Monday, September 06, 2010

Jiwa Chetti Melaka

oleh Azrul Affandi Sobry
2010/07/11
Berita Harian

Ketika diminta menyelami kehidupan masyarakat Chetti Melaka, hanya satu bermain di fikiran - apakah mereka berkait rapat keturunan pemberi hutang yang dikenali imej berkain putih diselit di pinggang sambil mengepit payung hitam di bawah ketiak.

Nyata, sangkaan itu meleset sama sekali kerana Chetti Melaka tidak pernah terbabit sebagai pemberi hutang, malah mempunyai ciri-ciri yang sama sekali berlawanan kelompok ‘chettiar’ pemberi hutang yang berasal dari daerah berbeza.

Masalah mungkin timbul kerana nama masyarakat itu seakan menyamai kumpulan chettiar berkenaan. Bagaimanapun, selepas merujuk pelbagai dokumen, termasuk geran kuil yang dikeluarkan penjajah Belanda, masyarakat itu diberi nama Chitty tetapi ia seakan-akan tidak popular dan enggan digunakan kebanyakan mereka atas beberapa sebab yang hanya mereka sendiri ketahui.

Bagi masyarakat itu yang kini kebanyakannya menetap di Kampung Chetti, Melaka, etnik minoriti itu lebih tepat dikenali Chetti, malah ia turut digunakan secara rasmi bagi menamakan muzium mereka (Muzium Chetti) yang terletak di pintu masuk perkampungan itu.

Alasan mereka, penggunaan perkataan Chitty dilihat kurang sesuai lantaran ia sebenarnya hanya mewakili satu kluster daripada 10 kumpulan lain yang terbabit secara langsung dengan kewujudan masyarakat itu di Melaka sejak beratus tahun lamanya akibat hubungan perdagangan kawasan di Benua Hindi dengan beberapa negeri di Nusantara.

Sekali imbas, tiada apa yang menarik mengenai masyarakat ini. Tetapi kesempatan menyelami cara hidup mereka mendedahkan banyak keunikan terutama membabitkan budaya, bahasa, sejarah serta sumbangan mereka. Paling unik, bahasa mereka kerana meskipun Chetti Melaka beragama Hindu dan dikatakan lebih kuat amalan agamanya, namun mereka hanya fasih berbahasa Melayu termasuk ketika bertutur dengan keluarga di rumah. Mereka juga tidak pandai berbahasa Tamil kecuali generasi baru.

Melihatkan cara hidup mereka, tiada banyak beza dengan orang Melayu. Berkain batik di rumah, menu masakan saling tidak tumpah rasanya dengan menu orang Melayu, bermain congkak dan gasing, malah gemar menonton filem Melayu dengan hanya sebilangan kecil suka menonton filem Tamil atau Hindi.

Terkejut juga ketika melintasi rumah di Kampung Chetti apabila terdengar sepasang suami isteri sedang leka berkaraoke menyanyikan Dondang Sayang dan lagu joget, malah lebih mengujakan apabila mereka berjoget seakan-akan menghayati irama dan seni kata lagu yang diputarkan.

Ketika menjenguk di rumah sebelah, ada dua tiga orang remaja dan kanak-kanak sedang leka bermain gasing, manakala beberapa gadis menumpukan perhatian terhadap guli dalam permainan congkak, sekali gus membuatkan penulis berasakan seperti berada dalam perkampungan Melayu.

Tidak timbul rasa janggal bergaul dengan mereka. Faktor budaya Melayu yang mereka amalkan menenggelamkan rasa kurang selesa dan perbezaan antara dua bangsa. Jauh sekali untuk berbicara soal perkauman kerana di situ, India, Cina dan Melayu hidup seperti satu bangsa.

Secalit rasa makanan mereka, selera Melayu sebegitu terasa. Tidak lengkap menu harian tanpa sambal belacan sebagai pembuka selera. Lauk pauknya juga tidak sama masakan India. Paling enak tentulah lauk masak pindang dan tidak lupa sejenis masakan campuran sayur yang dikenali sebagai ‘haram jadah’.

Dalam konteks berbeza, Chetti Melaka dikenali sebagai masyarakat Hindu Peranakan Melaka hasil perkahwinan campur antara orang India dengan penduduk tempatan, sama ada Melayu dan Cina. Difahamkan, ia turut membabitkan beberapa masyarakat minoriti lain seperti Jawa dan Batak.

Dari segi amalan kehidupan, masyarakat ini boleh disamakan masyarakat Baba Melaka, lantaran terlalu kuat mengamalkan budaya tempatan dan hanya menggunakan istilah bahasa Tamil untuk kegunaan khusus membabitkan soal agama.

Jika Chettiar memang terkenal sebagai pemberi hutang dan berniaga, Chetti Melaka pula lebih terdedah kepada pelbagai pekerjaan, termasuk makan gaji dan hanya sebilangan kecil menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

Perkahwinan campur dengan orang tempatan juga mengubah wajah masyarakat ini, sekali gus kelihatan sangat berbeza dengan orang India, khususnya generasi baru yang ada berkulit putih gebu, sawo matang dan hitam manis. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan ramai juga dalam kalangan gadis mereka mempunyai rupa paras menarik.

Asimilasi dengan masyarakat tempatan menyebabkan bilangan etnik ini kian berkurangan. Di Kampung Chetti yang menjadi satu lokasi penempatan mereka, hanya ada kurang 25 rumah daripada 50 kediaman itu yang didiami keluarga berketurunan itu manakala bakinya disewa orang Cina. Jika mahu dihitung, populasi masyarakat itu dikatakan sekitar 500 orang di seluruh Malaysia. Ini dikaitkan dengan pencapaian akademik mereka dalam pendidikan dalam kalangan generasi mudanya juga menyumbang kepada kemerosotan jumlah populasi masyarakat Chetti Melaka apabila mereka berhijrah ke bandar sama ada untuk menyambung pengajian atau berkahwin dengan kaum lain.

Menyentuh mengenai sumbangan ke atas perkembangan agama Hindu di Melaka, Chetti Melaka adalah penyumbang utama pembukaan puluhan kuil di Bandaraya Bersejarah itu. Sehingga kini masih ada 10 kuil yang aktif digunakan termasuk Sri Poyatha Venayager Moorthi, kuil besar tertua yang masih digunakan di negara ini.

Pada awal kedatangan mereka ke Melaka, masyarakat ini membina perkampungan di Kampung Keling, bersebelahan Sungai Melaka yang kini menjadi kawasan perniagaan utama masyarakat Cina, sebelum berhijrah ke Tengkera.

Walaupun mengikut catatan sejarah nenek moyang mereka berasal dari benua Klingga Partanam yang terletak di Pantai Koromadel, apabila ditanya, tidak seorangpun yang tahu lokasi keturunan mereka boleh ditemui di India dan kebanyakannya mengatakan tiada hubungan lagi dengan negara asal mereka itu.

Masyarakat ini mengamalkan ajaran Siva Hindu yang agak ortodoks. Seperti kaum Baba Nyonya, ia tidak jauh berbeza kerana wanitanya memakai kebaya labuh atau pendek dengan kerongsang dan bersanggul, manakala lelakinya berkain pelikat, berbaju cekak musang, sehelai selempang di bahu kiri dan memakai talpa (sapu tangan).

Bagaimanapun, cara berpakaian ini sudah semakin sukar dilihat kecuali dalam kalangan warga tua, itupun bukan menjadi pakaian harian, mungkin pengaruh dunia moden yang bukan sekadar merubah cara hidup masyarakat Chetti Melaka, malah membabitkan pelbagai kaum dan bangsa di dunia ini.

Jika sesiapa ke Gajah Berang, Melaka, pasti berkesempatan melihat sebuah muzium Chetti Melaka di tepi jalan yang dibina pada 2003 oleh kerajaan Melaka, selain sebuah rumah asal tertua di perkampungan itu yang bersetentangan muzium berkenaan.

'Panggil Chetti, bukan Chitty'

'KAIN batik kepala dua,
akai mari si Nyonya Melaka,
Sanggul cantik berisi bunga,
Pakai mari perempuan Chitty Melaka.'

Ini antara bait pantun yang dilontarkan secara spontan oleh seorang wanita tua masyarakat itu, sekali gus membuktikan Chetti Melaka juga pandai berpantun seperti orang Melayu lainnya.

amun, persoalannya Chetti atau Chitty? Ia bukan menunjukkan dua masyarakat berbeza tetapi wujud dua pendapat berbeza mengenai nama satu masyarakat peranakan di negara ini yang hanya ada di Melaka dengan majoritinya lebih selesa menggunakan Chetti, namun ada pula fakta sejarah merujuk mereka sebagai Chitty.

hli jawatankuasa masyarakat itu ketika ditemui lebih cenderung menggunakan nama Chetti Melaka lantaran ia dikatakan lebih adil dan tepat untuk mewakili 10 kasta asal mereka yang berhijrah dari India, meskipun mereka sedar nama Chitty sudah termaktub dalam kebanyakan dokumen sejarah termasuk geran tanah kuil yang dikeluarkan Belanda sejak 1770.

Pemegang Amanah kedua Chetti Melaka, K Arunasalam, 51, berkata kurang sesuai untuk merujuk masyarakat mereka sebagai Chitty kerana nama itu sebenarnya mewakili satu kasta dalam masyarakat itu iaitu kasta Chitty, satu kumpulan peniaga yang berhijrah ke Melaka satu ketika dulu.

“Memang Chitty dianggap sebagai ketua kepada sembilan kasta lain tetapi tidak adil menggunakan nama mereka untuk mewakili kami. Justeru, nama Chetti lebih sesuai. Ia sama sekali tidak sama dengan Chettiar (golongan pemberi hutang).

“Meskipun diakui penggunaan nama Chetti menyebabkan berlaku kekeliruan kerana sama dengan Chettiar, ia sebenarnya lebih tepat untuk digunakan dalam masyarakat ini,” katanya.

Merujuk sejarah kewujudan masyarakat itu di Melaka, kasta Chitty mengetuai sembilan kasta lain iaitu Pillay, Pathair, Mudaliar, Padiachee, Konar, Rajah, Pandaram, Naikel dan Kallan untuk menggerakkan ekonomi masyarakat itu di Tanah Melayu dengan beberapa kasta berkenaan turut terbabit sebagai tukang emas, pengawal keselamatan dan pengembala.

Mungkin disebabkan kasta Chitty dilihat lebih dominan dalam kelompok mereka menyebabkan Belanda mengeluarkan geran atas nama kumpulan itu, namun kini ia tidak lagi digunakan secara rasmi termasuk dalam urusan persatuan, pembinaan muzium dan turut tidak lagi popular di kalangan generasi baru di Kampung Chetti, Gajah Berang.

Realitinya, kata tokoh sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, nama Chetti Melaka tidak pernah wujud dalam sejarah kerana semua dokumen bertulis termasuk penulisan hasil kajian oleh K Narayanasamy mengenai masyarakat itu pada 1967 juga menggunakan nama Chitty Melaka.

“Ia jelas tertera dalam semua geran dan dokumen rasmi Belanda serta Inggeris. Dalam fakta sejarah, nama Chitty Melaka dianggap sebagai nama rasmi masyarakat mereka. Saya sendiri kurang faham mengapa mereka menukar nama mereka kepada Chetti Melaka, sedangkan ia menimbulkan keraguan ramai orang yang tidak mengenali mereka.

“Ramai orang luar akan mengaitkan mereka dengan Chettiar sebagai kumpulan pemberi hutang kerana penggunaan nama Chetti. Justeru, bagi saya, sewajarnya mereka kekal menggunakan nama asal iaitu Chitty,” katanya.

Meskipun wujud perbezaan pendapat mengenai penggunaan itu, masyarakat seluruh negara sudah mengenali mereka dengan nama Chetti Melaka dan seakan-akan sudah diwartakan sebagai nama rasmi di Melaka apabila digunakan secara rasmi bagi semua urusan membabitkan masyarakat itu di Melaka.

Justeru, penulisan artikel mengenai kaum ini akan menggunakan nama Chetti Melaka atas permintaan persatuan masyarakat itu sendiri.

No comments:

Post a Comment