Wednesday, March 21, 2018

Media sosial medan dakwah dan tarbiah






Perkembangan Internet mempengaruhi corak hidup masyarakat global hari ini. Dalam tempoh 20 tahun selepas Internet diperkenalkan, pelbagai istilah yang muncul seperti ‘global village’, dunia tanpa sempadan, perayauan dan e-mel. Konsep media berubah sama sekali. Istilah yang muncul selepas media massa dan media elektronik adalah media sosial.

Lalu, media sosial ini secara pantas menjadi sebahagian daripada instrumen perhubungan sesama masyarakat di pelbagai peringkat sosial termasuk kanak-kanak dan warga emas.

Media sosial merupakan media yang menjadikan perhubungan atas talian (online) sebagai platform untuk membolehkan pengguna berhubung. Erti berhubung di sini adalah mengambil bahagian, berkongsi dan mencipta kandungan sama ada dalam blog, rangkaian sosial, wiki, forum, dunia virtual atau e-mel. Ia sedang berkembang seiring dengan pencapaian teknologi komunikasi, pengiklanan, pemberitaan dan keperluan masyarakat untuk mendapatkan akses kepada pelbagai perkara yang berkaitan dengan kehidupan.

Media sosial juga telah menggerakkan banyak perubahan positif dalam masyarakat. Generasi muda hari ini tidak kekok menggunakan telefon pintar atau tablet sesentuh malahan kanak-kanak dua atau tiga tahun sudah dibiasakan dengan gajet ini. Terdapat kajian yang merumuskan bahawa generasi baru era ini lebih dinamik dan berfikiran positif serta berani membuat perubahan supaya beredar daripada takuk lama.

Bentuk media sosial yang paling berpengaruh dan mendapat sambutan adalah blog, rangkaian sosial dan wiki yang digabung jalin melalui jaringan sosial seperti Facebook, Whatsapp, Instagram dan Twitter. Internet telah memperkasa media sosial melalui pelbagai cara dan strategi.

Elemen penting media sosial adalah himpunan laman sesawang, perkhidmatan dan beberapa aktivti kolaborasi perkongsian dan kebebasan penggunaan Internet.

Kajian-kajian yang dijalankan penyelidik dari seluruh dunia mendapati media sosial merupakan tempat untuk menyatakan pandangan, bertukar-tukar fikiran dan berkongsi mesej pada bila-bila masa. Pada masa yang sama media sosial turut berperanan penting kepada organisasi dan individu sehingga mencetuskan fenomena atau ‘viral’. Istilah bahasa Melayu bagi ‘viral’ adalah tular.

Media sosial memberi impak positif dan negatif dalam pelbagai dimensi bergantung kepada siapa yang menggunakannya.

Impak positif ialah memudahkan pencarian maklumat, menjimatkan masa, mengeratkan hubungan yang lama terputus dan berkongsi pelbagai isu dan berita.

Antara media sosial yang popular adalah WhatsApp yang telah menghubungkan ramai orang yang telah lama berpisah atau berjauhan. Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan hubungan masyarakat yang harmoni. Selain WhatsApp, aplikasi lain yang serupa ialah Viber, Line, KakaoTalk, Facebook Messenger, Skype, LiveProfile, Groupeme, Kik Messenger, ChatOn dan WeChat.

Blog juga berperanan membantu penyebaran maklumat yang lebih santai. Kandungan blog boleh dikemas kini dari semasa ke semasa di samping membantu pengguna laman sosial itu meningkatkan pengetahuan mereka. Biasanya setiap blog mempunyai tujuan-tujuan khusus seperti makanan, pelancongan atau aktiviti yang lebih serius seperti laporan jenayah, sosial ataupun kesihatan. Semua maklumat yang dimasukkan ke dalam blog boleh dilihat, diulas dan mendapat maklum balas dalam tempoh yang singkat.

Blog juga dapat digunakan sebagai laman menambah pendapatan. Syarikat-syarikat kecil yang baru hendak memperkenalkan produk mereka kepada pasaran boleh menggunakan blog sebagai sebahagian daripada strategi pemasaran mereka. Ada juga blog yang terkenal membuka ruang iklan pada blog mereka dengan bayaran tertentu, justeru di sinilah yang dikatakan blog menjana pendapatan.

Impak negatif adalah penyebaran mesej palsu dan khabar angin yang boleh melumpuhkan sistem pemikiran rasional masyarakat.

Impak ketara ialah terdapat kumpulan radikal atau pengganas yang cuba mempengaruhi pemikiran masyarakat dengan cara mempromosi ideologi mereka melalui media sosial. Kumpulan-kumpulan ini mencari dan merekrut ahli-ahli baru hanya dengan memberi maklumat dan manfaat menyertai pertubuhan mereka melalui media sosial biar pun lokasi sebenar kumpulan itu berada jauh beribu batu.

Antara kumpulan yang aktif mempromosi ideologi ini terlibat dalam ideologi keagamaan seperti Islamic State (IS) yang menggunakan Facebook, YouTube dan Twitter untuk menyebarkan kefahaman mereka ke seluruh dunia. Ramai generasi muda yang terpengaruh dengan ideologi ini dan sanggup mengangkat senjata untuk berperang tanpa memiliki kefahaman dan kepakaran dalam berperang. Kumpulan samseng dan jenayah terancang juga menggunakan media sosial untuk mempromosi aktiviti di samping merekrut ahli baru. Malah penyebaran bahan terlarang seperti dadah juga menggunakan media sosial untuk urusan jual beli.

Di sebalik impak baik dan buruk media sosial kepada masyarakat, kita boleh memikirkan bagaimana penggunaan media sosial yang berkesan dalam aktiviti dakwah dan tarbiah.

Laporan Tinjauan Individu dan Isi Rumah dalam Penggunaan dan Akses ICT oleh Jabatan Perangkaan Malaysia 2017 merumuskan bahawa melayari laman sosial adalah aktiviti paling polular dalam kalangan pelayar Internet di Malaysia iaitu mewakili 86.3 peratus. Aktiviti lain adalah memuat turun gambar, filem, video atau muzik, bermain atau memuat turun permainan sebanyak 81.2 peratus, mendapatkan maklumat barangan atau perkhidmatan sebanyak 80.4 peratus, memuat turun perisian atau aplikasi (74.5 peratus) dan menghantar atau menerima e-mel (70.4 peratus).

Peratusan yang tinggi ini ada hubungan dengan kadar penembusan jalur lebar iaitu 80.1 peratus bagi individu berusia 15 tahun dan ke atas. Pada tahun 2016, kadar penembusan hanya 71.1 peratus.

Peratusan akses isi rumah kepada Internet telah meningkat kepada 85.7 peratus berbanding 70.1 peratus pada tahun 2015.

Keputusan yang lebih menarik adalah penggunaan telefon pintar bagi melayari Internet meningkat kepada 97.7 peratus.

Melihat kepada kadar penembusan Internet dan aktiviti pelayar Internet di Malaysia, kita dapat merumuskan bahawa peluang untuk berdakwah dan tarbiah adalah sangat luas. Melalui media sosial ini, proses dakwah dapat dilakukan dengan lebih mudah tanpa ada halangan.

Bahan dan isi dakwah yang hendak disampaikan juga lebih cepat kerana pengguna Internet melayari Internet tanpa mengira masa dan tempat. Boleh dikatakan orang muda khususnya sentiasa menggunakan Internet untuk mendapatkan maklumat pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Justeru mereka dapat menerima semua maklumat yang dikehendaki tanpa ada batasan masa atau tempat.

Masalah besar untuk berdakwah melalui media sosial ialah keupayaan pendakwah menyediakan bahan-bahan yang dapat menarik pengguna Internet. Antara masalah yang sering dihadapi termasuk keupayaan pendakwah menyediakan kandungan laman sosial yang menepati cita rasa pembaca, reka letak laman sesawang, tahap penguasaan bahasa dan kemampuan pendakwah untuk mengemas kini maklumat di media sosial masing-masing.

Insiatif terbaik kepada pendakwah ialah bergerak secara kumpulan. Mereka dapat menggunakan kemahiran setiap ahli kumpulan untuk menguruskan media sosial dan memastikan kehadiran mereka dalam medan dakwah adalah untuk jangka masa panjang. Hal ini penting kerana proses dakwah dan tarbiah memerlukan usaha yang berterusan, pengemblengan sumber dan persaingan yang sihat supaya mesej penting dapat disampaikan kepada masyarakat.

Usaha-usaha dakwah dan tarbiah menjadi lebih mudah kerana rakyat Malaysia rata-ratanya menggunakan telefon pintar dan aplikasi Facebook untuk mencari maklumat dan pelbagai isu dan masalah. Kadar penembusan Internet yang tinggi dapat dieksploitasi sebagai sasaran dakwah yang lebih dekat kepada kelompok sasar seperti keluarga dan juga ahli-ahli dalam komuniti.

No comments:

Post a Comment