Sunday, September 08, 2024

Perkasa industri halal negara

Kenyataan Ahli Parlimen Seputih, Teresa Kok supaya pelaksanaan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela supaya pengusaha makanan dapat membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran dan bukannya secara paksaan telah mendapat bantahan ramai pihak termasuk pemimpin-pemimpin politik, pertubuhan bukan kerajaan dan dewan perniagaan.

Alasan beliau yang lain ialah proses mendapatkan sijil halal membebankan peniaga kerana menjejaskan operasi perniagaan khususnya kos pentadbiran.

Kenyataan Teresa itu dijelaskan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sebagai maklum balas daripada pemilik restoran-restoran bukan Islam yang bimbang bahawa perniagaan mereka juga akan diwajibkan mendapatkan pensijilan halal.

Isu ini ada kaitan dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.

Sebelum itu tular jawapan balas dari JAKIM berkenaan status halal beberapa syarikat perniagaan makanan popular yang dikunjungi pelanggan-pelanggan Muslim seluruh negara.

Untuk memahami isu halal di Malaysia, kita boleh mendapatkan pencerahan daripada penyelidik tentang kepentingan mendapatkan sijil halal jika mahu berniaga di Malaysia.

Mohd Nor et al (2019) menyatakan industri halal di Malaysia berkembang sangat lantas di peringkat antarabangsa. Ia bukan hanya menyediakan produk dan perkhidmatan halal kepada orang Islam malah ia menjadi perniagaan yang menguntungkan kerana bukan sahaja memenuhi keperluan orang Islam tetapi juga menarik minat pengguna bukan Islam. Antara faktor penerimaan produk dan perkhidmatan halal selain agama ialah globalisasi.

Kesimpulan kajian ini ialah sijil halal telah digunakan sebagai strategi pemasaran oleh pengeluar makanan, menambah nilai dan menjadikan produk lebih laris d negara-negara majoriti musli,. Ia juga seiring dengan trend global dalam kepenggunaan yang beretika dan mampan.

Kajian oleh Ahmad et al (2020) berkaitan peranan sijil halal dalam meningkatkan keyakinan pengguna, keperluannya adalah meningkatkan keyakinan pengguna dan berfungsi sebagai jaminan kualiti dan keselamatan. Ia memberi manfaat kepada syarikat dengan memperluas pasaran mereka dan meningkatkan daya saing, terutamanya dalam pasaran global halal.

Manakala Mohd Amri et al (2021) menyatakan landskap pensijilan halal bukan sahaja didorong oleh permintaan pengguna Muslim, tetapi juga sebagai alat pemasaran yang menguntungkan. 

Pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf di peringkat global merupakan faktor utama kejayaan dan perkembangan pesat industri halal di negara ini. Nilai import halal Malaysia kini bernilai US$25 bilion (RM104 bilion) dan dijangka meningkat kepada US$80 bilion (RM333 bilion) menjelang 2030. Pensijilan Halal Malaysia, yang diuruskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), memainkan peranan penting dalam menggerakkan ekonomi halal dunia.

Lim et al (2022) menyatakan sijil halal dilihat secara positif oleh pengguna bukan Muslim yang mengaitkannya dengan piawaian tinggi, kebersihan, dan amalan etika. Ini meningkatkan permintaan terhadap produk halal di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.

Banyak lagi kajian yang telah dijalankan oleh penyelidik-penyelidik dalam negara yang melihat kepentingan pengusaha makanan dan perkhidmatan memperoleh sijil halal. Keperluan mendapat sijil ini tidak dapat disangkal kerana memberi lebih banyak manfaat yang menguntungkan.

Justeru, gesaan Teresa kok supaya pihak JAKIM tidak menekan mana-mana pengusaha mendapatkan perakuan halal tidak dapat diterima kerana menjejaskan amalan beragama, penjagaan syariat dan merugikan peniaga pada masa panjang. isu memalukan negara di peringkat antarabangsa juga tidak ada kerana penarafan halal memberi imej yang lebih baik kepada negara.

Dalam laporan Bank Dunia (2022) mengenai kewangan Islam dan pembangunan ekonomi halal di Malaysia, ekonmi halal negara telah menyumbang sekitar 7.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Malaysia kini mendahului Indeks Ekonomi Islam Global (GIEI) khususnya dalam kewangan Islam, makanan halal, pelancongan mesra Muslim serta media dan rekreasi.

Sektor terbesar dalam ekonomi halal Malaysia ialah perkhidmatan makanan dengan pendapatan dianggarkan US$31 bilion (RM128.8 bilion) pada 2021 dan dijangka meningkat kepada US$47.6 bilion (RM201.02 bilion) menjelang 2025. Sektor farmaseutikal halal juga berkembang dengan pendapatan US$4.0 bilion pada 2021 dan dijangka mencapai US$4.8 bilion pada 2025.

Landskap kewangan Islam Malaysia diiktiraf sebagai salah satu pemangkin utama dalam Rancangan Induk Industri Halal Malaysia (HIMP) 2030, namun masih ada ruang untuk meningkatkan sokongan kewangan Islam dalam pelbagai sektor ekonomi halal.

Beberapa cadangan untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi halal termasuk memperkukuhkan koordinasi dasar, memperluas penggunaan teknologi kewangan Islam seperti fintech dan meningkatkan kerjasama dengan pembuat dasar antarabangsa.

Melihat kepada keperluan menyediakan makanan dan minuman halal serta perkhidmatan halal, usaha yang menjurus kepada memperkasa perakuan halal harus ditingkatkan malah diberi sokongan dalam bentuk perancangan dasar, pembentukan peraturan, penguatkuasaan undang-undang dan pematuhan pelaksanaan.

Sebarang usaha yang dilihat sengaja meremehkan isu ini harus ditangani segera supaya ekosistem pensijilan halal tidak digugat oleh sentimen atau prasangka yang boleh menjejaskannya.


Rujukan

Islamic Finance and the Development of Malaysia’s Halal Economy, (2022, 5 Oktober). 
https://www.worldbank.org/en/country/malaysia/publication/islamic-finance-and-the-development-of-malaysia-s-halal-economy.

Lim, Y.H., Lada, S., Ullah, R. and Abdul Adis, A.-A. (2022). Non-Muslim consumers’ intention to purchase halal food products in Malaysia, Journal of Islamic Marketing, 13(3), 586-607. https://doi.org/10.1108/JIMA-06-2020-0172

Mohd Amri Abdullah, Zalina Zakaria, Ahmad Hidayat Buang & Siti Zubaidah Ismail, Journal of Shariah Law Research, 6(2) 235-272.

Mohd Nor, S., Ali, M. H., Abdul-Rahman, A., & Subakir, N. N. (2019). Exploring CSR in halal Industry: Insights from Malaysia. International Journal of Economics, Management and Accounting, 27(2), 423–443. https://doi.org/10.31436/ijema.v27i2.635

Muhammad Yusri Muzamir. (2024, 8 September). Kontroversi sijil halal: Teresa Kok kena tegur dengan PM. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1295600/kontroversi-sijil-halal-teresa-kok-kena-tegur-dengan-pm

Normawati Adnan. ( 2024, 8 September). Pandangan Teresa wakili kebimbangan masyarakat bukan Islam – Anthony. https://www.sinarharian.com.my/article/684540/berita/nasional/pandangan-teresa-wakili-kebimbangan-masyarakat-bukan-islam-anthony

No comments:

Post a Comment