Monday, May 21, 2018

Pengundi Melaka beralih arah dalam PRU14







Buat kali pertama kerajaan Barisan Nasional (BN) Melaka tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14. Legasi kepimpinan dan dasar-dasar pembangunan yang dilaksanakan telah gagal meyakinkan pengundi-pengundi baru dan lama di kebanyakan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan parlimen. Karisma tokoh juga tidak dapat menarik pengundi untuk memberi sokongan.

Dalam pilihan raya pada 9 Mei 2018 lalu, Pakatan Harapan (PH) memenangi 15 daripada 28 kerusi DUN manakala BN hanya mendapat 13 kerusi. PH juga dapat menambah dua kerusi parlimen dan mengekalkan dua kerusi parlimen sedia ada. Penyertaan PAS tidak memberi makna kerana parti itu kalah di semua kawasan bertanding. Keputusan pilihan raya ini juga mencatatkan sembilan kerusi DUN dan satu kerusi parlimen dimenangi dengan majoriti di bawah 1,000 undi.

Kawasan P137 Hang Tuah Jaya (dahulu adalah Bukit Katil) adalah contoh penolakan pemimpin “Hebatkan Negaraku” iaitu Tan Sri Mohd Ali Rustam untuk kali kedua. Beliau tewas kepada penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin dengan majoriti 8,640 undi. Di parlimen itu, PH menyapu bersih tiga daripada empat kerusi DUN. Majoriti juga melebih 2,000 undi.

Di P138 Kota Melaka, PH memenangi pertandingan dengan majoriti 49,175 undi dan menyapu bersih lima DUN. P134 Masjid Tanah yang merupakan kubu kuat BN, semua kawasan DUN dan parlimen dimenangi mereka. Selain itu, kubu kuat BN adalah P139 Jasin yang menyaksikan persaingan sengit antara BN dan PH. Walau bagaimanapun BN menang dengan majoriti tipis 219 undi. Di parlimen itu, BN menang empat kerusi DUN manakala PH satu kerusi. Namun dua daripada kerusi yang dimenangi BN adalah bermajoriti kecil iaitu Rim (5360 dan Merlimau (130).

Dua kerusi parlimen lain, P135 Alor Gajah dan P136 Tangga Batu dimenangi oleh PH masing-masing dengan majoriti 6,980 dan 4,659 undi. Kedua-dua kawasan ini mempamerkan pertembungan sengit di peringkat DUN dengan perbezaan undi di bawah 1,000. Di Alor Gajah, PH memenangi empat DUN iaitu Rembia, Gadek, Machap Jaya dan Durian Tunggal manakala Bn menang DUN Asahan dengan majoriti 275 undi sahaja. Bagi Tangga Batu, PH dan BN masing-masing berkongsi kemenangan DUN yang mana PH menang di Paya Rumput dan Klebang manakala BN menang di Sungai Udang dan Pantai Kundor.


Faktor-Faktor Kemenangan Pakatan Harapan

Terdapat empat faktor yang menyebabkan PH merampas Melaka daripada BN dalam PRU14. Pertama, perubahan pola kecenderungan pengundi. Pengundi muda di Melaka telah berubah. Pengaruh individu tidak dapat menyaingi pengaruh parti. Hal ini jelas apabila BN mempertaruhkan nama-nama hebat dan besar sama ada di peringkat negeri atau parlimen gagal menyerlah dan tewas kepada tokoh yang lebih muda dan tidak dikenali.

Dalam kes Melaka, terdapat dua kes. Pertama, di Hang Tuah Jaya yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan BN, PH dan PAS. Nama besar calon BN adalah Tan Sri Mohd Ali Rustam, bekas ketua menteri manakala calon PH adalah Shamsul Iskandar Mohd Akin. PAS meletakkan Dr Md Khalid Kassim yang pernah menang di kawasan DUN dalam PRU13 lalu.

Mohd Ali Rustam memulakan kempen sebaik sahaja tewas kali pertama di Bukit Katil. Enam bulan sebelum pilihan raya beliau turun padang dengan lebih kerap menemui pengundi di sekitar parlimen Bukit Katil. Beliau memberi bantuan kebajikan, menggiatkan program bersama pengundi dan meraikan pengundi di kawasan taman perumahan, institusi masyarakat dan berjemaah di masjid dan surau. Tempat tumpuan beliau adalah surau, masjid, majlis keraian dan acara sosial. Pada minggu kempen, poster beliau ditampal dan digantung pada kebanyakan tempat.

Lawannya dari PH, Shamsul Iskandar, jarang sekali dilihat bersama-sama masyarakat tetapi kehadiran beliau dirasai melalui aktiviti dan program prihatin sebagai ahli parlimen. Keprihatinan yang dimaksudkan ialah beliau berada bersama-sama masyarakat semasa musibah atau majlis keraian untuk bertanya khabar di samping mendengar keluhan mereka. Ketika waktur kempen PRU14, gambar beliau hanya dicetak pada papan iklan besar PH yang berlatar belakang warna merah di parlimen Hang Tuah Jaya di samping poster yang digantung pada pokok-pokok sekitar jalan di Bachang. Poster atau kain rentang PH juga kurang menyerlah.

Dua nama besar di Melaka iaitu Tan Sri Mohd Ali Rustam dan Datuk Abu Bakar Mat Diah tewas kepada lawan masing-masing. Datuk Abu Bakar sendiri tewas dengan majoriti 4,259 undi. Kehebatan dan kemahsyuran nama tidak menjanjikan kemenangan dalam pilihan raya.

Kes kedua di DUN Bukit Katil. Calon BN adalah Datuk Haji Yunus Hitam yang merupakan muka baru. Beliau merupakan Setiausaha Kerja UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya dan dilantik sebagai pengarah Melaka ICT Holdings Sdn.Bhd (MICTH). Lawannya adalah Adly Zahari dari Parti Amanah Negara dan lebih muda daripada Datuk Haji Yunus. Beliau berkelulusan Universiti Teknologi Malaysia dalam bidang kejuruteraan elektrik. Berumur 47 tahun manakala Datuk Haji Yunus lebih berusia. Orang muda sudah tentu memilih pemimpin muda yang lebih dinamik, agresif dan mengetahui keperluan mereka.

Faktor umur juga mempengaruhi kecenderungan pengundi kerana mereka berpandangan ianya boleh menjadikan urusan pentadbiran lebih cekap dan dilaksana dengan cepat.

Faktor kedua ialah peningkatan kos hidup kerana cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Pengenalan GST pada 1 April 2015 memberi tekanan hidup yang cukup besar kepada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana. Walaupun kos hidup di Melaka tidak begitu tinggi tetapi beban cukai berkenaan tetap dirasai. Golongan yang lebih terkesan adalah keluarga yang besar tetapi tahap pendapatan sangat kecil. GST menjadikan perbelanjaan semakin kecil, justeru pasar raya besar seperti Mydin atau Family Store kurang dikunjungi pelanggan. Orang ramai hanya berbelanja ketika mendapat gaji atau bonus.

Tinjauan rambang dalam kalangan keluarga bersaiz sederhana mendapati mereka memberi alasan yang sama iaitu harga barang yang mencanak naik. Seorang pelanggan, Asiah yang bekerja sebagai pensyarah menyatakan harga-harga barang keperluan di pasar raya lebih mahal sekarang. Jika Asiah seorang pekerja profesional berpendapat begitu, bagaimana pula golongan pekerja lain yang berpendapatan lebih kecil? Sudah tentu bebanan kewangan akan terus menekan hidup mereka.

Manigesto PH yang mahu menghapuskan GST menarik minat ramai pengundi untuk menyokog mereka. Tidak hairanlah ketika Jelajah Harapan di Bukit Katil pada 4 Mei 2018, puluhan ribu yang membanjiri kawasan berkenaan. Mereka ingin mendengar sendiri bagaimana PH boleh menyelesaikan peningkatan kos hidup di Melaka.

Faktor ketiga ialah pengaruh media sosial. Aplikasi WhatsApp, Facebook, YouTube dan Instagram diguna secara meluas oleh pengundi-pengundi masa kini. Boleh dikatakan setiap orang di Melaka mempunyai capaian kepada media sosial. Mereka memperoleh maklumat yang banyak dengan pantas melalui perkongsian platform ini. Sebaran maklumat yang dibuat dalam bentuk teks dan grafik lebih cepat mempengaruhi pengundi berbanding media cetak yang dikuasai BN. Dalam faktor ini, PH memaksimumkan penggunaan media sosial sebagai strategi propaganda dan kempen dengan berkesan. Saluran Invoke, TV Selangor dan KiniTV menyaingi UMNO Online. Dalam Jelajah Harapan, saluran-saluran ini menyiarkan siaran langsung dan ada yang dimuat naik ke YouTube untuk hebahan umum. Penonton yang melihat saluran ini berjumlah ribuan sehingga ke hari kempen. Contohnya Jelajah Harapan di Melaka mencatat sejumlah lebih 275 ribu penonton.

Di pihak BN, saluran mereka kurang mendapat sambutan. Barangkali golongan muda tidak berminat dengan saluran ini menyebabkan penontonnya kadang kala tidak mencecah 1,000 tontonan. Sentimen menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak mungkin menyebabkan keadaan ini terjadi.

Faktor keempat ialah kesatuan PH. Strategi Tun Dr Mahathir yang mahukan satu logo untuk empat parti membuahkan hasil yang luar biasa. Kesanggupan parti-parti komponen menerima lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan titik tolak kepada satu perjuangan yang sama. Kesanggupan DAP menghilangkan simbol ‘roket’ dalam kempen pilihan raya ini amat dihargai ke arah kesatuan matlamat.

Penggunaan satu logo memudahkan pengundi membuat pilihan antara BN, PH dan Gagasan Sejahtera. Logo PKR yang digunakan dapat memberi semangat dan kesungguhan kepada pendokong-pendokong PH untuk bekerja bersama-sama sehinggakan pengundi tiak lagi dapat membezakan yang mana satu parti DAP, PPBM, PKR atau Amanah. Dalam hal ini, Tun Dr Mahathir telah berjaya memberi dimensi baru dalam perikatan politik PH yang turut menukar kerajaan BN di Melaka.


Kesimpulan

Pertukaran kerajaan Barisan Nasional kepada Pakatan harapan di Melaka memberi dimensi baru dalam corak pentadbiran negeri, majlis perbandaran, pengurusan kampung dan mengubah bentuk pemikiran masyarakat. Dominasi etnik Melayu dalam barisan exco kerajaan negeri sebelum ini diganti dengan dominasi etnik Cina yang memenangi sebahagian besar kawasan bandar. Perpecahan sokongan undi antara etnik Melayu memberi ruang kepada pembuat polisi dalam Pakatan Harapan untuk melihat kembali pelbagai aspek kehidupan yang berkait dengan hubungan etnik dan peningkatan sosioekonomi rakyat.

Wajah pentadbiran baru kerajaan Melaka belum lagi diuji. Mereka perlu lebih banyak masa untuk belajar dan memahami keperluan dan kehendak rakyat Melaka yang memberi kepercayaan bagi tempoh lima tahun lagi. Sekiranya terdapat pembaziran dan kelemahan tadbir urus, pimpinan baru ini wajar memberi penyelesaian terbaik yang dapat menguntungkan masyarakat negeri ini keseluruhannya.

No comments:

Post a Comment