Ketika perjalanan jauh dari utara ke selatan, meredah lebuh raya saya mendengar lagu nasyid Israk Mikraj berulang kali. Liriknya ringkas dan mudah dihafal. Sambil memegang stereng kereta dan memandang ke hadapan, saya menghayati rangkap demi rangkap lagu tersebut. Penyanyi asal adalah orang Indonesia, jadi sebutannya ke arah keindonesiaan.
Liriknya seperti berikut: Di suatu malam, di bulan Rojab, Allah memanggil Nabi Muhammad, untuk menerima wahyu solat, sehari semalam 17 rokaat. Dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, dari Masjidil Aqsa ke Sidratul muntaha. Subuh 2 rokaat, zuhur asar 4, maghrib 3, isyak 4, jangan sampai lupa. Tanggal 27 pada bulan Rejab, kita peringati itu hari israk mikraj.
Lirik ini ringkas sahaja, dinyanyikan dengan penuh penghayatan oleh kanak-kanak, cikgu tadika malah ustazah-ustazah di kelas pengajian. Dilihat pada rangkap awal, kisahnya mengenai perjalanan Nabi Muhammad SAW ke angkasa lepas, menembusi lapisan langit demi langit sehingga ke tempat paling tinggi iaitu sidratul muntaha.
Panggilan yang agung ini adalah ketentuan Allah SWT untuk menyampaikan perintah solat lima waktu sehari semalam yang berjumlah 17 rakaat. Bermula dari sinilah, setiap orang Islam yang mukallaf wajib menunaikan solat setiap hari. Solat subuh, zohor, asar, magrib dan isyak tanpa pengecualian. Setiap solat ada waktunya, ada waktu yang singkat seperti subuh dan ada yang panjang seperti isyak.
Cara utama bersolat ialah berdiri. Jika tidak boleh berdiri, hendaklah duduk. Jika tidak boleh duduk, hendaklah berbaring. Jika tidak boleh baring, hendaklah dengan mata, iaitu gerakan mata. Jika mata pun tidak dapat, boleh sahaja dengan hati. Andai kata dengan hati pun masih tidak dapat, bolehlah diberitahu kepada keluarganya untuk menyiapkan kain kafan dan menempah liang lahad.
Begitulah seriusnya kewajipan solat bagi seorang Islam di mana sahaja mereka berada. Penghujung dan pemisah adalah liang lahad, tempat sementara sebelum dihidupkan kembali untuk menghadap dan menerima pengadilan Tuhan.
Walaupun serius, ada sahaja orang-orang Islam yang tidak mengambil berat. Mereka tahu tetapi tidak memberi perhatian, melalaikan malah menganggap ia urusan peribadi dengan Tuhan. Oleh kerana peribadi, orang Islam jenis ini menentang apa juga gesaan menunaikan solat. Citra mereka ini disuarakan oleh individu atau kelompok melalui media sosial atas alasan gesaan tersebut mencampuri hak asasi. Hujah lain ialah unsur agama tidak seharusnya diberikan kepada mana-mana institusi sebagai pentadbir kerana aktiviti keagamaan adalah hak setiap penganut, terpulang kepada mereka untuk melaksanakannya ataupun tidak.
Saya tidak mahu berdebat perkara ini kerana tumpuan tulisan ini ialah sejauhmana orang-orang Islam khususnya dan orang-orang bukan Islam amnya melihat peristiwa israk' dan mikraj sebagai satu kejadian aneh dalam kehidupan manusia. Israk dan mikraj menjadi pemutus kepada keyakinan dan pembohongan pada sesetengah manusia yang mahu percaya atau kepada manusia yang menganggap ia sebagai cerita karut-marut dalam beragama.
Keyakinannya ialah adanya kewajipan solat lima waktu. Ia disampaikan secara langsung di tempat yang sangat istimewa. Tidak seperti puasa atau amalan wajib yang lain. Semuanya disampaikan melalui wahyu. Puasa disampaikan melalui wahyu dalam surah al-Baqarah ayat 183.Hanya dengan satu perintah ayat, orang-orang Islam berpuasa sebulan pada Ramadan. Ayat perintah itupun kita boleh lihat, baca dan dengar malah boleh diiramakan, dicetak dan dipamerkan. Tetapi perintah solat sangat istimewa. Allah SWT memanggil Nabi Muhammad SAW untuk memberitahu kewajipan solat ini, perintah yang lebih agung daripada perintah raja atau panglima perang.
Oleh kerana keagungan dan kebesaran solat ini, makhluk lain tidak mahu menerimanya. Mereka semua enggan. Bukit, gunung dan langit telah ditawarkan solat, semuanya enggan. Tidak mahu kerana beratnya beban solat yang hendak ditanggung.
Tetapi manusia lain, mereka sangat istimewa. Allah SWT yakin manusia dapat melakukannya walaupun ada sebahagiannya berasa berat. Malah sebahagiannya langsung tidak mahu melakukannya. Mereka ini adalah kelompok manusia yang memilih untuk menyembah lembu, pokok dan batu. Mereka inilah kelompok yang akan berada di dalam neraka. Di dalamnya ada makanan dan minuman yang tidak mengenyangkan, panas dan menyakitkan. Walaupun telah dijelaskan, namun ada sahaja manusia yang enggan mempercayai perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram ke sidratul muntaha ini.
Mereka menganggapnya sebagai satu pembohongan terbesar kepada manusia. Soalan ini pernah ditanya kepada Dr. Zakir Naik oleh seorang wanita Jepun yang tidak percaya kepada ketuhanan. Soalannya begini: "Saya ingin bertanya iaitu anda semua sebagai muslim yang percaya pada perjalanan malam Muhammad ke Jerusalem hanya dalam satu malam. Dan ini adalah kebohongan besar. Ini adalah kebohongan yang nyata dan besar kepada kaumnya iaitu kepada orang-orang pada zaman itu. Dan orang-orang Quraisy juga mengkritiknya kerana telah menceritakan kebohongan seperti itu kerana Muhammad berkata dia melakukannya hanya dalam satu malam. Tetapi orang-orang seharusnya tidak mempercayai pembohongan seperti itu".
Orang-orang Islam pada zaman ini tidak pernah berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW secara zahir, cuma menziarahi kubur di Madinah. Terdapat sesetengah orang yang dipilih untuk bertemu dengan baginda di dalam mimpi mereka. Itu pun ada yang hanya dapat melihat bayang-bayang, susuk badan dari arah belakang atau suara. Penerangan perjalanan israk dan mikraj ini di dalam al-quran adalah penguat kepercayaan mereka, percaya dan sangat yakin tanpa berbelah-bahagi. Kepercayaan dan keyakinan ini akan terus ada sehingga akhir hidup mereka. Ia menjadi pemisah antara iman dan kufur. Mereka yang percaya akan terus dengan kepercayaan tersebut dan meningkatkan iman, bagi yang enggan percaya dan menolak kejadian israk dan mikraj sebagai suatu realiti, mereka dapat hidup seperti biasa namun di akhirat nanti akan betul-betul menyesal.
Ia umpama dialog seorang atheis dengan Ahmad Deedat berkenaan akhirat. Seorang atheis bertanya, "Bagaimana perasaan anda jika anda meninggal dunia dan mendapati bahawa akhirat adalah pembohongan?" Lalu Ahmad Deedat menjawab, "Tidak lebih buruk dari pada saat kamu mati dan mendapati akhirat itu ada".
Pemikiran logik tanpa iman tidak akan mempercayai bahawa perjalanan dari bumi ke angkasa lepas seterusnya menembusi lapisan langit telah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Logik tanpa iman tidak dapat melihat apa yang berlaku kepada mukjizat yang diberikan kepada para nabi dan rasul. Sama seperti mukjizat Nabi Isa AS yang menghidupkan orang mati dan menyembuhkan penyakit. Atau seperti Nabi Musa AS yang telah membelah laut.
Bagi orang beriman, logik yang dipayungi oleh wahyu akan terus meningkatkan iman mereka, mengukuhkan jati diri dan memotivasikan diri untuk beribadah sepanjang hayat.
Pada akhirnya, israk dan mikraj bukan sekadar kisah perjalanan malam yang luar biasa, tetapi cerminan hubungan langsung antara manusia dan Tuhan. Ia menuntut lebih daripada sekadar kefahaman akal, ia menuntut keberanian untuk percaya dan kesediaan untuk patuh. Solat yang diwajibkan melalui peristiwa agung ini bukan beban yang menghimpit tetapi tali yang menghubungkan bumi dengan langit, manusia dengan Penciptanya. Selagi tali itu dipegang, manusia tidak akan hilang arah, walaupun dunia berubah dengan pantas dan nilai sering terbalik. Apabila solat ditinggalkan, yang sebenarnya terputus bukan sekadar amalan tetapi makna hidup itu sendiri. Israk dan mikraj mengingatkan kita bahawa iman bukan sekadar cerita untuk dikenang setahun sekali tetapi amanah yang mesti dipikul setiap hari sehingga langkah terakhir menuju liang lahad.

No comments:
Post a Comment