Sutan Baginda teringin mendapatkan mahkota PARAYU, parti terbesar dan terkuat. Nama lain yang muncul ialah PARANA dan PARANU yang diselindungkan sebagai parti Cina dan parti India.
Pada pandangan saya, tiga watak wanita iaitu Uji, Dahlia dan Fidah rasanya bukanlah individu sebenar, tetapi gagasan pemikiran dan dasar yang diperkenalkan oleh Dr. Mahathir. Uji berwatak alim dan ustazah yang melambangkan dasar penerapan nilai-nilai Islam. Dalam buku ini diceritakan Sutan Baginda membahasakan dirinya ana dan mahu belajar menyebut ayat-ayat al-Quran. Uji ialah isteri pertamanya yang setia tidak berbelah bahagi.
Dahlia pula merupakan wanita berpendidikan tinggi, memiliki PhD dan menjadi isteri kedua Sutan Baginda. Bercakap dengannya pun perlu berhati-hati dan menjaga kata-kata. Dahlia dilihat sebagai dasar yang memajukan pelbagai bidang; sebab itulah diperkenalkan istilah-istilah canggih seperti The Naked Power dan The Blunt Power, serta dimasukkan unsur power dan glory.
Fidah ialah wanita ketiga, namun dalam buku ini sebutan Fidah diringkaskan kepada F sahaja. Dia digambarkan sebagai wanita perosak reputasi yang boleh diprogramkan. Mungkin sebutan “F” itu sendiri sudah membawa konotasi yang tidak baik. Watak Fidah mungkin berkaitan dengan perancangan politik untuk menjatuhkan sesama sendiri iaitu pelbagai cara boleh dilakukan jika mahu.
Walaupun panjang buku ini hanya 158 halaman, ia memberikan kesan besar kepada pembaca yang dapat mengaitkannya dengan pentadbiran negara 20 atau 30 tahun lalu. Kisah tiga watak yang digarap dengan rapi ini membuka ruang pemikiran kritis yang lebih mendalam.
Kritikan melalui novel yang ringkas dan santai ini merupakan saluran untuk mengajak khalayak merenung dan berfikir tentang apa yang telah dan sedang berlaku dalam politik negara. Ia juga menjadi rujukan tentang perjalanan pemimpin politik dan fiil mereka.
Kesimpulannya, Sutan Baginda karya Shahnon Ahmad merupakan sebuah alegori politik yang tajam dan berani, memperlihatkan keupayaan Sasterawan Negara ini menterjemahkan realiti politik Malaysia ke dalam simbol dan watak yang berlapis makna. Melalui tokoh Sutan Baginda dan tiga watak wanita iaitu Uji, Dahlia dan Fidah, Shahnon tidak sekadar menulis tentang manusia tetapi tentang dasar, ideologi dan permainan kuasa yang membentuk wajah kepimpinan negara.
Novel ini menyentuh sisi satira politik dan psikologi kepemimpinan, memperlihatkan bagaimana kuasa, agama dan intelektualisme digunakan sebagai alat legitimasi. Uji menjadi lambang dasar Islamisasi, Dahlia mewakili kecerdikan dan kemajuan dasar pembangunan, manakala Fidah mencerminkan manipulasi dan kemerosotan moral dalam gelanggang politik.
Walaupun hanya tidak banyak halaman, karya ini mempunyai kedalaman falsafah dan sindiran sosial yang mengajak pembaca berfikir di luar teks iaitu mengenali kembali sejarah politik yang tersirat, serta menilai watak-watak sebenar di sebalik tabir kuasa. Gaya Shahnon yang bersahaja namun tajam menjadikan Sutan Baginda bukan sekadar bacaan kreatif, tetapi dokumen reflektif tentang manusia, kuasa dan negara. Novel ini menegaskan bahawa sastera mampu menjadi cermin nurani bangsa iaitu mengkritik tanpa menuduh dan menyedarkan tanpa menggurui.

No comments:
Post a Comment