Monday, March 13, 2017

NLP dalam pengajaran dan pembelajaran








Saya telah mendengar istilah Neuro-Linguistic Programming (NLP) kira-kira 17 tahun lalu tetapi mengenali Anthony Robbins sejak 22 tahun lalu. Kursus dua hari pengajaran berimpak tinggi mengingatkan saya kembali kepada NLP, suatu kaedah pembangunan diri yang semakin mendapat sambutan orang ramai pelbagai peringkat.

Informasi berkaitan NLP sangat banyak di internet. Di Malaysia, terdapat akademi yang mengendalikan latihan khusus kepada mereka yang berminat menjadi pengamal NLP yang berkelayakan.

Neuro-Linguistic Programming adalah gabungan penggunaan saraf dan bahasa untuk mengubah kelemahan diri kepada kekuatan. Contohnya, katakan ada rakan kita yang begitu takut dan sangat gementar untuk bercakap di hadapan orang ramai, takut kepada lipas atau amat gerun melihat darah. Melalui NLP, perasaan takut atau fobia ini boleh dirawat dan dihilangkan.

Nampaknya seperti satu magik atau keajaiban. Masakan sesuatu perkara yang bertahun-tahun takut, dalam tempoh beberapa jam sahaja boleh dihilangkan?

Kursus dua hari ini didedahkan kepada tools yang terdapat dalam NLP seperti war cry. Saya dapat rasakan war cry ini berupaya menukar mood negatif kepada mood positif. Ungkapan “hari ini, saya ceria, saya confident, saya excited, Yes! Yes! Yes!” boleh membantu merangsang minda untuk menggerakkan minda bawah sedar supaya bangkit daripada keadaan monyok kepada aktif. War cry yang dibuat oleh salah seorang peserta Haji Fauzi amat meriah kerana beliau menggabungkan ekspresi muka dan suara yang benar-benar bertenaga.

Satu lagi tool adalah pernyataan terhadap tiga perkara iaitu “want, belief dan action”. Saya diminta memberi nilai satu hingga sepuluh kepada setiap perkara tersebut berdasarkan satu matlamat yang hendak dicapai.

Bagi item “want”, saya berikan sepuluh markah kerana memang saya mahu menjadi pensyarah yang berkesan. Sudah tentulah saya mahu sepuluh. Bagi item “belief” pula, saya berikan tujuh markah sahaja kerana saya tidak percaya dapat menjadi pensyarah yang berkesan berdasarkan keupayaan ilmu dan kemahiran yang saya miliki ketika ini. Saya juga akui betapa lemahnya saya dalam pengajaran dan pembelajaran, justeru perlu lebih banyak belajar. Namun bagi item “action”, saya letakkan sepuluh markah iaitu gambaran yang saya mahu bekerja lebih kuat dan bersungguh-sungguh untuk menjadi pensyarah berkesan.

Sesi lain yang memberi lebih banyak pengetahuan dan pendedahan ialah watak VAK iaitu visual, auditori dan kinestetik. Sebelum ini saya membaca ciri-ciri VAK ini tetapi dalam kusrus ini saya mendapat pendedahan praktikal bagaimana caranya mengenali orang yang berada di sekitar kita khususnya pelajar.

Cara mudah untuk mengenali ketiga-tiga ciri ini ialah dengan melihat pergerakan dan kedudukan mata semasa individu itu menceritakan pengalaman dan memberi pandangannya.

Kedudukan mata orang visual adalah melihat ke atas dan berkedudukan sebelah kiri. Semasa bercakap, kedudukan begini lebih dominan seolah-olah beliau nampak apa yang sedang digambarkannya.

Kedudukan mata orang auditori adalah separas mata dengan rakan bualnya. Sekali-sekala beliau memandang ke atas, menghiaskan ucapannya dengan ekspresi wajah yang pelbagai seperti senyum, sengih atau ketawa.

Kedudukan mata orang kinestetik adalah lebih ekstrem iaitu memandang ke bawah seolah-olah melihat kaki sendiri atau mencari-cari sesuatu di lantai. Beliau perlu fokus sesuatu di bawah supaya dapat menceritakan apa yang dimahukannya.

Saya dapati kaedah mengenali watak dan ciri individu ini lebih mudah dan cepat tanpa perlu menggunakan pelbagai alat atau borang. Sebagai pensyarah, saya boleh mengetahui ciri-ciri pelajar yang ramai hanya dalam beberapa minit.

Di samping mendengar tools baru ini, saya juga berkongsi dengan rakan-rakan kursus tentang mengenali watak dan peribadi melalui empat bentuk iaitu bulatan, segitiga, segiempat dan ombak.

Secara umum, orang yang suka bentuk bulatan adalah mereka yang yang sukakan keharmonian dan cuba mengelak konflik. Orang yang serasi dengan segitiga memiliki sasaran yang jelas namun tidak mempedulikan orang lain semata-mata hendak mencapai cita-citanya. Ciri-ciri orang yang suka dengan segiempat ialah terlalu rigid dengan peraturan, kekemasan dan ketepatan yang mana jika kita bersama orang ini beliau akan memberi banyak teguran dan nasihat untuk kelihatan lebih kemas atau lebih rajin buat kerja. Manakala orang yang memilih bentuk ombak lebih cenderung kepada kepelbagaian, fleksibel dan lebih selesa jika diajak berunding.

Kejayaan melaksanakan kaedah NLP dalam pengajaran dan pembelajaran sangat bergantung kepada kemahuan yang tinggi pensyarah. Mereka boleh mempraktikkan tools yang telah dikongsi biarpun sedikit. Malah Coach Jai dan Coach Aziz sering mengingatkan bahawa kesediaan pelajar memberi tumpuan hanyalah 30 minit, selebihnya pensyarah boleh berkongsi kaedah NLP untuk merangsang minda pelajar.


No comments:

Post a Comment