Di bilik darjah, telefon bimbit sudah menjadi "pelajar ketiga" iaitu diam, tapi berpengaruh. Ketika guru mengajar, ada pelajar yang sibuk menatal TikTok, berbalas mesej atau bermain permainan mudah alih. Di luar pagar sekolah, remaja dilihat tidak berenggang dengan skrin sama ada berjalan, menunggu bas, malah ketika makan bersama keluarga.
Fenomena ini mendorong cadangan beberapa pihak untuk mengharamkan penggunaan telefon bimbit bukan sahaja di sekolah, malah di kawasan luar sekolah, dengan alasan mahu mengembalikan tumpuan pelajar kepada pelajaran, membentuk disiplin dan mengurangkan ketagihan digital.
Di Malaysia, larangan telefon bimbit di sekolah sebenarnya bukan perkara baharu. Kementerian Pendidikan telah lama menyekat penggunaannya di bilik darjah kecuali bagi tujuan pembelajaran di bawah pengawasan guru. Namun pelaksanaannya sering longgar, bergantung kepada budi bicara pentadbiran sekolah.
Sebaliknya, Australia telah mengambil pendekatan lebih tegas. Beberapa negeri seperti Victoria dan New South Wales telah mengharamkan telefon bimbit sepenuhnya di sekolah rendah dan menengah sejak 2020. Pelajar dikehendaki menyimpan telefon dalam loker khas dari pagi hingga tamat waktu persekolahan. Hasilnya, menurut kajian awal, gangguan disiplin menurun dan interaksi sosial meningkat.
Namun pengharaman menyeluruh terutama jika diluaskan ke luar kawasan sekolah yang mengundang persoalan besar dari sudut keselamatan, komunikasi dan tanggungjawab ibu bapa. Dalam keadaan negara yang berdepan isu keselamatan pelajar seperti kes buli, penculikan atau bencana kecemasan, telefon bimbit sering menjadi alat penting untuk ibu bapa berhubung segera dengan anak.
Tambahan pula, dalam banyak keluarga B40, telefon bimbit adalah satu-satunya alat untuk pembelajaran dalam talian. Mengharamkannya secara meluas berpotensi membebankan keluarga dari segi kos dan pengurusan harian, terutamanya ibu bapa yang bekerja jauh atau tidak mempunyai akses kepada sistem pemantauan anak secara fizikal.
Cadangan Penyelesaian
Sekat, bukan haram mutlak: Kawalan penggunaan di sekolah wajar diteruskan, tetapi dengan pendekatan fleksibel. Telefon boleh disimpan tetapi hanya digunakan dalam keadaan kecemasan atau sesi pembelajaran khas.
Zon bebas telefon selepas sekolah: Bina budaya komuniti seperti taman permainan, pusat komuniti atau kafe mesra remaja yang menjadi “zon bebas telefon” secara sukarela, dengan ganjaran sosial atau aktiviti menarik untuk galakkan interaksi dunia nyata.
Pendidikan literasi digital sejak awal: Bukan hanya tentang “jangan guna telefon”, tapi didik pelajar cara mengurus masa skrin, kawal emosi digital dan elak ketagihan media sosial. Ibu bapa juga perlu diberi modul pendidikan digital, bukan sekadar melepaskan tanggungjawab kepada guru.
Teknologi pemantauan pintar: Gunakan teknologi untuk membantu, bukan menakutkan. Contohnya, aplikasi yang membolehkan ibu bapa pantau penggunaan telefon anak tanpa perlu rampas atau larang terus.
Dialog terbuka dengan pelajar: Jangan hanya dengar suara dewasa. Libatkan pelajar dalam perbincangan dasar umpamanya tanya mereka bagaimana telefon bantu atau ganggu kehidupan mereka. Rasa tanggungjawab lahir bila mereka diberi ruang bersuara.
Isu telefon bimbit bukan sekadar soal peranti tetapi ia cerminan realiti sosial hari ini: ketidakseimbangan kuasa, cabaran keibubapaan moden, dan pergolakan antara teknologi dan manusia. Mengharamkan sepenuhnya mungkin tampak tegas, tetapi penyelesaian sebenar menuntut pendekatan yang tepat, bijak dan berpaksikan realiti keluarga serta perkembangan zaman.