Saturday, July 31, 2021

Pemikiran positif dan pemikiran negatif



Ada dua jenis pemikiran, pertama, pemikiran positif, kedua, pemikiran negatif. 

Pemikiran positif terbentuk daripada amalan-amaan hidup yang sentiasa menekankan perbaikan diri dan bersedia membantu orang lain. 

Amalan seperti buat kerja bersungguh-sungguh, cekal dan tabah adalah nilai-nilai asas yang membantu pembentukan personaliti diri yang berdaya juang. 

Pemikiran positif menjadikan hidup kita penuh dengan cabaran. 

Cabaran ini bukan menjadikan kita lemah tetapi memberi dorongan untuk menyempurnakan kerja-kerja kita. 

Banyak contoh orang yang berfikiran positif yang berjaya dalam pelajaran, perniagaan, keluarga dan kehidupan. 

Mari kita tanamkan pemikiran positif dalam setiap usaha dan tindakan kita.


Friday, July 30, 2021

Cuba hingga berjaya



Seorang jurujual yang baharu menceburi bidang jualan kerap kali gagal membuat ‘sale’ kerana takut sekali untuk membuat panggilan telefon atau gementar untuk berjumpa prospek bagi menawarkan produk. 

Bagi jurujual yang berpengalaman, sekali dua membuat panggilan telefon untuk temujanji adalah biasa tetapi belum tentu akan ada orang yang hendak membeli. 

Dia mungkin membuat panggilan telefon sebanyak 20 kali kerana mungkin lima atau enam panggilan akan berhasil. 

Dalam setiap usaha yang kita lakukan, kita mesti buat yang lebih banyak supaya kita tidak kecewa dan putus harapan. 

Apa yang penting ialah kita mesti mencuba sehingga berjaya. Kita tidak boleh berputus asa atau cepat patah semangat. 

Cuba dan terus mencuba supaya matlamat tercapai. Apabila berjaya, tentulah kita merasa puas.


Thursday, July 29, 2021

Kita sendiri tentukan hidup


Semua orang diberi masa 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 30 hari sebulan. Setiap orang juga menguruskan masa-masa ini dengan cara sendiri. 

Bagi orang yang ‘smart’, mereka akan membuat perancangan harian, buat senarai seperti peta jalan supaya mudah buat kerja dan dapat kurangkan kos. 

Bagi orang yang kurang ‘smart’, senarai hanya dalam kepalanya kerana dia boleh ingat seketika tetapi kebanyakannya perlu diingatkan. 

Kaedah terbaik ialah sentiasa membawa pen dan kertas kerana ada saja idea-idea bagus yang terlintas di fikirannya. 

Merancang adalah proses yang menggerakkan fikiran kita untuk mencari penyelesaian hidup. Gunakan lebih banyak masa untuk memikirkan penyelesaian, bukannya masalah. 

Hidup kita, kita sendiri yang tentukan kesudahannya.

Wednesday, July 28, 2021

Agihan gaji bulanan


Menabung atau savings adalah satu akedah untuk mendapatkan wang bagi membeli barang-barang yang kita perlu atau hendak. 

Ada orang yang boleh berdisiplin menyimpan wang gaji dan konsisten tetapi ada yang agak sukar. 

Bagi orang yang memiliki sikap konsisten dalam menabung dari setahun ke setahun, jumlah tabungan akan terus meningkat dan dipelbagaikan. 

Mungkin dilaburkan dalam pendidikan, hartanah ataupun modal untuk memulakan sesuatu yang ‘adventures’. 

Cara lain untuk tambah tabungan ialah bijak urus pendapatan. 

Daripada 100 peratus gaji, peruntukan 5 hingga 10 peratus lagi untuk bahagian simpanan, 10 hingga 15 peratus lagi untuk keperluan kecemasan dan selebihnya barulah digunakan untuk keperluan harian, keluarga dan apa-apa yang kita hendak.

Tuesday, July 27, 2021

Keperluan dan kehendak


Ada dua sifat yang selalu mendesak kita tetapi kedua-dua sifat ini sangat mengelirukan. Dua sifat ini ialah keperluan dan kehendak. 

Kita belajar dan bekerja untuk memenuhi keperluan dahulu, kemudiannya barulah kehendak.

Apakah keperluan ini? 

Saya bagi contoh mudah. Katakan di negara kita ini sudah ramai lepasan graduan dari universiti sama ada di dalam ataupun luar negara. 

Tujuan belajar ke universiti ialah supaya mudah mendapat pekerjaan tetapi kalau sudah ramai sedangkan pekerjaan agak terhad, bagaimana hendak mendapat kerja? 

Di sinilah timbulnya keperluan iaitu menambah ‘soft skills’ atau kemahiran insaniah yang membezakan kita dengan orang lain. 

Dari sini, baharulah majikan boleh berminat dengan kita.

Monday, July 26, 2021

Sentiasa baiki diri


Kejayaan dan kecemerlangan merupakan nilai dan tanda aras yang sentiasa menjadi kebanggaan dan ikutan. 

Dalam pekerjaan, anugerah khidmat cemerlang diadakan setiap tahun dalam jabatan kerajaan dan di sekolah, diadakan hari penyampaian hadiah. 

Salah satu masyarakat yang selalu mengutamakan kecemerlangan ialah orang Jepun. Mereka menggunakan konsep ‘kaizen’ iaitu sentiasa membaiki diri dalam semua aspek hidup. 

Orang yang berjaya sebenarnya tidak bermula dengan kosong sebaliknya sentiasa berlatih dan membaiki kelemahan dan kekurangan diri. 

Berusaha membaiki diri dengan cuba mengatasi kelemahan-kelemahan supaya mendapat hasil kerja yang terbaik.

Sunday, July 25, 2021

Kehebatan infaq Abdul Rahman bin Aus


Anak-anak muda hari ini ramai yang sudah menunjukkan minat dalam bisnes. Macam-macam jenis bisnes. 

Hari ini saya ingin berkongsi tentang bagaimana sahabat-sahabat Nabi Muhammad saw menjalankan bisnes mengikut landasan syariah dan berkat. 

Abdul Rahman bin Aus memiliki jiwa dan budaya infaq. Beliau menjual sebidang tanah bernilai jutaan ringgit dan mengagihkan hasil jualan kepada saudara-mara dan orang Islam yang miskin.

Beliau juga pernah memberi penghargaan kepada setiap orang yang tidak terbunuh dalam perang Badar. 

Semasa meninggal dunia, harta yang diwarisi oleh waris-warisnya hampir berjuta ringgit. 

Bisnes dan infaq adalah kombinasi yang sangat baik untuk memajukan ekonomi diri, keluarga, masyarakat dan negara. Kalau rasa bisnes kurang menjadi, mungkin kena praktis amalan infaq.


Saturday, July 24, 2021

Kaya kerana keberkatan dan taqwa


Kali ini kita kembangkan lagi kaya kerana keberkatan, cara kedua bagaimana Allah swt memberi kekayaan kepada kita. 

Kekayaan yang dikurniakan Allah swt kerana keberkatan doa daripada ibu bapa, guru dan amalan-amalan soleh yang dipandang besar ganjarannya oleh Allah swt. 

Keberkatan juga boleh diraih melalui membuat bakti kepada ibu bapa, anak yatim dan fakir miskin. 

Ketiga, taqwa. 

Buat apa yang Allah swt suruh dan tinggal yang dilarang, sentiasa merasa hamba dan perlu bergantung harap kepada Allah swt. 

Kekayaan atas dasar berkat belum tentu selamat dan menyelamatkan tetapi kekayaan atas dasar taqwa adalah lebih selamat dan menyelamatkan.


Friday, July 23, 2021

Kaya kerana kuat


Terdapat tiga cara bagaimana Allah swt memberi kekayaan kepada kita. 

Pertama, kerana kekuatan (quwwah), kedua kerana keberkatan (amalan baik yang dilakukan) dan ketiga kerana taqwa (takut kepada Allah swt). 

Mari kita lihat satu per satu. 

Pertama, kekuatan. Maksud kekuatan di sini ialah fizikal tubuh badan dan material seperti wang ringgit, ilmu dan kepintaran, kesihatan tubuh badan, kemajuan sains dan teknologi, pandai berstrategi, membuat perancangan dan bijak bertindak. 

Kejayaan memperolehi kekayaan seperti ini Allah swt kurniakan bersesuaian dengan usaha dan kemampuan kita. 

Ia adalah lumrah kepada semua orang. 

Antara ciri kekuatan yang boleh dibentuk ialah kreativiti dan inovasi, perancangan strategi dan sistematik, aktif dalam meneroka pasaran dan sebagainya.


Thursday, July 22, 2021

Berjaya kerana bertindak


Cuba kita tengok, teliti dan berfikir tentang bagaimana orang yang berjaya boleh berjaya.

Apakah kelebihan mereka? Apakah bezanya mereka dengan kita? 

Beza orang yang berjaya dan gagal adalah sangat jelas. 

Analoginya begini. 

Daripada lima orang, tiga orang tidak ada matlamat, cuma dua orang yang ada matlamat. Daripada dua orang ini, hanya seorang yang membuat tindakan. 

Dia inilah yang berjaya dalam hidup. 

Matlamat yang dilaksanakan itu boleh jadi bermacam-macam seperti hendak belajar di universiti, menjadi pelajar terbaik, memulakan bisnes atau mendapatkan pekerjaan yang lebih baik. 

Ada orang yang kurang pandai dalam pelajaran tetapi berjaya dalam bisnes kerana memiliki personaliti yang menepati ciri-ciri keusahawanan. 

Biar siapapun kita, mempunyai matlamat dan melaksanakannya adalah tindakan yang terbaik untuk dirinya.