Monday, September 09, 2024

Faktor penyumbang kepada kemuflisan penjawat awam


Penjawat awam merupakan tulang belakang pengurusan agensi dan jabatan sektor awam negara. Pendapatan yang diperoleh sebagai penjawat awam di Malaysia telah membantu meningkatkan perbelanjaan isi rumah dan menghalang kitaran ganas kemiskinan dalam tempoh satu generasi.

Individu yang bertuah dan menerima jawatan dalam sektor awam di pelbagai gred perjawatan sudah pasti bergembira kerana sektor awam menyediakan lebih banyak pilihan kenaikan pangkat, peluang mengubah hidup di samping pelbagai keistimewaan lain seperti skim pinjaman dan kebajikan persaraan. Ia menjadikan kerjaya mereka lebih menarik dengan pendapatan yang stabil.

Keistimewaan utama ialah jaminan pekerjaan iaitu penjawat awam jarang diberhentikan kerja walaupun keadaan ekonomi yang meleset atau tidak menentu. Justeru ia menawarkan kestabilan kerja dalam jangka panjang, mungkin sehingga bersara. Selain itu, penjawat awam mempunyai peluang yang lebih jelas untuk kenaikan pangkat berdasarkan prestasi kerja dan tempoh perkhidmatan yang mengutamakan kekananan.

Selain itu, mereka layak menerima pendapatan pencen selepas bersara sebagai sokongan kewangan. Dari segi kebajikan, rawatan di hospital kerajaan adalah pada kadar yang rendah, murah atau percuma.

Selain itu, mereka mendapat manfaat daripada pelbagai elaun yang mengurangkan kos hidup mereka seperti sara hidup, perjalanan dan elaun rumah. Contohnya, Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) diberikan berdasarkan gred perjawatan. Bantuan Sara Hidup (Cost of living Assistance- COLA) turut diberikan mengikut kadar kos hidup bandar dan luar bandar. Tambahan kepada gaji pokok ini menunjukkan jumlah pendapatan yang lebih besar sektor awam.

Berbanding dengan sektor swasta, penjawat awam mendapat jumlah maksimum cuti bersalin bagi setiap kelahiran adalah selama 90 hari. Di samping itu mereka juga mendapat cuti kecemasan, cuti tahunan dan cuti sakit yang lebih tersusun.

Selain itu, penjawat awam diberi keutamaan dalam beberapa inisiatif kerajaan seperti pinjaman dengan kadar faedah rendah dan peluang perumahan melalui skim Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM). Tambahan lagi, sesetengah institusi kewangan menyediakan pinjaman peribadi dengan kadar faedah yang lebih rendah.

Secara keseluruhan, faedah ini menjadikan sektor awam sebagai pilihan kerjaya yang stabil dan memberikan perlindungan sosial yang menyeluruh kepada pekerja dan keluarga mereka.

Di sebalik pelbagai faedah, kemudahan dan tumpuan yang diberikan untuk memperkasa produktiviti kerja dan kesejahteraan hidup, kenapa masih terdapat penjawat awam yang diisytihar muflis?

Laporan akhbar menyatakan terdapat sepuluh hingga 13 peratus penjawat awam di negara ini telah muflis dalam tempoh empat tahun lalu. Seseorang penjawat awam boleh dikenakan perintah muflis melalui tindakan mahkamah apabila mempunyai hutang tertunggak melebihi RM100,000. Ia dinyatakan di bawah Akta Insolvensi 1967 (Pindaan 2023).

Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi, Datuk M Bakri Abd Majid berkata, kesan diisytiharkan muflis ialah menjejaskan ekosistem perkhidmatan awam, menerima hukuman tatatertib, menjejaskan peluang kenaikan pangkat, pembayaran bonus, bantuan kewangan dan sebagainya (Tuty Haryanti, 2024).

Penyelidikan menunjukkan beberapa faktor utama yang menyumbang kepada kemuflisan dalam kalangan penjawat awam, khususnya di Malaysia. Antara punca utama ialah pengurusan kewangan yang lemah, pemilikan aset dan sikap terhadap hutang yang meningkatkan risiko muflis.

Kajian oleh Yasotha Nair et al. (2016) menekankan bahawa faktor-faktor ini sangat mempengaruhi kemuflisan dan pendidikan kewangan adalah penting untuk mengurangkan masalah ini. Selain itu, satu lagi kajian menunjukkan bahawa penjawat awam yang gagal memenuhi penanda aras kewangan seperti kecairan dan keberhutangan mempunyai risiko yang lebih tinggi.

Isu yang lebih luas seperti cabaran pekerjaan dalam sektor awam dan tekanan ekonomi turut memburukkan risiko ini. Sebagai contoh, penswastaan perkhidmatan awam telah meningkatkan tekanan fiskal yang menambah kerentanan pekerja awam terhadap kemuflisan (McEntee, 2006). Tambahan pula, kepentingan awam boleh membentuk keputusan undang-undang dalam kes muflis di mana matlamat awam sering mengatasi kepentingan pemiutang (Kantor, 2023). Di sektor khusus seperti kesihatan awam, salah urus oleh syarikat yang menggunakan undang-undang muflis untuk mengelak liabiliti telah memberi kesan besar kepada kesihatan awam (Boden & Pierce, 1990).

Berdasarkan huraian dan sorotan kajian ini, kesimpulan utama yang kita boleh berikan ialah kerjaya di sektor awam memberikan kestabilan pendapatan dan faedah kebajikan yang besar namun menjadi risiko muflis jika gagal menguruskan kadar keberhutangan.

Penjawat awam di Malaysia menikmati kestabilan kerjaya yang tinggi dan pelbagai faedah seperti gaji yang stabil, peluang kenaikan pangkat, jaminan persaraan, kemudahan rawatan kesihatan dan pelbagai elaun yang dapat mengurangkan kos hidup. Namun pada masa yang sama, pengurusan kewangan yang lemah dan sikap terhadap hutang boleh menyebabkan mereka berhadapan dengan masalah kewangan. Justeru ketua jabatan dan agensi kerajaan perlu memantau jumlah hutan kakitangan di bawah seliaan supaya kekal berada di bawah paras kadar hutang yang dibenarkan.



Rujukan

Gerald, W., McEntee. (2006). The New Crisis of Public Service Employment. Public Personnel Management, 35(4), 343-346. doi: 10.1177/009102600603500407

Leslie, I., Boden., Joan, W., Pierce. (1990). Public health bankruptcy. New Solutions: A Journal of Environmental and Occupational Health Policy, 1(1), 51-59. doi: 10.2190/NS1.1.J

Natalia, E., Kantor. (2023). Influence of the Public Element in Bankruptcy Cases on the Development of Judicial Law-Making. Закон, doi: 10.37239/0869-4400-2023-20-12-67-78

Rahma, Widya, Swastiningsih., Endang, Prasetyawati. (2022). Kewenangan menteri.keuangan dalam.mengajukan permohonan pailit bumn. Bureaucracy Journal: Indonesia Journal of Law and Social-Political Governance, 2(1), 641-653. doi: 10.53363/bureau.v2i1.158

Tuty Haryanti Ahmad Rodzi. (2024, 9 September). 10 hingga 13 peratus penjawat awam bankrap sejak 2021 hingga tahun ini. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1295973/10-hingga-13-peratus-penjawat-awam-bankrap-sejak-2021-hingga-tahun

Yasotha, Nair., Laily, Paim., Mohamad, Fazli, Sabri. (2016). Financial ratios and the probabilistic prediction of bankruptcy among Malaysian civil servants. Journal of Emerging Economies and Islamic Research, 4(2), 21-33. doi: 10.24191/JEEIR.V4I2.9084







No comments:

Post a Comment