Sunday, September 05, 2010

Misteri: Rahsia waris Pagar Ruyung

oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my
2010/05/16

Selain daya tarikan kota bersejarah Fort Supai, Kuala Linggi, Melaka juga mempunyai keistimewaan lain yang menarik, khususnya berkaitan sejarah awal kerajaan Melayu Melaka.

Kawasan itu mempunyai banyak perkuburan di kawasan bukit yang ditanda dengan batu nisan lama membuktikan Kuala Linggi pernah menjadi perkampungan awal di Melaka serta mempunyai pusat pentadbiran sendiri.

Kedudukannya di muara sungai yang memisahkan Melaka dan Negeri Sembilan diakui antara laluan utama kapal dagang di zaman silam. Ringkasnya, tempat ini mendapat namanya sempena sebatang sungai yang menjadi sempadan Negeri Sembilan dan Melaka.

Sungai Linggi bercabang dua, satu daripadanya mengalir ke Rembau, manakala satu lagi cabang berhulu di daerah Seremban. Hulu cabang inilah yang dinamakan Sungai Ujung iaitu nama lama bagi Seremban.

Raja Melewar yang datang dari Pagar Ruyung untuk dirajakan di Negeri Sembilan juga mudik ke hulu melalui Sungai Linggi. Sungai peninggalan sejarah laluan Raja Melewar itu bermula di Kuala Linggi menuju ke Port Dickson dan berakhir di Seri Menanti.

Namun, tidak ramai yang arif mengenai laluan sepanjang kira-kira 200 kilometer itu serta tempat yang pernah dilalui Raja Melewar dan sejarah yang tersimpan di sebaliknya. Sememangnya Kuala Linggi pernah menjadi persinggahan dan pemerintahan ramai pemimpin besar Melayu.

Antara buktinya, di situ masih wujud waris kerajaan Melayu Pagar Ruyung yang hidup berdiam diri di situ tanpa sebab yang diketahui umum. Di tanah perkuburan yang digelar ‘Pusara Aman’ ada kubur lama ditanda ‘Makam Sultan Syed Abdul Rahman - Takhta Kerajaan Pagar Ruyung 1875’.

Makam itu dijaga elok, dipagar dan mempunyai pondok kecil dicat warna kuning sebagai tanda kebesaran diraja. Di pagar itu juga ada dua lambang yang mempunyai logo bulan, bintang serat dua keris bersilang.

Beberapa rumah di situ juga dilihat mempunyai pintu gerbang kuning dengan lambang sama dan ada yang mendakwa mereka keturunan Pagar Ruyung.

Penduduk merangkap penjaga amanah tanah wakaf di situ, Md Amin Ahmad, 69, berkata di sebelah kubur itu ada sebuah kubur lain dipercayai kubu pahlawan atau orang kanan Sultan Syed Abdul Rahman.

“Kuala Linggi adalah bandar pelabuhan lama, di sini wujud perkampungan Melayu, di sini juga Islam berkembang. Kerabat diraja Pagar Ruyung dan keturunannya masih ada di sini, cuma mereka berkahwin dengan orang kebiasaan dan membuang terus gelaran istana.

“Alat kebesaran, cop mohor masih disimpan baik dan sebab itulah kami sangat berharap tempat ini dijaga, dihidupkan semula sebagai tapak warisan,” katanya.

Mengikut cerita lisan, di perkampungan itulah tempat Hang Tuah bersaudara berguru, belajar silat dan menghabiskan usia remaja mereka, cuma tapak gelanggang permainan mereka sudah dijadikan tapak perumahan.

Di Bukit Supai bersebelahan Fort Supai, wujud kira-kira 100 kubur lama termasuk kubur pengasas surau Madrasah Alam Noor, Tuan Guru Matqari (Yunus Abu). Sebahagian besar kubur itu mempunyai batu nisan menggunakan batu lama dipercayai berusia ratusan tahun.

Namun, kedudukan arah batu nisan itu kurang jelas dan berterabur, ada antaranya yang tumbang dan berselerakan.

Ketua Kampung Kuala Linggi, Muhamad Musa, 49, mengakui kawasan itu perlu dinaiktaraf dan diberi imej baru sebagai kawasan sejarah.

“Hidupkan semula kawasan ini, jangan biarkan sejarah ditelan zaman. Di muara itulah pernah menjadi tempat dan laluan sejarah kesultanan Melayu Melaka sebelum mereka berpindah. Bahkan, kapal tentera Jepun juga terbenam di muara itu,” katanya.

Pokok bakau yang tumbuh di sepanjang tebing Sungai Linggi juga cukup unik kerana tumbuh sekata dan sama tinggi.

Mengikut cerita lama, kapal perang besar pernah melalui sungai Linggi dan adang layar agung (layar paling besar) serta layar bubutan yang digunakan untuk membelok sangat besar dan panjang hingga terkena pokok bakau di tebing sungai.

Pucuk dan dahan bakau terpaksa dicantas hingga adang layar melepasinya. Ada yang mengatakan kelasi memotong dengan pedang, ada yang mendakwa pokok itu patah terkena kayu layar.

Apa pun cerita lisannya, kedudukan pokok bakau di situ memang menarik kerana tidak pernah tumbuh lebih tinggi dari dahan yang dicantas sehingga sekarang. Ada juga yang bercerita, pokok itu terkena sumpahan Puteri Gunung Ledang.

No comments:

Post a Comment