik semata-mata. Penakrifan ini mempunyai implikasi penting terhadap legitimasi politik dan sosial sekolah jenis kebangsaan dalam sistem nasional.

Implikasi jangka panjang terhadap landskap sosiopendidikan dan politik pendidikan

Sekiranya trend ini berterusan, Malaysia berpotensi menyaksikan transformasi mendasar dalam landskap sosiopendidikan. Pertama, sempadan etnik antara aliran sekolah akan semakin kabur walaupun struktur bahasa pengantar dikekalkan. Ini bererti proses integrasi sosial mungkin berlaku secara lebih organik di peringkat mikro iaitu melalui interaksi harian murid berbanding pendekatan makro yang bergantung kepada retorik perpaduan.

Kedua, kedudukan sekolah kebangsaan sebagai institusi integrasi utama akan terus dipersoalkan. Apabila sebahagian besar ibu bapa Melayu kelas menengah memilih aliran alternatif, ia menandakan krisis kepercayaan terhadap keupayaan sekolah kebangsaan untuk memenuhi aspirasi akademik dan sosial.

Seperti yang pernah ditegaskan oleh Dr. Maszlee Malik, penghijrahan senyap ini merupakan petunjuk dasar yang tidak boleh diabaikan oleh pembuat keputusan.

Ketiga, dari sudut politik pendidikan, hujah yang memposisikan SJKC sebagai ancaman kepada perpaduan nasional menjadi semakin lemah secara empirikal. Apabila realiti di bilik darjah menunjukkan kepelbagaian etnik yang tinggi, wacana politik yang bersandarkan pembahagian kaum menjadi semakin tidak sejajar dengan realiti sosial.

Strategi dasar masa hadapan: ke arah tadbir urus pendidikan berasaskan realiti

Menghadapi perubahan ini, strategi dasar pendidikan perlu disusun semula berasaskan bukti dan unjuran demografi, bukan nostalgia atau ketakutan identiti. Pertama, sokongan sistematik terhadap pembelajaran bahasa Mandarin sebagai bahasa kedua atau ketiga perlu diperkukuh di SJKC dengan pendekatan pedagogi yang lebih inklusif dan berperingkat.

Kedua, amalan terbaik SJKC, khususnya dari segi budaya sekolah dan penglibatan ibu bapa, perlu diterjemahkan ke dalam reformasi sekolah kebangsaan. Ini menuntut keberanian politik untuk mengakui kelemahan struktur sedia ada dan kesediaan institusi untuk berubah.

Akhir sekali, wacana awam mengenai pendidikan perlu dialihkan daripada perdebatan etnik kepada perbincangan mengenai kualiti, keadilan dan kebolehcapaian. Seperti yang dinyatakan oleh Tan Sri Lee Lam Thye, perpaduan tidak terhasil melalui penyeragaman paksa tetapi melalui pengalaman bersama dalam kepelbagaian.

Dalam konteks ini, SJKC yang semakin pelbagai kaum bukanlah penyimpangan daripada matlamat nasional, tetapi mungkin petunjuk kepada evolusi sistem pendidikan yang lebih realistik dan responsif.

Kesimpulan

Fenomena peningkatan pelajar Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina bukan sekadar perubahan corak pendaftaran sekolah tetapi mencerminkan peralihan yang lebih mendalam dalam cara masyarakat Malaysia menilai pendidikan, mobiliti sosial dan masa depan anak-anak mereka. Ia lahir daripada gabungan faktor demografi, pertimbangan kualiti, realiti ekonomi serta tahap kepercayaan ibu bapa terhadap keupayaan sistem pendidikan sedia ada. Dalam konteks ini, pilihan terhadap SJKC harus dibaca sebagai tindakan rasional kelas menengah, bukannya penolakan identiti atau pengkhianatan kepada aliran kebangsaan.

Pada masa yang sama, perkembangan ini mencabar kefahaman lama tentang pendidikan vernakular dan perpaduan nasional. SJKC yang semakin berbilang kaum menunjukkan bahawa institusi pendidikan tidak statik, ia berubah mengikut realiti sosial dan keperluan masyarakat. Pendidikan Cina sedang melalui proses transformasi daripada institusi berteras etnik kepada institusi berteras nilai dan prestasi. Perubahan ini, jika diurus dengan baik, tidak melemahkan sistem pendidikan negara, malah berpotensi memperkayakannya.

Namun, trend ini juga mengemukakan persoalan dasar yang tidak boleh dielakkan. Apabila ibu bapa Melayu sendiri secara senyap memilih aliran alternatif, ia memberi isyarat jelas bahawa sekolah kebangsaan memerlukan pembaharuan yang lebih mendasar. Mengabaikan isyarat ini atau mereduksikannya kepada polemik kaum hanya akan menangguhkan penyelesaian sebenar. Dasar pendidikan yang berkesan mesti berasaskan bukti, data dan realiti pilihan rakyat, bukan retorik politik semata-mata.

Akhirnya, gambar perhimpunan pagi di SJKC yang dipenuhi pelajar Melayu Islam harus dilihat sebagai cerminan masa depan yang sedang terbentuk, bukan anomali yang perlu dicurigai. Ia menuntut kematangan wacana, keberanian politik dan kejelasan hala tuju dasar. Jika negara mampu membaca perubahan ini secara jujur dan bertindak secara inklusif, sistem pendidikan Malaysia berpeluang menjadi lebih adil, berdaya saing dan relevan dengan realiti abad ke-21. Jika tidak, kita berisiko terperangkap dalam perdebatan lama, sementara masyarakat terus bergerak ke hadapan tanpa menunggu dasar mengejar mereka.

Sunday, January 11, 2026

Pembentukan persepsi awam dalam kes rasuah berprofil tinggi

Kes rasuah dan salah guna kuasa yang melibatkan pegawai kanan awam sering menjadi titik ujian kepada integriti institusi, keberkesanan sistem keadilan dan kematangan media dalam sesebuah negara. Di Malaysia, pertuduhan terhadap bekas Panglima Tentera Darat Malaysia dan dua isterinya telah menarik perhatian awam secara meluas, bukan sahaja kerana kedudukan tertuduh dalam hierarki ketenteraan tetapi juga kerana implikasinya terhadap kepercayaan masyarakat terhadap institusi yang selama ini dianggap berdisiplin dan berteraskan kehormatan. 


Kes ini menjadi lebih kompleks apabila perbincangan awam tercetus lebih awal melalui media sosial sebelum proses kehakiman benar-benar difahami oleh masyarakat.

Perhatian awam terhadap kes ini meningkat dengan ketara selepas pendedahan awal oleh seorang individu awam yang dikenali sebagai Cikgu Bard. Dalam konteks komunikasi moden, pendedahan sedemikian berfungsi sebagai pencetus agenda awam di mana isu yang sebelum itu bersifat terhad dan teknikal berubah menjadi wacana nasional yang sarat dengan emosi dan kecurigaan. 

Walaupun pendedahan awam memainkan peranan penting dalam memastikan sesuatu isu tidak disenyapkan, ia juga mewujudkan naratif awal yang terbentuk di luar kerangka undang-undang dan prosedur rasmi. Akibatnya, masyarakat awam cenderung menafsir pendedahan sebagai petunjuk kebenaran, walaupun ia belum diuji melalui proses perbicaraan.

Dalam kes ini, media arus perdana beroperasi dalam ruang wacana yang telah sedia dipengaruhi oleh persepsi dan emosi awam. Liputan yang pada awalnya bersifat laporan faktual mula beralih kepada pembingkaian naratif dengan penekanan terhadap status sosial tertuduh, jumlah wang yang terlibat, dan elemen dramatik yang mudah menarik perhatian. 

Pendekatan ini, walaupun meningkatkan keterlihatan isu, sering mengorbankan penjelasan tentang perbezaan antara dakwaan, pertuduhan dan pembuktian di mahkamah. Akibatnya, kes ini tidak lagi dinilai semata-mata sebagai satu proses kehakiman tetapi sebagai simbol kepada kegagalan sistem dan ketidakadilan struktural.

Dari sudut perspektif masyarakat awam, tafsiran sedemikian dipengaruhi oleh konteks sosial dan ekonomi yang lebih luas. Dalam keadaan tekanan kos sara hidup dan jurang sosial yang ketara, kes melibatkan elit institusi mudah dilihat sebagai bukti bahawa undang-undang tidak dikuatkuasakan secara saksama. 

Persoalan awam sering tertumpu kepada keberkesanan mekanisme pengawasan dalaman dan peranan badan penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Walaupun prinsip praduga tidak bersalah merupakan asas kepada sistem perundangan, persepsi awam sering dibentuk lebih oleh naratif media berbanding kefahaman terhadap prosedur undang-undang.

Media arus perdana pula berdepan dilema etika yang ketara. Liputan yang terlalu berhati-hati berisiko ditafsir sebagai perlindungan terhadap golongan elit, manakala liputan yang agresif boleh mencetuskan fenomena “trial by media” dan menjejaskan keadilan perbicaraan. 

Dalam banyak keadaan, media memilih pendekatan selamat dengan mengulang kenyataan rasmi tanpa analisis mendalam, menyebabkan masyarakat menerima limpahan maklumat tanpa kerangka pemahaman yang jelas. Keadaan ini menyumbang kepada krisis kepercayaan, di mana individu yang membuat pendedahan dilihat lebih kradibel berbanding institusi formal dan saluran media tradisional.

Fenomena ini bukan unik kepada Malaysia. Pengalaman antarabangsa menunjukkan bahawa kes melibatkan kepimpinan ketenteraan turut berlaku di negara lain, tetapi ditangani dengan tahap ketelusan dan komunikasi yang berbeza. 

Di Korea Selatan, pendakwaan terhadap pegawai kanan pertahanan sering disertai liputan media yang agresif tetapi berasaskan penjelasan undang-undang yang terperinci, sekali gus membantu mengekalkan keyakinan awam terhadap sistem kehakiman. 

Di Indonesia, ketegasan Komisi Pemberantasan Korupsi dalam menyiasat elit telah memperkukuh legitimasi institusi, walaupun berdepan tentangan dalaman. 

Sementara itu, di Amerika Syarikat, tekanan media dan awam yang tinggi sering menyebabkan reputasi individu terjejas sebelum keputusan mahkamah dicapai, namun komunikasi undang-undang yang lebih terbuka membantu masyarakat memahami proses yang sedang berlangsung.

Perbandingan ini menunjukkan bahawa isu utama bukan ketiadaan rasuah tetapi bagaimana sesebuah negara mengurus persepsi awam melalui ketelusan proses dan kejelasan komunikasi. Media memainkan peranan penting sebagai perantara antara institusi dan masyarakat, namun peranan ini menuntut keseimbangan antara tuntutan akauntabiliti dan penghormatan terhadap prinsip keadilan. 

Dalam kes yang dibincangkan, cara media membingkai isu selepas pendedahan awal telah menguatkan emosi awam dan mendorong pembentukan kesimpulan awal, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap sistem kehakiman.

Secara keseluruhannya, kes ini mencerminkan cabaran utama dalam era media digital, iaitu bagaimana memastikan pendedahan awam dan liputan media berfungsi untuk memperkukuh keadilan, bukannya menggantikannya. 

Bagi masyarakat awam, kematangan demokrasi menuntut keupayaan membezakan antara tuntutan akauntabiliti yang sah dan kesimpulan yang belum dibuktikan. Bagi institusi dan media, kepercayaan awam hanya dapat dipulihkan melalui proses kehakiman yang telus, penguatkuasaan undang-undang yang saksama, dan pelaporan yang beretika serta bertanggungjawab.

Rujukan

McCombs, M. (2004). Setting the Agenda: The Mass Media and Public Opinion. Polity Press.

Entman, R. M. (1993). Framing: Toward clarification of a fractured paradigm. Journal of Communication, 43(4), 51–58.

Transparency International. (2023). Corruption Perceptions Index.

Laporan media arus perdana Malaysia berkaitan kes rasuah berprofil tinggi (2024–2025).

Hughes, C. W. (2018). Civil-military relations and corruption in East Asia. Asian Studies Review, 42(3).

Tuesday, January 06, 2026

Membataskan kuasa: Ubat demokrasi atau taktik politik?


Salah satu inisiatif Kerajaan Madani yang kini menjadi perhatian ialah cadangan membentangkan Rang Undang-Undang bagi mengehadkan tempoh mandat perdana menteri kepada dua penggal atau sepuluh tahun. Cadangan ini segera mencetuskan persoalan asas: apakah sebenarnya masalah jika tempoh sedia ada dikekalkan?




Model mengehadkan tempoh ketua kerajaan, sama ada presiden atau perdana menteri, bukanlah sesuatu yang baharu. Ia telah lama dilaksanakan di banyak negara dengan tujuan utama mengekang pemusatan kuasa yang berlebihan. Logiknya mudah: semakin lama seseorang pemimpin berada di tampuk kuasa, semakin besar risiko kuasa itu tertumpu dan sukar dicabar. Dua penggal sering dianggap tempoh yang munasabah untuk melaksanakan perancangan jangka pendek dan sederhana tanpa membuka ruang kepada kecenderungan autoritarian.

Amerika Syarikat, China dan Vietnam antara negara yang mengamalkan had tempoh kepimpinan tertentu. Amerika Syarikat, misalnya, hanya mencatatkan 46 presiden dalam tempoh lebih dua abad kemerdekaan. Bagi jawatan perdana menteri, Thailand pula mengehadkan tempoh jawatan kepada lapan tahun. Contoh-contoh ini sering dijadikan rujukan untuk menyokong idea bahawa had tempoh jawatan boleh mengukuhkan sistem demokrasi.

Namun, mengehadkan tempoh jawatan ketua kerajaan bukan tanpa kontroversi. Perdebatan mengenainya sentiasa berlegar antara kebaikan dan keburukan, khususnya dari sudut kesinambungan dasar. Antara kelebihan paling ketara ialah keupayaannya mengelakkan pemusatan kuasa yang boleh membawa kepada corak kepimpinan autokratik. Tempoh sepenggal atau dua penggal dilihat cukup untuk menghalang pembolotan kuasa yang berpanjangan.

Selain itu, had tempoh jawatan juga berpotensi menurunkan suhu politik negara. Persaingan politik yang tidak sihat untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dapat dikurangkan apabila semua pihak mempunyai jangkaan yang lebih jelas tentang peralihan kuasa. Parti-parti politik boleh merancang lebih awal, manakala pesaing politik kehilangan sebahagian modal spekulasi mereka.

Tempoh yang terhad juga boleh mendorong pemimpin untuk lebih fokus. Apabila masa pentadbiran disedari singkat, agenda pembangunan cenderung dirangka dengan lebih jelas dan berorientasikan hasil, khususnya untuk kumpulan sasaran yang memerlukan perhatian segera.

Namun, dalam konteks Malaysia, kesannya tidak semudah itu. Had tempoh jawatan berpotensi memberi tekanan kepada pelaksanaan dasar sedia ada. Program pembangunan jangka panjang di negara ini lazimnya diteruskan dari seorang perdana menteri kepada penggantinya. Dasar seperti Dasar Ekonomi Baru, misalnya, terus hidup melalui pelbagai penjenamaan kerana ia telah menjadi sebahagian daripada ekosistem pentadbiran dan budaya kerja sektor awam. Sehingga hari ini, kesannya masih dirasai dalam kehidupan seharian rakyat.

Lebih membimbangkan, negara juga berisiko kehilangan pemimpin berpengalaman yang telah berjaya membawa reformasi dan transformasi. Tidak ada jaminan bahawa pemimpin berkarisma dan berkeupayaan akan muncul tepat pada waktunya untuk menggantikan mereka yang terpaksa berundur akibat had tempoh jawatan.

Satu lagi implikasi yang sering dibangkitkan ialah kewujudan sindrom “lame duck”. Apabila seorang perdana menteri memasuki penggal kedua yang juga penggal terakhir, tumpuan politik lazimnya mula beralih kepada bakal pengganti. Keadaan ini boleh melemahkan autoriti kepimpinan semasa dan mengganggu proses membuat keputusan, khususnya bagi perancangan yang memerlukan keberanian politik.

Secara keseluruhan, cadangan mengehadkan tempoh pentadbiran perdana menteri kepada dua penggal sememangnya selari dengan trend serantau dan global. Namun, dalam konteks tempatan, ia tidak boleh dilihat semata-mata sebagai langkah reformasi institusi. Ia juga berpotensi dibaca sebagai strategi politik untuk mengekalkan keseimbangan kuasa dalam kalangan kelompok pemerintah.

Analisis yang dikemukakan oleh penganalisis politik, Tuan Isham, memberi gambaran lebih jelas tentang implikasi tersirat cadangan ini. Beliau menggariskan beberapa isu penting yang wajar diberi perhatian sekiranya idea ini benar-benar diterjemahkan dalam bentuk undang-undang.

Antaranya ialah bagaimana had tempoh jawatan boleh berfungsi sebagai strategi politik bagi memulihkan kepercayaan rakyat, khususnya dalam situasi keyakinan awam yang semakin rapuh. Faktor kesihatan dan persepsi keupayaan pemimpin juga tidak boleh diketepikan kerana ia memainkan peranan besar dalam membentuk legitimasi politik.

Selain itu, perbahasan politik seharusnya kembali kepada asasnya, iaitu menilai parti dan pemimpin berdasarkan dasar serta kualiti tadbir urus, bukan sentimen perkauman. Dalam masa yang sama, kebimbangan terhadap perjanjian perdagangan yang boleh menjejaskan kedaulatan negara, kelemahan struktur perundangan, serta amalan pembelian undi melalui penggunaan dana awam menuntut reformasi yang lebih menyeluruh dan berani.

Akhirnya, persoalan had tempoh jawatan bukan sekadar soal tempoh masa. Ia menyentuh soal kepercayaan, kebertanggungjawaban dan masa depan demokrasi itu sendiri. Jawapannya tidak terletak pada satu formula tunggal, tetapi pada kejujuran politik untuk mendahulukan kepentingan negara mengatasi kelangsungan kuasa.

Monday, January 05, 2026

Meninggalkan amanah, tanggungjawab punah

Awal tahun 2025, semasa melalui Jalan Kodiang-Arau di Kampung Utan Kandis, kira-kira 1000 meter dari simpang tiga lampu isyarat Guar Sanji, papan tanda saiz besar Perikatan Nasional yang diletakkan di tingkat satu bangunan kedai sudah tidak ada lagi gambar pimpinan politik. Gambar poster dibingkai telah koyak dan lunyai.





Ia mungkin menjadi petunjuk terdapat persengketaan dalaman parti gabungan PN di Perlis yang dianggotai oleh PAS dan Bersatu. Apabila hati telah tawar, tidak ada apa lagi yang hendak dibincangkan. Lebih baik membawa haluan masing-masing.

Jadi, apabila tiga ahli wakil rakyat dari PAS (DUN Chuping, Santan dan Guar Sanji) menyokong lima ADUN dan Bersatu, ia bukannya suatu yang luar biasa kerana keretakan dalam PN Perlis hanya menanti belah.

Tiga ADUN dari PAS yang telah memihak kepada Bersatu melalui Akuan Bersumpah telah digelar pengkhianat dalam kalangan pendokong PAS. Semua hubungan rasmi mereka dengan PAS telah terputus serta-merta, mereka juga hilang kelayakan sebagai ahli parti, tidak lagi dapat menghadiri program-program parti dan maruah mereka terjejas sebaik sahaja ditamatkan keahlian.

Ketakakuran kereka kepada pimpinan parti hanya menguatkan persepsi bahawa “mereka tidak boleh dipercayai” andaikata bercadang menganggotai mana-mana parti politik. Sekali bertindak sebagai pengkhianat, selamanya akan dianggap begitu.

Mereka juga hilang sokongan akan umbi, tidak lagi dijemput merasmikan majlis-majlis parti, anugerah kecemerlangan PASTI malah tidak lagi dijemput menghadiri usrah kepimpinan. Semua urusan kerja harus dilakukan sendiri.

Buat masa sekarang, rakan-rakan setarbiah adalah ahli-ahli Bersatu yang sudah tentu tidak memiliki fikrah seperti mana ahli-ahli PAS. Perubahan seperti ini akan memberi impak terhadap keyakinan mereka kepada konsep kepimpinan Islam.

Dalam sejarah pilihan raya di Perlis, pilihan raya umum lepas adalah keputusan yang terbaik untuk PAS. Parti itu telah mendapat sokongan penuh daripada pengundi luar bandar, kawasan kampung dan sebahagian pengundi bandar. Seperti kata bekas menteri besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid, “di mana ada sawah, di situ ada bendang”.

Kawalan PAS ke atas kawasan-kawasan sebegini dijangka berterusan dalam pilihan raya akan datang. Ia tidak sahaja kerana sawah bendang tetapi juga kerana pengundi muda sudah senang hati dengan pentadbiran PAS walaupun terdapat satu dua kes yang menarik perhatian umum.

Menteri besar baharu yang dilantik baru-baru ini sudah pasti perlu banyak melakukan kerja sampingan dan tidak senang duduk. Sokongan yang diterima daripada tiga orang bekas ahli PAS tidak akan selamanya menjadi ampuh kerana akar umbi di tiga kawasan ini tidak lagi memberi sokongan kepada mereka bertiga.

Tiada sokongan bermakna tiada jentera parti, tiada komunikasi berlangsung di media sosial, tiada jemputan untuk berusrah dan tiada lagi arahan.

Hidup mereka bertiga dalam berpolitik tidak lagi sama. Di sinilah semua ilmu dan pengalaman berusrah mereka teruji sepenuhnya. Masyarakat umum akan melihat perkembangan politik mereka dengan lebih mendalam dan memberi reaksi. Akhirnya mereka hanya ada dua pilihan iaitu bergabung dengan parti baharu atau terus bersendirian menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat kawasan. Parti-parti lain akan menerima mereka bertiga dengan seyum lebar di sebalik waspada yang tinggi kerana tingkah laku tersebut mungkin akan berulang dalam parti mereka pula.

Apa pun, maruah seorang ahli politik yang telah menjual amanah mereka untuk kepentingan diri dan orang lain akan berada dalam keadaan yang kompleks. Persepsi pengundi, tindak balas ahli parti dan kecenderungan masyarakat akan menentukan kesudahan prestasi mereka. Tidak semua parti akan memberi peluang kepada ahlinya untuk mengakui kesilapan. Namun, apabila keputusan memberhentikan keahlian serta-merta, ia sudah dikira ahli tersebut tidak diperlukan lagi.


Thursday, January 01, 2026

2026: Tahun “menjadi dewasa” untuk Malaysia MADANI

Tahun 2026 hadir dalam kesedaran kolektif rakyat Malaysia bukan sekadar sebagai angka baharu dalam kalendar, tetapi sebagai satu fasa kematangan nasional. Jika beberapa tahun sebelum ini ditandai oleh pemulihan, penyesuaian dan pencarian keseimbangan selepas krisis kesihatan global, maka 2026 muncul sebagai tahun untuk mengurus hasil, menilai kesan sebenar dasar dan memastikan kemajuan yang dicapai benar-benar dirasai oleh masyarakat. Dalam konteks ini, rakyat tidak lagi sekadar bertanya sama ada ekonomi berkembang tetapi bagaimana pertumbuhan itu diterjemahkan ke dalam kehidupan harian, peluang pekerjaan, hubungan sosial dan keharmonian antara etnik.


Prospek Malaysia pada 2026 terbina atas asas yang relatif stabil. Pencapaian sepanjang 2025 memperlihatkan ekonomi negara kembali bergerak dalam landasan sederhana kukuh dengan pertumbuhan yang disokong oleh permintaan domestik, pemulihan sektor perkhidmatan, serta keyakinan pelabur yang beransur pulih. Pasaran buruh menunjukkan kestabilan dengan kadar pengangguran yang rendah, sementara indikator kesejahteraan sosial mencatat peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya. 

Namun, kestabilan ini hadir bersama cabaran baharu yang lebih halus dan kompleks. Tekanan kos sara hidup, jurang peluang antara bandar dan luar bandar serta perubahan struktur pekerjaan akibat teknologi menuntut pendekatan dasar yang lebih bernuansa dan berpaksikan manusia.

Dari sudut sosioekonomi, 2026 boleh dibaca sebagai tahun peralihan daripada pemulihan kepada pengukuhan. Statistik rasmi menunjukkan bahawa kadar kemiskinan mutlak terus menurun dan jurang pendapatan yang diukur melalui pekali Gini semakin mengecil. Ini memberi gambaran bahawa dasar redistributif dan bantuan bersasar mula menunjukkan kesan positif. 

Pada masa yang sama, Indeks Kesejahteraan Malaysia meningkat, menandakan penambahbaikan dalam aspek pendapatan, penyertaan sosial dan kualiti hidup secara keseluruhan. Namun, angka-angka ini tidak semestinya mencerminkan sepenuhnya pengalaman hidup rakyat khususnya di kawasan bandar besar. Bagi sebahagian isi rumah, terutama golongan pertengahan rendah, kehidupan pada 2026 masih dibayangi oleh kos perumahan yang tinggi, perbelanjaan harian yang meningkat serta ketidakpastian masa depan pekerjaan.

Isu pekerjaan pada 2026 tidak lagi berkisar semata-mata kepada ketersediaan kerja tetapi kepada kualiti dan kelestariannya. Walaupun pengangguran berada pada paras rendah, semakin ramai pekerja berdepan dengan realiti pekerjaan tidak tetap, pendapatan yang tidak seiring dengan kenaikan kos hidup, serta keperluan untuk sentiasa menambah kemahiran bagi kekal relevan. Ekonomi gig dan automasi mempercepat perubahan ini. 

Bagi sebahagian generasi muda, 2026 menjadi tahun yang penuh paradoks: peluang terbuka luas dalam sektor digital dan kreatif, namun jaminan keselamatan sosial dan kestabilan pendapatan semakin mencabar. Justeru, persoalan besar yang dihadapi Malaysia ialah bagaimana memastikan pertumbuhan ekonomi selari dengan penciptaan pekerjaan yang bermakna dan bermaruah.

Dalam landskap sosiobudaya, tahun 2026 memperlihatkan perubahan gaya hidup dan nilai yang dibentuk oleh tekanan ekonomi serta pengalaman kolektif beberapa tahun kebelakangan ini. Masyarakat menjadi lebih pragmatik dan berhati-hati dalam perbelanjaan, melahirkan budaya baharu yang lebih menekankan perancangan kewangan, kesederhanaan dan keutamaan keperluan asas. 




Pada masa yang sama, terdapat kebangkitan semula nilai komuniti. Aktiviti kemasyarakatan berskala kecil, jaringan sokongan setempat dan inisiatif sukarelawan semakin mendapat tempat, mencerminkan keinginan rakyat untuk mencari makna dan keselamatan dalam hubungan sosial yang dekat dan nyata.

Hubungan antara generasi juga mengalami peralihan. Generasi muda pada 2026 membawa aspirasi yang lebih jelas terhadap keadilan peluang, keseimbangan hidup dan ketelusan institusi. Mereka lebih lantang menyuarakan pandangan melalui media sosial, menjadikan ruang digital sebagai lanjutan kepada ruang awam fizikal.

Dalam konteks ini, media sosial berfungsi sebagai medan perbincangan, mobilisasi dan kadangkala konflik. Naratif yang tersebar pantas mampu memperkukuh empati dan perpaduan tetapi juga berpotensi menajamkan polarisasi jika tidak ditangani dengan bijaksana.

Aspek hubungan etnik pada 2026 perlu difahami dalam dua lapisan. Pada lapisan struktural, indikator sosial yang semakin baik memberi asas kepada keharmonian yang lebih kukuh. Apabila kemiskinan menurun dan akses kepada pendidikan serta peluang ekonomi semakin meluas, ruang untuk interaksi positif antara etnik terbuka luas. Namun pada lapisan emosi dan persepsi, tekanan hidup dan persaingan peluang boleh mencetuskan rasa tidak adil yang mudah dimanipulasi oleh naratif sempit. 

Hubungan etnik pada era ini jarang tergugat oleh konflik besar, sebaliknya lebih terdedah kepada retakan kecil yang berulang, seperti persepsi layanan tidak seimbang atau ketidaksamarataan akses.

Dalam konteks serantau, kedudukan Malaysia pada 2026 perlu dilihat secara perbandingan dengan negara-negara ASEAN lain. Asia Tenggara secara keseluruhan dijangka terus berkembang, walaupun dalam persekitaran global yang lebih perlahan dan tidak menentu. 

Vietnam muncul sebagai ekonomi yang agresif menarik pelaburan dan mempercepat industrialisasi. Indonesia memanfaatkan saiz pasaran domestik dan agenda hiliran untuk melonjakkan nilai tambah. Singapura terus menumpukan produktiviti dan perkhidmatan bernilai tinggi, manakala Thailand dan Filipina berdepan cabaran dalaman yang membentuk trajektori masing-masing. 

Dalam landskap ini, Malaysia berada pada kedudukan pertengahan yang strategik, dengan kelebihan kestabilan institusi dan kepelbagaian ekonomi, tetapi perlu bergerak pantas agar tidak ketinggalan dalam persaingan bakat dan inovasi.

Cabaran utama Malaysia pada 2026 berkait rapat dengan keupayaan mengurus tekanan kos hidup, perubahan dunia kerja, serta dinamika sosial yang semakin kompleks. Kos hidup, khususnya di bandar, menjadi ujian kepada ketahanan isi rumah dan kesabaran sosial. 
Tanpa intervensi yang tepat, tekanan ini boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap masa depan. 

Perubahan teknologi pula menuntut sistem pendidikan dan latihan yang lebih responsif agar tenaga kerja mampu menyesuaikan diri dengan keperluan baharu. Dalam masa yang sama, polarisasi sosial di ruang digital memerlukan pendekatan komunikasi awam yang lebih telus, pantas dan berempati.

Bagaimana kerajaan Malaysia dapat menghadapi cabaran ini pada 2026 bergantung kepada keupayaan menyelaraskan dasar ekonomi, sosial dan budaya secara serentak. Pertumbuhan perlu disertai dengan usaha nyata meningkatkan mobiliti sosial. Bantuan dan sokongan perlu bersasar, telus dan berpandukan data agar sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan tanpa menimbulkan rasa terpinggir. 

Reformasi produktiviti, khususnya melalui pendigitalan sektor awam dan penambahbaikan penyampaian perkhidmatan, boleh meningkatkan kecekapan serta kepercayaan rakyat terhadap institusi. Dalam aspek perpaduan, pendekatan pencegahan melalui interaksi komuniti yang konsisten dan pendidikan nilai bersama jauh lebih berkesan daripada reaksi selepas konflik tercetus.

Kesimpulannya, tahun 2026 merupakan tahun ujian kematangan bagi Malaysia. Ia bukan sekadar tentang angka pertumbuhan atau kedudukan dalam ranking antarabangsa tetapi tentang keupayaan menterjemahkan pencapaian kepada kesejahteraan sebenar rakyat. Tindakan yang wajar pada tahun ini ialah memperkukuh mobiliti sosial melalui pekerjaan berkualiti, mengurangkan beban hidup bandar dengan dasar perumahan dan sokongan yang realistik serta membina kepercayaan dan perpaduan melalui tadbir urus yang adil dan berkesan. 

Jika langkah-langkah ini dilaksanakan dengan konsisten, 2026 boleh menjadi titik di mana Malaysia bukan sahaja berkembang tetapi benar-benar naik ke tahap masyarakat yang lebih sejahtera, berdaya tahan dan bersatu dalam kepelbagaian.