Saturday, March 17, 2018

Aliran maklumat tidak dapat dihalang







Cabang syarikat pelaburan Malaysia yang bermasalah, 1Malaysian Development Berhad (1MDB) kembali hangat dengan rampasan kapal persiaran mewah, Equanimity di perairan Indonesia baru-baru ini. Pelbagai kenyataan dikelaurkan oleh kedua-dua pihak yang berkepentingan iaitu Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) dan individu yang berpengaruh dengan 1MDB, Jho Low.

Media massa luar negara memberi liputan meluas perkembangan terkini syarikat itu. Setiap perkembangan menjadi isi berita utama di seluruh dunia. Antara media yang memberi liputan adalah Wall Street Journal, New York Times, The Economist, Australian Broadcasting Corporation (ABC) dan terbaharu MSNBC.

Media massa di Malaysia tidak memberi liputan khusus mengenai 1MDB walaupun impak perkembangan syarikat itu sudah diketahui oleh seluruh dunia.

Memetik ucapan Tun Dr Mahathir dalam rancangan Policy Tak di Youtube mengenai cara mengatasi rasuah di Malaysia, beliau menyifatkan ketiadaan berita dari media dalam negara seolah-olah membenarkan apa yang telah berlaku dalam 1MDB.

Masyarakat Malaysia yang ingin mengetahui lebih lanjut berkaitan 1MDB mencari maklumat berkenaan di internet, melayari portal Sarawak Report dan tidak peduli lagi berita-berita yang disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia, TV3 atau Bernama.

Masalah yang berlaku di 1MDB telah dan sedang disiasat di Amerika Syarikat, Singapura dan Switzerland. Siasatan ini melibatkan proses yang rumit dan berhati-hati. Agensi yang mengendalikan kes ini sudah tentu memiliki pelbagai kepakaran dan kemahiran dalam bidang forensik, akauntan dan pendakwaan.

Tidak mungkin siasatan hanya berdasarkan tuduhan atau dengar-dengar cakap sebaliknya terdapat bukti-bukti kukuh untuk mempercayai bahawa terdapat penyelewengan yang luar biasa dalam 1MDB ini.

Pemimpin-pemimpin yang terlibat dengan 1MDB dari semua peringkat tidak akan terlepas dipanggil untuk melengkapkan siasatan pihak berkuasa. Walaupun siasatan di Malaysia tidak menyatakan sesiapa pun terlibat dalam penyelewengan wang jutaan ringgit, agensi penyiasat di luar negara telah mengambil pendekatan agresif mencari bukti dan fakta salah guna kuasa serta penyelewengan yang dilakukan.

Pengaliran maklumat tidak dapat dihalang. Kerajaan juga tidak dapat menyekat mana-mana pihak untuk memberi maklum balas dan pandangan mereka tentang apa yang berlaku dalam 1MDB. Semakin banyak sekatan maklumat, pandangan masyarakat terhadap kerajaan juga akan berubah.

Menghalang pendedahan maklumat dengan pelbagai cara hanya mengundang marah dan benci orang ramai. Justeru lebih baik jika kerajaan dapat berkongsi dapatan laporan yang dibuat oleh agensi dalam negara supaya masyarakat dapat gambaran yang jelas mengenai apa yang sebenarnya berlaku dalam 1MDB.

Post a Comment