Thursday, September 30, 2010

Buat dengan apa yang nampak di hadapan mata

Pada tahun 1871, seorang pemuda membaca serangkai kata-kata yang berbunyi, ‘Our main business is not to see what lies dimly at a distance, but to do what lies clearly at hand’ yang boleh kita terjemahkan sebagai tindakan utama yang harus kita kerjakan bukanlah melihat apa yang tidak dapat diketahui tetapi melaksanakan apa yang kelihatan dengan jelas di hadapan mata.

Pemuda ini merupakan seorang pelajar kedoktoran di Montreal General Hospital. Beliau berasa bimbang tidak lulus dalam peperiksaan dan tidak mahu menghadapi kegagalan dalam pelajarannya.

kata-kata tadi telah membantunya menajdi seorang doktor yang terkenal dan menmguruskan sekolah kedoktoran ‘Johns Hopkins School of Medicine’. Beliau dilantik menjadi Ketua Profesor Perubatan di Oxford. Ketika meninggal dunia, penerbit perlukan dua jilid buku dengan 1466 muka surat untuk menulis riwayat hidupnya.

Nama pemuda ini ialah William Osler. Kata-kata yang dibacanya ialah daripada Thomas Carlyle dan membantu Osler membentuk kehidupan yang lebih baik dan bebas daripada kesedihan dan kebimbangan.

Wednesday, September 29, 2010

Cara Carrier atasi kebimbangan diri

Kita mungkin sering terlihat atau mungkin menggunakan alat penghawa dingin berjenama Carrier. Tahukah anda siapa yang mengasaskan syarikat ini?

Pengasasnya bernama Willis H. Carrier, merupakan sarjana pertama dalam industri hawa dingin. Beliau berhadapan dengan banyak masalah sehingga sukar tidur, sentiasa risau dan bimbang. Beliau ada cara tersendiri untuk menguruskan masalahnya tanpa berasa sedih dan bimbang. Maklumlah, menjadi bos di syarikat terkenal perlu berhadapan dengan berbagai-bagai kemungkinan yang boleh berlaku bila-bila masa.

Carrier ada tiga langkah.

Pertama, menganalisis situasi dengan berani dan jujur, menjangkakan akibat paling buruk yang mungkin terjadi.

Kedua, bersetuju menerima risiko paling buruk jika perlu.

Ketiga, bersedia memberi waktu dan usaha untuk membaiki situasi paling buruk itu dengan hati yang ikhlas.

Friday, September 17, 2010

Pendapatan lumayan dengan Nuffnang

Oleh ROSMALINA ABD. KADIR
rosmalina.kadir@kosmo.com.my

Sebut sahaja Nuffnang, mustahil jenama komuniti pengiklanan blog itu tidak dikenali oleh blogger-blogger di seluruh Malaysia. Tidak hairan juga, jenama itu amat dikenali di negara-negara jiran terutama Singapura, Australia dan Filipina.


Sumbangan Nuffnang amat besar buat komuniti blogger yang menjadikan jenama itu sebagai platform untuk menjana pendapatan sampingan yang lumayan. Tidak keterlaluan jika dikatakan pendapatan yang diperoleh daripada Nuffnang adakalanya melebihi pendapatan pekerjaan tetap.

Iklan-iklan daripada Nuffnang yang merupakan komuniti pengiklanan blog pertama Asia Pasifik kini boleh dilihat di lebih 100,000 buah blog oleh lebih tiga juta orang setiap hari.

Ia membenarkan pengiklan untuk memaparkan iklan grafik dan video di blog-blog dalam pelbagai genre. Kejayaan Nuffnang kini dapat dilihat melalui pembangunan pejabatnya di empat buah negara iaitu Malaysia, Singapura, Filipina dan Australia.

Menarik tentang syarikat Nuffnang Sdn. Bhd. yang terletak di Kuala Lumpur, ia diteraju jejaka yang baru berusia 26 tahun. Timothy Tiah, sebagai pengarah urusan, turut meneraju cawangan Nuffnang bersama pengasas bersama, Cheo Ming Shen yang kini menguruskan pejabat di Singapura.

Menurut Timothy, blogger mampu menjana pendapatan lumayan berdasarkan jumlah pelawat blog. Semakin tinggi jumlah pelawat semakin tinggi pendapatan sehingga mampu mencapai puluhan ribu ringgit dalam masa sebulan.

"Kami menguruskan iklan-iklan yang akan dipaparkan dalam blog yang berdaftar tanpa mengenakan bayaran kepada blogger. Blogger hanya perlu menjalankan kerja editorial untuk iklan masing-masing bagi menjana pendapatan.

"Selain itu, kami juga menganjurkan majlis-majlis untuk blogger seperti tayangan filem, seminar, bengkel, parti dan sebagainya untuk merapatkan hubungan sesama komuniti blogger di bawah Nuffnang," katanya.

Menceritakan kewujudkan Nuffnang, Timothy memberitahu idea itu timbul di London ketika dia dan Ming Shen berbual mengenai pelan perniagaan mereka apabila pulang ke tanah air. Kedua-dua mereka adalah pelajar jurusan perniagaan dan bermula sebagai blogger.

"Kami berbincang mengenai perniagaan yang ingin kami jalankan selepas pulang ke Malaysia dan Singapura. Kemudian timbul idea untuk berkolaborasi mewujudkan Nuffnang selepas mempertimbangkan populariti blog yang semakin meningkat.

"Kami melakukan sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh orang lain dan ia mendapat sambutan yang memberangsangkan hanya selepas beberapa tahun syarikat itu ditubuhkan," katanya mengenai syarikat itu yang memulakan pejabat pertamanya di Pulau Pinang pada tahun 2006.

Katanya, pada akhir tahun pertama Nuffnang ditubuhkan iaitu pada tahun 2007 mereka berjaya mengumpulkan sebanyak 7,523 orang blogger dan ia meningkat kepada 30,708 pada tahun 2008. Tahun 2009 pula jumlahnya meningkat kepada 68,455 orang, manakala sehingga Ogos lalu jumlahnya ialah 105,464 orang blogger.

"Komuniti blogger Nuffnang meningkat dengan pantas dan ini menunjukkan blog menjadi medium pengiklanan yang mendapat sambutan hangat daripada klien pengiklan. Ia menjadi pilihan baru selain medium utama iaitu media cetak dan elektronik.

"Bagaimanapun, untuk berjaya sebagai blogger yang berpendapatan tinggi, seseorang itu mestilah bekerja keras dan mewujudkan blog atas sebab yang betul. Ini kerana sekiranya blog diwujudkan semata-mata untuk mencari keuntungan, ia tidak akan berjaya," katanya.

Menjana pendapatan

Selepas lima tahun menceburkan diri sebagai penulis blog, Mira Abu Bakar, 35, mempunyai pemerhati blog mencecah empat juta orang. Justeru, dia mampu menjana pendapatan sehingga RM100,000 setahun melalui iklan-iklan yang dipaparkan di blognya iaitu www.redmummy.com.

Mira yang mesra disapa sebagai Kak Red memberitahu, sebab utama dia mewujudkan blog tersebut bukanlah untuk mencari keuntungan kerana ia wujud sebelum Nuffnang beroperasi iaitu pada tahun 2005.

"Ketika mula-mula mendaftar dengan Nuffnang dan membuat editorial untuk iklan pertama, saya hanya memperoleh pendapatan RM90 tetapi jumlah itu meningkat sehingga RM5,000 sehingga RM10,000 sebulan kini.

"Pendapatan lumayan yang saya peroleh daripada blog menyebabkan saya menulis dengan serius dan memperuntukkan sehingga lima jam sehari untuk menguruskan blog saya. Tetapi saya juga dibantu suami yang bertindak sebagai jurugambar untuk menguruskan blog ini," katanya.

Katanya lagi, untuk berjaya melalui blog memerlukan usaha yang keras, sebagaimana dia yang sanggup duduk di hadapan komputer setiap malam bermula pukul 9 malam hingga 2 pagi semata-mata untuk memastikan blognya sentiasa update.

"Pendapatan yang saya peroleh kini tidak didapati dalam sekelip mata. Saya bermula dari bawah dan sesiapa sahaja perlu melalui jalan yang sama untuk berjaya. Jangan cuba meniru gaya blogger lain kerana ia tidak akan berjaya," katanya.

Vivy Sofinas, 23, pula mewujudkan blog sejak dua tahun lalu. Selepas mendaftar dengan Nuffnang dan mempunyai pembaca blog sehingga 7,000 orang sehari, dia memiliki iklan pertama hanya selepas empat bulan blog itu diwujudkan.

"Saya menyertai Nuffnang sejak Oktober tahun lalu dan sehingga kini saya memperoleh pendapatan mencecah RM10,000. Antara pengiklan tersebut ialah Astro, Dell, Lip Ice, Xpax dan Mamee.

"Blog saya banyak berkisar kehidupan peribadi terutama kisah mengenai opah saya yang mendapat sambutan ramai. Saya tidak sangka akan mempunyai ramai pengikut dan pembaca blog," katanya yang tidak pernah menyangka akan memperoleh pendapatan melalui blognya iaitu www.proudduck.com.

Sementara itu, Nor Izdyani Musawir, 20, turut gembira memperoleh pendapatan daripada iklan-iklan yang dipaparkan di blognya iaitu sayesayangiz.blogspot.com. Bagaimanpun, dia tidak dapat melupakan pengalaman perlu membuat rakaman video yang diminta pengiklan.

"Saya terpaksa merakam diri sendiri dan menyanyi untuk iklan Munchy's. Perasaan ketika itu sungguh malu tetapi lama-kelamaan saya sudah terbiasa dan tidak kekok lagi untuk melakukan kerja-kerja editorial bagi iklan-iklan yang saya peroleh.

"Tetapi blog ini masih baru dan mempunyai pengikut lebih 2,000 orang. Sejak ditubuhkan tahun lalu, saya memperoleh pendapatan sampingan kira-kira RM2,000," katanya yang menjalankan perniagaan selendang pada awal kewujudan blognya untuk meningkatkan trafik pembaca.

(Kosmo Online)

Thursday, September 16, 2010

Abdullah bin Ummi Maktum R.A

Siapakah laki-laki itu yang kerananya Nabi yang mulia mendapat teguran dari langit dan menyebabkan beliau sakit? Siapakah dia, yang kerana peristiwanya Jibril al-Amin harus turun membisikkan wahyu Allah ke dalam hati Nabi yang mulia? Dia tidak lain adalah Abdullah bin Ummi Maktum, muazzin Rasulullah.

Abdullah Ummi Maktum, orang Mekah suku Quraisy. Dia mempunyai ikatan keluarga dengan Rasulullah saw, yakni anak paman ummul mukminin Khadijah binti Khuwailid r.a. Bapaknya Qais bin Zaid, dan ibunya Atikah binti Abdullah. Ibunya bergelar "ummi maktum", kerana anaknya, Abdullah, lahir dalam kedaan buta.

Ketika cahaya Islam mulai memancar di Mekah, Allah melapangkan dada Abdullah bin Ummi Maktum menerima agama baru itu. Kerana itu, tidak diragukan lagi dia termasuk kelompok yang pertama-tama masuk Islam. Sebagai muslim kelompok pertama, Abdullah turut menanggung segala macam suka dan duka kaum muslimin di Mekah ketika itu. Dia turut menderita seksaan kaum Quraisy seperti yang dideritai kawan-kawannya seagama, berupa penganiayaan dan berbagai-bagai-bagai macam tindakan kekerasan lainnya. Namun, apakah kerana tindak kekerasan itu lantas Ibnu Ummi Maktum menyerah? Tidak! Dia tidak pernah mundur dan tidak lemah iman. Bahkan, dia semakin teguh berpegang pada agama Islam dan kitab Allah (al-quran). Dia semakin rajin mempelajari syariat Islam dan sering mendatangi majlis Rasulullah saw.

Begitu rajin dan rakusnya dia mendatangi majlis Rasulullah saw, menyemak dan menghafal al-quran, sehingga tiap waktu senggang selalu diisinya dan setiap kesempatan yang baik selalu direbutnya. Kerana gigihnya, dia beruntung memperoleh apa yang diinginkan dari Rasulullah saw, di samping keuntungan bagi yang lain-lain juga.

Pada masa permulaan tersebut, Rasulullah saw sering mengadakan dialog dengan pemimpin-pemimpin Quraisy, seraya mengharap semoga mereka masuk Islam. Pada suatu hari beliau bertatap muka dengan `Utbah bin Rabi'ah, Syaibah bin Rabi'ah, `Amr bin Hisyam alias Abu Jahal, Umayyah bin Khalaf dan Walid bin Mughirah, ayah Saifullah Khalid bin Walid.

Rasulullah saw berunding dan bertukar fikiran dengan mereka tentang Islam. Beliau sangat ingin mereka menerima dakwah dan menghentikan penganiayaan terhadap para sahabat beliau. Sementara, beliau berunding dengan sungguh-sungguh, tiba-tiba Abdullah bin Ummi Maktum datang mengganggu minta dibacakan kepada ayat-ayat al-quran. Kata Abdullah, "Ya Rasulullah, ajarkanlah kepadaku ayat-ayat yang telah diajarkan Allah kepada kamu!"

Rasulullah saw tidak mempedulikan permintaan Abdullah. Bahkan, beliau agak acuh terhadap gangguan berkenaan. Lalu beliau membelakangi Abdullah dan melanjutkan pembicaraan dengan para pemimpin Quraisy tersebut. Mudah-mudahan dengan Islamnya mereka, Islam bertambah kuat dan dakwah bertambah lancar. Selesai berbicara dengan mereka, Rasulullah saw ingin pulang. Tidak semena-mena, tiba-tiba penglihatan beliau menjadi gelap dan kepala beliau terasa sakit seperti kena pukul.

Kemudian, Allah mewahyukan firman-Nya kepada beliau, "Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana seorang buta datang kepadanya. Tahukah kamu, barangkali dia ingin membersihkan dirinya (dari dosa), atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberikan manfaat kepadanya? Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya. Padahal, tidak ada (celaan) atasmu kalau mereka tidak membersihkan diri (beriman). Adapun orang yang datang kepadamu dengan bergegas (untuk mendapatkan pengajaran), sedangkan dia takut kepada (Allah), maka kamu mengabaikannya. Sekali-kali jangan (begitu)! Sesungguhnya ajaran itu suatu peringatan. Maka siapa yang menghendaki, tentulah dia memperbaikinya. (Ajaran-ajaran itu) terdapat di dalam kitab-kitab yang dimuliakan, yang ditinggikan lagi disucikan, di tangan para utusan yang mulia lagi (senantiasa) berbakti." (Abasa: 1-6).

Enam belas ayat itulah yang disampaikan Jibril al-Amin ke dalam hati Rasulullah saw sehubungan dengan peristiwa Abdullah bin Ummi Maktum, yang senantiasa dibaca sejak diturunkan sampai sekarang dan akan terus dibaca sampai hari kiamat.

Sejak hari itu Rasulullah saw tidak lupa memberikan tempat yang mulia bagi Abdullah apabila dia datang. Beliau menyilakan duduk di tempat duduknya, beliau tanyakan keadaannya dan beliau penuhi keperluannya. Tidaklah hairan kalau beliau memuliakan Abdullah sedemikian rupa, bukankah teguran dari langit itu sangat keras!

Tatkala tekanan dan penganiayaan kaum Quraisy terhadap kaum muslimin semakin berat dan menjadi-jadi, Allah swt mengizinkan kaum muslimin dan Rasul-Nya hijrah. Abdullah bin Ummi Maktum bergegas meninggalkan tumpah darahnya untuk menyelamatkan agamanya. Dia bersama-sama Mush'ab bin Umair, sahabat-sahabat Rasul SAW yang pertama-tama tiba di Madinah. Setibanya di Yatsrib (Madinah), Abdullah dan Mush'ab segera berdakwah, membacakan ayat-ayat al-quran dan mengajarkan pengajaran Islam.

Setelah Rasulullah saw tiba di Madinah, beliau mengangkat Abdullah bin Ummu Maktum serta Bilal bin Rabah menjadi muadzdzin Rasulullah. Mereka berdua bertugas meneriakkan kalimah tauhid (azan) lima kali sehari semalam, mengajak orang banyak beramal saleh dan mendorong masyarakat merebut kemenangan. Apabila Bilal azan, Abdullah Qamat; Abdullah azan, Bilal qamat.

Dalam bulan Ramadhan tugas mereka bertambah. Bilal azan tengah malam membangunkan kaum muslimin untuk makan sahur dan Abdullah azan ketika fajar menyingsing, memberi tahu kaum muslimin waktu imsak sudah masuk, agar menghentikan makan dan minum dan segala yang membatalkan puasa.

Bagi memuliakan Abdullah bin Ummi Maktum, beberapa kali Rasulullah saw mengangkatnya menjadi wali kota Madinah menggantikan beliau apabila meninggalkan kota. Tujuh belas kali jabatan tersebut dipercayakan beliau kepada Abdullah. Salah satu di antaranya ketika meninggalkan kota Madinah untuk membebaskan kota Mekah dari kekuasaan kaum musyrikin Quraisy.

Setelah perang Badar, Allah menurunkan ayat-ayat al-quran, mengangkat derajat kaum muslimin yang pergi berperang fi sabilillah. Allah melebihkan derajat mereka yang pergi berperang atas orang-orang yang tidak pergi berperang, dan mencela orang yang tidak pergi kerana ingin bersantai-santai. Ayat-ayat tersebut sangat berkesan di hati Abdullah Ummi Maktum. Namun, baginya sukar mendapatkan kemuliaan tersebut kerana dia buta. Lalu dia berkata kepada Rasulullah, "Ya Rasulullah! Seandainya saya tidak buta, tentu saya pergi perang." Kemudian, dia memohon kepada Allah dengan hati yang penuh tunduk semoga Allah menurunkan ayat-ayat yang menerangkan tentang orang-orang yang cacat (uzur) seperti dia, tetapi hati mereka ingin sekali hendak berperang. Dia sentiasa berdoa dengan segala kerendahan hati. Dia berkata, "Wahai Allah! Turunkanlah wahyu mengenai orang-orang yang uzur seperti aku!" Tidak berapa lama, kemudian Allah swt memperkenankan doanya.

Zaid bin Tsabit, pembantu Rasulullah saw yang bertugas menuliskan wahyu, menceritakan, "Aku duduk di samping Rasulullah saw, tiba-tiba beliau diam, sedangkan paha beliau terletak di atas pahaku. Aku belum pernah merasakan beban yang paling berat melebihi berat paha Rasulullah ketika itu. Sesudah beban berat yang menekan pahaku hilang, beliau bersabda, "Tulis, hai Zaid!" Lalu aku menuliskan, "Tidak sama orang-orang mukmin yang duduk (tidak turut berperang) dengan pejuang-pejuang yang berjihad fi sabilillah." (An-Nisa': 95).

Ibnu Ummi Maktum berdiri seraya berkata, "Ya Rasulullah, bagaimana dengan orang-orang yang tidak sanggup pergi berjihad (berperang) kerana cacat?" Selesai pertanyaan Abdullah, Rasulullah saw terdiam dan paha beliau menekan pahaku, seolah-olah aku menanggung beban berat seperti tadi. Setelah beban berat itu hilang, Rasulullah saw berkata, "Cuba, baca kembali yang telah engkau tulis!" Aku membaca, "Tidak sama orang-orang mukmin yang duduk (tidak turut berperang)" Lalu kata beliau, "Tulis!" "Kecuali bagi orang-orang yang tidak mampu."

Maka, turunlah pengecualian yang ditunggu-tunggu Ibnu Ummi Maktum. Meskipun Allah swt telah memaafkan Ibnu Ummi Maktum dan orang-orang yang uzur seperti dia untuk tidak berjihad, dia enggan bersantai-santai beserta orang-orang yang tidak turut berperang. Dia tetap membulatkan tekad untuk turut berperang fi sabiilillah. Tekad itu timbul dalam dirinya, kerana jiwa yang besar tidak dapat dikatakan besar, kecuali bila orang itu memikul pula pekerjaan yang besar. Maka, kerana itu dia sangat berhajat untuk turut berperang dan menetapkan tugasnya sendiri untuk berperang dan menetapkan sendiri tugasnya di medan perang.

Katanya, "Tempatkan saya antara dua barisan sebagai pembawa bendera. Saya akan memegangnya erat-erat untuk kalian. Saya buta, kerana itu saya pasti tidak akan lari."

Tahun ke empat belas hijrah, khalifah Umar bin Khatthab memutuskan akan memasuki Parsi dengan perang untuk menggulingkan pemerintah yang zalim dan menggantinya dengan pemerintahan Islam yang demokratik dan bertauhid. Umar memerintahkan kepada setiap gabenor dan pembesar dalam pemerintahannya. "Jangan ada seorang jua pun yang ketinggalan dari orang-orang yang bersenjata, atau orang yang mempunyai kuda, atau yang berani atau yang berfikiran tajam, melainkan hadapkan semuanya kepada saya sesegera mungkin!"

Maka, berkumpullah kaum muslimin di Madinah dari segala penjuru, memenuhi panggilan khalifah Umar bin Khatthab. Di antara mereka terdapat seorang prajurit buta, yaitu Abdullah bin Ummi Maktum. Khalifah Umar mengangkat Sa'ad bin Abu Waqqash menjadi panglima pasukan yang besar itu. Kemudian, khalifah memberikan instruksi-instruksi dan pengarahan kepada Sa'ad.

Setelah pasukan besar itu sampai di Qadisiyyah, Abdullah bin Ummi Maktum memakai baju besi dan perlengkapan yang sempurna. Dia tampil sebagai pembawa bendera kaum muslimin dan berjanji akan senantiasa mengibarkannya atau mati di samping bendera itu.

Pada hari ketiga perang itu, perang berkecamuk dengan hebat, yang belum pernah disaksikan sebelumnya. Kaum muslimin berhasil memenangkan perang tersebut dengan kemenangan paling besar yang belum pernah direbutnya. Maka, pindahlah kekuasaan kerajaan Parsi yang besar ke tangan kaum muslimin, dan runtuhlah mahligai yang termegah. Berkibarlah bendera tauhid di bumi penyembah berhala itu.

Kemenangan yang meyakinkan itu dibayar dengan darah dan jiwa dan ratusan para syuhada. Di antara mereka yang syahid itu terdapat Abdullah bin Ummi Maktum yang buta. Dia ditemukan terkapar di medan tempur berlumuran darah syahidnya.

Sumber: sunatullah.com

Tuesday, September 07, 2010

Hak istimewa Melayu tak boleh dipadamkan kecuali Melayu setuju

Rakyat Malaysia dari mana-mana kaum yang mempersoal atau mempertikaikan Perkara 153 dalam Perlembagaan negara yang mengiktiraf kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera adalah buta sejarah dan tidak memahami Perlembagaan, kata pakar sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Beliau berkata kedudukan orang Melayu sudah ditetapkan pada zaman dahulu iaitu ketika zaman penjajahan British lagi. "Bila British sampai ke Tanah Melayu, mereka dapati terdapat beberapa tempat di Semenanjung sudah mempunyai kerajaan dan mereka mengiktiraf kerajaan berkenaan. "Kerajaan itu ada ramai rakyat (orang Melayu) dan bagi British, rakyat kepada raja itu mempunyai hak yang khusus, orang lain yang datang dan menetap di Tanah Melayu bukan rakyat raja, oleh demikian mereka tidak dapat menikmati hak yang ada pada orang Melayu," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata orang bukan Melayu di Semenanjung pada ketika itu bukanlah warga negara ataupun rakyat raja dan mereka hanya berpeluang untuk memohon kewarganegaraan apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 1 Februari 1948.

"Apabila British mula merancang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah negara bangsa, apa yang sudah wujud disambung, menjelang 1957, Perlembagaan Persekutuan digubal dan dimasukkan perkara-perkara yang sudah wujud," katanya.

Justeru, Khoo berkata, rakyat khususnya kaum-kaum lain perlu sama-sama menghormati hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan kerana pada ketika ia digubal dahulu, kaum lain sendiri sudah bersetuju dengan perkara-perkara yang dimasukkan dalam Perlembagaan berkenaan.


"Kedudukan istimewa orang Melayu telah bermula sejak dahulu dan berasaskan sistem kerajaan yang wujud di Semenanjung Tanah Melayu. Di Semenanjung, sejak 1895 sudah ada sembilan kerajaan yang kekal sampai ke hari ini," katanya.

Perlembagaan telah dirangka berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid yang telah melakukan kajian pada 1956, Perlembagaan itu kemudian berkuatkuasa apabila negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Perkara 153 Perlembagaan Malaysia memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong, bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Borneo (Sabah dan Sarawak) serta kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini.

Ia juga secara terperinci menjelaskan bagaimana Kerajaan Persekutuan mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera dengan menetapkan kuota untuk kemasukan perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, pemberian permit dan lesen perniagaan.

Khoo berkata punca mengapa kebelakangan kini terdapat pihak-pihak yang mempersoalkan mengenai hak-hak dan keistimewaan yang dinikmati oleh orang Melayu adalah kerana masyarakat pada masa kini sudah buta sejarah.

"Orang tak faham (Perlembagaan)...jahil, mereka tidak tahu apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan, tidak perlu ada perbincangan atau perbahasan mengenai Perlembagaan kerana apa yang penting ikut saja undang-undang yang telah diguna pakai sejak dulu," katanya.

Beliau berkata sekiranya Perlembagaan mahu dipinda, persetujuan daripada dua pertiga Anggota Parlimen perlu dicapai dan mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, sesiapa yang mahu menghapuskan atau meminda Perkara 153 pula, perlu mendapatkan persetujuan orang Melayu dan Bumiputera terlebih dahulu selain majoriti di Parlimen dan perkenan Seri Paduka Baginda.

"Kalau Perkara 153 perlu dipinda atau dihapuskan, keseluruhan orang Melayu mesti setuju, kalau orang Melayu rasa belum sedia untuk pinda, maka ia tidak boleh dipinda," katanya.

Bulan lalu, MCA menggariskan 13 resolusi pada Kongres Ekonomi Cina antaranya meminta kerajaan mementingkan keupayaan merit dan bukannya kuota bagi memberi peluang kepada semua pihak untuk bersaing secara sihat dan adil.

Kenyataan ini secara tidak langsung menggesa kerajaan agar memansuhkan Perkara 153 dan cuba mempertikaikan tanggungjawab yang ada pada ketua negara iaitu Yang di-Pertuan Agong yang memelihara hak dan keistimewaan orang Melayu.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria semasa menjadi panel wacana Perpaduan Ummah Dalam Kesedaran Penghakisan Hak Orang Melayu di Ipoh, bulan lalu pula mendedahkan bahawa ada perlembagaan baru dibuat oleh pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan yang akan menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang.

Terbaru, pada Selasa lalu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menulis dalam portal berita The Malaysian Insider bahawa idea ''hak orang Melayu'' yang dibawa oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) hanya satu gagasan ideologi dan falsafah yang tidak berakarumbikan Perlembagaan.

Nurul Izzah berkata, adalah penting untuk ditekankan bahawa Suruhanjaya Reid, yang merangka Perlembagaan, melihat Perkara 153 sebagai pendekatan sementara dan tertakluk kepada kajian semula selepas 15 tahun oleh Parlimen.

Berang dengan kenyataan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, penganalisis politik, Prof Datuk Dr Zainal Kling berkata Nurul Izzah perlu meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen kerana membuat tafsiran yang salah tentang hak-hak Melayu serta menyeleweng dan menipu rakyat.

"Dia jahil dan sedang keliru. Dia tidak tahu bahawa Laporan Reid hanyalah syor-syor yang dipinda oleh kertas putih yang diterbitkan di London tentang Perlembagaan Tanah Melayu," katanya.

Zainal turut mendesak kerajaan agar meneliti kenyataan Nurul Izzah itu kerana orang yang mempersoalkan hak-hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan telah melanggar undang-undang dan Akta Hasutan 1948.

"Kerajaan mesti teliti ucapan-ucapan seperti ini sama ada ia boleh disabitkan dengan Akta Hasutan, jika ya, maka pihak itu boleh didakwa," katanya.

Zainal, pensyarah di Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), tidak menafikan bahawa wujudnya gerakan yang dilakukan oleh orang bukan Melayu untuk menghapuskan hak Melayu dan orang Melayu itu sendiri.

"Ia seperti ideologi asing yang dicetuskan di Singapura pada sekitar 1963-1964 yang ingin memecahkan Malaysia, seluruh rakyat harus menentang gerakan ini kerana ia akan menyebabkan pergolakan rakyat," katanya.

Beliau berkata kaum lain telah diintegrasikan sebagai warga negara melalui undang-undang, maka semua yang menjadi warga negara atau rakyat mesti patuh pada undang-undang dalam Perlembagaan, jika tidak perasaan taat setia dan cinta kepada negara mereka boleh dipersoalkan.

"Mereka jadi rakyat kerana Perlembagaan benarkan, jadi mereka mesti hormat sepenuhnya kepada Perlembagaan, dan menjadi tanggungjawab mereka untuk menjunjung tinggi Perlembagaan negara. Kalau tak kita boleh persoalkan kerakyatan dan taat setia mereka," katanya.

Zainal berkata Perkara 153 amat penting bagi melindungi dan membantu orang Melayu dan Bumiputera khususnya yang berada di luar bandar dan pedalaman.

"Orang kampung, Orang Asli dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak yang duduk di luar bandar dan pedalaman mesti dibantu, kerajaan wajib laksanakan Perkara 153 demi kesejahteraan rakyat dan membela golongan yang tidak dapat menikmati kemudahan yang canggih seperti di bandar," katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata semua kaum di Malaysia perlu menghormati perkara yang termaktub dalam Perlembagaan kerana jika ia tidak dipelihara maka akan berlaku perpecahan dan ketidakstabilan di negara ini.

Beliau berkata ketika Tanah Melayu menuntut kemerdekaan lagi sudah wujud suasana tidak puas hati mengenai Perlembagaan tetapi ia hanyalah daripada golongan minoriti.

"Sekarang golongan minoriti ini sudah dapat akses ke dalam blog-blog dan media, dulu tidak ada, sekarang sudah ada kebebasan bersuara dan kita nampak seolah-olah ramai yang menentang, sebenarnya tidak," katanya.

Ahmad Atory berkata kaum lain tidak patut mempersoalkan mengenai kuota yang dinikmati oleh orang Melayu dan Bumiputera kerana dengan adanya kuota tersebut orang Melayu akan boleh bersaing dengan kaum lain yang lebih maju.

"Melayu ketinggalan, jika tiada kuota kaum lain akan bolot semua dan tiada yang tinggal. Kalau (benar dakwaan kononnya) kita nafikan hak kaum lain maka tiada orang Cina yang jadi bilionaire," katanya.

Ahmad Atory berkata kerajaan selaku pelaksana hak dan keistimewaan orang Melayu perlu ada mekanisme tertentu untuk mengurus pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan.

"Kerajaan perlu ada program kenegaraan, mata pelajaran Sejarah amat penting untuk generasi masa depan mengenal sejarah kemerdekaan negara, kerajaan juga perlu ada hujah dan fakta untuk menerangkan kepada golongan-golongan ini mengenai sejarah negara," katanya.

Beliau berkata pemimpin-pemimpin terdahulu yang merangka Perlembagaan telah "terlajak sejarah" iaitu mereka tidak menjangka sama sekali bahawa fasal-fasal yang termaktub dalam Perlembagaan ditentang hebat oleh kaum bukan Melayu pada zaman sekarang.

"Kalau mereka jangka mungkin ada beberapa perkara yang boleh dibetulkan, tetapi kita tidak boleh nak kata apa, sudah terlajak sejarah, bapa-bapa kemerdekaan sudah buat benda ini (Perlembagaan)," katanya.

Beliau berkata fenomena "terlajak sejarah" itu kini terpaksa dipikul oleh generasi sekarang di mana tanggungjawab yang ada adalah lebih berat daripada tokoh-tokoh terdahulu selaras dengan peredaran zaman.

(BERNAMA, 6 September 2010)

Monday, September 06, 2010

Jiwa Chetti Melaka

oleh Azrul Affandi Sobry
2010/07/11
Berita Harian

Ketika diminta menyelami kehidupan masyarakat Chetti Melaka, hanya satu bermain di fikiran - apakah mereka berkait rapat keturunan pemberi hutang yang dikenali imej berkain putih diselit di pinggang sambil mengepit payung hitam di bawah ketiak.

Nyata, sangkaan itu meleset sama sekali kerana Chetti Melaka tidak pernah terbabit sebagai pemberi hutang, malah mempunyai ciri-ciri yang sama sekali berlawanan kelompok ‘chettiar’ pemberi hutang yang berasal dari daerah berbeza.

Masalah mungkin timbul kerana nama masyarakat itu seakan menyamai kumpulan chettiar berkenaan. Bagaimanapun, selepas merujuk pelbagai dokumen, termasuk geran kuil yang dikeluarkan penjajah Belanda, masyarakat itu diberi nama Chitty tetapi ia seakan-akan tidak popular dan enggan digunakan kebanyakan mereka atas beberapa sebab yang hanya mereka sendiri ketahui.

Bagi masyarakat itu yang kini kebanyakannya menetap di Kampung Chetti, Melaka, etnik minoriti itu lebih tepat dikenali Chetti, malah ia turut digunakan secara rasmi bagi menamakan muzium mereka (Muzium Chetti) yang terletak di pintu masuk perkampungan itu.

Alasan mereka, penggunaan perkataan Chitty dilihat kurang sesuai lantaran ia sebenarnya hanya mewakili satu kluster daripada 10 kumpulan lain yang terbabit secara langsung dengan kewujudan masyarakat itu di Melaka sejak beratus tahun lamanya akibat hubungan perdagangan kawasan di Benua Hindi dengan beberapa negeri di Nusantara.

Sekali imbas, tiada apa yang menarik mengenai masyarakat ini. Tetapi kesempatan menyelami cara hidup mereka mendedahkan banyak keunikan terutama membabitkan budaya, bahasa, sejarah serta sumbangan mereka. Paling unik, bahasa mereka kerana meskipun Chetti Melaka beragama Hindu dan dikatakan lebih kuat amalan agamanya, namun mereka hanya fasih berbahasa Melayu termasuk ketika bertutur dengan keluarga di rumah. Mereka juga tidak pandai berbahasa Tamil kecuali generasi baru.

Melihatkan cara hidup mereka, tiada banyak beza dengan orang Melayu. Berkain batik di rumah, menu masakan saling tidak tumpah rasanya dengan menu orang Melayu, bermain congkak dan gasing, malah gemar menonton filem Melayu dengan hanya sebilangan kecil suka menonton filem Tamil atau Hindi.

Terkejut juga ketika melintasi rumah di Kampung Chetti apabila terdengar sepasang suami isteri sedang leka berkaraoke menyanyikan Dondang Sayang dan lagu joget, malah lebih mengujakan apabila mereka berjoget seakan-akan menghayati irama dan seni kata lagu yang diputarkan.

Ketika menjenguk di rumah sebelah, ada dua tiga orang remaja dan kanak-kanak sedang leka bermain gasing, manakala beberapa gadis menumpukan perhatian terhadap guli dalam permainan congkak, sekali gus membuatkan penulis berasakan seperti berada dalam perkampungan Melayu.

Tidak timbul rasa janggal bergaul dengan mereka. Faktor budaya Melayu yang mereka amalkan menenggelamkan rasa kurang selesa dan perbezaan antara dua bangsa. Jauh sekali untuk berbicara soal perkauman kerana di situ, India, Cina dan Melayu hidup seperti satu bangsa.

Secalit rasa makanan mereka, selera Melayu sebegitu terasa. Tidak lengkap menu harian tanpa sambal belacan sebagai pembuka selera. Lauk pauknya juga tidak sama masakan India. Paling enak tentulah lauk masak pindang dan tidak lupa sejenis masakan campuran sayur yang dikenali sebagai ‘haram jadah’.

Dalam konteks berbeza, Chetti Melaka dikenali sebagai masyarakat Hindu Peranakan Melaka hasil perkahwinan campur antara orang India dengan penduduk tempatan, sama ada Melayu dan Cina. Difahamkan, ia turut membabitkan beberapa masyarakat minoriti lain seperti Jawa dan Batak.

Dari segi amalan kehidupan, masyarakat ini boleh disamakan masyarakat Baba Melaka, lantaran terlalu kuat mengamalkan budaya tempatan dan hanya menggunakan istilah bahasa Tamil untuk kegunaan khusus membabitkan soal agama.

Jika Chettiar memang terkenal sebagai pemberi hutang dan berniaga, Chetti Melaka pula lebih terdedah kepada pelbagai pekerjaan, termasuk makan gaji dan hanya sebilangan kecil menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

Perkahwinan campur dengan orang tempatan juga mengubah wajah masyarakat ini, sekali gus kelihatan sangat berbeza dengan orang India, khususnya generasi baru yang ada berkulit putih gebu, sawo matang dan hitam manis. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan ramai juga dalam kalangan gadis mereka mempunyai rupa paras menarik.

Asimilasi dengan masyarakat tempatan menyebabkan bilangan etnik ini kian berkurangan. Di Kampung Chetti yang menjadi satu lokasi penempatan mereka, hanya ada kurang 25 rumah daripada 50 kediaman itu yang didiami keluarga berketurunan itu manakala bakinya disewa orang Cina. Jika mahu dihitung, populasi masyarakat itu dikatakan sekitar 500 orang di seluruh Malaysia. Ini dikaitkan dengan pencapaian akademik mereka dalam pendidikan dalam kalangan generasi mudanya juga menyumbang kepada kemerosotan jumlah populasi masyarakat Chetti Melaka apabila mereka berhijrah ke bandar sama ada untuk menyambung pengajian atau berkahwin dengan kaum lain.

Menyentuh mengenai sumbangan ke atas perkembangan agama Hindu di Melaka, Chetti Melaka adalah penyumbang utama pembukaan puluhan kuil di Bandaraya Bersejarah itu. Sehingga kini masih ada 10 kuil yang aktif digunakan termasuk Sri Poyatha Venayager Moorthi, kuil besar tertua yang masih digunakan di negara ini.

Pada awal kedatangan mereka ke Melaka, masyarakat ini membina perkampungan di Kampung Keling, bersebelahan Sungai Melaka yang kini menjadi kawasan perniagaan utama masyarakat Cina, sebelum berhijrah ke Tengkera.

Walaupun mengikut catatan sejarah nenek moyang mereka berasal dari benua Klingga Partanam yang terletak di Pantai Koromadel, apabila ditanya, tidak seorangpun yang tahu lokasi keturunan mereka boleh ditemui di India dan kebanyakannya mengatakan tiada hubungan lagi dengan negara asal mereka itu.

Masyarakat ini mengamalkan ajaran Siva Hindu yang agak ortodoks. Seperti kaum Baba Nyonya, ia tidak jauh berbeza kerana wanitanya memakai kebaya labuh atau pendek dengan kerongsang dan bersanggul, manakala lelakinya berkain pelikat, berbaju cekak musang, sehelai selempang di bahu kiri dan memakai talpa (sapu tangan).

Bagaimanapun, cara berpakaian ini sudah semakin sukar dilihat kecuali dalam kalangan warga tua, itupun bukan menjadi pakaian harian, mungkin pengaruh dunia moden yang bukan sekadar merubah cara hidup masyarakat Chetti Melaka, malah membabitkan pelbagai kaum dan bangsa di dunia ini.

Jika sesiapa ke Gajah Berang, Melaka, pasti berkesempatan melihat sebuah muzium Chetti Melaka di tepi jalan yang dibina pada 2003 oleh kerajaan Melaka, selain sebuah rumah asal tertua di perkampungan itu yang bersetentangan muzium berkenaan.

'Panggil Chetti, bukan Chitty'

'KAIN batik kepala dua,
akai mari si Nyonya Melaka,
Sanggul cantik berisi bunga,
Pakai mari perempuan Chitty Melaka.'

Ini antara bait pantun yang dilontarkan secara spontan oleh seorang wanita tua masyarakat itu, sekali gus membuktikan Chetti Melaka juga pandai berpantun seperti orang Melayu lainnya.

amun, persoalannya Chetti atau Chitty? Ia bukan menunjukkan dua masyarakat berbeza tetapi wujud dua pendapat berbeza mengenai nama satu masyarakat peranakan di negara ini yang hanya ada di Melaka dengan majoritinya lebih selesa menggunakan Chetti, namun ada pula fakta sejarah merujuk mereka sebagai Chitty.

hli jawatankuasa masyarakat itu ketika ditemui lebih cenderung menggunakan nama Chetti Melaka lantaran ia dikatakan lebih adil dan tepat untuk mewakili 10 kasta asal mereka yang berhijrah dari India, meskipun mereka sedar nama Chitty sudah termaktub dalam kebanyakan dokumen sejarah termasuk geran tanah kuil yang dikeluarkan Belanda sejak 1770.

Pemegang Amanah kedua Chetti Melaka, K Arunasalam, 51, berkata kurang sesuai untuk merujuk masyarakat mereka sebagai Chitty kerana nama itu sebenarnya mewakili satu kasta dalam masyarakat itu iaitu kasta Chitty, satu kumpulan peniaga yang berhijrah ke Melaka satu ketika dulu.

“Memang Chitty dianggap sebagai ketua kepada sembilan kasta lain tetapi tidak adil menggunakan nama mereka untuk mewakili kami. Justeru, nama Chetti lebih sesuai. Ia sama sekali tidak sama dengan Chettiar (golongan pemberi hutang).

“Meskipun diakui penggunaan nama Chetti menyebabkan berlaku kekeliruan kerana sama dengan Chettiar, ia sebenarnya lebih tepat untuk digunakan dalam masyarakat ini,” katanya.

Merujuk sejarah kewujudan masyarakat itu di Melaka, kasta Chitty mengetuai sembilan kasta lain iaitu Pillay, Pathair, Mudaliar, Padiachee, Konar, Rajah, Pandaram, Naikel dan Kallan untuk menggerakkan ekonomi masyarakat itu di Tanah Melayu dengan beberapa kasta berkenaan turut terbabit sebagai tukang emas, pengawal keselamatan dan pengembala.

Mungkin disebabkan kasta Chitty dilihat lebih dominan dalam kelompok mereka menyebabkan Belanda mengeluarkan geran atas nama kumpulan itu, namun kini ia tidak lagi digunakan secara rasmi termasuk dalam urusan persatuan, pembinaan muzium dan turut tidak lagi popular di kalangan generasi baru di Kampung Chetti, Gajah Berang.

Realitinya, kata tokoh sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, nama Chetti Melaka tidak pernah wujud dalam sejarah kerana semua dokumen bertulis termasuk penulisan hasil kajian oleh K Narayanasamy mengenai masyarakat itu pada 1967 juga menggunakan nama Chitty Melaka.

“Ia jelas tertera dalam semua geran dan dokumen rasmi Belanda serta Inggeris. Dalam fakta sejarah, nama Chitty Melaka dianggap sebagai nama rasmi masyarakat mereka. Saya sendiri kurang faham mengapa mereka menukar nama mereka kepada Chetti Melaka, sedangkan ia menimbulkan keraguan ramai orang yang tidak mengenali mereka.

“Ramai orang luar akan mengaitkan mereka dengan Chettiar sebagai kumpulan pemberi hutang kerana penggunaan nama Chetti. Justeru, bagi saya, sewajarnya mereka kekal menggunakan nama asal iaitu Chitty,” katanya.

Meskipun wujud perbezaan pendapat mengenai penggunaan itu, masyarakat seluruh negara sudah mengenali mereka dengan nama Chetti Melaka dan seakan-akan sudah diwartakan sebagai nama rasmi di Melaka apabila digunakan secara rasmi bagi semua urusan membabitkan masyarakat itu di Melaka.

Justeru, penulisan artikel mengenai kaum ini akan menggunakan nama Chetti Melaka atas permintaan persatuan masyarakat itu sendiri.

Sunday, September 05, 2010

Misteri: Rahsia waris Pagar Ruyung

oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my
2010/05/16

Selain daya tarikan kota bersejarah Fort Supai, Kuala Linggi, Melaka juga mempunyai keistimewaan lain yang menarik, khususnya berkaitan sejarah awal kerajaan Melayu Melaka.

Kawasan itu mempunyai banyak perkuburan di kawasan bukit yang ditanda dengan batu nisan lama membuktikan Kuala Linggi pernah menjadi perkampungan awal di Melaka serta mempunyai pusat pentadbiran sendiri.

Kedudukannya di muara sungai yang memisahkan Melaka dan Negeri Sembilan diakui antara laluan utama kapal dagang di zaman silam. Ringkasnya, tempat ini mendapat namanya sempena sebatang sungai yang menjadi sempadan Negeri Sembilan dan Melaka.

Sungai Linggi bercabang dua, satu daripadanya mengalir ke Rembau, manakala satu lagi cabang berhulu di daerah Seremban. Hulu cabang inilah yang dinamakan Sungai Ujung iaitu nama lama bagi Seremban.

Raja Melewar yang datang dari Pagar Ruyung untuk dirajakan di Negeri Sembilan juga mudik ke hulu melalui Sungai Linggi. Sungai peninggalan sejarah laluan Raja Melewar itu bermula di Kuala Linggi menuju ke Port Dickson dan berakhir di Seri Menanti.

Namun, tidak ramai yang arif mengenai laluan sepanjang kira-kira 200 kilometer itu serta tempat yang pernah dilalui Raja Melewar dan sejarah yang tersimpan di sebaliknya. Sememangnya Kuala Linggi pernah menjadi persinggahan dan pemerintahan ramai pemimpin besar Melayu.

Antara buktinya, di situ masih wujud waris kerajaan Melayu Pagar Ruyung yang hidup berdiam diri di situ tanpa sebab yang diketahui umum. Di tanah perkuburan yang digelar ‘Pusara Aman’ ada kubur lama ditanda ‘Makam Sultan Syed Abdul Rahman - Takhta Kerajaan Pagar Ruyung 1875’.

Makam itu dijaga elok, dipagar dan mempunyai pondok kecil dicat warna kuning sebagai tanda kebesaran diraja. Di pagar itu juga ada dua lambang yang mempunyai logo bulan, bintang serat dua keris bersilang.

Beberapa rumah di situ juga dilihat mempunyai pintu gerbang kuning dengan lambang sama dan ada yang mendakwa mereka keturunan Pagar Ruyung.

Penduduk merangkap penjaga amanah tanah wakaf di situ, Md Amin Ahmad, 69, berkata di sebelah kubur itu ada sebuah kubur lain dipercayai kubu pahlawan atau orang kanan Sultan Syed Abdul Rahman.

“Kuala Linggi adalah bandar pelabuhan lama, di sini wujud perkampungan Melayu, di sini juga Islam berkembang. Kerabat diraja Pagar Ruyung dan keturunannya masih ada di sini, cuma mereka berkahwin dengan orang kebiasaan dan membuang terus gelaran istana.

“Alat kebesaran, cop mohor masih disimpan baik dan sebab itulah kami sangat berharap tempat ini dijaga, dihidupkan semula sebagai tapak warisan,” katanya.

Mengikut cerita lisan, di perkampungan itulah tempat Hang Tuah bersaudara berguru, belajar silat dan menghabiskan usia remaja mereka, cuma tapak gelanggang permainan mereka sudah dijadikan tapak perumahan.

Di Bukit Supai bersebelahan Fort Supai, wujud kira-kira 100 kubur lama termasuk kubur pengasas surau Madrasah Alam Noor, Tuan Guru Matqari (Yunus Abu). Sebahagian besar kubur itu mempunyai batu nisan menggunakan batu lama dipercayai berusia ratusan tahun.

Namun, kedudukan arah batu nisan itu kurang jelas dan berterabur, ada antaranya yang tumbang dan berselerakan.

Ketua Kampung Kuala Linggi, Muhamad Musa, 49, mengakui kawasan itu perlu dinaiktaraf dan diberi imej baru sebagai kawasan sejarah.

“Hidupkan semula kawasan ini, jangan biarkan sejarah ditelan zaman. Di muara itulah pernah menjadi tempat dan laluan sejarah kesultanan Melayu Melaka sebelum mereka berpindah. Bahkan, kapal tentera Jepun juga terbenam di muara itu,” katanya.

Pokok bakau yang tumbuh di sepanjang tebing Sungai Linggi juga cukup unik kerana tumbuh sekata dan sama tinggi.

Mengikut cerita lama, kapal perang besar pernah melalui sungai Linggi dan adang layar agung (layar paling besar) serta layar bubutan yang digunakan untuk membelok sangat besar dan panjang hingga terkena pokok bakau di tebing sungai.

Pucuk dan dahan bakau terpaksa dicantas hingga adang layar melepasinya. Ada yang mengatakan kelasi memotong dengan pedang, ada yang mendakwa pokok itu patah terkena kayu layar.

Apa pun cerita lisannya, kedudukan pokok bakau di situ memang menarik kerana tidak pernah tumbuh lebih tinggi dari dahan yang dicantas sehingga sekarang. Ada juga yang bercerita, pokok itu terkena sumpahan Puteri Gunung Ledang.

Wednesday, September 01, 2010

Anti-Malaysia, apa yang kita boleh fikirkan?

“Kita boleh protes tetapi kita tidak patut buat apa yang mereka buat, kita tidak boleh buat cara terlalu garang, Indonesia masih sahabat kita...kita harus protes secara tersusun dan baik. Kita bukan macam itu (tindakan ekstrem penunjuk perasaan anti-Malaysia)... orang ini tak ada pelajaran, dia bodoh sebab itu dia buat macam itu,” kata Tun Dr Mahathir merujuk kepada siri demonstrasi berpanjangan oleh rakyat Indonesia di hadapan Kedutaan Malaysia di Indonesia.

Gerakan anti-Malaysia dilaporkan telah merebak ke beberapa bahagian jajahan takluk Indonesia, sebuah negara yang mempunyai bilangan umat Islam yang ramai di dunia. Negara ini juga dikatakan negara bencana kerana kerap kali berlaku bencana alam yang mengorbankan banyak nyawa dan yang terkenal ialah tsunami yang melanda Sumatera. Negara ini, pada saat ini sedang menghadapi kemungkinan letusan gunung berapi yang ‘tidur nyenyak’ selama 400 tahun.

Berdasarkan laporan media, bolehlah dikatakan segelintir rakyat Indonesia memang bodoh khususnya yang melakukan demonstrasi ini. ‘Orang ini tak ada pelajaran, dia bodoh…’ memang kena kerana hanya orang bodoh yang tidak memikirkan apa yang akan berlaku pada masa depan. Demonstrasi demi demonstrasi tidak dipandang sepi oleh rakyat Malaysia khususnya pemimpin negara, peniaga dan individu yang cintakan negara. Ketika pemimpin negara cuba mengawal emosi rakyat Malaysia, para peniaga dan pemborong sedang mengenal pasti sejauh mana potensi anti-Malaysia ini dapat merosakkan jaringan perniagaan mereka.

Contohnya seorang peniaga Malaysia yang menjalankan perniagaan mencari pembantu rumah di Padang akan berfikir dua kali sama ada mahu terus bergantung pada pasaran Indonesia untuk membekalkan pembantu rumah kepada rakyat Malaysia. Mungkinkah beliau akan mencari pasaran lain seperti Kemboja atau Selatan Filipina? Contoh lain ialah seorang peniaga Malaysia yang menjalankan bisnes teksi motosikal di Jakarta sedang menimbang sama ada mahu menjual bisnesnya atau mencari pasaran baru di negara lain.

Tindak balas pemimpin Malaysia ke atas gerakan anti-Malaysia dilihat perlahan dan takut-takut tetapi pada hakikatnya tidak. Begitu juga rakyat Malaysia yang lain. Nampak seperti tidak ada respons segera daripada mereka tetapi cuba lihat beberapa perkara yang sedang dilaporkan oleh akhbar dan media Malaysia terhadap Indonesia. Beberapa hari lalu sebuah akhbar harian menyiarkan keadaan pintu masuk di Jeti Pulau Ketam yang melibatkan pendatang asing Indonesia, selepas itu kenyataan seorang timbalan menteri terhadap hubungan perniagaan Malaysia-Indonesia, kemudiannya dua orang ditahan polis kerana disyaki hendak membakar bendera Indonesia di hadapan kedutaan negara itu di Kuala Lumpur.

Siapa kata rakyat Malaysia tidak ‘tersentuh’ dan ‘pedih hati’ apabila Indonesia membenarkan rakyatnya membakar bendera, melempar najis ke kedutaan dan mengusir rakyat Malaysia? Hari demi hari sikap rakyat Malaysia semakin jelas. Barangkali sudah ada majikan yang mula sangsi dengan pekerja Indonesia mereka.

Banyak tindakan yang boleh diambil oleh semua rakyat Malaysia untuk berdepan dengan sikap bodoh rakyat Indonesia ini. Antaranya ialah seperti berikut.

-memandang sinis setiap warga Indonesia.
-tidak peduli dengan jaminan kerajaan Indonesia terhadap kata-kata manis untuk melindungi keselamatan rakyat Malaysia.
-mengadakan operasi pengusiran besar-besaran pendatang Indonesia.
-semua pekerja kontrak Indonesia tidak dilanjutkan permit kerja mereka walaupun sehari.
-gantikan buruh asing dengan buruh dari negara lain (bukannya India, Bangladesh atau Nepal).
-galakkan kemasukan pekerja dari Kemboja, Laos atau Vietnam kerana mereka lebih suka bekerja daripada mengambil kesempatan membuat rompakan, mencuri atau membunuh rakyat negara ini.
-dalam hubungan dua hala dengan Indonesia, elemen ‘jiran tetangga’ wajar digantikan dengan ‘saingan’.
-perkenalkan semula hukuman sebat ke atas pesalah imigresen supaya pendatang Indonesia yang masuk secara haram dapat dibanteras.
-bawa isu-isu sempadan ke Mahkamah Antarabangsa kerana pasti Indonesia akan kalah lagi selepas Sipadan dan Ligitan.
-tamatkan permit peniaga-peniaga Indonesia di Wisma Yakin.

Selain daripada tindakan keras tetapi senyap, rakyat Malaysia juga boleh melakukan tindakan berbentuk kebajikan supaya pemerintah dan rakyat Indonesia menyedari kesilapan mereka dan berasa malu. Antaranya ialah:

-berdoa supaya Indonesia sejahtera.
-memohon supaya Allah swt menggantikan pemerintah dan rakyat yang bodoh dengan pemimpin yang cerdik dan rakyat yang lebih berpendidikan.
-mendidik rakyat Indonesia supaya tidak takbur dan pentingkan kaum sendiri, jika tidak bala akan terus turun seperti hujan.
-rakyat Malaysia terus membantu rakyat Indonesia yang cerdik supaya mereka dapat hargai dan hormati negara lain.