Keunikan ini sering dipuji sebagai contoh toleransi dan pluralisme yang berjaya dalam dunia moden. Namun, dalam beberapa dekad terkini, kepelbagaian yang pernah menjadi kekuatan ini mula dicabar oleh perkembangan politik identiti yang semakin ekstrem, khususnya dalam bentuk nasionalisme agama atau yang lebih dikenali sebagai Hindutva nationalisme. Fenomena ini bukan sekadar perubahan politik tetapi turut memberi kesan mendalam kepada hubungan sosial, keselamatan awam serta persepsi global terhadap demokrasi India.
Baru-baru ini, sebuah video tular memaparkan sekumpulan individu dalam satu acara perarakan agama Hindu yang menaiki sebuah jentolak atau jentolak sambil dikatakan membawa pedang dan melaungkan slogan anti-Muslim. Mereka dipercayai terlibat dalam sebuah perhimpunan besar yang diselaputi serbuk kunyit seperti dalam upacara tradisional Hindu.
Insiden ini dikatakan berlaku di Sangli, Maharashtra dan tersebar melalui media sosial serta beberapa portal berita. Walaupun ketepatan maklumat video ini perlu dirujuk melalui pelbagai sumber bagi mengelakkan salah tafsir, isu yang ditimbulkannya sangat signifikan kerana berkaitan perasaan hormat antara agama, provokasi sosial serta ancaman ketenteraman masyarakat.
Dalam konteks yang lebih luas, peristiwa seperti ini bukanlah sesuatu yang terpencil. Ia mencerminkan perkembangan pola politik dan sosial di India sejak beberapa tahun lepas di mana berlakunya peningkatan retorik kebencian terhadap minoriti khususnya komuniti Muslim. Fenomena ini bukan sahaja menimbulkan pertanyaan moral tetapi turut membawa persoalan tentang arah tuju demokrasi, legitimasi undang-undang serta masa depan keharmonian antara kaum dan agama di negara tersebut. Oleh itu, perbincangan mengenai isu ini bukan sahaja penting bagi rakyat India tetapi juga wajar diperhatikan oleh masyarakat Islam seluruh dunia kerana ia memberi gambaran terhadap bagaimana provokasi agama boleh mengganggu tatanan sosial sesebuah negara.
1. Politik Identiti dan Kebangkitan Hindutva
Ideologi Hindutva yang diungkapkan oleh Vinayak Savarkar pada abad ke-20 bukan sekadar menekankan nilai Hindu tetapi membayangkan India sebagai tanah eksklusif agama Hindu (Jaffrelot, 2007). Dalam konteks politik moden, ideologi ini berkembang melalui mekanisme demokrasi pilihan raya bukan pemberontakan bersenjata. Retorik Hindutva meletakkan Muslim sebagai “warisan asing” walaupun mereka telah hidup berabad-abad lamanya di India malah menjadi sebahagian daripada struktur tamadun, bahasa, seni bina, ekonomi dan kebudayaan India.
Dalam naratif politik moden, jentolak menjadi simbol yang menormalisasikan hukuman tanpa perbicaraan. Ia digambarkan sebagai alat “membersihkan India” daripada mereka yang dituduh sebagai penyebab masalah sosial (Sharma, 2025). Inilah “politik simbolik” yang berbahaya di mana objek fizikal diserap menjadi objektif ideologi dan propaganda.
2. Peranan Media Sosial, Propaganda dan Manipulasi Persepsi
Satu lagi faktor penting ialah peranan media sosial yang telah menjadi ruang untuk menyebarkan video, maklumat serta naratif tertentu dalam bentuk yang sangat cepat dan mempengaruhi emosi penonton. Banyak video provokatif dipapar dalam bentuk yang tidak lengkap seperti tiada latar belakan cerita, tiada konteks dan tiada pengesahan pihak berwajib. Dalam era digital, seseorang boleh mewujudkan persepsi tertentu tanpa perlu memberikan bukti rasmi.
Penggunaan media sosial untuk menyebarkan video provokatif bukan sekadar penyebaran maklumat sebaliknya ia adalah strategi perang psikologi (psywar). Dalam era digital, persepsi lebih kuat daripada fakta. Menurut kajian Pew Research Center (2025), video berunsur emosi negatif lebih mudah tular kerana ia mencetuskan kemarahan, ketakutan dan rasa terancam.
Antara strategi propaganda ekstremisme termasuk mengubah video ritual keagamaan menjadi video seolah-olah ia provokasi, mengulang siar video lama untuk menggambarkan ia berlaku pada waktu terkini, mencipta teks provokatif bagi menimbulkan kemarahan penonton dan menggunakan logo media tertentu bagi mencipta kepercayaan palsu.
Kaedah seperti ini jika tidak ditangani dengan literasi media akan menimbulkan tindak balas berantai dan kesan psikologi massa yang membawa kepada ketegangan dan kebencian antara komuniti.
3. Undang-Undang dan Penguatkuasaan yang Dipersoalkan
Insiden berkaitan provokasi agama di India sering dikaitkan dengan kelemahan atau ketidakseimbangan dalam penguatkuasaan undang-undang. Banyak laporan NGO antarabangsa menyatakan bahawa tindakan terhadap individu atau kumpulan agresif tidak dijalankan secara adil terutama apabila melibatkan minoriti Muslim. Ada laporan yang menunjukkan tindakan kekerasan dilakukan tanpa proses perbicaraan yang sah. Ini menyebabkan wujudnya budaya ketakutan dan rasa tidak dilindungi dalam kalangan minoriti.
Isu ini diperbesar dengan adanya undang-undang seperti Citizenship Amendment Act (CAA) serta Anti-Conversion Laws yang menimbulkan tafsiran bahawa undang-undang lebih berpihak kepada kepentingan majoriti.
4. Simbolisme Jentolak Politik
Penggunaan jentolak dalam video tersebut sekiranya benar membawa makna yang bukan lagi neutral. Jentolak kini menjadi simbol kuasa dan hukuman tanpa perbicaraan terhadap komuniti minoriti. Ia bukan sekadar jentera pembinaan tetapi ikon propaganda politik yang agresif. Jika simbol politik digunakan dalam perarakan agama, ia menandakan gabungan antara ritual spiritual dan agenda kuasa yang berisiko mempengaruhi pemikiran rakyat.
Rangka Teori dan Asas Akademik
Fenomena provokasi agama di India boleh difahami melalui beberapa kerangka teori seperti Teori Konflik Sosial (Coser, 1957) iaitu konflik bukan semata-mata mengenai ketidakserasian nilai tetapi perebutan kuasa, pengaruh dan keabsahan naratif nasional, Teori Identiti Sosial (Tajfel & Turner, 1979) iaitu manusia membina kelompok identiti in-group dan out-group, lalu menganggap kumpulan sendiri lebih mulia, Teori ‘Othering’ (Said, 1978) iaitu minoriti dibentuk sebagai “yang lain” demi mengekalkan dominasi majoriti dan Model Spiral of Hate (Staub, 2011) iaitu kebencian bermula dari bahasa, diikuti simbol, kemudian tindakan fizikal.
Apabila teori ini diaplikasi dalam konteks India, ia menunjukkan bahawa tindakan provokasi bukanlah insiden spontan tetapi hasil proses pembinaan naratif politik jangka panjang.
Impak Terhadap Masyarakat dan Negara
Kesan daripada budaya provokasi agama seperti ini amat mendalam dan boleh berlaku dalam pelbagai dimensi iaitu sosial, ekonomi, psikologi dan antarabangsa.
1. Impak Sosial dan Keharmonian Komunal
Hubungan antara pengikut Hindu dan Muslim telah bertahan berabad lamanya dengan interaksi kebudayaan yang kaya. Namun, dengan wujudnya provokasi moden, jurang psikologi antara kedua-dua komuniti semakin melebar. Ketidakpercayaan dan perasaan syak terhadap satu sama lain boleh membawa kepada konflik berpanjangan yang sukar dipulihkan.
Pengalaman sejarah telah membuktikan bahawa konflik agama amat sukar ditangani jika api permusuhan telah bermula.
Komuniti Muslim di India mungkin berasa terancam bukan sahaja secara fizikal tetapi secara psikologi apabila kewujudan mereka dilihat tidak diingini. Trauma seperti ini boleh diwarisi generasi demi generasi melalui "collective memory transmission" (Hirsch, 2008).
2. Impak Ekonomi
Negara yang berada dalam ketidakstabilan sosial dan agama akan menjadi kurang menarik kepada pelabur asing. Iklim ketidaktentuan ini akan mengakibatkan pelabur memindahkan modal ke negara yang dianggap lebih stabil seperti China, Vietnam atau Bangladesh. Selain itu, aktiviti perniagaan komuniti Muslim yang terjejas akan melemahkan rantaian ekonomi domestik.
3. Impak Psikologi dan Identiti Generasi Baharu
Generasi muda yang membesar dalam suasana kebencian dan propaganda akan mewarisi sikap pilih kasih dan trauma kolektif. Mereka mungkin percaya bahawa ekstremisme adalah sebahagian daripada agama atau patriotisme. Ini amat berbahaya kerana ia menormalisasikan keganasan sebagai norma sosial.
Kajian membuktikan bahawa apabila provokasi dilakukan secara berulang, masyarakat akan menganggapnya sebagai norma sosial (Cialdini, 2007). Bahaya terbesar bukan terletak pada ekstremisme itu sendiri tetapi ketika masyarakat “tidak lagi terkejut”.
4. Kesan Antarabangsa dan Diplomasi Global
India merupakan negara demokrasi terbesar dunia dan mempunyai hubungan diplomatik serta ekonomi dengan banyak negara majoriti Muslim termasuk di Asia Barat, Asia Tenggara dan Afrika Utara. Imej negara yang tercalar boleh mengganggu kepentingan geopolitik, ekonomi serta kerjasama tenaga buruh yang melibatkan jutaan pekerja India di luar negara.
Dalam kajian keganasan global, ekstremisme tidak pernah wujud secara tunggal. Ekstremisme satu pihak akan meningkatkan kebarangkalian ekstremisme pihak lain (Kruglanski et al., 2014).
Amnesty International (2024) menyeru kerajaan India yang diterajui NDA supaya meletakkan hak asasi manusia sebagai komponen dasar teras bagi tempoh pentadbiran seterusnya. Berdasarkan dokumentasi sejak 2014, wujud pola pelanggaran hak asasi manusia yang meningkat, merangkumi penggubalan polisi diskriminatif tanpa konsultasi demokratik, penyebaran wacana kebencian oleh aktor politik dan kumpulan supremasi Hindu, normalisasi tindakan keganasan terhadap minoriti agama, serta pelaksanaan hukuman kolektif terhadap individu yang membantah secara aman. Selain itu, berlaku penghakisan autonomi institusi serta kegagalan mekanisme penyiasatan polis bertindak secara neutral dan berkesan.
Kesimpulan
Fenomena provokasi agama yang semakin meningkat di India bukan sekadar isu tempatan tetapi adalah tanda bahaya terhadap masa depan perpaduan dan kestabilan negara itu sendiri. Tindakan sesetengah kelompok fanatik Hindu yang memanipulasi elemen keagamaan, budaya dan jentera negara demi agenda politik membawa risiko konflik jangka panjang yang sukar dipulihkan. Walaupun majoriti rakyat India daripada pelbagai agama masih memilih keamanan, tindakan minoriti ekstremis boleh memberi kesan negatif secara menyeluruh jika tidak dikawal melalui undang-undang, pendidikan dan kesedaran awam.
Penyelesaian kepada masalah ini memerlukan gabungan strategi undang-undang, pendidikan toleransi, dialog antara agama, pemantauan badan bebas serta peranan media yang bertanggungjawab. Dunia moden memerlukan demokrasi yang matang, bukan demokrasi yang dimanipulasi melalui sentimen dan provokasi. Kepelbagaian bukan ancaman sebaliknya ia adalah kekuatan jika diurus dengan nilai hormat, empati dan kemanusiaan sejagat.
Semoga masyarakat dunia dapat memahami bahawa isu ini bukan semata-mata tentang siapa benar dan siapa salah tetapi tentang bagaimana sesuatu negara memilih masa depannya iaitu sama ada hidup dalam permusuhan atau membina keamanan bersama.
Rujukan
Amnesty International. (2024). Human rights charter – India. https://www.amnesty.org/en/wp-content/uploads/2024/06/ASA2081542024ENGLISH.pdf
Cialdini, R. B. (2007). Influence: The psychology of persuasion (Vol. 55, p. 339). Collins.
Coser, L. A. (1957). Social conflict and the theory of social change. The British Journal of Sociology, 8(3), 197–207. http://www.jstor.org/stable/586859
Hirsch, M. (2008). The generation of postmemory. Poetics Today, 29(1), 103–128.
Jaffrelot, C. (2007). Hindu nationalism: A reader. Princeton University Press.
Kruglanski, A. W., Gelfand, M. J., BĂ©langer, J. J., Sheveland, A., Hetiarachchi, M., & Gunaratna, R. (2014). The psychology of radicalization and deradicalization: How significance quest impacts violent extremism. Political Psychology, 35(1), 69–93. https://www.jstor.org/stable/43783789
Pew Research Center. (2025, April 22). Teens, social media and mental health. https://www.pewresearch.org/internet/2025/04/22/teens-social-media-and-mental-health/
Said, E. (1978). Orientalism. Pantheon Books.
Sen, A. (2006). Identity and violence: The illusion of destiny. W. W. Norton & Company.
Sharma, A. (2025). Of rubble, ruins, and bulldozers: Punitive populism, popular culture, and the Indian case. Global Studies Quarterly, 5(2). https://doi.org/10.1093/isagsq/ksaf048
Staub, E. (2011). Overcoming evil: Genocide, violent conflict, and terrorism. Oxford University Press.
Tajfel, H., & Turner, J. C. (1979). An integrative theory of inter-group conflict. In W. G. Austin & S. Worchel (Eds.), The social psychology of inter-group relations (pp. 33–47). Brooks/Cole.
No comments:
Post a Comment