Thursday, March 01, 2018

Memahami kepelbagaian etnik Malaysia







Kenyataan sebuah gerakan anak-anak muda bekas pelajar universil berkenaan memansuhkan Perkara 153 perlembagaan persekutuan menarik perhatian ramai pihak. Kumpulan ini yang mengelar diri mereka sebagai Anak Muda Harapan bangsa (AMHM) mencadangkan parlimen membuat tindakan menggantikan Perkara 153 itu dengan dasar-dasar lain yang lebih sesuai dengan masyarakat pelbagai etnik memandangkan 30 peratus kuota untuk bumiputera dalam pelbagai bidang sebenarnya telah dicapai.

Mereka juga mendakwa kerajaan Malaysia melindungi angka-angka yang menunjukkan pencapaian bumiputera jauh melebih sasaran.

Desakan seperti ini sama sahaja dengan desakan yang dilakukan oleh pelbagai pihak yang mahukan “kesamarataan” rakyat Malaysia. Namun, desakan terbaru ini dilihat tidak memiliki nilai politik kerana tidak mewakili pengundi secara meluas.

Dari segi akademik, hujah-hujah yang dikemukakan tidak disertai fakta-fakta yang boleh mengukuhkan desakan mereka melainkan atas rasa anggapan atau sangkaan sahaja.

Memasukkan Perkara 153 dan pada masa yang sama mewujudkan sekolah satu aliran boleh mengundang pelbagai krisis dan konflik yang berterusan. Konflik utama ialah menjejaskan kestabilan hubungan etnik sedia ada dan mengundang keresahan dalam kalangan sesetengah kelompok etnik.

Dalam Perkara 153, sebarang pindaan perlukan perkenan Majlis Raja-Raja yang tentunya perlukan lebih banyak perincian dan kajian terhadap kesan dan akibat supaya keistimewaan orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak terpelihara.

Ia juga bukan mudah bagi ahli-ahli politik untuk mengusul pemansuhan Perkara 153 ini kerana boleh menghilangkan kuasa dan pengaruh mereka dalam kalangan pengundi. Memansuhkan sekolah vernakular juga akan menyebabkan persepsi negatif dalam kalangan pengundi etnik berkenaan.

Kumpulan-kumpulan yang muncul untuk membuat desakan bagi memansuhkan perkara-perkara pokok dalam perlembagaan wajar membuat lebih banyak kajian dan perbincangan terhadap realiti kehidupan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia. Sekiranya bersesuaian dan praktikal, ia boleh dimajukan untuk diperdebatkan supaya Malaysia boleh menjadi sebuah negara maju.
Post a Comment