Tuesday, March 07, 2017

Lupakan kegagalan lepas







Jangan fikir kegagalan lepas kerana ia dapat menghalang pemikiran dan tindakan kita. Meletakkan kegagalan secara berterusan dalam minda dan jiwa hanya akan menyebabkan banyak masa dan usaha tergendala. Contohnya kecewa dengan pelbagai keputusan dalam hidup yang tidak menyebelahi kita. Bertahun-tahun kita membawa "kecewa" itu sehingga bersarang dan berkarat dalam jiwa. Lama-kelamaan pemikiran kita terperangkap dalam saluran "kecewa" yang berpanjangan. 

Kenapa penting bagi kita mengambil langkah meninggalkan jauh-jauh kegagalam dalam hidup?

Pertama, makan hati. Ramai orang yang menghabiskan banyak masa memikirkan masalah sendiri dengan menimbulkan pelbagai alasan untuk diselesaikan. Persoalan kenapa dan mengapa nasib malang menimpa diri sentiasa ditanya tetapi tidak ada jawapan yang benar-benar memuaskan hati. Keadaan ini mempengaruhi aktiviti harian kita seperti rutin makan, minum, tidur dan bersosial telah berubah. Makan dan minum jadi tidak menentu, tidur dan jaga berubah-ubah, aktiviti sosial menjadi hambar dan akhirnya menyebabkan masalah kesihatan seperti tekanan jiwa, perubahan selera makan dan tingkah laku songsang.

Kedua, beban kepada orang yang berada di sekeliling. Orang yang paling terkesan adalah orang yang paling rapat dengan kita seperti ibu bapa, suami atau isteri dan anak-anak. Mereka memiliki hubungan emosi dan fizikal yang akrab serta mampu mempengaruhi sebarang bentuk perubahan hidup kita. Contohnya, andai kata kita yang berhadapan dengan masalah ini telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan pemulihan, mereka inilah yang bersusah-payah menjaga makan dan minum sepanjang berada di hospital. Mereka perlu membagi masa dan melebihkan tumpuan yang mungkin menimbulkan rasa cemburu kepada adik-beradik dan saudara-mara yang lain.

Menghadapi kegagalan hidup adalah realiti. Bertindak menjauhi kegagalan merupakan langkah ke belakang yang menambah kekusutan masalah. 

Langkah terbaik adalah berkonfrantasi dengan kegagalan dan menyediakan laluan keluar yang selesa dan selamat. Jika memilih konfrantasi, kita perlu kuat mental, fizikal dan spiritual kerana cabaran dalam konfrantasi datang dari pelbagai arah. Di sinilah kita perlukan rakan-rakan sebagai penyokong yang dapat membantu mengukuhkan mental, fizikal dan spiritual.

Kita wajar berdiri sebagai entiti diri yang mempunyai prinsip hidup supaya dapat memberi keyakinan menghadapi kegagalan hidup sebelum ini.




Post a Comment