Monday, July 01, 2019

Cendol Jam Besar








Hills dan Narayan (1988) telah mengenal pasti faktor-faktor kejayaan sesebuah perniagaan dan mengenal pasti ciri-ciri serta peranan maklumat pasaran dalam perniagaan. Hasil kajian menunjukkan bahawa 78 peratus responden memilih makanan dan juga perkhidmatan yang berkualiti tinggi sebagai faktor kejayaan yang paling utama. Selain itu 45 peratus memilih reputasi pelanggan yang baik.

Bisnes yang diketengahkan kali ini adalah Cendol Jam Besar di Jalan Laksamana, Bandar Hilir, Melaka. Lokasi ini terletak di tengah-tengah Bandar hilir Melaka dan terletak berhadapan dengan gereja yang berwarna merah yang terdapat sebuah menara jam.

Berdasarkan tinjauan ke lokasi perniagaan Cendol Jam Besar, kebanyakan pelanggan dan pelancong memberikan komen positif. Antaranya adalah, “sedap, terbaik, lepas tu cendol dia memang lain dari yang lain”. Dalam sesebuah perniagaan, faktor yang paling penting untuk seseorang peniaga berjaya adalah perlu peka kepada keperluan pelanggan dan juga kepuasan pelanggan.

Namun, gaya pengurusan di Cendol Jam Besar adalah berbeza daripada kedai-kedai cendol yang lain. Hal ini kerana, dengan cendolnya yang unik, mampu menarik minat orang ramai termasuk pelancong untuk menikmati cendol tersebut. Pengurusan Cendol Jam Besar yang sistematik dan dinamik dapat memastikan perniagaan tersebut dapat mengekalkan dan memperbaiki prestasi ke arah yang lebih baik dan maju sekali gus memberikan layanan yang terbaik kepada orang ramai dan pelancong. Pengasas Cendol Jam Besar, Encik Muhammad Kassim bin Muhammad Ai melatih pekerjanya untuk melakukan kerja dengan lebih pantas supaya dapat memenuhi kehendak pelanggan di samping cuba memberikan yang terbaik untuk orang ramai mahupun pelancong.

Wawasan utama Cendol Jam Besar ialah mengembangkan empayar perniagaan sehingga menjadi terkenal. Keistimewaan bisnes ini adalah cendol durian yang boleh dinikmati pada bila-bila masa. Para pelancong yang berkunjung ke Malaysia sedia tahu bahawa musim raja buah di Malaysia hanyalah dua kali dalam masa setahun namun di Cendol Jam Besar, stok durian kekal ada untuk dihidangkan bersama dengan cendol. Encik Kassim menyatakan bahawa stok durian yang diambil diperolehi daripada pembekal eksport durian terbesar di dunia. Pembekal tersebut menyimpan isi durian dalam keadaan sejuk beku atau ‘frozen’. Isi durian yang disimpan mempunyai jangka hayat atau tarikh luput yang agak lama iaitu kira-kira setahun penggunaannya.

Selain itu, pengusaha Cendol Jam Besar ini juga berhasrat meningkatkan tahap perniagaan dengan cara  mengenengahkan cendol sebagai produk pelancongan yang dapat menarik perhatian pelancong dari luar negara yang bertandang ke Malaysia khususnya di Melaka.
           

Cabaran atau Halangan

Sebelum perniagan cendol ini sampai kepada tahap kemajuan hari ini, Encik Kassim pernah mengalami perlbagai halangan dalam meneruskan perniagaan cendol beliau. Perniagaan turun-temurun ini telah beroperasi selama tiga generasi iaitu bermula dari datuk beliau pada tahun 1952, seterusnya resipi cendol ini diturunkan kepada bapa beliau dan kemudiannya turun kepada beliau sendiri. Pada peringkat awal hanya cendol biasa dan cendol jagung dijual. Setelah Encik Kassim mengambil alih perniagaan ini, beliau menginovasikan juadah cendol yang dijual. Antaranya menambah beberapa lagi menu lain seperti meletakkan aiskrim pada cendol yang dihidangkan. Selain itu, penambahan isi durian yang enak meningkatkan lagi daya tarikan gerai cendol beliau.

Walhal lagi, beliau juga menghadapi cabaran dalam memastikan kepuasan hati pelanggan yang menikmati cendol. Hali ini kerana tanpa adanya pelanggan, sesuatu bisnes atau perniagaan yang beroperasi tidak dapat berkembang kerana tidak memperoleh sebarang jualan. Beliau memberikan fokus sepenuhnya bagi memastikan pelanggan berpuas hati khususnya dari segi rasa cendol itu sendiri atau persekitaran gerai. Berdasarkan pemerhatian, prestasi kebersihan gerai Encik Kassim berada dalam keadaan yang baik. Layanan mesra juga ditunjukkan oleh pekerja-pekerja Encik Kassim. Bisnes cendol ini barangkali tidak mampu mencapai tahap kini sekiranya pekerja mahupun Encik Kassim sendiri bersikap tidak mesra dengan pelanggan. Jika ini berlaku, maka bisnes yang dibina itu boleh terbantut dari segi perkembangan malahan mengakibatkan kejatuhan daya tarikan pelancong dengan sikap orang tempatan yang tidak ramah kepada orang luar.

Encik Kassim juga sempat berkongsi kunci kejayaan beliau dalam bisnes yang diceburi. Antara kata-kata emas yang beliau kongsikan ialah ‘untuk sesuatu perniagaan terus maju …ialah kualiti yang didapati pada hasil produk melebihi kuantiti yang terlekat pada produk yang dihasilkan’. Jika produk yang dihasilkan dapat memuaskan dan memenuhi permintaan pelanggan, maka pelanggan akan senang untuk kembali membeli lagi produk yang dihasilkan.


Impak

Hasil daripada ketekunan dan dedikasi terhadap perusahaan tiga generasi, perniagaan cendol ini menunjukkan banyak impak positif kepada bisnes Encik Kassim sebagai pengusaha cendol. Tekad beliau ialah menghadapai segala aral yang mendatang dengan sabar dan bijak dalam menyelesaikan sesuatu masalah itu. Contohnya, beliau mampu untuk berfikir secara kritis dengan menambahkan variasi cendol selepas beliau mengambil alih bisnes tersebut.

Seterusnya, cendol yang diangkat sebagai produk pelancongan ini mendatangkan menarik kehadiran pelancong dari China, Taiwan, Hong Kong dan Eropah untuk merasai kenikmatan Cendol Jam Besar lebih-lebih lagi dengan menu istimewanya iaitu cendol durian yang enak.

Selain itu, pendedahan Cendol Jam Besar melalui pelbagai perpsektif dan saluran media, ia secara tidak langsung mampu meningkatkan aktiviti bisnes sampingan seperti gerai makanan dan minuman. Tambahan lagi, bisnes yang dijalankan ini dapat membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat. Ia dapat menjadi sumber pendapatan bagi pekerja-pekerja yang berkhidmat di gerai cendol ini. Oleh yang demikian, mereka dapat meningkatkan taraf kehidupan mereka ke arah atau tahap kehidupan yang lebih baik.
Kesimpulan

Industri makanan harus diberi sokongan padu tidak kira sama ada industri yang dijalankan secara kecil-kecilan mahupun secara komersil bagi meningkatkan produktiviti dan keluaran barangan negara. Hal ini kerana industri makanan mampu menjadi satu tarikan pengunjung apabila diolah sebagai sesuatu tarikan yang menarik pandangan masyarakat sekitar mahupun pelancong. Oleh hal demikian, industri makanan harus juga dititikberatkan dalam meningkatkan status pelancong dalam dan luar negara.

Pelbagai jenis kemudahan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan dalam memajukan industri-industri di Malaysia antaranya adalah pemberian pinjaman modal untuk memulakan perniagaan serta membangunkan industri kecil dan sederhana (IKS) di seluruh Malaysia. Melalui kemudahan ini, para peniaga mampu untuk menjalankan dan memajukan perniagaan mereka dengan baik dan sempurna.


Rujukan

Pengenalan Kepada Perniagaan, http://pengajianperniagaan.wordpress.com.
Ricky W. Griffin, R. J. (2002). Business. Petaling Jaya, Selangor: Prentice Hall Zumilah. (1999). Pengenalan Kepada Perniagaan. Kuala Lumpur: Elman.
http://tourismmelakaofficial.blogspot.com/2017/12/6-lokasi-aiskrim-cendol-durian-viral-di.html.
https://www.google.com/search?q=CENDOL+JAM+BESAR&oq=cendol+&aqs=chrome.0.69i59j69i60j69i57j69i59.4437j0j4&sourceid=chrome&ie=UTF-8.


Pengkaji:
Akmal Hazim bin Mohamed, Muhd Azammudin bin Arbain, Mohd Afiq Aiman bin Zakaria, Janzen Teo Wee Hui, Mohd Shahrul Riduan bin Alias

Tuesday, May 14, 2019

Setahun PH di Putrajaya







Pakatan Harapan (PH) mentadbir Malaysia sebagai kerajaan baharu apabila memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018. Bulan ini genap setahun pentadbiran PH dengan azam mengembalikan kegemilangan Malaysia sebagai kuasa ekonomi di Asia Tenggara. Kemenangan PH pimpinan Tun Mahathir Mohamad ini disambut dengan kegembiraan di seluruh negara dan menerima respon positif daripada negara-negara luar yang mahu melihat perubahan rejim di Malaysia.

Peralihan kuasa secara aman menunjukkan masyarakat Malaysia yang berbilang etnik dan agama telah berada dalam posisi matang apabila membuat keputusan menolak dominasi kuasa 61 tahun Perikatan dan Barisan Nasional (BN).

Rakyat bertindak menolak BN kerana dasar dan sistem pentadbiran yang diamalkan sudah mencapai tahap kritikal khususnya membebankan hidup kerana peningkatan harga barangan dan perkhidmatan melalui pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Selain itu, isu 1MDB yang mendapat kecaman di dalam dan luar negara gagal ditangani dengan baik oleh pimpinan BN sehingga mempengaruhi persepsi rakyat terhadap salah guna kuasa dan pecah amanah.

Sambutan rakyat terhadap ceramah PH yang diadakan di seluruh negara bertambah rancak dalam bulan-bulan terakhir kempen pilihan raya apabila Tun Mahathir Mohamad sendiri yang turun berucap dan menggelar Najib Razak sebagai 'penyamun, perompak dan penyangak'. Kenyataan seperti itu mempengaruhi pemikiran rakyat kerana aura beliau sebagai bekas perdana menteri masih kuat.

Pimpinan BN tentu berasa kecewa kerana kehilangan kuasa dan berharap akan kembali menjadi pentadbir dalam pilihan raya akan datang melalui pendekatan bergabung dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS) di samping mengekalkan hubungan dengan parti komponen Cina dan India serta Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Biarlah BN dengan strategi mereka dan kita doakan mereka berjaya dalam usaha-usaha yang sedang dilaksanakan.

Pencapaian PH dalam tempoh setahun ini masih belum menyeluruh. Perkara pertama yang mereka lakukan ialah menghapuskan GST dan beberapa peraturan yang mengekang pemikiran dan kebebasan bersuara rakyat. Walaupun tindakan-tindakan ini dilihat sangat pantas, terdapat beberapa isu utama lain yang sangat perlahan.

Pertama, reformasi pendidikan yang masih tidak 'take off' khususnya pendidikan tinggi. Sesetengah ahli akademik muda di universiti masih merungut dengan peruntukan kewangan yang terhad untuk penyelidikan. Biarpun autonomi diperoleh, universiti masih dikekang dengan pola pemikiran 'diberi bantuan' kerana elemen berdikari bagi menjana pendapatan tidak selari dengan kemahiran dan pengalaman ahli akademik dan pentadbir universiti. Pada masa yang sama, pelbagai peraturan yang perlu dipatuhi untuk urusan masuk dan keluar wang. Walaupun pelajar didedahkan dengan pelbagai kemahiran keusahawanan, tenaga akademik perlu mencari ilmu bisnes bersendirian.

Kedua, kos hidup yang tinggi tidak banyak berubah. Sesetengah harga barang masih tidak berubah melainkan barangan makanan dan minuman. Nilai wang RM50 yang dibelanjakan untuk barangan dapur semakin mengecil kerana harga barang tidak banyak diturunkan. Margin penurunan tidak banyak berubah dan masih memberi tekanan kepada pengguna. Biarpun harga petrol berada di paras munasabah, mengekalkan harga barangan lain pada harga sedia ada mengurangkan keupayaan rakyat untuk menyimpan atau berbelanja pada sektor lain yang menjadi harapan masa hadapan seperti tabungan pendidikan dan kesihatan.

Ketiga, persepsi terhadap kelemahan Islam. Akhir-akhir ini kita mendengar kritikan terhadap cara kerajaan PH mengendalikan perbezaan pendapat dan pandangan terhadap isu-isu masyarakat Islam dan bukan Islam seperti program jelajah Dr Zakir Naik, kes mahkamah yang melibatkan status anak pasangan Islam dan bukan Islam serta kelantangan aktivis politik dan kemanusiaan yang ingin menuntut hak bagi golongan songsang. Dalam isu ini, persepsi awal muncul apabila dua parti Melayu iaitu UMNO dan PAS bergabung sebagai manfestasi perjuangan dan survival Melayu dan Islam dalam barisan kabinet yang didominasi bukan Islam. Persepsi awal mungkin dirasai oleh ahli politik namun ia telah menjangkau kepada golongan pemikir dan agamawan seterusnya rakyat biasa. Persepsi ini semakin menebal apabila sedikit demi sedikit hak-hak masyarakat Melayu dan Islam dikurangkan seperti kuasa di peringkat persekutuan dalam pelantikan Peguam Negara dan pengguguran kes-kes melibatkan ahli politik dan aktivis yang tidak selari dengan pemikiran agamawa serta biasiswa. Ada juga ahli politik yang mempersoalkan kenapa kouta bukan bumiputera di kolej matrikulasi masih rendah di sebalik peningkatkan bilangan pelajar yang akan diambil nanti. Peranan media sosial telah mempercepatkan penebalan persepsi ini dan kerajaan PH dilihat sangat perlahan mempamerkan hujah dan melakukan tindakan balas. Perbincangan di media sosial lebih menjurus kepada hujah tanpa fakta yang menyukarkan rakyat membuat pertimbangan.

Isu-isu lain masih banyak yang perlu ditangani oleh menteri dan barisan kabinet kerana Tun Mahathir Mohamad hanya memberi skor lima per sepuluh terhadap prestasi mereka selama setahun ini. Tempoh setahun lagi mungkin boleh meningkatkan skor tersebut. Bagaimanapun rakyat akan terus menilai prestasi kerajaan PH kerana wujud kesangsian terhadap keupayaan mereka mengurus dan mentadbir kerajaan.


Friday, May 03, 2019

Dalam mendidik anak-anak, biarlah kita menangis







Ishak Din, Harun Din dan Abu Hassan Din adalah tiga nama yang gah dalam bidang agama Islam di Malaysia khususnya di Perlis. Ayah mereka dipanggil Lebai Din iaitu gelaran terbaik kepada orang alim, imam atau guru agama di Perlis.

Ketiga-tiganya merupakan adik-beradik yang dilahirkan di Bohor Mali, Simpang Empat, Perlis yang di kelilingi bendang sawah padi.

Kematian Datuk Seri Abu Hassan Din al-hafiz baru-baru ini mengiringi pemergian Ustaz Harun Din dan Ustaz Ishak Din. Jasa mereka bertiga terhadap pembangunan agama Islam di Perlis sangat banyak khususnya dalam memberi semangat dan dorongan kepada anak-anak kampung dan generasi muda untuk memahami agama dan membaiki masyarakat sama ada melalui pendidikan atau politik.

Pemikiran sederhana yang ditampilkan oleh tiga orang adik-beradik ini menarik perhatian orang ramai untuk menggali lebih banyak ilmu dan pengetahun.

Ustaz Harun Din misalnya, dikenali sebagai pensyarah dan pengamal perubatan Islam telah mendidik puluhan pelajar yang menjadi anak muridnya di Universiti Kebangsaan Malaysia dan pernah tampil dalam banyak siri rancangan agama di televisyen dan radio.

Ketika menyampaikan kuliah di Universiti Kebangsaan Malaysia, dewan kuliah biasanya penuh dan pelajar sanggup duduk di tangga-tangga dewan semata-mata mahu mendengar dan menggarap ilmu yang disampaikan.

Hari ini, anak murid dan pelajarnya bertebaran ke seluruh negara, menjadi lidah penyambung ilmu dan amal beliau.

Kuliah terakhir Abu Hassan Din yang disampaikan di Seremban telah dimuat naik ke laman Youtube dengan tajuk “Di ambang Ramadhan’ menjadi buah tangan paling berharga untuk kita semua. Dalam klip video itu beliau seringkali mengingatkan jemaah supaya jangan sekali-kali tidak meninggalkan sembahyang walaupun sekali.

Menurut beliau lagi, seseorang perlu ada ‘akaun akhirat’ untuk menerima pahala daripada amal-amal baik yang dilakukan. Akaun yang beliau maksudkan adalah sembahyang lima waktu. Andai seseorang mengerjakan sembahyang dan melakukan amalan yang soleh, insya Allah akan mendapat ganjaran di sisi Allah swt.

Pemergian ketiga-tiga tokoh agamawan ini amat menghibakan. Semoga Allah swt menganjarkan pahala sebanyak-banyaknya kepada mereka dan ditempatkan di sisi-Nya bersama-sama roh golongan soleh.

Nasihat terbaik Allahyarham adalah, ‘Dalam mendidik anak-anak, biarlah kita menangis. Jangan satu hari nanti, mereka pula akan menyebabkan kita menangis’.

Thursday, April 11, 2019

Keperibadian anggota Ikhwan







Dalam buku Bersama Kafilah Ikhwah tulisan Abbas As-Siisi, mursyidul am Ikhwanul Muslimin, Ustaz Hasan al-Hudaibi ditemu bual oleh seorang wartawan yang berasa hairan melihat sikap orang yang lalu-lalang di hadapannya sambil memberi salam. 

Lalu wartawan tersebut bertanya, 'Apakah orang ini adalah Ikhwan?' 

Beliau menjawab, 'Tidak'.

Wartawan itu bertanya kembali, 'Bagaimana kamu membezakan anggota Ikhwan daripada yang lain?'

Ustaz Hasan al-Hudaibi menjawab bahawa beliau mengenal setiap anggota Ikhwan melalui kelembutan dan ciri-cirinya yang menenangkan hati, dari senyumannya yang menawan dan tatapan matanya yang sejuk.

Anggota Ikhwan Muslimin tidak dikenali melalui nama mereka sebaliknya melalui watak dan sikap mereka. 

Kelembutan yang dimaksudkan ialah nada suara dan jenis bahasa yang digunakan.

Mereka juga tidak meninggikan suara untuk memekik atau ketawa terbahak-bahak sebaliknya bercakap dengan suara yang jelas dan perkataan yang baik-baik.

Merendah diri dan memuliakan orang lain menjadi keutamaan mereka.

Seorang anggota Ikhwan sentiasa memulai pertemuan dengan memberi salam dan bertanya khabar sambil diiringi senyuman. Boleh dikatakan sepanjang perbualan mereka cuba mempamerkan senyuman yang dapat mengekalkan keinginan untuk berbicara.

Manakala memandang mata mereka menjadikan hati tenteram dan damai. Pandangan ini tidak dibuat-buat sebaliknya telah melalui proses tarbiah yang panjang. Proses ini sentiasa diperkukuhkan dalam ijtima' am atau mukhayyam supaya wajah yang manis dan mendamaikan itu menjadi sumber dakwah yang berkesan.

Barangkali setiap pejuang Islam inginkan peribadi yang dimiliki oleh Ikhwanul Muslimin. Peribadi seperti ini sukar diproses jika berseorangan tetapi menjadi lebih mudah apabila berada dalam kelompok jama'i yang bercita-cita melahirkan pendokong dakwah dan tarbiah yang cekap, berkesan dan berupaya pula berbakti kepada masyarakat.


Wednesday, April 10, 2019

Peranan ahli akademik







Pengaruh fakta terhadap sesuatu keputusan tidak dapat disangkal biarpun kuasa politik mendominasi proses membuat keputusan. Fakta yang tepat dan munasabah boleh melemahkan hujah dan meredakan emosi.

Justeru keberanian empat orang ahli akademik berkongsi kepakaran mereka berkaitan kesan Statut Rome ke atas institusi beraja amat bertepatan dengan konsep ketinggian ilmu dalam menidakkan keputusan kerajaan ketika menandatangani statut berkenaan.

Sesebuah negara yang berkembang maju dan dihormati adalah kerana peranan ahli akademik di institusi pengajian tinggi. Kepakaran ahli akademik dalam pelbagai bidang dapat menyumbang kepada pembuat polisi untuk menentukan langkah dan hala tuju peraturan-peraturan yang bakal dilaksanakan.

Kenapa mereka dikatakan pakar bidang?

Ia terletak pada proses latihan dan tahap kelayakan untuk menjadi pakar. Apabila seseorang akademik mendapat ijazah kedoktoran, ilmu yang diterokai akan berkembang ke tahap lebih tinggi. Pengkhususan bidang ilmu ini menjadikan pemikiran dan pandangan ahli akademik sentiasa diberi perhatian kerana mereka memiliki aset yang lebih bernilai dari segi logik ilmu.

Proses latihan dalam menyelidik sesuatu ilmu juga menjadikan mereka memahami prosedur dan kaedah kajian. Tidak kira bidang sains, sains sosial, kejuruteraan atau teknologi maklumat, ahli akademik berkongsi kaedah kajian dan hasil penyelidikan mereka dalam penerbitan dan persidangan.

Sudah tentu dapatan kajian itu diangkat sebagai bahan bernilai kerana ia dapat menjadi rujukan dalam merancang dan melaksana pelbagai program pembangunan negara.

Negara yang maju dan berkembang pesat dalam pelbagai bidang melahirkan ahli akademik bertaraf global dan menjadi rujukan. 

Di Malaysia sendiri, terdapat 20 universiti awam dan berpuluh-puluh universiti swasta bagi melatih generasi muda dan pelbagai lapiran masyarakat ke arah sebuah negara yang berilmu. 

Kita mahu separuh daripada penduduk negara ini memiliki kelayakan akademik sehingga ke universiti supaya dapat menzahirkan sebuah negara berilmu ini.

Thursday, April 04, 2019

Wakil rakyat wajar berhemah







Kisah seorang wakil rakyat di Melaka yang mengatakan penarik beca perlu disekolahkan kembali menarik perhatian ramai. Beliau juga dilihat pernah bertelagah dengan penduduk kampung kerana kes penutupan laluan jalan pintas di sebuah taman di Pengkalan Batu.

Barangkali semua orang sudah maklum dan dapat mengagak wakil rakyat berkenaan kerana sikap dan tingkah lakunya telah tular di laman sosial beberapa bulan lalu.

Sebelum itu, dalam perbahasan Dewan Undangan Negeri Melaka, bekas ketua menteri, Datuk Seri Idris Harun membangkitkan keupayaan beliau dalam mengenal pasti maksud dan perkataan yang sesuai apabila berhujah. Beliau menyebut ‘parti-parti di Sungai Udang’ tetapi ayat yang betul adalah ‘parti-parit di Sungai Udang’. Sesi perbahasan berkenaan dipenuhi dengan jerkahan dan pekikan yang berterusan.

Perkataan popular yang beliau selalu sebut apabila berhadapan dengan orang ramai adalah 'Awak kenal siapa saya?’ Ia menjadi gurauan hingga ke Dewan Rakyat.

Dalam sejarah politik negara, wakil rakyat yang sombong tidak dapat bertahan lama berbanding wakil rakyat yang lebih berhemah dan menghormati adab susila bangsa. Kesombongan dimusnahkan dalam pilihan raya akan datang apabila pengundi tidak lagi berkenan dengan sikap dan perangai yang dipamerkan walaupun kerja dan khidmatnya berkesan. Pengundi tidak dapat menerima watak wakil rakyat yang bertelagah untuk menyelesaikan masalah.

Rakyat masih lagi sabar dengan kerenah wakil rakyat itu dan menasihatkannya supaya dapat mengurus emosinya dengan baik apabila ‘angin barannya’ datang. Malah ada yang menasihatkannya menghadirkan diri ke dalam kursus pengurusan marah supaya hubungannya dengan orang ramai dapat diharmonikan.

Sementelahan pula, wakil rakyat bukannya menyelesaikan masalah di kawasan pengundinya sahaja malah turut berkhidmat di kawasan yang tidak popular dengan harapan akan memperoleh undi pada pilihan raya akan datang.

Ketegasan pemimpin boleh dilihat dalam pelbagai perkara seperti keputusan yang diambil, tidak lari daripada pendirian dan enggan tunduk pada desakan. Meninggikan suara dan berkata ‘Awak kenal siapa saya?’ bukannya lambang keputusan tetapi satu bentuk pelarian kepada menggunakan aktiviti untuk melemahkan orang lain.

Pelaksanaan aktiviti yang berkesan semasa diberi kuasa dapat melonjakkan imej positif wakil rakyat tetapi jika tidak dapat melaksanakannya dengan berkesan, pengundi tidak akan mempedulikannya dalam pilihan raya yang akan datang. Penggunaan kekerasan tidak dapat menghalang orang ramai daripada menyimpan dan memendam perasaan marah terhadap wakil rakyat yang bangga terhadap aktiviti mereka.

Monday, March 18, 2019

Keganasan di rumah ibadat







Selepas beberapan insiden serangan pengganas di seluruh dunia, kita sudah lali dengan kekejaman yang dilakukan oleh mereka. Keganasan atas nama ideologi kebencian menyebabkan 50 orang Islam dibunuh di dua buah masjid ketika bersiap-siap mengerjakan solat Jumaat.

Masjid Al Noor dan Masjid Linwood menjadi saksi pemikiran ektremis sedang bermaharajalela di Barat atas nama anti pendatang, Islamophobia dan isu migrasi rentas sempadan. Dunia sedang menanti penjelasan daripada pakar keganasan dan keazaman ahli politik untuk menghalang fahaman ini dari terus merebak dan mengucar-ngacirkan keharmonian hidup.

Tidak ada bahasa yang dapat menggambarkan betapa zalim si pengganas yang menembak jemaah yang sedang khusyuk mendengar khutbah Jumaat tanpa ditentang oleh sesiapa pun kerana tidak menyangka waktu itu digunakan untuk memulakan serangan.

Kejadian tembakan ketika bersolat kerap kali berlaku di wilayah konflik Selatan Thai tetapi biasanya dilakukan pada waktu solat subuh atau isyak, bukannya solat Jumaat.

Pengganas kulit putih, Brenton Tarrant, 28 tahun menjadikan media sosial sebagai insturmen menyebarkan tindakan ganas dan menggila dengan harapan menjadi inspirasi kepada pendokong ideologi pelampau neo nazi.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan serangan pengganas kulit putih di Christchurch, New Zealand sebagai dorongan mencetuskan kebencian dan menggalakkan keganasan merentas seluruh dunia serta mendorong masyarakat Islam bertindak balas.

Sehingga kini belum ada tindak balas daripada mana-mana kumpulan bersenjata Islam tetapi kejadian itu menarik simpati komuniti yang hidup bersama dengan masyarakat Islam.

Di United Kingdom, seorang lelaki menawarkan diri sebagai pemerhati dan penjaga pintu masuk masjid Madina. Andrey Graystone menulis di poster yang dipegangnya “You are my friends. I will keep watch while you pray”.

Keadaan yang sama turut dilihat di Birmingham Central Mosque.

Di Washington, Amerika Syarikat, Gregory Glaros memegang poster berbunyi “We stand with Islamic brother, Christian men of faith”.

Rata-rata masyarakat bukan Islam menunjukkan kesatuan mereka bersama komuniti Islam. Kemungkinan besar ramai orang Islam yang berasa bimbang keselamatan mereka kerana ada kemungkinan berlaku serangan di kawasan komuniti mereka. Kehadiran polis yang mengawal urusan ibadat di kawasan masjid dapat mengurangkan kebimbangan berkenaan tetapi tidak ada sesiapa yang dapat memastikan keadaan akan tenang selamanya.

Pihak berkuasa di negara-negara Barat sudah pasti mengambil iktibar tembakan ke atas masjid di New Zealand. Tindakan membiarkan keganasan di rumah ibadat hanya menjejaskan imej dan merosakkan keharmonian masyarakat beragama di sana.

Wednesday, March 13, 2019

Jenayah kebencian rosakkan masyarakat






Menghina agama atau tokoh agama dianggap sebagai kesalahan serius di Malaysia, Justeru, apabila mahkamah menjatuhkan hukuman sepuluh tahun penjara ke atas seorang lelaki yang menghina Nabi Muhammad saw, ramai yang terkejut kerana beranggapan hukuman tersebut adalah keterlaluan. Mereka mahukan hukuman itu dinilai semula berdasarkan keadaan mental orang yang didapati bersalah itu.

Perbuatan menghina ini dijelaskan sebagai mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati, provokasi atau memperlekeh seseorang, kumpulan atau ideologi yang boleh mencetuskan perasaan marah atau tindak balas ganas. Akibat penghinaan seperti ini boleh mencetuskan ketegangan dan konflik keharmonian yang berpanjangan dalam masyarakat.

Dewasa ini, kaedah penghinaan ke atas agama dan kaum semakin canggih khususnya melalui media sosial. Salinan mesej yang menghina itu boleh ditangkap layar dan dilaporkan kepada pihak berkuasa. Bukti yang ditunjukkan itu tidak memberi ruang kepada pelaku untuk melepaskan diri.

Amalan menggunakan kuatkuasa undang-undang untuk mengatasi jenayah benci ini patut diteruskan tetapi pada masa yang sama masyarakat harud dididik dengan kaedah penggunaan media sosial sejak di sekolah rendah. 

Kaedah ini tidak sukar dilaksanakan kerana rata-rata hari ini kanak-kanak sudah tahu menggunakan telefon pintar dan tidak kekok untuk menggunakannya dengan pemantauan ibu dan bapa. Kurikulum khusus pelaksanaannya harus dirangka dengan mengambil kira pelbagai cabaran semasa khususnya berkaitan celik undang-undang.

Kanak-kanak dan pelajar patut diajar etika penggunaan media sosial pada bahagian 'komen' atau 'ulasan' supaya dapat mengawal emosi ketika mula membuat maklum balas. Kempen yang berterusan juga boleh membantu pengguna berhati-hati ketika membalas mesej yang kontroversi. Strategi kempen harus berkala supaya pengguna sentiasa diingatkan tentang akibat daripada kegagalan mengawal emosi ketika membalas mesej.

Jenayah benci dan menghina agama dilihat semakin meluas ketika ini dan menjadi cabaran kepada agensi penguatkuasa untuk mengekang perkara ini daripada terus merosakkan masyarakat. Tindakan tegas perlukan perancangan yang jelas dan berarah supaya keamanan dan keharmonian hidup yang dinikmati ketika ini akan terus berkekalan.

Tuesday, February 26, 2019

Inisiatif baru ATM Beras di masjid







Pengenalan mesin ATM Beras di masjid menjadi insiatif baru pihak berkuasa agama Islam di Kuala Lumpur untuk membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah mendapatkan bekalan makanan keluarga. Inisiatif ini juga menjadi dimensi baru kepada masyarakat untuk bersama-sama membantu golongan asnaf membaiki kualiti hidup mereka.

Pendekatan ini dapat membantu kumpulan sasar mengurangkan kebergantungan mereka terhadap bantuan tunai yang diterima dari pelbagai agensi. Ia juga membantu mengurangkan beban kenaikan harga barang dan kos hidup di bandar.

Memberi beras adalah pendekatan terbaik yang boleh diguna pakai oleh institusi bantuan jika mahukan penerima mendapat makanan langsung berbanding pemberian wang tunai yang belum tentu digunakan untuk membeli makanan.

Pemberian beras dua kilogram untuk seminggu dapat meringankan emosi penerima yang lsudah biasa menggunakan wang tunai bagi memberi beras atau nasi. Dalam tempoh sebulan, penerima layak menerima lapan kilogram beras dan mereka boleh menambah kuantiti beras apabila mendapat wang bantuan di akhir bulan.

Kehidupan di bandar memang mencabar dan keluarga besar perlu memastikan kedudukan kewangan mereka sentiasa dalam keadaan stabil untuk perbelanjaan. Penyertaan bilangan isi rumah yang lebih ramai dapat meringankan beban keluarga namun bagi keluarga muda yang sedang membesarkan anak-anak, melakukan dua pekerjaan sehari adalah langkah menambah pendapatan keluarga.

Pengenalan gaji minimum dapat membantu keluarga miskin di bandar untuk memiliki lebih banyak wang di tangan dan mampu membeli lebih banyak barang untuk keperluan isi rumah. Di samping itu, peluang pekerjaan yang lebih banyak perlu diwujudkan supaya isi rumah mempunyai lebih banyak wang, mengelak dari merempat dan tidak tertekan kerana ketiadaan wang.

Walau bagaimanapun, pemberian barangan seperti beras dapat membantu isi rumah untuk mendapat makanan yang lebih baik dan berterusan. Kualiti kesihatan yang memuaskan dapat mengekalkan kecergasan dan keaktifan ahli keluarga untuk belajar dan bekerja seterusnya mengubah keadaan hidup.

Pengenalan mesin ATM Beras di masjid boleh menjadi ikutan kepada pentadbir masjid seluruh negara supaya mereka bersama-sama membantu kumpulan sasar yang perlukan makanan. Kita juga berharap kemudahan ini turut digunakan oleh penerima bantuan bukan Islam yang sudah tentu perlukan beras untuk dimasak bagi menghilangkan kelaparan.

Tuesday, February 19, 2019

Memoir Radin Umar Radin Sohadi: aku dan amanah-MU







Tahun: 2014
Penerbit: Penerbit Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.

Membaca memoir ini, kita turut merasai penderitaan hidup yang dialami Radin Umar. Beliau berjuang siang dan malam untuk melawan sel-sel kanser yang mengganas di bahagian usus dan merebak ke seluruh anggota dalaman bahagian abdomen dan tulang.

Pengalaman Radin Umar sebagai pentadbir di agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi memberi ilham kepada kita untuk memahami corak kerja beliau khususnya dalam menyelesaikan masalah-masalah besar yang memberi kesan kepada masyarakat dan negara.

Ketika membaca dari awal muka surat hingga ke akhir, kita boleh merasai Radin Umar mahu berkongsi sepenuhnya cara beliau menyelesaikan isu-isu utama yang dipertanggungjawabkan.

Di Universiti Putra Malaysia, beliau diminta menyelesaikan empat perkara besar iaitu MTDC, Dewina, Hospital Serdang dan ERCL. Tiga isu besar dapat diselesaikan manakala yang terakhir diteruskan oleh penggantinya.

Satu kaedah yang digunakan oleh Radin Umar ketika berhadapan dengan masalah besar itu ialah menggunakan masa makan tengah hari dan malam sebagai peluang berbincang dan mencari penyelesaian. Ia tidak perlukan pendekatan serius sebaliknya memahami keperluan dan memberikan penyelesaian kerana matlamat utama ialah masalah yang dihadapi akan selesai. Isu lama yang tidak berkesudahan juga lebih cepat diselesaikan.

Saya melihat isu Hospital Serdang lebih sukar diselesaikan kerana beliau berhadapan dengan pemimpin yang tidak mahu mengalah, enggan mendengar dan tidak ada empati kepada UPM sendiri kerana enggan melayan cadangan yang dikemukakan.

Pandangan beliau terhadap dunia akademik juga menarik. Antaranya falsafah aras pendidikan sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah. Beliau berkata, aras pemikiran pelajar sarjana adalah analisis manakala doktor falsafah adalah sintesis.

Begitu juga dengan pelbagai perkembangan akademik di universiti pada hari ini yang banyak dirancang dan dilaksanakan ketika beliau menerajui Jabatan Pengajian Tinggi. Ia adalah impak langsung pemikiran beliau untuk melahirkan pendidikan tinggi bertaraf dunia.

Beliau memberi cadangan kepada Kementerian Pendidikan untuk memilih naib canselor berdasarkan empat ciri iaitu kepemimpinan akademik, kemahiran mengurus, pengalaman dari bawah dan integriti.

Perjuangan meletakkan bidang teknikal di tempat yang setara dengan kejuruteraan juga berhasil apabila sebuah lembaga khas untuk ahli teknologi dicadangkan iaitu Malaysia Board of Technologies (MBOT).

Beliau juga menekankan kepentingan meletakkan fokus bidang kepada pusat kecemerlangan di universiti supaya ‘kecemerlangan’ itu diiktiraf oleh sarjana peringkat global. Strategi ini melonjak kedudukan UPM dalam tempoh yang singkat sehingga mendapat status universiti penyelidikan.

Pada saya, kecemerlangan Radin Umar ialah menyempurnakan pengajian doktor falsafah dalam tempoh 14 bulan dan tempoh minimum penghantaran tesis ialah 24 bulan. Tesis yang disiapkan telah dibentang selama 10 minit tanpa pindaan.

Serangan sel-sel kanser ke seluruh badan melemahkan tubuh badannya tetapi mentalnya masih kuat untuk melihat hasil usahanya, khususnya di UPM.

Tulisan terakhir buku ini bertajuk ‘Hari-hari Akhir Ku’ yang menceritakan kesengsaraan dan kepayahan menempuh kesakitan. Selepas imbasan Position Emission Tomography (PET), terdapat tujuh tempat di badannya yang telah dijangkiti sel kanser. Ketika didiagnosis, kanser berada di tahap tiga, namun bergerak ke tahap empat dalam tempoh yang singkat, menandakan masa untuk hidup lebih kurang enam bulan.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 13 Oktober 2013 pada pukul 4.15 pagi.



Buat rakan-rakan,


Aku memohon kemaafan atas segala kesilapanku.
Aku telah melakukan yang terbaik, dan semoga Allah
menjadi saksi atas apa yang telah aku lakukan.
Ya Allah, ampunilah segala kelemahanku, redailah segala
sumbanganku, matikan aku dengan dosa terampun,
amal yang diterima, sedekah jariah yang berkekalan,
ilmu yang dimanfaatkan dan doa daripada anak-anakku yang soleh.