Saturday, March 18, 2017

Abdul Khair dalam kenangan







Abdul Khair bin Abdul Halim, kaunselor Sekolah Menengah Gunung Semanggol, Perak adalah rakan serumah ketika saya berada di tahun akhir pengajian di Universiti Putra Malaysia. Beliau baru sahaja meninggal dunia akibat kompilasi penyakit kencing manis di Hospital Taiping.

Abdul Khair menjadi rakan serumah saya sekitar tahun 1996 iaitu tahun akhir pengajian kami di Universiti Putra Malaysia. Rumah tersebut di Taman Seri Sedang, menghala ke Seri Kembangan. Tuan rumah berketurunan India dan sewa rumah ketika itu lebih kurang RM550 sebulan.

Terdapat tiga bilik semuanya dan Abdul Khair tinggal di bilik tengah yang lebih luas. Saya pula memilih bilik belakang untuk tidur dan berehat bersama seorang lagi rakan.

Penghuni rumah ini kebanyakannya dari Kolej Kediaman Ketujuh, Universiti Putra Malaysia. Abdul Khair bukanlah seorang yang banyak bercakap sebaliknya bercakap apabila perlu seperti selepas mengulang kaji pelajaran atau berehat selepas makan malam. 

Saya rasa ia bersesuaian dengan bidang pengajian yang diambilnya iaitu bimbingan dan kaunseling.

Sesekali kami keluar makan bersama atau memesan makanan khususnya semasa rehat tengah hari. Biasanya kami beli nasi bungkus di kedai Pakcik Senget di tepi jalan raya menghala ke Seri Serdang. Tidak pun kami makan di Restoran Sabar Menanti, bersebelahan sekolah rendah Cina.

Pengalaman bersama Abdul Khair yang saya masih iangat adalah ketika berkursus di Pulada, Kota Tinggi, Johor. Kursus ini merupakan "annual camp" kami yang pertama sebagai anggota Palapes UPM iaitu sekitar tahun 1993. 

Satu malam kami dan rakan-rakan yang lain keluar makan malam ke Ulu Tiram dengan menaiki trak askar. Pakaian juga kemas iaitu berseluar hitam, baju putih dan bertali leher. Saya dan Abdul Khair makan bersama dan sesekali berborak-borak tentang kursus tersebut. Kalau ke Ulu Tiram hari ini, saya yakin masih ingat kedai makan berkenaan.

Kami berpisah membawa haluan masing-masing selepas menamatkan pengajian pada tahun 1997.

Apabila mengetahui keadaan kesihatan Abdul Khair, saya berdoa mudah-mudahan beliau diberikan kekuatan untuk terus hidup dan kembali sihat seperti sedia kala. Namun, berita kematiannya beberapa hari lalu amat mengejutkan. Usianya masih muda. 

Semoga Allah swt menerima amal kebajikannya dan meletakkannya dalam kalangan orang-orang bertakwa. Al-fatihah.  


Post a Comment