Sunday, December 03, 2006

Pendidikan hati bagi mengatasi masalah masyarakat

Berita kematian seorang bayi yang masih bertali pusat di Projek Perumahan Rakyat Pudu Ulu Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini sangat menyedihkan. Dihumban dari tingkat 17 sehingga kepalanya pecah adalah perbuatan seorang yang sungguh zalim dan tidak bertanggungjawab. Ibu atau bapanya tentulah berasa sungguh kecewa jika mengetahui perkara ini tetapi jika perbuatan ini dilakukan oleh salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya, tentulah lebih zalim perbuatan ini.

Kesedaran menjaga kebajikan anak-anak yang baru lahir dan masih kecil masih berada di tahap tinggi di dalam masyarakat kita. Keprihatinan ahli masyarakat terhadap kasih sayang anak-anak masih lagi dapat dipertahankan.

Bagaimana ibu bapa yang zalim terhadap anak-anak boleh memberi kasih sayang yang sepenuhnya terhadap anak-anak mereka?

Mereka tidak ada kasih sayang. Anak-anak tidak merasai kasih sayang yang diperlukan dalam proses tumbesaran mereka. Tanpa kasih sayang, hidup mereka kosong dan perlu diisi dengan kasih sayang, rasa gembira dan menghargai kehidupan. Emosi anak-anak-anak yang masih baru berkembang mesti dipenuhi dengan semua perkara yang positif sama ada dari segi bahasa, perasaan dan tingkah laku. Jika akhlak ibu bapa baik dan terpuji, perkembangan fizikal, mental dan spiritual akan berkembang dengan baik. Jika tidak, adab dan sikap tidak akan ke mana.

Peranan ibu bapa yang menjadi pembentuk dan pembimbing anak-anak sangat penting. Pemikiran yang betul dan selari dengan kehendak kehidupan akan mencetuskan tanggungjawab dan keinginan yang membuak-buak terhadap kehidupan. Ketika menghadiri kursus kemahiran keibubapaan bagi pasangan yang baru hendak mendirikan rumah tangga, mereka didedahkan dengan pelbagai kaedah dan tips untuk mempastikan kebahagiaan yang dibina akan berkekalan. Namun tidak semua pasangan yang menghadiri kursus ini kekal selama-lamanya. Tidak bermakna kursus berkenaan gagal dan perlu ditangguhkan tetapi wajar diperkemaskan dari semasa ke semasa.

Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengenai penceraian golongan muda pasangan Islam dari tahun 1993 hingga 2004 menunjukkan aliran peningkatan. Begitu juga dengan pasangan yang bukan Islam, cuma bilangan yang berbeza. Pada tahun 2004, penceraian bagi pasangan Islam ialah 16,509 kes, satu peningkatan yang besar berbanding tahun 2001 dan 2002. Dalam tempoh yang sama, penceraian di kalangan bukan Islam menunjukkan pengurangan. Tahun 2004, bilangan kes ialah 3,291 kes berbanding 3,318 pada tahun 2003.


Jadual 1 : Penceraian Orang Islam dan Bukan Islam di Malaysia, 1999-2004
(Sila hubungi editor)


Keupayaan untuk mengekalkan perkahwinan merupakan suatu perjuangan yang berpanjangan. Tanpa memiliki ilmu dan selok-belok alam perkahwinan, kebahagiaan yang diharapkan tidak akan ke mana malah mungkin akan berakhir dengan penceraian.

Pasangan yang berkahwin mempunyai tanggungjawab yang sangat besar bagi mendidik dan membimbing anak-anak ke arah pembentukan akhlak yang mulia dan berbudi pekerti tinggi. Mereka juga bertanggungjawab memberi pendidikan yang sepenuhnya bagi mempastikan anak-anak mendapat pelajaran yang akan mencerahkan hidup pada masa hadapan. Gagal melaksanakan tugas sebagai ibu bapa merupakan kezaliman dan sangat sukar untuk dimaafkan.

Masalah juvana dan sosial yang berkaitan dengan remaja pada hari ini sangat berkait rapat dengan keruntuhan rumah tangga. Kenapa ramai remaja yang berjinak-jinak dengan aktiviti tidak sihat seperti pergaulan bebas, lumba haram, ponteng sekolah, kurang berdisiplin dan hilang akhlak yang mulia?

Anak-anak muda pada hari ini akan mewarisi generasi ibu bapa mereka yang sekarang sedang mentadbir dan mengurus masyarakat. Cabaran yang dilalui oleh anak-anak ini sangat berbeza daripada ibu bapa mereka. Oleh yang demikian, persediaan ke arah itu harus cepat supaya setiap cabaran dan halangan dapat diatasi dengan sebaik mungkin.

Salah satu daripadanya ialah menguatkan hati dan jiwa mereka supaya mekanisme pertahanan diri dapat diperkukuhkan sebagai benteng daripada melakukan perbuatan maksiat dan mungkar.

Sumber perubahan yang paling berjaya ialah pendidikan hati. Dalam sejarah perkembangan Islam, terdapat kisah menarik mengenai perubahan yang maksimum berlaku kepada masyarakat Islam yang gemar minum arak.

Masyarakat Islam, termasuk sahabat-sahabat Nabi Muhammad saw memang suka minum arak walaupun memeluk agama Islam. Dalam keadaan begitu, baginda saw terus mendidik para sahabat untuk menjadi seorang muslim. Didikan wahyu sangat berkesan untuk mengubah fikiran dan tabiat buruk golongan jahiliyah ini.


Islam mengharamkan arak secara berperingkat-peringkat sesuai dengan penerimaan wahyu. Pada permulaan Islam, arak tidak diharamkan dan kaum muslimin bebas menikmati kelazatan arak. Kemudian turun ayat 219 surah Al Baqarah yang bermaksud,


“Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.”


Dengan turunnya ayat ini, sebahagian orang Islam meninggalkan tabiat meminum khamar. Mereka berpegang perkataan yang terdapat di dalam ayat; “Pada keduanya terdapat dosa besar.”

Namun sebahagian daripadanya terus meminum arak kerana berpegang pada ayat; “... beberapa manfaat bagi manusia.”

Pada suatu ketika, Utban bin Malik menjemput beberapa orang daripada sahabat untuk menghadiri majlis keraian yang diadakannya. Di antara mereka ialah Saad bin Ali Waqas. Dalam majlis itu telah dihidangkan dengan makanan dan arak. Para tetamu telah minum arak ini sehingga mabuk dan mula hilang ingatan. Ada seorang daripadanya bangun dan membawa syair kebanggaan kaumnya serta mencela kaum Ansar. Salah seorang daripada kaum Ansar yang ada di situ telah memukul Saad dengan rahang unta.

Saad bin Abi Waqas kemudiannya mengadu kepada Rasulullah saw dan turunlah wahyu yang mengharamkan arak secara mutlak. Ayat 90 surah Al Maidah yang bermaksud,


“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, menilik nasib dengan mempercayai tuah pada anak panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Oleh itu tidakkah kamu mahu berhenti?”


Apa yang kita belajar daripada kaedah mendidik Rasulullah saw ini? Jawapan paling tepat ialah pendidikan hati. Hati dididik sehingga berdisiplin. Hati pun ada disiplin.


“Sesungguhnya di dalam diri manusia ada seketul daging. Apabila ia baik akan baiklah seluruh jasad. Sebaliknya apabila ia buruk akan buruklah seluruh jasad. Daging itu ialah hati.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Hati adalah istimewa, tempat munculnya rasa bertuhan, rasa kasih dan sayang, benci, cemburu, gementar dan sensitif. Hatilah tempat tumpuan dan menjadi raja dalam diri.

Kes kematian bayi ini tidak akan menjadi kezaliman yang dahsyat jika ahli masyarakat dididik dengan pendidikan hati yang disirami ketaqwaan dan keimanan kepada penciptanya. Keserabutan dan kekeliruan minda akan memberi bekas kepada keupayaan membuat keputusan. Pendidikan yang mengisi hati dan minda adalah prasyarat kepada kejayaan ummah. Sistem pendidikan yang memberi penekanan kepada pembentukan hati dan minda yang soleh akan memberi sinar kepada pembentukan masyarakat cemerlang pada masa hadapan.


No comments:

Post a Comment