Monday, December 11, 2006

Impak pendidikan Islam ke atas pembentukan peribadi pelajar

Pengenalan

Pendidikan adalah lambang masyarakat yang bertamadun. Beberapa tamadun dunia yang muncul dan hilang meletakkan pendidikan di tempat teratas bersama industri perdagangan, ketenteraan dan pengangkutan. Dalam Rancangan Malaysia Kelapan dan Kesembilan (2001-2010), kerajaan Malaysia memperuntukkan sejumlah RM87,522.00 juta untuk perbelanjaan dan peruntukan pembangunan bagi pendidikan dan latihan.

Institusi pendidikan memainkan peranan yang sangat penting bagi agenda pembangunan negara. Keupayaan rakyat sesebuah negara terletak pada sejauh mana tahap celik huruf dan kadar penembusan terhadap informasi teknologi maklumat. Negara-negara maju mempunyai kadar buta huruf yang sangat rendah malahan sifar dan penguasaan teknologi maklumat yang tinggi.

Pendidikan individu merangkumi pendidikan di rumah, sekolah, pasca persekolahan, institusi pengajian tinggi dan tempat kerja (Berita Harian, 10 Disember 2006). Melalui pendidikan bertahap inilah nilai dan budaya yang kukuh diterapkan supaya akan lahir modal insan yang mantap dan berkualiti.

Di Malaysia, sistem pendidikan yang dilalui oleh setiap pelajar merangkumi sekolah rendah dan menengah yang mengambil masa selama 11 tahun. Mereka diberi pelbagai pendedahan untuk melengkapkan diri dengan keperluan dunia dan akhirat. Bagi pelajar muslim, mereka diberi pendidikan Islam bagi melengkapkan diri dengan kemahiran membaca al-quran dan ilmu feqah bagi memantapkan iman dan taqwa.

Kajian oleh Universal McCann Malaysia yang bertajuk ”Nilai-nilai moral kian terhakis?” menyatakan pencapaian dunia seperti pembangunan fizikal dan ekonomi yang rancak dicacati oleh senario gaya hidup moden yang membelakangkan kemurniaan akhlak dan keluhuran budi. Demi mengecapi kejayaan, ada yang sanggup berbuat apa sahaja termasuklah mengenepikan nilai-nilai moral yang sepatutnya menjadi pegangan hidup setiap individu (The Star, 9 Disember 2006).

Walaupun pendidikan Islam dilaksanakan dalam sistem pendidikan perdana negara, gejala sosial yang berlaku turut meresahkan umat Islam. Setiap hari dipaparkan pelbagai kes yang melibatkan salah laku sosial dalam masyarakat seperti pecah amanah, delikuensi remaja dan penipuan serta pembunuhan. Statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan menyatakan secara purata 2,334 rakyat Malaysia terlibat dengan penagihan dadah setiap bulan dan bagi setiap 29 minit akan muncul seorang penagih baru. Penghuni belia di pusat serenti adalah 71.7 peratus. Dari tahun 1988 hinga Jun 2006, jumlah penagih dadah adalah 295,593 orang.

Gejala sosial ini semakin membimbangkan (Ahmad Rezuwan Mohd Yunus,2003). Apa yang telah berlaku kepada sistem pendidikan negara khususnya sistem pendidikan Islam yang dilalui oleh pelajar dan remaja sekarang?

Gejala sosial seperti bohsia, buli di sekolah, lari dari rumah, buang bayi, rogol dan penganiayaan kanak-kanak adalah simptom yang muncul kerana kegagalan sistem pendidikan, institusi kekeluargaan dan penguatkuasaan. Azizah Othman (2003) melihat empat pendekatan untuk mengatasi masalah sosial ini iaitu peranan ibu bapa, peranan diri sendiri, peranan rakan sebaya dan peranan masyarakat. Namun begitu beliau tidak memasukkan aspek pendidikan yang berperanan lebih besar kerana dalam masyarakat moden hari ini, elemen nilai banyak diterapkan melalui pendidikan formal seperti sekolah.

Pengaruh media massa yang memaparkan budaya yang berbeza dengan masyarakat tempatan telah memecahkan dominasi nilai-nilai tradisi sama ada nilai bangsa atau agama.

Bagaimana umat Islam dahulu merangkak dan membina tamadun ilmu yang gilang gemilang beratus-ratus tahun? Apakah rahsia yang menggerakkan mereka untuk mencari dan mengembangkan ilmu kepada seluruh dunia hingga mencipta trend budaya ilmu kepada masyarakat Barat?



Latar Belakang Pendidikan Islam

Tahun 459 Hijrah adalah batas yang memisahkan di antara pendidikan kaum muslimin dengan tahun-tahun sebelumnya. Ketika ini, sekolah yang pertama telah dibuka di kota Baghdad yang didirikan oleh Nizamul Muluk, seorang menteri dari bangsa Saljuk. Sistem persekolahan ini seterusnya berkembang ke seluruh dunia Islam termasuk di daerah-daerah kecil.

Sebelum ilmu dan sistem pendidikan yang mantap wujud, umat Islam belajar di masjid, surau dan kuttab. Di Malaysia, sekitar tahun 1980-an, kuttab lebih dikenali sebagai kutub-khanah yang dimodenkan. Kuttab adalah sejenis tempat belajar yang mula-mula lahir di dunia Islam. Perkataan kuttab diambil dari perkataan ”taktib” yang boleh diertikan sebagai tempat memberikan pelajaran menulis dan membaca.

Selain menjadi tempat belajar menulis, kuttab juga adalah tempat untuk belajar membaca al-quran.

Tradisi kuttab ini berkembang ke istana yang mana para guru digelar “mu’addib” berperanan mendidik budi pekerti putera dan puteri raja. Mu’addib yang terkenal ialah Ahmad Ibnu Abul Abbas Tsa’lab yang diminta mendidik Taher, putera kepada Muhammad Ibnu Abdillah. Ahmad telah disediakan dengan tempat istimewa dan diminta mengajar Taher selama empat jam sehari. Semua kemudahan disediakan dan beliau telah membimbing Taher selama 13 tahun.

Pendidikan di istana bukannya bersifat formal malah mendidik dan mengisi keperluan rohani dan jasmani. Amalan ini masih diamalkan oleh kebanyakan pemerintahan beraja di dunia termasuk sultan-sultan Melayu di Malaysia dan kesultanan Brunei. Pada zaman dahulu, anak-anak raja diberi pendidikan lengkap dari segi emosi, fizikal, mental dan spiritual sebagai persediaan menjadi pemimpin negara.

Pendidikan juga tersebar melalui kegiatan perniagaan yang turut menyemarakkan industri buku. Kedai-kedai buku yang bermula sejak kerajaan Bani Abbasiyah dan tersebar luas ke seluruh negara. Penekanan utama ketika ini ialah kesusasteraan seperti sajak, perbincangan ilmiah dan pidato. Keadaan ini memberi ruang untuk perkembangan ilmu falsafah dan bahasa yang telah melahirkan bijak pandai Islam yang sering mengadakan perbahasan ilmiah. Melalui pertemuan dan perbahasan serta peranan kedai-kedai buku ini, muncul tokoh-tokoh penulis seperti Ibnu Nadim, Ibnu Kaujak dan Jaqut yang mengarang buku Mu’djamul Udaba dan Mu’djamul Buldan.

Kepesatan perkembangan ilmu ketika tamadun Islam berkembang digambarkan oleh Ibnu Jauzi (597 Hijrah) yang menyatakan kedai-kedai buku di kota Baghdad sebagai sebuah pasar yang besar dan tempat ulama dan fuqaha mengadakan persidangan. Kepentingan peranan kedai buku sebagai tempat perkembangan ilmu dapat dilihat daripada petikan sajak berikut yang menceritakan keadaan sebuah kedai buku di Mesir.


Duduk di pasar-pasar itu tercela
tetapi ada pula di situ majlis-majlis yang terpuji.
Maka janganlah engkau dekati selain pasar kuda, pasar senjata dan

pasar buku
Dua yang awal adalah alat para pahlawan
Dua yang terakhir adalah alat para sasterawan.



Perbincangan ilmiah yang lebih serius berlangsung di rumah-rumah para ulama (sarjana). Ketika zaman Rasulullah saw, baginda sendiri menggunakan rumah Al Alqam Ibnu Abil Arqam sebagai markas. Di sini Rasulullah saw mengajar perkara-perkara pokok tentang agama Islam dan menerangkan maksud ayat-ayat al-quran.

Rumah ulama Islam tersohor ialah Imam Al Ghazali (504 Hijrah) yang memberi pelajaran kepada beberapa orang muridnya. Yaakub Ibnu Killis adalah menteri kepada khalifah Al Azizbillah Al Fathimi merupakan seorang ulama yang luas pengetahuannya dalam mazhab Ismailliah. Beliau adalah seorang penulis buku dan rumahnya dikunjungi oleh para ulama dan pelajar setiap hari Jumaat.


Manakala Ahmad Ibnu Muhammad Abu Taher adalah seorang ulama yang miskin. Rumahnya dijadikan tempat mengajar pada sebelah malam kerana pada waktu siang, beliau mengajar di istana.

Kisah yang terkenal berkaitan pendidikan ini ialah pengalaman Imam Malik mengajar kitab Muwatta’. Khalifah Harun Al Rashid ingin sekali bertemu dengan Imam Malik di Madinah selepas menunaikan haji di Mekah. Ketika pesuruh khalifah datang menemui Imam Malik untuk menyampaikan hajat khalifah lalu beliau tegas berkata, ”Sampaikan kepada khalifah bahawa ilmu itu didatangi bukannya ia yang mendatangi seseorang.” Akhirnya khalifah datang sendiri untuk belajar dengan Imam Malik.

Rumah-rumah ulama dan sarjana menjadi tempat mereka yang dahagakan ilmu dan pencari-pencari ilmu. Ilmu berkembang dengan cepat kerana sifat pemurah tokoh-tokoh ilmuwan ini kerana kefahaman mereka terhadap kelebihan orang berilmu seperti yang dinyatakan dalam surah Az Zumar ayat 9,


“Katakanlah adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui, sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”


Seterusnya muncul institusi ilmu yang lebih pesat dan teratur khususnya ketika pemerintahan khalifah Harun Al Rasyid. Beliau menyedari peranan khalifah ialah sebagai pentadbir negara dan pada masa yang sama merupakan pemberi fatwa dalam urusan agama. Oleh itu, seorang khalifah mestilah berilmu dan mampu berijtihad.

Zaman khalifah Harun Al Rasyid adalah zaman perkembangan ilmu pengetahuan yang pesat. Majlis ilmu, diskusi dan penerokaan serta penjelajahan berkembang dengan kelahiran tokoh-tokoh penulis seperti Abu Nawas, Abul ’Atahiah dan Abbas Ibnu Ahnaf.

Perkembangan Islam melalui kabilah perniagaan berkembang melalui padang pasir kerana anjuran untuk berdakwah oleh Rasulullah saw. Di padang-padang pasir juga berlaku pertukaran pendapat dan perkembangan ilmu. Di sinilah bahasa Arab dan bahasa-bahasa ilmu yang lain berkembang dan muncul pula bidang baru dalam perkembangan ilmu yang dipanggil terjemahan. Ilmu pengetahuan dan maklumat yang dipusakai oleh bangsa Rom dan Parsi dapat disebarluaskan kepada masyarakat Arab melalui proses terjemahan.

Pendidikan yang berkesan dapat melahirkan pelajar yang sangat menghargai ilmu. Ketika kerajaan Islam Andalusia berkuasa, umat Islam berebut-rebut untuk memenuhkan dada mereka dengan ilmu dan pada masa yang sama memenuhkan perpustakaan dengan buku.


Kardova, sebuah kota yang indah di Andalusia adalah tempat kediaman ramai ulama Islam yang dahagakan ilmu. Salah seorang daripada mereka adalah Al Hadhrami. Beliau sering ke kedai-kedai buku untuk mencari sebuah buku yang sangat diminatinya. Buku tersebut bertulis tangan dan mempunyai isi kandungan yang bagus. Oleh kerana sistem harga yang ditetapkan secara penawaran tertinggi, setiap kali Al Hadhrami meletakkan tawaran, harga tersebut diatasi oleh tawaran lawannya. Akhirnya, dia tidak mampu meletakkan tawaran yang tertinggi dan menyerahkan buku tersebut untuk lawan yang tidak dikenalinya itu.

Sebelum pulang, Al Hadhrami bertemu dengan pembeli tadi dan berkata, ”Tuan ulama, kalau memang tuan memerlukan buku ini, biarlah saya mengalah. Tuan ambillah buku itu kerana saya tidak sanggup lagi mengatasi tawaran tuan.”

Orang itu menjawab, ”Saya bukan seorang ulama malah saya tidak mengerti isi buku ini. Disebabkan saya ada sebuah perpustakaan dan terdapat tempat sebesar buku ini. Oleh kerana buku ini saya lihat tulisannya bagus, dijilidkan dengan baik, saya ingin membelinya walaupun harga yang ditawarkan tinggi bagi mengisi ruang yang masih kosong dalam perpustakaan yang saya buat ini.”

Kemajuan ilmu pengetahuan yang pesat ketika zaman kegemilangan tamadun Islam adalah kerana semangat yang berkobar-kobar untuk menuntut ilmu. Tekad dan kemahuan yang kuat ini telah membantu penuntut ilmu untuk menempuh segala halangan dan tidak mempeduikan susah payah.

Dorongan terkuat yang menggerakkan mereka adalah ayat-ayat al-quran, hadis, kata-kata mutiara dan peribahasa daripada para cendekiawan dan pemimpin-pemimpin Islam yang cintakan ilmu.

Kemahuan, keazaman dan tekad untuk belajar telah menggerakkan anak-anak muda yang cintakan ilmu untuk keluar merantau dari kampung halaman. Motivasi ayat-ayat al-quran, hadis dan kata-kata perangsang tadi yang diulang-ulang memberi keyakinan kepada mereka untuk mencari ilmu dan pada masa yang sama melenyapkan keraguan dan kemalasan.


Petikan ayat-ayat Al Quran

“Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat dan (ingatlah) Alllah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan.”

(Surah Al Mujadalah ayat 11)



“Katakanlah adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui, sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”

(Surah Az Zumar ayat 9)



“Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.”

(Surah al-Taubah ayat 122)



“Maka Maha Tinggilah Allah, yang menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (Wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca al-quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: “Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku.”

(Surah Toha ayat 114)



“Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-Rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”


(Surah Al-Nahl ayat 43)


Petikan Hadis

“Sesiapa yang dikehendaki Allah swt untuk mendapat kebaikan maka Allah swt akan mengurniakannya pengetahuan yang mendalam tentang agama.”

(Riwayat Al Bukhari)



Petikan kata-kata Mutiara

“Manusia itu ada yang sudah berilmu dan ada yang sedang menuntut ilmu dan yang lainnya adalah orang-orang yang bodoh yang tidak berguna.”


(Al Ashfihani)


“Ilmu pengetahuan itu akan menjadi perhiasan bagi pemiliknya dalam waktu makmur dan akan menjadi penolong dalam masa-masa krisis.”


(Ibnu Muqaffa’)


Abdullah Ibnu Mubarak pernah ditanya,“Andaikata Allah swt memberitahumu bahawa kamu akan mati malam ini, apakah yang kamu akan lakukan hari ini?” Jawab Abdullah, “Aku akan pergi mencari ilmu pengetahuan.”


Pemimpin Islam

“Wahai Kamil, ketahuilah bahawa ilmu pengetahuan adalah lebih baik daripada harta benda kerana ilmu pengetahuan dapat menjaga kamu sedangkan harta benda itu engkau yang menjaganya, ilmu pengetahuan itu adalah pihak yang berkuasa sedangkan harta benda itu adalah pihak yang dikuasai. Dalam pada itu harta benda akan berkurangan jika dibelanjakan sedangkan ilmu pengetahuan itu bertambah-tambah jika kita berikan kepada orang lain.”

(Ucapan Ali bin Abi Talib kepada pemuda bernama Kamil)



Konsep Pendidikan Islam

Rasulullah saw meninggalkan al-quran dan sunnah sebagai panduan kepada umat Islam yang menjadikan mereka sentiasa berada di jalan yang lurus dan tidak akan sesat selama-lamanya.


“Aku tinggalkan kepadamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang teguh kepada keduanya iaitu al-quran dan sunnahku.”

(Riwayat Abu Daud)



Ramai bijak pandai dan tokoh Islam menjadikan al-quran dan sunnah sebagai panduan kepada pendidikan Islam. Imam Al Ghazali menyatakan tujuan pendidikan Islam seharusnya kembali kepada Allah swt. ”Bertaqarrub kepada Allah, bukan untuk mendapatkan jabatan kepimpinan, bermegah-megah dan berlumba-lumba.”

Manakala Ibnu Khaldun membahagikan pendidikan Islam kepada dua iaitu tujuan keagamaan dan keduniaan. Tujuan keagamaan adalah membentuk peribadi yang taat beragama seperti firman Allah swt dalam surah Al Baqarah ayat 138 yang bermaksud,



“Celupan Allah dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? Dan kepadanya kita menyembah.”


Tujuan keduniaan menjurus kepada tingkah laku berdikari bagi menghadapi kehidupan di dunia. Potensi sumber manusia harus dibangunkan supaya matlamat akhir ialah keredhaan Allah swt dan merealisasikan ayat 105 surah At Taubah.


“Dan katakanlah, bekerjalah kamu lalu Allah, rasulNya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang kamu kerjakan.”


Abdul Halim (1989) membuat kesimpulan bahawa para sarjana dan cendekiawan Islam mempunyai pemikiran dan pendapat yang sama mengenai pendidikan Islam dengan meletakkan al-quran dan sunnah sebagai tempat teratas. Oleh itu beliau merumuskan yang pendidikan Islam harus berperanan untuk membentuk peribadi yang memenuhi ciri-ciri insan kamil iaitu :


-Mempunyai keimanan yang teguh.
-Patuh dan tekun menjalankan perintah-perintah Allah dan menjauhi laranganNya.
-Mempunyai akhlak yang luhur.
-Mempunyai sikap sosial yang baik.
-Memiliki ilmu pengetahuan dan kematangan intelektual yang tinggi.
-Mampu berdikari dalam segala aspek khususnya di dalam mencari rezeki untuk kehidupannya sendiri dan orang yang menjadi tanggungjawabnya.
-Bersedia memikul tanggungjawab agama dalam segala aspek : peribadi, masyarakat, negara dan seluruh umat manusia.


Tujuan pendidikan umum ialah untuk membangun pemikiran termasuk minda dan personaliti secara menyeluruh, ia tidak memberikan kemahiran khusus tetapi membina personaliti yang menyeluruh (Syed Hussein Alattas,2005). Oleh itu, pendidikan Islam harus mengambil kira kepentingan dunia dan akhirat supaya kekuatan individu dan masyarakat yang dibina dapat memberi makna kepada pembentukan negara yang dihormati.

Ahmad Tafsir (1992) menyatakan kehairanannya apabila memikirkan orang ramai lebih memuji pencapaian sekolah kerajaan dan yang dikelolakan oleh pertubuhan Kristian di Indonesia. Sekolah yang dikendalikan oleh pertubuhan Muhammadiyah dan institusi Islam yang lain gagal menyerlah. Kajian dan pemerhatiannya mendapati pengelola sekolah Islam belum dapat mensintesiskan teori pendidikan Barat (disebut moden) dan teori pendidikan Islam yang berdasarkan al-quran dan sunnah. Contohnya ialah keazaman pengelola sekolah pendidikan Islam untuk meningkatkan kualiti pengajaran; mereka menggunakan teori Barat tetapi dalam pembiayaan perjalanan pentadbiran sekolah seperti gaji guru, kemudahan dan perkhidmatan sangat sedikit.


Pendidikan Islam di Malaysia

Pendidikan Islam di Malaysia secara formalnya bermula pada tahun 1960-an apabila kerajaan melaksanakan undang-undang peraturan yang didasarkan kepada Laporan Rahman Talib. Laporan ini membentuk Akta Pelajaran 1961 yang menyatakan, ”Seksyen 36 (1) tercatat bahawa pendidikan agama Islam hendaklah diberikan kepada murid-murid beragama Islam di setiap sekolah yang murid-murid beragama Islam berjumlah 15 orang atau lebih.”

Pelaksanaan pendidikan agama Islam diuruskan oleh Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran yang mengendalikan segala kegiatan yang berhubung dengan pendidikan Islam di sekolah rendah dan menengah.

Pengajaran pendidikan Islam di sekolah adalah manifestasi Perlembagaan Negara Malaysia yang menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi. Kedudukan Islam telah berjaya ditempatkan pada kedudukan istimewa.

Pendidikan Islam di institusi pengajian tinggi bermula secara formal pada tahun 1955 setelah Kolej Islam Malaya ditubuhkan di Klang, Selangor. Tahun 1959, Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sastera, Universiti Malaya ditubuhkan sebagai hasil kerjasama di antara Kolej Islam Malaya dan Universiti Malaya. Seterusnya Kolej Islam Malaya digabungkan dengan Universiti Kebangsaan Malaysia yang dikenali sebagai Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Bahagian Pendidikan Islam, Universiti Teknologi Malaysia adalah universiti pertama yang menjadikan pendidikan Islam sebagai keutamaan. Unit Pendidikan Islam ditubuhkan pada tahun 1972 yang menyelaraskan kuliah pendidikan agama Islam kepada mahasiswa UTM. Kini hampir semua universiti awam mempunyai Pusat Islam masing-masing.

Pendidikan Islam di institusi pengajian tinggi Malaysia diperkukuhkan dengan pengenalan Kursus Tamadun Islam yang diwajibkan kepada semua mahasiswa dengan tujuan setiap orang daripada warganegara Malaysia yang mendapat pendidikan tinggi di universiti akan mengenali Islam dan ajaran-ajarannya sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Ternyata pendidikan Islam telah diperkukuhkan dari semasa ke semasa oleh kerajaan. Kurikulum dari sekolah rendah hinggalah ke institusi pengajian tinggi memberi ruang kepada pelajar untuk mendapatkan pengetahuan dan diterapkan dengan nilai dan falsafah pendidikan Islam ini. Apakah kesan daripada proses pendidikan yang diterima jika kita melihat definisi dan harapan daripada Al Ghazali, Ibnu Khaldun dan tokoh-tokoh ulama Islam yang lainnya?

Kegagalan sistem pendidikan Islam kini adalah disebabkan nilai yang diterapkan tidak dapat membawa pelajar untuk mengenali Allah swt dan mencetuskan perubahan dalam diri mereka. Walaupun akal fikiran pelajar hari ini lebih baik dan dianggap maju, tetapi dalam hal pembinaan watak diri yang digelar ulul albab masih jauh daripada realiti sebenar. Pendidikan Islam yang ada tidak berupaya membentuk individu yang boleh bertafakur untuk merenung, mengamati, membuat kajian dan menganalisis peranan Tuhan dalam penciptaan alam dan kehidupan realiti.

Hala tuju pendidikan Islam harus menjadikan objektif pembentukan ulul albab sebagai salah satu hasil akhir dalam pencapaian seperti maksud firman Allah swt dalam surah Ali Imran ayat 191,


“(Ulul albab adalah) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka banyak berfikir tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata, “Wahai Tuhan kami, Engkau tidak menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksa neraka.”


Kejayaan ahli saintis Islam dahulu adalah kerana takwa dan keupayaan mereka bertafakur bagi menganalisis penciptaan alam (Danial Zainal Abidin,2004) dan direalisasikan dengan galakan yang berterusan dan mantap daripada al-quran, hadis, kata-kata mutiara ulama dan sokongan padu khalifah Islam.

Ibu bapa berperanan memperkenalkan Tuhan kepada anak-anak melalui tiga keadaan sebaik sahaja mereka boleh bercakap.

Pertama, memperkenalkan Allah swt melalui sifat Maha Pencipta. Setiap benda yang tumbuh, menjalar dan bergerak di hadapan kita adalah makhluk Allah swt. Penciptaan siang dan malam silih berganti boleh diterangkan secara langsung supaya anak-anak merasai kehadiran Tuhan di dalam hidup mereka.

Kedua, diajar untuk mensyukuri nikmat diberi Allah swt dalam semua perkara. Bermula dengan bangun pagi, makan minum dan kesempurnaan tubuh badan boleh sahaja memberi impak yang besar ke atas corak pemikiran anak-anak dan sentiasa ingat bahawa setiap masa dalam hidup mereka, Allah swt bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang.


Ketiga, mengenengahkan sifat Al Karim Allah swt. Mulia dan pemurahnya Allah swt merangkumi semua perkara. Harapannya ialah anak-anak akan merasai kecintaan dan menaruh harapan ke atas apa sahaja yang dilakukan kepada Allah swt.

Pendidikan Islam adalah pemangkin kepada pembentukan nilai dan keluhuran moral pelajar dan masyarakat Islam khususnya di Malaysia. Peranan pendidikan Islam ini telah terbukti berjaya melahirkan sebuah tamadun yang menguasai sepertiga dunia sehingga menjadi warisan pemodenan dunia hari ini. Kejayaan umat ini diakui oleh seorang tokoh usahawan Amerika Syarikat, Carleton S. Fiorina, CEO Hewlett-Packard Company pada 26 September 2001 di Minneapolis, Minnesota.


“Pada suatu masa dahulu, wujud suatu tamadun terbesar di dunia. Empayarnya begitu luas, bersambung-sambung dari lautan ke lautan, menjangkau kawasan utara, tropika dan padang pasir. Di bawah kuasanya terdapat ratusan juta manusia daripada pelbagai agama, bangsa dan keturunan. Salah satu bahasanya menjadi bahasa universal yang digunakan dalam percakapan sebahagian besar manusia pada hari ini. Tentera-tenteranya dianggotai oleh mausia daripada pelbagai latar belakang dan penaklukannya mendatangkan keamanan dan kemewahan yang tidak ada tolok bandingan. Perniagaan yang melibatkan tamadun ini berkembang dari Amerika Latin ke negara China dan antara kedua-duanya. Tamadun ini hidup subur digerakkan oleh ciptaan-ciptaan baru. Arkitek-arkiteknya mampu membina bangunan tinggi yang melawan graviti. Pakar-pakar matematiknya mencipta konsep algebra dan algoritma. Konsep-konsep ini membantu penciptaan komputer dan encryption pada hari ini. Tokoh-tokoh perubatannya menemui ubat-ubatan baru yang digunakan bagi merawat pelbagai penyakit. Tokoh-tokoh astronominya meneropong langit dan memberi nama kepada bintang-bintang dan sekali gus membuka jalan kepada penerokaan angkasa lepas. Penulis-penulisnya menulis ribuan cerita. Tamadun yang saya maksudkan ini sebenarnya adalah tamadun Islam, yang berkembang dari tahun 800 hingga 1600 Masihi.”


Masyarakat luar melihat pendidikan Islam yang dilaksanakan dahulu mampu membuat perubahan dan memberi sumbangan kepada seluruh dunia. Kesimpulannya, matlamat pendidikan Islam harus memenuhi tiga perkara asas untuk menjadi umat yang disegani iaitu memelihara kesejahteraan, mewujudkan sistem sosial yang selamat dan dapat menyemai nilai kepercayaan.






Rujukan


Abdul Halim Hj. Mat Diah.1989. Pendidikan Islam Di Malaysia. Kuala Lumpur : Angkatan Belia Islam Malaysia.

Ahmad Redzuwan Mohd Yunus.2003. Gejala Sosial dalam Masyarakat Islam. Kuala Lumpur : Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd.

Ahmad Syalabi.1973. Sejarah Pendidikan Islam. Jakarta : Penerbit Bulan Bintang. Edisi terjemahan oleh H. Mucktar Jayja dan M. Sanusi Latief.

Ahmad Tafsir.1992. Ilmu Pendidikan Dalam Perspektif Islam. Bandung : PT Remaja Rosdakarya.

Azizah Othman.2003. Gejala Sosial Dalam Masyarakat dan Cara Mengatasinya. Pendidikan Islam. Bentong, Pahang : PTS Publications & Distributor Sdn Bhd. Mardzelah Makhsin (editor).

Danial Zainal Abidin.2004. 7 Formula Individu Cemerlang. Kuala Lumpur : PTS Millennia Sdn Bhd.

Mahmud Yunus.1973. Tafsir Quran Karim. Jakarta : P.T. Hidayakarya Agung.

Syed Hussein Alattas.2005. Pemikiran dan Falsafah Pendidikan : Mahasiswa Abad 21. Kuala Lumpur : Fakulti Pendidikan UKM dan Yayasan Istana Abdul Aziz. Abdul Razaq Ahmad (editor).

Berita Harian,10 Disember 2006. Jangan Salahkan Sistem di Sekolah.

Universal McCann Malaysia. Kajian Suara Pengguna. Advetorial The Star, 9 Disember 2006.

No comments:

Post a Comment