Saturday, October 23, 2021

Keluasan berfikir


Orang bijak pandai pernah berkata begini, “Tatkala kejayaan diberi perhatian, seseorang tidak diukur berdasarkan tinggi, berat, berijazah atau latar belakang keluarga, sebaliknya diukur dengan keluasan berfikir”. 

Berfikir seluas-luasnya memberi faedah kepada sesiapa sahaja dan dalam bidang apa sekalipun. 

Apabila bos kita mengingatkan kita tentang hubungan baik dengan pelanggan lebih penting daripada mendapat untung berganda, dia mengingatkan kita tentang gambaran mental yang lebih besar. 

Berfikiran besar memberi gambaran keseluruhan dan kematangan berfikir. Ia memberi perspektif dan menyediakan kemungkinan fikiran yang lebih besar. 

Teruskan belajar membuat gambaran hidup lebih luas untuk menjadi pemikir yang hebat.


Friday, October 22, 2021

Pemikir yang hebat


Bagaimana hendak menjadi seorang pemikir yang hebat atau yang berkesan? 

Napoleon Hill berkata, “Lebih banyak emas yang digali daripada pemikiran manusia daripada emas yang digali dari tanah”. Maksudnya, pemikiran manusia yang berupaya berfikir dengan baik umpama batu permata yang tidak pernah pupus. 

Apabila kita mengambil sedikit masa untuk belajar tentang bagaimana menjadi pemikir yang hebat, sebenarnya kita sedang membuat pelaburan kepada diri sendiri. 

Tambahkan lagi pelaburan minda ini dengan pendedahan diri kepada input-input yang baik, berkawan dengan “the right people”, pilih untuk berfikir dengan perkataan-perkataan yang berkualiti dan beri perhatian kepada idea yang bernas. 

Apabila yang baik-baik berada dalam minda kita, tentulah kita boleh jadi pemikir yang hebat.


Wednesday, October 20, 2021

Fikirkan ‘kenapa’ untuk selesai masalah



Di sekolah dan universiti, kita diajar dan dididik untuk berfikir. 

Kenapa berfikir? Apakah pentingnya berfikir? 

Pemikir sentiasa diperlukan, bila-bila masa dan di mana sahaja. 

Orang yang tahu ‘bagaimana’ barangkali mudah mendapat tawaran pekerjaan tetapi orang yang tahu ‘kenapa’ sentiasa menjadi bos. 

Seorang pemikir menyelesaikan masalah, menerima idea-idea baharu setiap masa dan senantiasa optimis terhadap masa hadapan. 

Orang yang berusaha mengembangkan potensi fikirannya, pada suatu ketika akan mampu memimpin orang lain, biarpun dalam keadaan tertekan. 

Dengan kata lain, pemikir adalah seorang yang berjaya. Kajian-kajian tentang pemikir yang berjaya memang banyak dilakukan khususnya di Barat. 

Kesimpulan yang dibuat ialah kita boleh mempelajari cara berfikir orang-orang yang berjaya ini. Jika kita tukar cara berfikir, kita boleh menukar sebuah kehidupan.



Tuesday, October 19, 2021

Balas jasa ibu bapa



Mana-mana kekayaan yang melibatkan keluarga tentulah ada kaitan langsung dengan ikhtiar dan pengorbanan ahli keluarga. 

Jika kita membuat sedikit analisis, kejayaan dalam kehidupan berkeluarga sering kali berkait dengan kejayaan dalam kehidupan individu. 

Cuba kita perhatikan kejayaan individu yang dipilih sebagai tokoh-tokoh masyarakat, mereka ini menjadikan keluarga sebagai tapak membentuk komitmen, inisiatif, membentuk kesabaran dan menajamkan dedikasi diri. Begitu juga dengan pengorbanan. 

Terdapat ibu yang sanggup bersusah-payah bekerja siang dan malam untuk membesarkan anak-anak sehingga belajar di universiti, ada bapa yang melakukan dua atau tiga kerja seminggu untuk mencari wang menghantar anak-anak ke kelas tuisyen. 

Akhirnya jasa ibu bapa dibalas anak-anak melalui usaha bersungguh-sungguh belajar ke universiti. 

Inilah yang kita mahukan.


Monday, October 18, 2021

Persediaan berkeluarga



Remaja yang bercita-cita hendak membina keluarga pada usia muda perlu membuat persediaan awal. 

Walaupun pendedahan dalam kursus praperkahwinan sudah mencukupi, inisiatif menambahkan pengetahuan dalam rumah tangga akan memperkayakan ilmu kekeluargaan. 

Pada saya, terdapat tiga ilmu yang mesti ditambah. Pertama, kaedah menjaga kesihatan diri dan keluarga. Anggota badan yang penting seperti gigi, mata dan telinga wajar sentiasa dijaga. Kebersihan diri juga patut menjadi amalan. Prinsip yang penting ialah rawat sebelum parah.

Kedua, pengetahuan asas ekonomi keluarga. Pengurusan wang yang betul dapat mengelak pembaziran dan membantu menambah simpanan. 

Ketiga, ilmu agama untuk menambah pengetahuan dalam kekhusyukan solat, puasa, ketaatan kepada ibu bapa adalah antara perkara yang mesti ada dalam keluarga sebagai benteng diri yang paling hebat.


Sunday, October 17, 2021

Rumah tangga yang mendapat cahaya



Ikatan perkahwinan menghubungkan dua personaliti yang berbeza tetapi saling lengkap-melengkapi. Kehidupan suami isteri ini digelar rumah tangga. 

Rumah tangga ini boleh dicorakkan mengikut spesifikasi yang kita mahu. Rumah tangga yang indah ialah rumah tangga yang memiliki persekitaran fizikal yang bersih, selesa, teratur, terurus dan mengikut syariat supaya hidup menjadi tempat kediaman yang paling lama. 

Ia perlu sentiasa diberi cahaya supaya hidup menjadi berkat dan mendapat redha Allah swt.
 
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud, “Berilah cahaya rumah tangga kamu dengan mendirikan solat dan membaca al-quran”, Riwayat Baihaqi. 

Jadi, cuba praktikkan solat berjemaah di rumah dan membaca al-quran setiap hari di rumah kita.


Saturday, October 16, 2021

Agama dan akhlak paling berharga



Pada asasnya, perkahwinan merupakan sunnah alam semula jadi untuk melanjutkan dan mengekalkan keturunan. Ikatan perkahwinan membentuk institusi sosial yang dapat melahirkan generasi yang berkualiti, memenuhi berbagai-bagai keperluan hidup seperti keperluan fizikal, keselamatan emosi, sosial dan tazkiyah. 

Ketenteraman jiwa, kepuasan jasmani dan keselamatan diri dapat diperoleh daripada keluarga yang bahagia. 

Bagi memastikan ikatan perkahwinan terus kekal dan matlamat perkahwinan tercapai dengan jaya, proses mendapatkan jodoh mesti dibuat dengan teliti. 

Daripada perspektif Islam, penghayatan agama dan kekuatan akhlak merupakan perkara yang paling berharga dan ukuran utama bagi memilih jodoh. 

Kriteria ini merangkumi bakal suami dan bakal isteri.


Friday, October 15, 2021

Keluarga berdaya maju


Masyarakat maju terbentuk daripada keluarga yang berdaya maju tetapi hendak membentuk keluarga yang berdaya maju ini bukannya mudah kerana keluarga melibatkan banyak aliran pemikiran walaupun bersama di bawah satu bumbung. 

Jadi, bagaimana hendak mewujudkan daya maju dalam keluarga? 

Daya maju ini berkaitan dengan menggerakkan ‘tabiat saya’ yang berorientasikan saling bergantung dan kerjasama. 

Impak budaya kekitaan ini sangat hebat kerana anggota keluarga bekerjasama menggabungkan bakat dan pengetahuan untuk membina situasi yang lebih baik.

Kerjasama dan gabungan ini dinamakan sinergi yang menjadikan usaha yang kecil menghasilkan kejayaan berganda-ganda.


Thursday, October 14, 2021

Makna ibu bapa yang berjaya


Mungkin ramai yang tercari-cari makna ibu bapa yang berjaya. Saya juga tercari-cari dan masih mencari. 

Pada saya, sebuah buku yang agak baik dan mudah difahami boleh kita baca iaitu ‘Keluarga Bardaya Maju’. 

Buku ini menyatakan ibu bapa yang berjaya merujuk kepada mereka yang melaksanakan tugas sebagai ibu dan bapa sehingga anak-anak dapat mengembangkan potensi diri untuk menjadi orang yang beriman, berakhlak mulia dan berguna kepada masyarakat. 

Perkara asas lain mesti dipelajari ibu bapa ialah pengetahuan agama tentang kemahiran keibubapaan, kebolehan mendidik anak, kemahiran komunikasi, kebolehan memberikan kasih sayang, mengurus rumah tangga dan cekap mengatasi ketegangan dalam keluarga.