Wednesday, March 25, 2015

Insan cemerlang, ummah terbilang








Sehingga mencapai umur 40 tahun, Nabi Muhammad saw tidak pernah diketahui sebagai negarawan, ulama dan pendakwah. Baginda saw tidak pernah dilihat membincangkan prinsip-prinsip metafizik, alam ghaib, etnik, perundangan, politik, ekonomi atau sosiologi. Tidak diragukan lagi baginda saw memiliki akhlak yang terpuji, mesra dan beradab tinggi. Tidak kelihatan sesuatu yang radikal akan berlaku kepadanya yang akan memberi impak besar kepada manusia selepas itu. Sebaliknya, setelah keluar dari Gua Hira' dengan mendapat mesej, baginda saw berubah 360 darjah. Adakah mustahil seorang yang tidak punya kualiti apa-apa bertukar secara tiba-tiba menjadi seorang yang berpura-pura alim dan mendakwa menjadi Rasul Allah dan menjemput kawan dan lawan untuk mengikutinya? Kita mungkin bertanya; kenapa Muhammad bersusah payah? Masyarakatnya menawarkan kerajaan dan menjadi ketua mereka asalkan berjanji meninggalkan ajaran barunya. Tetapi baginda saw menolak semua tawaran berkenaan dan meneruskan usaha menyebarkan dakwah seorang diri.

Tidak pernah sesiapa pun menafikan baginda saw seorang yang buta huruf, hidup secara normal dan mendiamkan diri sehingga berumur 40 tahun, dakwahnya telah menarik seluruh bangsa Arab untuk menerima ajaran baru ini. Ayat-ayat al-quran yang dibacanya tidak dapat disaingi oleh pemuisi dan penyajak. Bagaimana baginda saw dapat menerangkan kejadian saintifik yang terdapat di dalam al-quran ketika itu sedangkan tahap pendidikannya sangat lemah? Kehendak Allah, meletakkan Muhammad saw di akhir rantaian para nabi dan rasul yang diutuskan ke seluruh alam.

Sejarah hidup Nabi Muhammad saw sentiasa diulang sebut setiap kali sambutan Maulidur Rasul. Kisah seorang lelaki pilihan Allah yang menghadapi pelbagai cabaran dan ujian tetapi berjaya mencapai matlamat iaitu membawa rahmat ke seluruh alam. Bagaimana umat Islam di Malaysia dapat menjadi umat yang terbaik dan cemerlang seperti yang difirmankan Allah dalam al-quran,

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” Surah Ali-Imran ayat 110

Dalam tempoh 23 tahun, Muhammad saw membina kekuatan dan mempersiapkan sebuah tamadun yang sangat cemerlang. Zaman kegemilangan tokoh-tokoh Islam yang sangat tersohor dalam bidang sains dan falsafah. Bagaimanapun, kejayaan mereka menjadi legasi yang hanya memberi sedikit kegembiraan kepada masyarakat Islam hari ini kerana minda dan tindakan mereka tidak dapat mewarisi kehebatan berkenaan.

Bagaimana Muhammad saw membentuk sebuah generasi yang cemerlang?

Kecemerlangan bermula dengan diri. Baginda saw mendidik setiap individu di sekelilingnya dengan kecenderungan membuat baik. Membuat kebaikan dalam semua perkara bagi memajukan masyarakat. Individu-individu diperoses untuk memperkasa ekonomi dan ilmu pengetahuan. Proses hati yang dilalui dengan siraman ayat al-quran dan hadis menghalau keluar kemungkaran yang berlalu pergi dengan sendirinya. Tanpa kemungkaran mudahlah tumpuan diberikan terhadap usaha memperkasa minda dan jiwa masyarakat untuk mengelakkan mereka menjadi hina-dina kerana kemiskinan dan menjadi terpinggir kerana tidak berpendidikan.

Muhammad saw, seorang yang buta huruf, memiliki akhlak yang sangat mulia dan mantap. Mesej ini adalah jelas untuk umat Islam bahawa akhlak adalah prasyarat membina sebuah tamadun yang diberkati. Kesan akhlak ialah mampu membina hubungan dengan Allah ‘Azza wa Jalla untuk menyedarkan diri dan patuh dalam setiap perkara. Asas kepada kecemerlangan dan kejayaan adalah taqwa.

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah di antara kamu adalah orang yang bertaqwa.” Surah Al-Hujurat ayat 13

Taqwa ialah takut balasan Allah. Tindakan dan perlakuan tertakluk pada peraturan yang telah dinyatakan dalam agama dan hadis. Balasan itu ada kerana Allah itu ada. Ketaqwaan akan melahirkan jiwa hamba yang akan kembali merujuk kepada penciptanya.

“TidakKu jadikan jin dan manusia melainkanuntuk beribadah kepadaKu.” Surah Az-Zariat ayat 56

Di mana taqwa boleh dicari dan dimilki? Sayangnya, hanya umat Islam yang tahu. Al-quran adalah petunjuk kepada orang-orang bertaqwa supaya mereka tidak hilang arah. Taqwa menjadikan Arab cemerlang dengan Islam. Lalu, bagaimana Melayu boleh cemerlang dengan Islam?

Kembali kepada ilmu. Jawapan paling tepat, kukuh dan mantap. Muhammad saw memproses para sahabat dengan halaqah iaitu tempat perbincangan bagi menguatkan akidah, meninggikan iman dan membesarkan jihad. Setiap kali wahyu diturunkan, baginda saw akan berkongsi dengan mereka supaya ilmu tersebut dikembangkan. Ilmu bagi mengubah zaman. Kejayaan penguasaan ilmu menjadikan kerajaan Islam Andalusia sangat cemerlang. Zaman tersebut adalah sejarah kelahiran tokoh-tokoh pencetus reka cipta seperti Ibnu Thufail, Ibnu Baitar, Ibnu Arabi, Ibnu Rusyd malah Ibnu Sina.

Islam agama tamadun. Melayu yang hendakkan tamadun mesti mengambil Islam sebagai pedoman. Melayu harus membangun bersama pedoman yang hakiki dan jelas kerana Barat membina tamadun tanpa agama sebaliknya akal. Contoh kegagalan akal berfikir Barat ialah Teori Darwinisme yang menyifatkan manusia berasal daripada monyet. Kedangkalan cara fikir ini disangkal oleh Surah Al-Alaq ayat 1 hingga 2,

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk); Dia menciptakan manusia dari seketul darah beku.”

Panduan yang jelas, tepat dan sahih mesti disebarkan dan dikongsi supaya Melayu dan masyarakat lainnya tidak hidup dalam kejahilan. Menolak agama bererti menolak kebenaran dan panduan hidup. Turki adalah sebuah negara yang pernah menjadi warisan kegemilangan khalifah Islam. Negara ini menolak agama semasa pentadbiran Kamal Attarturk kerana berpendapat agama membawa kemunduran. Setelah berpuluh-puluh tahun hidup memisahkan agama, kini sudah ada sinar kesedaran baru bagi masyarakat Turki kembali melihat Islam yang pernah memberi kejayaan kepada bangsa ini.

Malaysia sebuah negara di alam Melayu belum pernah merasai kegemilangan sebagai sebuah tamadun. Kesultanan Melaka hanya terhad pada tempoh tertentu yang tidak begitu mantap untuk dikatakan pencetus perubahan dunia. Malaysia yang moden dan merdeka, jika ingin membina sebuah tamadun gah, mesti mengambil Islam dan melaksanakannya dalam pemikiran, perbualan dan perbuatan. Negara ini mempunyai rakyat yang mengasak dan pemimpin yang peka untuk memperkenalkan setiap ajaran Islam dalam pendidikan, perdagangan, ekonomi, politik, sosial dan budaya. Ada ketikanya berjaya dan ada ketikanya gagal. Jatuh dan bangun adalah lumrah tetapi Malaysia ada acuannya sendiri. Mereka mahu melihat akhlak dan akademik seiringan. Mereka ingin mengulangi kecemerlangan tokoh-tokoh Andalusia yang menguasai pelbagai bidang pengetahuan. Azam mereka ialah melahirkan seorang doktor yang hafiz, seorang jurutera yang hafiz dan juga tokoh korporat yang hafiz.

Di mana kecemerlangan harus bermula?

Rumah adalah kilang kecemerlangan. Ibu sangat penting. Mendidik anak-anak dengan didikan rabbani bagi membentuk akhlak yang mulia, minda yang cerdas dan berani. Masalah anak-anak zaman kini seperti penagihan dadah, mat rempit, berzina, pergaulan bebas dan lari dari rumah adalah simbol jati diri yang lemah. Rumah yang sepatutnya menjadi tempat pembentukan hati yang tunduk dan patuh pada agama bertukar menjadi tempat paling dibenci dan dijauhi. Di mana silapnya?


Tuesday, March 24, 2015

Lee Kuan Yew dan theory of constraints








Lee Kuan Yew (LKY) adalah Menteri Mentor Singapura. Dikenali sebagai bapa Singapura moden, LKY telah berusaha keras dengan segala kepintarannya untuk memajukan Singapura sebagai sebuah negara yang makmur, kaya dan disegani di seluruh dunia. Syarikat penerbangan Singapura, Singapore Airlines (SIA) adalah syarikat yang sangat cemerlang. Kepintaran LKY telah menarik minat syarikat asing untuk menjadikan Singapura sebagai pusat perkhidmatan dan pengedaran barangan di sebelah Asia dan Pasifik. 

Pembangunan negara yang pesat ketika pentadbiran LKY menjadikan masyarakat Singapura sama ada Cina, Melayu ataupun India menikmati segala kemudahan dan kemewahan, jauh meninggalkan rakan-rakan Asean yang lain seperti Malaysia dan Indonesia. Itulah kebanggaan Singapura. Ia mempunyai simpanan senjata di merata tempat di seluruh dunia khususnya di Amerika Syarikat dan sentiasa berjaga-jaga. Ini kerana penggerak kepada pembangunan Singapura adalah perdagangan yang merangkumi pelbagai jenis perkhidmatan dari pelancongan hinggalah kesihatan dan pendidikan.

Majoriti rakyat Singapura adalah etnik Cina yang telah melepasi zaman kepayahan di Negara China. Kedatangan beramai-ramai etnik ini ke kepulauan Melayu adalah untuk memenuhi permintaan buruh di ladang dan perlombongan bijih timah. Kemasukan beramai-ramai ini menjadikan Singapura hak milik Cina untuk tempoh yang panjang.

Kaum Melayu membentuk 15 peratus diikuti India dan orang asing yang lain. Singapura sangat mementingkan pendidikan khususnya pendidikan tinggi yang mana Universiti Nasional Singapura adalah antara 20 buah universiti yang terbaik di dunia mengikut senarai Times Hinger Education Supplement 2006. Malaysia masih terkapai-kapai untuk berada dalam kelompok 100 teratas walaupun Universiti Malaya pernah mengecap kedudukan terbaik pada tahun 2004.

Singapura yang didominasi etnik Cina sentiasa melihat Malaysia dan Indonesia sebagai negara yang mendiskriminasi etnik ini. Kebimbangan LKY ialah selepas ketiadaannya nanti, Singapura akan kembali ke pangkuan Malaysia dan boleh dipermain-mainkan. LKY begitu gusar jika kelancaran ekonomi negaranya terancam sama ada kerana keselamatan serantau, wabak penyakit, makanan tercemar atau alam sekitar. Risaunya LKY ada asasnya. Jerebu di Indonesia sahaja mengakibatkan Singapura mengalami kerugian sebanyak $50 juta sehari.

Bagaimana caranya beliau berfikir untuk menghadapi jirannya, Malaysia dan Indonesia?

Kita sering mendengar Singapura mengambil penasihat ketenteraan dari Israel. Apa sahaja yang terbaik akan dipelajari dan dilaksanakan. Salah satu kaedah yang digunakan dalam hubungan antarabangsa ialah Theory of Constraints (TOC) atau Teori Kekangan. TOC diperkenalkan oleh Eli Goldratt iaitu seorang pendidik, penulis, ahli sains, ahli falsafah dan pemimpin perniagaan.

Dr. Goldratt adalah pengasas TOC, diiktiraf sebagai pemimpin dalam pembangunan pengurusan perniagaan. Syarikat ternama seperti General Motors, Proctor & Gamble, AT&T, NV Philips dan Boeing telah mendapat khidmat kepakaran beliau.

Eli Goldratt adalah seorang Yahudi. Mendapat ijazah sarjana muda sains dari Universiti Tel Aviv, master sains dan ijazah kedoktoran dari Universiti Bar-Ilan, Israel. Beliau juga merupakan pengasas Institut Goldratt. Institut ini melatih pelajar pintar dari seluruh dunia untuk berfikir dan menyelesaikan masalah. Kos untuk belajar di institut ini selama tiga minggu adalah RM200,000 seorang. Dianggarkan terdapat tiga orang rakyat Malaysia yang pernah belajar di sini berbanding 50 orang rakyat Singapura.

Apa kaitannya LKY dengan TOC ini?

Lee Kuan Yew adalah seorang yang pintar, sepintar pentadbirannya di Singapura. Tentulah LKY mempunyai pelbagai teori dan pendekatan untuk membuat sesuatu. Walau bagaimanapun, artikel ini memberi fokus kepada peranan TOC dalam mencorak pemikiran dan tindakan LKY.

Latar Belakang TOC

Theory of Constraints adalah salah satu penemuan daripada beberapa teori sebelumnya yang boleh digunakan oleh sesebuah organisasi untuk membuat keputusan di mana terdapatnya kekangan. TOC menyediakan kerangka bagi pengurusan secara holistik dan memberi fokus terhadap objektif dan matlamat organisasi.

Kekangan ini adalah sebarang halangan yang berada dalam organisasi yang menjadi rintangan ke arah pencapaian matlamat. Terdapat dua jenis kekangan iaitu fizikal dan bukan fizikal. Kekangan fizikal adalah sesuatu yang boleh dilihat, dipegang dan dirasa seperti mesin, manakala bukan fizikal ialah produk, prosedur atau minda para pekerja.

TOC menyatakan bahawa pada setiap sistem terdapat satu kekangan yang menghalang sistem berkenaan daripada mencapai prestasi terbaiknya. Contohnya dalam sesebuah syarikat perniagaan, keuntungan adalah matlamat tertinggi yang hendak dicapai, manakala bagi sesebuah negara pula, pencapaiannya ialah dapat menandingi negara-negara yang bersaing dengannya.

TOC sentiasa menyedarkan pelaksananya supaya peka dan dapat mengenal pasti kekangan yang ada seterusnya meningkatkan pencapaian.

TOC menekankan lima langkah berfokus untuk mengenal pasti kekangan dalam organisasi dan secara bersistematik merungkai masalah-masalah tersebut. Pengamal TOC mendakwa teori ini banyak membantu meningkatkan pendapatan dalam perniagaan. Lima langkah tersebut adalah:


1.Mengenal pasti kekangan yang wujud dalam sistem.
2.Tentukan bagaimana dapat mengeksploitasi kekangan tersebut.
3.Gantikan setiap elemen yang mengganggu sistem pada langkah 2.
4.Lenyapkan kekangan tersebut daripada sistem.
5.Sekiranya terdapat kekangan, ulangi langkah 1.


Perkara utama yang sangat ditekankan dalam TOC ialah kemahiran dan keupayaan berfikir. Penuntut yang telah tamat di Institut Goldratt akan bergelar Jonah, mengambil nama sempena kisah masyarakat Yahudi dahulu. Jonah adalah individu yang sering membawa sial atau celaka. Contohnya kalau seseorang itu naik bas, dengan adanya dia, bas tersebut menghadapi masalah atau kemalangan. Masyarakat Yahudi percaya Jonah ini adalah orang yang membawa khabar buruk. Eli Goldratt cuba menukar persepsi ini dengan memberi kerangka baru kepada makna Jonah. Dalam tempoh tertentu, diadakan konferens melibatkan pertemuan Jonah seperti September 95 Jonah Upgrade Conference di Cherry Hill, New Jersey, Amerika Syarikat.

Berfikir untuk membuat perubahan adalah keutamaan dalam TOC. Institut Goldratt mengutamakan kualiti pelajarnya untuk berfikir dan membuat perubahan. Oleh itu, matlamat menghalalkan cara boleh sahaja dilaksanakan. Kerangka pemikiran bagi membantu perubahan terletak pada tiga soalan iaitu:


1.What to change
2.What to change to
3.How to cause the change.


Teori ini mungkin akan ketinggalan selepas teori-teori baru muncul satu per satu. Perubahan cara berrfikir dan budaya bakal menjadikan teori-teori ini lebih berkesan untuk rancangan dan pelaksanaan pentadbiran yang lebih baik.

Pada usia 91 tahun, LKY tidak berupaya lagi berhadapan dengan keadaan kesihatan. Setiap hari beliau merasakan kesihatannya merosot dan dirinya semakin lemah. Jasa dan usahanya membangunkan sebuah negara yang kecil sehingga dikenali akan terus menjadi rujukan dan teladan kepada pemimpin selepas ini.


Monday, March 23, 2015

Social Innovation, Inc







Penulis: Jason Saul
Tahun: 2011
Penerbit: Jossey-Bass, San francisco, CA, USA.
Muka Surat: 231

Social Innovation, Inc mengisytiharkan era baru di mana keuntungan syarikat menyebabkan perubahan sosial. Syarikat-syarikat terkemuka dunia seperti GE, Wellpoint, Travelers dan Walmart sedang melakukan transformasi tanggungjawab sosial kepada inovasi sosial dan membuat revolusi dalam cara gaya kita berfikir berkenaan peranan bisnes dalam masyarakat.

Kejayaan strategi ini adalah menghasilkan sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam dunia bisnes iaitu menyelesaikan masalah sosial. Bagi merebut peluang yang sedang berkembang ini, Jasol Saul, pengasas Mission Measurement menunjukkan bagaimana syarikat-syarikat hari ini boleh membentuk sebuah strategi bisnes generasi baru.

Inovasi sosial berbeza daripada falsafah korporat tradisional dan tanggungjawab sosial dalam empat perkara. Inovasi sosial adalah 1) reka bentuk baru untuk menghasilkan nilai dalam bisnes, 2) mempengaruhi perjalanan bisnes untuk menyelesaikan masalah sosial, 3) boleh diukur dan lestari, dan 4) kerapkali mendedahkan kegagalan pasaran.

Berdasarkan empat tahun kajian dalam strategi sosial dalam kalangan syarikat korporat Amerika termasuk Kraft, Starbucks dan Levi Strauss, buku ini mendedahkan lima kejayaan ke arah inovasi sosial iaitu:

- wujudkan dana melalui perkhidmatan dan produk subpasaran
- memasuki pasaran baru melalui saluran belakang
- bina ikatan emosi dengan pelanggan
- kembangkan laluan baru untuk mencari bakat
- pengaruhi polisi melalui proses kebalikan melobi

Buku ini lebih cenderung kepada menjadikan perubahan sosial dalam masyarakat sesuai dengan bisnes, dan sebagai imbalannya, masih relevan dalam ekonomi baru. Pelbagai kajian kes, idea baru dan bimbingan, buku ini menunjukkan bagaimana mencipta nilai ekonomi melalui perubahan sosial yang positif.



Sunday, March 22, 2015

Penulis skrip perlu bijaksana fahami isu hudud








Klip video yang memaparkan seorang wanita mengulas isu hudud di Kelantan mendapat perhatian masyarakat. Dialog berkisar pandangannya terhadap hudud dilihat cenderung kepada membina persepsi negatif orang ramai terhadap erti hudud itu sendiri. Beliau memperkatakan sesuatu yang melekeh dan merendah martabat hudud yang telah pun ada dalam al-quran dan hadis. Dialog tersebut dipaparkan seperti di bawah.


"Eh? Sejak bila ni? Oh Kelantan, terlupa..."

"Finally mimpi PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan datang menjelma. Tetapi untuk orang yang bukan Kelantan macam saya ni, musykil jugalah.

"Banyak pindaan dia. Lepas itu, boleh pula Menteri Besar Kelantan panggil orang yang kritik hudud ini tak beriman?

[aksi nasyid lagu iman]

"Okaylah okaylah.. korang ini dah bertahun bising pasal hudud. I pun dah malaslah nak kupas. Tapi ada satu I nak tanya, apa jadi dengan nasib mangsa banjir rakyat Kelantan?

"Tiga bulan dah mereka masih tak ada rumah dan bukan itu saja tau. Penggunaan dadah, kes cerai makin tinggi, (video) 3GP bersepah.

"Agama digunakan untuk mengaburi mata rakyat dari isu yang penting macam ekonomi dan pentadbiran. Samalah macam isu negara ini, orang gaduh pasal bangsa, agama, tetapi ekonomi negara merosot. Lepas itu hutang kita meningkat.

"Bila sampai masanya, tak tahulah hudud itu boleh isi periuk nasi kita. Hmm... tepuk dada tanya seleralah.."


Kebanyakan pelayar internet memberi reaksi negatif terhadap klip video yang diterbit oleh stesen radio BFM. Rancangan BFM Kupas diterbitkan dengan kerjasama Projek Dialog tidak sensitif dengan kepercayaan dan nilai masyarakat Islam. Hudud merupakan sebahagian daripada penyelesaian terhadap kesalahan jenayah yang berlaku dalam masyarakat. Hukum ini tidak direka oleh manusia sebaliknya telah dinyatakan dalam al-quran dan dilaksanakan semasa pemerintahan khalifah Islam.

Ne0nlite berkata, “X payah la layan org cmni. Lagi dilayan, lagi di syok. From his words, we already know how his life he lead. Pity him for having doubt on Islam. :(“

Seterusnya oleh Anna ARumdaum, “just be ashamed on what you have said..should not make fun on serious topic like this...tarik balik kenyataan yg dibuat tnpa mendalami apa sebenarnya Hudud..kalau x tau baik diam dr prasan hebat....minta maaf pada pencipta kita..bertaubatlah...perbuatan anda pemberbodohkan diri anda sendiri...semoga dapat Hidayah untuk berubah...”

Banyak lagi reaksi tidak senang mereka yang boleh dilihat di laman Youtube berkaitan klip video ini. Di akhbar juga terdapat tokoh agama yang menjelaskan tentang kejahilan terhadap hudud boleh mengundang masalah besar dalam akidah seorang muslim.

Antaranya Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad yang menegaskan perlakuan mempersenda dalam keadaan sedar ia boleh memberi kesan kepada kerosakan akidah pelaku.

Ancaman terhadap pembentangan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di Dewan Undangan Negeri Kelantan baru-baru telah bermula sejak dua bulan lalu khususnya tiga parti politik iaitu DAP, MCA dan Gerakan.

DAP, sebuah parti dominasi etnik Cina menggunakan ancaman untuk keluar Pakatan Rakyat manakala MCA yang mewakili masyarakat Cina lantang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan mengaitkannya dengan kepelbagaian etnik di negara ini. Gerakan, sebuah lagi parti politik yang sudah hilang pengaruh telah membawa kes ini ke mahkamah. Ketiga-tiga parti ini bersungguh-sungguh menentang rang undang-undang hudud ini dari diluluskan.

Stesen radio BFM pula dengan caranya sendiri. Penulisan skrip tanpa penelitian dan kritikan yang dibuat secara terbuka ini telah mengundang masalah kepada pihak mereka. Wanita dalam klip video itu pun terkena tempiasnya, malah keluarganya berhadapan dengan tekanan.

Secara terus-terang, wanita ini mengajak penonton untuk memperlekeh undang-undang hudud apabila membuka sebungkus nasi lemak dan mendapatinya hanya kertas yang dikeronyok. Bagi penonton dan orang ramai, aksi berkenaan ditafsir sebagai undang-undang hudud nampak cantik tetapi tidak ada isi.

Pada saya, aksi ini sangat mengecewakan kerana telah memberi persepsi negatif kepada masyarakat Islam dan bukan Islam. Ia juga menggambarkan penulis skrip berkenaan tidak berfikir lebih mendalam tentang bagaimana isu ini perlu diulas dengan bijaksana.

Dalam kupasan isu seperti ini lebih-lebih lagi melibatkan kepercayaan agama, BFM perlu lebih berhati-hati, apatah lagi stesen radio itu pernah didenda oleh SKMM kerana menyiarkan rancangan berkaitan Islam tanpa mendapat kelulusan.


Saturday, March 21, 2015

Buang bayi dan keruntuhan akhlak








Semasa mencari-cari bahan untuk memahami dengan lebih mendalam isu-isu sosial di Malaysia khususnya gejala sosial, saya mendapatkan kertas kerja yang dibentangkan oleh Hashim dan rakan-rakannya dari Universiti Teknologi Malaysia dalam Seminar Kaunseling Keluarga 2008. Tajuknya ialah ‘Keruntuhan akhlak dan gejala sosial di Malaysia: isu dan cabaran’.

Kandungan kertas kerja ini sangat menarik kerana menerangkan keadaan sebenar gejala sosial yang sedang berlaku dalam masyarakat. Walaupun data dan statistik lebih fokus pada Negeri Johor, keadaannya lebih kurang sama dengan negeri-negeri lain. Sebakul masalah akhlak sentiasa menjadikan golongan yang prihatin dengan remaja dan belia berada dalam keadaan resah.

Sejak tahun 2000 hingga 2006, sejumlah 580 kes pembuangan bayi dicatatkan di negara ini. Tempat-tempat awam seperti rumah ibadat, taman bunga dan kawasan rekreasi menjadi tumpuan mereka yang panik dan hilang akal untuk meninggalkan bayi. Ada sesetengah kes, beg yang mengandungi bayi ditinggalkan di pintu pagar masjid semasa waktu subuh. Bagi ibu-ibu yang baik hati, anak yang baru lahir tanpa nikah ini diberikan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau diserahkan kepada pihak polis.

Negara-negara Barat dan Jepun turut mempunyai kaedah sendiri untuk menyelamatkan bayi yang dilahirkan tanpa nikah. Kerajaan menyediakan tempat khas di balai bomba, pejabat pos dan hospital yang dibuka 24 jam supaya remaja yang terlibat dapat menyerahkan bayi kepada petugas. Walaupun pernah ada cadangan di Malaysia untuk mewujudkan pusat khusus untuk membuang bayi, idea berkenaan tenggelam begitu sahaja apabila dibantah pelbagai pihak.

Buang bayi bukan sahaja melambangkan akhlak remaja yang sudah hancur malah meletakkan masa depan generasi akan datang dalam golongan yang dimurkai Allah swt. Di Amerika Syarikat, dianggarkan 1,714,643 bayi dilahirkan di luar perkahwinan pada tahun 2007 yang membentuk 39.7 peratus daripada keseluruhan kelahiran (usnews.com, 2009). Di Malaysia, terdapat pengusaha rumah tumpangan dan hotel bajet yang menyediakan bilik bagi pasangan bukan muhrim bangsa Melayu untuk melakukan hubungan seks dengan pakej RM30 untuk dua jam dan RM50 untuk satu malam berasmara. Akibat kehamilan luar jangkaan ini ramai remaja perempuan bertindak menggugurkan kandungan mereka yang akhirnya menimbulkan komplikasi kesihatan dan kematian.

Apakah penyelesaian kita? Apakah hendak menunggu kerajaan mengambil tindakan memperkenalkan undang-undang yang tegas tetapi pada masa yang sama membiarkan bunga-bunga zina berleluasa? Pertubuhan bukan kerajaan juga tidak mampu untuk melaksanakan program pembinaan akhlak kepada semua remaja kerana mereka juga mengalami masalah kakitangan dan peruntukan yang terhad. Jadi siapa dan bagaimana kita harus bertindak?

Islam mempunyai penyelesaian yang komprehensif. Sabda Raslullah saw yang bermaksud, ‘Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.’ (Riwayat Malik, Ahmad, hakim, At Tabarani dan Bukhari). Contoh terbaik yang boleh diikuti ialah peribadi Rasulullah saw dalam semua aspek kehidupan- mendidik anak-anak, keperluan fizikal, mental dan spiritual, adab dalam bergaul, memimpin dan bermasyarakat.

Inilah contoh sebaik-baik model dalam hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Jika kita ingin mengetahui lebih lanjut kenapa baginda saw seorang manusia yang hebat, kita boleh baca buku karangan Michael Hart, ‘The most influential man in history’ yang meletakkan Nabi Muhammad saw sebagai orang paling berpengaruh dalam sejarah manusia.

Soalannya, kenapa orang tidak bersungguh-sungguh mengikuti dan mengamalkan ajaran Islam khususnya rukun Islam yang lima? Masih ramai orang Islam yang tidak mengambil berat tentang solat, walaupun surau dan masjid hampir dengan rumah namun agak berat punggung untuk berjemaah di samping kurang melaksanakan dakwah dan amar ma’ruf nahi mungkar.

Kita tidak perlu menunggu anak-anak gadis yang hamil dengan bangga menayangkan anak luar nikah mereka kerana ia adalah lambang kepada kemurkaan Allah swt dan kehancuran masyarakat.


Friday, March 20, 2015

Asas kepercayaan Muslim








Hadiah nobel dalam fizik diberikan beberapa tahun yang lalu setelah dibuat pengesahan bahawa alam maya bermula daripada letupan besar (Big Bang). Kira-kira 200 tahun yang lalu, Leeuwenhoek dan kumpulannya meningkatkan keupayaan mikroskop dan menemui buat pertama kalinya kenyataan bahawa kehidupan sel-sel diliputi 80 peratus oleh air. 

Penerima hadiah nobel dan lelaki Belanda yang mencipta miksoskop berkenaan bukannya seorang Muslim tetapi mereka mengesahkan kenyataan yang sangat penting iaitu suatu masa dulu alam ini adalah satu, kehidupan bermula daripada air sepertimana yang dimaksudkan oleh al-quran:

Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman? (Surah Al-Anbiya' ayat 30)

Setiap orang mesti memberi sepenuh perhatian kepada sesuatu isu. Kita patut merendah diri dalam keadaan-keadaan tertentu kerana adalah mustahil untuk berkecuali sepanjang masa. Terdapat tempat rujukan dalam hidup kita sebagai makhluk yang berfikir. Kadangkala kita mesti mengambil pendirian yang kukuh ke atas isu-isu berkenaan.

Persoalannya ialah meletakkan prinsip tersebut pada tempat yang betul. Caranya ialah dengan mencari dan menyelidik dengan menggunakan kaedah tertentu.

Kita mencari kebenaran di banyak tempat dan mula mengetahui bahawa kita berjaya menemui kebenaran jika semua jalan yang berbeza itu mula bergerak ke satu arah. Jika kita mengkaji sebuah buku, mencari bukti asal-usul kejadian dan bertemu dengan Islam, ini dikatakan satu perjalanan mencapai sesuatu. Kalau pada masa yang sama, kita mengkaji kata-kata yang dikeluarkan oleh mereka yang dipanggil rasul dan kita menemui jalan ke arah agama Islam, kita mempunyai asas yang kukuh kepada kepercayaan tersebut. Kita mula melihat kebenaran dalam dua bentuk perbezaan dan mendapati diri kita sedang menuju destinasi yang sama daripada jalan yang berbeza.

Tidak ada sesiapa pun yang dapat membuktikan semua benda, kita berhenti di suatu peringkat kerana telah berpuas hati dengan tahap pencapaian. Maksudnya ialah untuk menetapkan pendirian dan bagi mempastikan kita berada di tempat yang betul, kita mahu mengkaji semua bukti di sekitar kita dan melihat ke mana ia memimpin kita dan menjangkakan pertemuan besar-besaran untuk menyatakan bahawa semua benda menuju ke arah itu. Kita pergi ke satu tempat dan melihat sekitarnya sama ada sesuai dengan tempat itu. Adakah ia memberi erti kepada kita? Adakah kita berdiri di tempat yang betul?

Syurga yang luas

Biarkan saya majukan beberapa kajian ke atas al-quran dan hadis untuk mencari titik pertemuan berkenaan dengan perhimpunan besar-besaran ini. Dalam surah Az-Zariat ayat 47 ia menerangkan bahawa syurga itu luas.

Dan langit itu Kami dirikan dengan kekuasaan Kami (dalam bentuk binaan yang kukuh rapi) dan sesungguhnya Kami adalah mempunyai kekuasaan yang luas tidak terhingga.

Hal ini ada kaitan dengan asasl-usul Big Bang dan pada tahun 1973, hadiah nobel telah diberikan kepada tiga orang saintis yang mengesahkan peristiwa berkenaan.

Ulasan masyarakat Islam dari dulu hingga sekarang mengenai ayat ini tidak pernah berhenti. Syurga semakin luas. Bijak pandai Islam menyatakan dengan jelas bahawa syurga bertambah luas dan mereka tidak dapat membayangkannya. Tetapi mereka membiarkan keadaan itu dengan kata: Allah Maha Mengetahui.

Sebesar zarrah

Sebagai contoh, terdapat perkataan hari ini yang berasal daripada perkataan Arab seperti zarrah. Keadaan ini diterjemahkan sebagai atom yang mana digunakan dalam bahasa Arab sebagai unsur terkecil pada suaru masa dulu. Barangkali orang-orang Arab berfikir ianya seperti semut atau debu. Hari ini seluruh dunia mentafsirkannya sebagai atom.

Bagi mereka yang lebih pintar dan menidakkan pencipta al-quran, pasti dia berkata atom bukannya unsur yang paling kecil kerana pada abad ini terdapat penemuan baru yang lebih kecil daripada atom. Jadi, adakah mereka menidakkan pencipta al-quran yang memilih menggunakan perkataan tersebut?

Dalam surah Yunus ayat 61 menyentuh item bersaiz zarah atau lebih kecil.

Dan tidaklah engkau (wahai Muhammad) dalam menjalankan sesuatu urusan dan tidaklah engkau membaca dalam sesuatu surah atau sesuatu ayat dari Al-Quran dan tidaklah kamu (wahai umat manusia) dalam mengerjakan sesuatu amal usaha, melainkan adalah Kami menjadi saksi terhadap kamu, ketika kamu mengerjakannya dan tidak akan hilang lenyap dari pengetahuan Tuhanmu sesuatu dari sehalus-halus atau seringan-ringan yang ada di bumi atau di langit dan tidak ada yang lebih kecil dari itu dan tidak ada yang lebih besar, melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata.

Tidak ada yang mustahil pada suatu hari nanti seseorang akan menjumpai unsur lain yang lebih halus dan menafikan perkataan yang terdapat di dalam al-quran.

Memaafkan

Bercakap kepada mereka yang merendahkan pencipta al-quran, daripada perspektif Islam, apabila seseorang memeluk Islam, dosa-dosanya diampunkan daripada awal kehidupannya. Ini adalah jemputan ke dalam Islam: datang kepada Islam dan semua dosa yang lepas diampunkan.

Tetapi pertimbangkan hal ini. Hanya ada satu sahaja musuh Muhammad saw yang dinyatakan di dalam al-quran iaitu Abu Lahab. Di penghujung al-quran terdapat satu surah yang mengutuk Abu Lahab dan memberitahu balasan ke atas dosan-dosanya.

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan binasalah dia bersama; Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. Dia akan menderita bakaran api Neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal.
 (Surah Al-Masad)

Apa yang telah berlaku, lelaki ini hidup untuk beberapa tahun selepas kerasulan Muhammad saw, jika mahu menerima Islam dengan mudah, dia boleh berjumpa dengan masyarakat Islam dan mengisytiharkan dirinya sebagai seorang Muslim.

Seperti yang telah berlaku, Abu Lahab sendiri dapat hidup bertahun-tahun selepas wahyu diturunkan. Dia boleh saja jika mahu menjadi seorang Islam. Apa yang diperlukan ialah mendapatkan orang Islam dan menyatakan keislamannya. Bagaimanapun umat Islam telah mengetahui daripada wahyu bahawa lelaki berkenaan akan diberi balasan yang sewajarnya. Abu Lahab boleh isytiharkan dirinya dan berkata: Saya menerima Islam, adakah saya dimaafkan ataupun tidak?

Abu Lahab boleh mengelirukan umat Islam ketika itu jika dia mahu berbuat demikian. Tetapi hakikatnya ialah wahyu menyatakan dia tidak diampunkan dan meninggal dunia tanpa menerima Islam.

Ramalan-ramalan

Al-quran kerap membuat jangkaan yang meyakinkan beberapa tahun sebelum peristiwa yang sebenar berlaku. Kejatuhan empayar Parsi sebagai contoh, telah diramal di sebalik fakta bahawa ia menderita akibat kekalahan tentera yang teruk. Dalam surah Rum, kejatuhan empayar Parsi yang menang menentang Roman telah diramal akan berlaku.

Apabila semua umat Islam di dunia ini dapat berjumpa di satu tempat, wahyu telah pun menyatakan masa depan mereka. Dalam keadaan meyakinkan, mereka merancang ketibaan harinya di mana mereka menguasai sebuah bandar ketika dipaksa untuk melindungi diri demi menjaga nyawa sendiri.

Bukti kewujudan Tuhan

Sesetengah orang mahu mencari banyak perkara di dalam al-quran. Tetapi kaedah untuk menilai kitab ini berdasarkan bukti kewahyuan adalah mengambil pendekatan bedasarkan nilai dan melihat di mana kita dijemput untuk mengkajinya. Ayat yang bermaksud: Tidakkah orang yang beriman melihat.... Ayat ini adalah biasa dijumpai di dalam al-quran: Wahai manusia, adakah kamu tidak melihat? Jemputan atau panggilan untuk melihat bukti di dalam banyak tempat. Kita melakukan perkara yang sia-sia jika mencari perkataan untuk merasa ragu-ragu.

Setiap daripada kita mahir dalam satu-satu perkara. Seseorang tidak akan belajar sehingga mendapat ijazah dalam bidang tertentu dan membuat keputusan "saya akan mempelajari al-quran dan cuba lihat apa yang saya akan dapat." Kita tahu sesuatu perkara dengan pasti melalui pengalaman dan kehidupan yang dilalui.

Saya mendengar sebuah kisah beberapa tahun yang lalu di Toronto, seorang lelaki yang telah dihadiahkan senaskah al-quran dan beliau membacanya. Lelaki ini merupakan ahli persatuan pelayaran laut yang banyak menghabiskan masanya di laut.

Apabila dia membaca al-quran yang mana ayatnya menerangkan mengenai gelombang di laut, "gelombang di dalam gelombang dan kegelapan di antaranya," dia tahu keadaan itu memang berlaku. Lalu dia berjumpa semula orang yang menghadiahkannya al-quran dan bertanya: Muhammad ini, adakah dia seorang pelaut?

Memang benar lelaki ini sangat terkejut setelah diberitahu Muhammad saw menghabiskan hayatnya di padang pasir. Jadi dia bertanya kepada dirinya sendiri: Dari mana Muhammad mendapat pengetahuan ini tentang apa yang berlaku di laut?

Dua fenomena

Seorang kawan saya dari Universiti Toronto, berpengalaman bersama seorang lelaki yang sedang menyiapkan tesis kedoktoran dalam psikologi. Dia memilih subjek "Keberkesanan Kumpulan Perbincangan."

Beliau mencadangkan beberapa kriteria yang menyebabkan sesuatu perbincangan menjadi berkesan. Dia menyatakannya dalam bentuk proses iaitu pengukuran pencapaian pada semua kumpulan perbincangan adalah bedasarkan sistem indeks yang diguna pakai. Lalu beliau membuat kesimpulan bahawa kemajuan adalah berdasarkan kepada perbincangan pelbagai saiz kumpulan.

Sesuatu yang menarik ialah dia tidak menjangkakan untuk menemui dapatan hasil kajian ini iaitu apabila terdapat beberapa perbezaan di antara sebarang saiz kumpulan dan bagaimana baiknya perbincangan dalam kumpulan, dia sangat terkejut dengan dapatan bahawa sekumpulan dua orang adalah skala yang sempurna. Dalam lain perkataan, apabila dua orang yang duduk berbincang sesuatu perkara, mereka lebih berkesan daripada sebarang saiz kumpulan.

Sebaik sahaja rakan saya mendengar penemuan ini, terlintas difikirannya suatu perkara. Beliau adalah seorang Muslim dan berfikir ada sesuatu yang ada persamaan dengan idea tersebut.

Pengkaji psikologi berkenaan bukannya seorang Muslim. Dia berdebat dengan dirinya sama ada topik tersebut perlu ditukar atau tidak. Adakah ia patut menjadi "Fenomena Dua" atau "Dua Fenomena" kerana dia sangat terkejut dengan hasil dapatan yang diperoleh.

Dalam pada itu, rakan saya menjumpai ayat di dalam al-quran yang menyatakan tentang perbincangan dan saiz kumpulan serta bagaimana berkesannya mereka. Barangkali kita tidak perlu terkejut untuk melihat kumpulan dua orang memberikan keputusan yang sangat berkesan.

Maksud ayat berkenaan ialah merujuk kepada perbincangan kumpulan, ketika berbincang tentang al-quran, salah seorang daripadanya patut duduk dan mencerap maknanya atau berbincang dalam kumpulan dua orang berkenaan.

Asal-usul al-quran


Perkara yang menarik tentang al-quran ialah jawapannya kepada pengkritik yang mempertikai asal-usul al-quran. Sehingga kini, belum ada seorang pun yang tampil dengan cadangan yang kukuh dari mana buku ini datang yang mana tidak terdapat sebarang ulasan pun di dalamnya tentang hal berkenaan.

Malahan, ensiklopedia khatolik yang baru, di bawah tajuk "Al-Quran" ia menerangkan bahawa setelah berabad-abad terdapat banyak teori tentang dari mana al-quran datang. Kesimpulan mereka ialah hari ini tidak ada orang yang percaya teori-teori berkenaan.

Keadaan ini menjadikan umat kristian kebingungan. Semua teori yang telah dinyatakan sebelum ini tidak diterima sepenuhnya.

Dari mana al-quran datang? Kepada mereka yang berfikiran singkat akan menyatakan al-quran tidak lebih daripada koleksi peribahasa yang digunakan oleh seorang lelaki pada masa tertentu. Mereka membayangkan terdapat seorang lelaki, dari semasa ke semasa, setiap hari akan berfikir dan berkata-kata, manakala orang di sekitar beliau akan menulis dengan pantas, seterusnya koleksi itulah yang dikatakan al-quran.

Mereka yang membaca al-quran akan mendapati bukan semuanya berlaku demikian. Koleksi ucapan Rasulullah saw adalah hadis, manakala al-quran adalah susunan lengkap persoalan dan penerangan. Contohnya surah Yusuf yang mana keseluruhan ceritanya sangat terperinci mengenai satu episod atau bahagian kehidupan seorang.

Disebabkan inilah mereka yang mengkaji al-quran selalu merujuk ia sebagai produk tulisan Nabi Muhammad saw dan rakan-rakannya. Mereka menjangka sekumpulan manusia yang duduk bersama dengan Rasulullah saw dan mula mengarang al-quran. Pada fikiran mereka, al-quran dikarang oleh sebuah jawatankuasa.

Mereka akui terdapat banyak maklumat dan telah disusun dengan baik untuk seorang lelaki. Jadi mereka membayangkan sebuah jawatankuasa yang kerap berjumpa, mendapatkan pelbagai sumber maklumat, merangka sesuatu dan menyerahkannya kepada Nabi Muhammad saw dengan berkata: Jumpa kaum kamu esok hari, ini adalah wahyunya. Dalam lain perkataan, ia adalah kerjasama yang dicipta oleh sekumpulan manusia. Tetapi apa yang kita tahu tentang kepalsuan? Al-quran mengingatkan kita:

Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan Dia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki. (Surah Saba ayat 39)

Kepalsuan bukannya sumber kepada perkara-perkara baru. Hal yang baru dan benar tidak bermula dari kepalsuan dan kepalsuan tidak boleh disimpan dalam fikiran.

Kebenaran adalah persetujuan dengan fakta. Kepalsuan adalah berbeza. Ianya kosong. Jika sesuatu dilahirkan dalam kepasuan, ia tidak memberi maklumat baru. Ia tidak akan bertahan lama dan akan musnah dalam jangka masa tertentu.


*Terjemahan dari tulisan Garry Miller


Thursday, March 19, 2015

Perkemaskan pendidikan prasekolah








Langkah kerajaan memperuntukkan berbilion ringgit setahun dalam setiap bajet tahunan dalam sektor pendidikan negara telah mengubah keadaan hidup masyarakat Malaysia keseluruhannya. Ketika awal merdeka dahulu, kita pernah mendengar sekolah orang dewasa bagi mereka yang buta huruf dan ketika itu tidak banyak sekolah seperti hari ini khususnya di kawasan penduduk padat, dua atau tiga buah sekolah boleh dilihat. Justeru tidak hairanlah, dalam Bajet 2006 kerajaan memperuntukkan 29 bilion ringgit untuk menjana sektor pendidikan negara.

Pendedahan mengenai 114,000 murid sekolah rendah tahun dua hingga enam yang tidak tahu membaca, menulis dan mengira (3M) membuatkan kita gusar dan cemas seketika apatah lagi tempoh mencapai Wawasan 2020 cuma tinggal lima belas tahun. Walaupun peratusan golongan ini cuma tiga peratus tetapi kesannya sangat ketara kerana boleh mendatangkan implikasi sosial ke atas masyarakat.

Kita berharap Kementerian Pelajaran akan membuat kajian ke atas kelompok yang terlibat melalui program jangka panjang yang menghapuskan terus masalah ini. Penjelasan yang dibuat oleh Setiausaha Agung NUTP mengenai kekurangan guru bagi mengendalikan kelas pemulihan wajar diberi perhatian oleh Kementerian Pelajaran.

Namun begitu, jika inilah masalah utamanya, Kementerian terbabit boleh menyelesaikan isu ini dalam masa yang singkat melalui pengambilan guru yang lebih ramai. Apatah lagi permohonan yang diterima untuk guru semakin bertambah. Teknik mengajar guru-guru kita juga turut bertambah baik kerana pendedahan yang diberi.

Masalah kemudahan infrastruktur sekolah yang daif dan menyedihkan tidak dapat dijadikan sebagai alasan mutlak kegagalan pelajar-pelajar ini kerana ada sesetengah negara yang terbelakang daripada Malaysia masih boleh melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dan berbakat.

Kekhuatiran yang perlu difikirkan ialah kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan pendidikan khususnya pendidikan prasekolah. Objektif pendidikan prasekolah ialah menyediakan pengalaman pembelajaran yang sangat berguna kepada kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun bagi menyuburkan potensi sedia ada termasuk perkembangan mental, fizikal dan spiritual. Dengan menguasai kemahiran asas inilah, sikap mereka terhadap pendidikan menjadi positif.

Kajian yang dilakukan oleh kumpulan sokongan Legal Momentum dan Pusat Kerja Institut Teknologi Massachussetts mengenai kesan ekonomi dan kesan-kesan lain terhadap kebaikan prasekolah sangat baik. Daripada 123 kanak-kanak Afrika Amerika yang berpendapatan rendah dan berisiko tinggi tercicir daripada sekolah, separuh daripadanya yang mendapat pendidikan awal berkualiti didapati berkemungkinan besar untuk tamat sekolah tinggi, mempunyai pekerjaan dan berisiko lebih rendah bergantung kepada badan kebajikan atau dipenjarakan kerana terlibat dengan jenayah. Kanak-kanak yang mendapat permulaan awal yang cemerlang kurang memerlukan kelas pendidikan khas yang mahal dan berkemungkinan besar berjaya memasuki universiti.

Jadi, kempen yang menggerakkan ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah tadika atau pusat pembelajaran bahasa harus dimulakankan. Usaha kerajaan untuk menguatkuasakan pendidikan prasekolah ini wajar dinilai dari segi persediaan keluarga keseluruhannya. Bagi keluarga di bandar, ia tidak menjadi masalah yang ketara kerana sedikit sebanyak kemudahan ke arah itu telah disediakan. Masalahnya ialah di luar bandar yang berkait rapat dengan status ekonomi dan kemudahan prasarana. Jika di bandar, bagi kanak-kanak yang lembab dan lemah, terdapat guru khas yang akan memantau perkembangan kemajuan mereka. Kesedaran ibu bapa turut membantu secara tidak langsung seperti menghantar anak-anak ke kelas tambahan dan turut bersama-sama mempelajari teknik-teknik pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak yang cemerlang.

Pihak kerajaan juga boleh melihat sistem pendidikan di negara-negara Scandinavia seperti Finland yang berjaya melahirkan masyarakat berilmu kelas dunia. Pengiktirafan terhadap guru di sana memang sangat hebat seperti kemudahan gaji, elaun dan kemudahan pengajaran. Hasil keputusan kajian antarabangsa 2003 yang dilakukan oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) telah menempatkan Finland di tempat teratas daripada 40 buah negara yang diuji dalam subjek sains dan tahap celik huruf. Menariknya sistem pendidikan Finland ialah kanak-kanak mula memasuki alam persekolahan formal ketika berusia 7 tahun dan hanya memperuntukkan 30 jam seminggu untuk kerja sekolah berbanding 50 jam seminggu yang diamalkan oleh pelajar-pelajar Korea.

Masalah-masalah yang berkaitan pelajar turut berlaku di Finland tetapi jumlahnya sedikit sekali. Sungguhpun kes-kes buli, salah guna dadah dan tidak beradab dengan guru seringkali kedapatan, para pendidik di sana akan mencari jalan untuk mengatasinya secepat yang boleh. Daripada 62,000 pelajar sekolah menengah yang menamatkan pengajian setiap tahun, hanya 1000 yang tercicir dan separuh daripadanya akan kembali untuk melengkapkan pengajian mereka.

Kejayaan Finland membentuk sistem pendidikan bertaraf dunia bukanlah mengambil jangka masa yang singkat malah telah melalui beberapa siri eksperimen. Sehingga pertengahan 1970-an, para pelajar diasingkan melalui ujian pada usia 10 tahun untuk menentukan aliran masing-masing sama ada akademik ataupun vokasional. Kaedah ini dikritik kerana adalah terlalu sukar untuk mengubah sesuatu aliran kerana banyak masa yang telah dihabiskan untuk menyesuaikan diri dengan aliran pendidikan yang berkenaan. Kritikan seterusnya ialah cabaran ke arah melahirkan sistem pendidikan yang selari dengan dunia ekonomi semasa. Bagi mereka, adalah lebih mudah bagi masyarakat yang berteraskan k-ekonomi untuk dilatih selari dengan perkembangan kerjaya yang baru.

Eksperimen seterusnya ialah menggunakan pendekatan “pemusatan pelajar” yang memberi lebih kuasa kepada guru dan lebih perhatian ke atas keperluan individu pelajar. Langkah pertama ialah menghapuskan peperiksaan kebangsaan pada usia 10 tahun dan para pelajar dibenarkan untuk meneruskan pelajaran hingga umur 16 tahun. Sekitar tahun 1980-an, semua pelajar dari pelbagai tahap keupayaan dan kebolehan dikumpulkan dalam kelas yang sama. Akhir sekali, pada tahun 1994 sistem pendidikan telah dirombak secara besar-besaran dengan pihak sekolah dan guru telah diberi kebebasan untuk menyediakan keutamaan pendidikan masing-masing. Kejayaan sistem pendidikan Finland disebabkan oleh ciri-ciri berikut :

1. Guru yang terlatih

Walaupun gaji tidak begitu banyak tetapi kerjaya perguruan begitu berprestij. Universiti hanya menerima satu daripada tujuh permohonan untuk mengikuti bidang pendidikan. Ternyata menjadi guru sangat sukar berbanding peguam dan doktor.

2. Guru mempunyai autonomi yang luas

Mereka bebas menentukan metod pengajaran, kurikulum dan bebas memilih dan menentukan buku teks. Autonomi ini sangat ketara hinggakan para guru tidak tertakluk pada pemantauan dan penilaian yang kerap. Dengan kata lain, setelah diterima menjadi guru, seseorang itu telah diberikan kepercayaan secara automatik oleh sistem yang telah wujud itu.

3. Pelajar diajar menilai diri sendiri

Guru diberi tanggungjawab melatih para pelajar mereka menilai diri sendiri sejak dari sekolah tadika. Cara ini dapat membentuk pelajar yang bertanggungjawab ke atas kerja-kerja mereka. Seterusnya dapat melahirkan pelajar yang bebas melakukan tugasan berdasarkan tahap tanggungjawab tersebut. Pada peringkat awal persekolahan, aspek penilaian diri hanyalah membuat ekspresi diri sama ada gembira atau sedih. Peringkat yang lebih tinggi pula, para pelajar akan menulis tahap pencapaian diri yang selalunya dibuat pada penghujung tahun.

4. Pelajar digalakkan berdikari

Guru melatih dan memberi galakan kepada pelajar mereka untuk mencari sendiri maklumat yang dikehendaki tanpa bergantung sepenuhnya kepada buku-buku teks. Keupayaan mencari maklumat ini sangat penting dalam proses mencari ilmu kerana jika menulis atau menyalin semula apa yang dikatakan oleh guru, para pelajar tidak akan belajar apa-apa.

5. Pelajar lemah diberikan sokongan berterusan

Barangkali inilah aspek pencapaian pendidikan terpenting di Finland. Usaha ini telah merapatkan jurang perbezaan di antara pelajar cemerlang dan lembap dalam OECD. Masalah lemah dalam pelajaran dan perubahan tingkah laku adalah peluang bagi para guru untuk memperbaiki teknik pengajaran. Setiap pelajar ini mempunyai matlamat pembelajaran tersendiri; mula-mula, pupuk minat untuk datang ke kelas; kemudian datang belajar tepat pada masanya; seterusnya bawa buku dan sebagainya. Guru mempunyai tanggapan positif terhadap pelajar yang tidak mahu buat kerja sekolah kerana yang penting ialah mencuba. Mungkin hari lain pelajar berkenaan akan melakukannya tanpa disuruh.

Kejayaan guru-guru di Finland melahirkan pelajar kelas dunia banyak dibentuk oleh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan khususnya pada awal-awal usia persekolahan. Umpamanya guru tidak mengkritik atau memarahi pelajar jika melakukan kesilapan kerana hal demikian akan memberi malu kepada pelajar berkenaan seterusnya enggan lagi belajar. Falsafah yang dipegang ialah setiap orang dibenarkan membuat kesilapan. Bagi meningkatkan harga diri, para pelajar diminta membandingkan pencapaian mereka hanya dengan rakan-rakan dari tahap berbeza, bukannya sesama sendiri. Kejayaan sistem pendidikan di Finland banyak disumbangkan oleh faktor kesabaran, toleransi dan komitmen ke arah kecemerlangan serta falsafah pengajaran yang sangat menarik iaitu jika saya gagal mendidik dan mengajar pelajar saya, kaedah pengajaran sayalah yang salah.

Memetik ungkapan Pendita Za’ba di dalam bukunya “Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri” iaitu “Setiap orang daripada sesuatu bangsa dan setiap kumpulan daripada mereka yang bekerja masing-masingnya atau bersama-sama oleh sebab kuat bergantung kepada diri sendiri dan percaya akan kebolehan sendiri, adalah bekerja bagi kejayaan bangsa itu dan kemajuannya adalah Kemuliaan dan Kemakmurannya”. Apa lagi yang boleh menghalang anak-anak muda generasi masa depan negara dari berjaya dalam hidup selain daripada tidak peduli dan memandang rendah tentang kepentingan pendidikan khususnya pendidikan awal.



Wednesday, March 18, 2015

Mengurus kemarahan








Perubahan taraf hidup dan keinginan mencapai kualiti hidup yang lebih baik adalah idaman setiap orang biarpun di mana saja mereka tinggal. Orang kampung ingin memperbaiki taraf hidup mereka dengan memiliki pelbagai peralatan moden seperti yang dimiliki oleh penduduk di bandar. Manakala orang di bandar ingin pula merasai kedamaian dan kedinginan suasana kampung biarpun mereka telah memiliki segala keperluan sebagai penduduk bandar.

Bagi tempoh masa yang panjang, persoalan terhadap kehidupan dikumpulkan kepada tiga masalah major iaitu communal of life, kerja dan kasih sayang. Apa sahaja jawapan yang kita berikan terhadap ketiga-tiga persoalan di atas akan memancarkan cara gaya hidup yang dapat diperlihatkan di dalam seluruh kehidupan kita. Budaya, sikap, seni ataupun kepercayaan agama sangat jelas boleh dikongsi bersama di dalam ketiga-tiga persoalan ini.

Persediaan hidup dalam sepanjang kitaran hidup kita sama ada ianya betul atau salah, bermula dari hari pertama kita bersama ibu dan bapa. Mereka kedualah yang akan menentukan hala tuju dan masa depan anak- kecil mereka. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud, “Anak-anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Nasrani ataupun Majusi” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah). Secara semula jadipun, ibu bapa adalah rakan kongsi terbaik untuk memberikan pengalaman terbaru kepada anak-anak mereka.

Dalam proses pembesaran dan pembangunan yang dilalui, dengan perubahan demi perubahan menjadikan kita terdedah kepada pelbagai cabaran dan halangan. Perubahan ini boleh menyebabkan seseorang itu menuju ke arah kejayaan dalam hidup dan juga boleh membawa kekecewaan dan kehancuran hidupnya. Mahu ataupun tidak, perubahan ini menggambarkan sikap dan corak pemikiran kita terhadap kehidupan, gembira, sedih, kecewa, bimbang dan sunyi khususnya kepada mereka yang rasa tertekan kerana sesuatu sebab. Dengan keadaan inilah, berlakunya pelbagai rasa tidak puas hati dan sanggup bertindak di luar batas kebiasaan. Mengambil jalan singkat untuk menyelesaikan masalah tanpa dibimbing fikiran yang rasional akan menyebabkan penyesalan yang tiada kesudahan.

Apakah yang menjadi punca kepada hilangnya sifat pemaaf dan kasih sayang dalam diri seseorang sehingga sanggup mengambil jalan mudah melepaskan api kemarahan dengan mendatangkan mudarat kepada orang lain? Ke mana hilangnya nilai kasih sayang dan kesediaan berbincang untuk menyelesaikan masalah? Individu yang tidak dapat mengawal emosi kadangkala mampu bertindak di luar jangkauan pemikiran biasa.

Berita mengenai kes-kes kematian sepertimana yang dilaporkan oleh media massa kadangkala menyentak sedikit perhatian kita terhadap perkembangan yang berlaku di dalam masyarakat pada hari ini. Kejadian-kejadian ini sedikit sebanyak menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat dan tertanya-tanya apakah yang sedang berlaku. Apakah dengan pesatnya perkembangan pembangunan negara kita dan masyarakat harus menerima berita-berita sedih seperti ini setiap hari?

Hilang pertimbangan

Sewaktu kita kanak-kanak, amatlah mudah bagi kita untuk menyatakan perasaan dan keperluan kita kepada orang lain khususnya ibu bapa. Keadaan ini akan berubah apabila kita bercampur dan bergaul dengan pelbagai jenis orang dan belajar daripada persekitaran. Kadangkala kita terkeliru dan sukar untuk membezakan di antara perasaan dan apa yang kita fikirkan kerana kerapkali fikiran dan perasaan bercampur baur. Kita lebih kerap mendengar apa yang dinyatakan oleh fikiran dan tidak pada apa yang dinyatakan oleh hati dan jiwa ataupun suara hati.

Jika ingin membersihkan sisa-sisa emosi yang negatif ini, kita wajar melepaskan emosi tersebut kerana ia lebih baik daripada menafikan perasaan sebenar kita. Jika kita menafikan perasaan ini, kita akan mudah tergugah. Tenaga-tenaga positif akan terhalang dan keadaan seperti serba tidak kena. Orang yang cerdik tidak akan membiarkan perasaannya berlalu begitu sahaja tanpa mengetahui apa yang dirasainya. Dia mengetahui dan menghargai perasaannya sebelum melepaskannya keluar. Ketika inilah "celik emosi” wajar menjadi panduan bagi mengatasi rasa marah, panas baran dan memberontak yang melulu.

Mereka yang mudah marah patut belajar mendengar kata hati yang bersandarkan pada akal yang waras, bukannya mengambil jalan mudah sehingga menyusahkan diri di kemudian hari.

Kita tidak perlu marah biarpun perkara tersebut remeh kerana sedikit sahaja rasa marah yang ditunjukkan seperti meninggikan suara dan wajah yang garang, ia sudah cukup menyakitkan hati orang lain. Bukan sekadar hilang kawalan diri, malah hilang kedamaian dan keharmonian hidup. Jika seorang bapa menujukkan kemarahannya di hadapan anak-anaknya, kelak bapa ini akan melihat anak-anaknya membesar sebagai seorang yang pemarah, sama seperti bapanya.

Menjadi marah adalah sifat orang yang tidak matang. Kanak-kanak umumnya cepat hilang marahnya dan kita wajar belajar mengawal perasaan marah bila umur semakin meningkat. Kerapkali juga saya bertanya kepada rakan-rakan apakah yang mereka fikir dan rasa tentang marah. Ada yang memberi pendapat dengan menyatakan bahawa sangat perlu khususnya ketika mempertahankan hak dan maruah diri, mendapatkan peluang-peluang dan mempertahankan kebenaran. Bagi yang berpendapat tidak perlu untuk marah, mereka berfikir lebih baik menggunakan pendekatan tunggu dan lihat untuk mempastikan objektif yang dikehendaki akan tercapai.

Bagaimanapun, umumnya setiap kali kita menafikan rasa marah, keadaan ini meningkatkan rasa tertekan. Bila kita mampu untuk melepaskan rasa marah, kita mula menerima diri yang sebenarnya. Setelah kita mula menerima keadaan marah, amatlah mudah untuk menyalurkan perasaan marah itu pada tempatnya. Keadaan ini penting kerana bermakna kita tidak lagi menyimpan perasaan dendam. Peristiwa guru bertumbuk di hadapan pelajar juga tidak akan berulang jika betul dan tepat marah itu disalurkan. Membiarkan emosi marah berlalu dengan beredarnya masa adalah sesuatu yang sukar tetapi ia tidak menyakitkan kerana timbulnya sakit ini hanya apabila berterusan menafikan emosi sebenar marah kita.

Kunci kepada transformasi dari marah ke redha ialah kesediaan menerima keadaan diri sendiri. Belajar untuk bertanya pada diri sendiri apa yang kita mahukan dan bertindak berdasarkan kemahuan itu tanpa menyusahkan orang lain. Apabila redha dan sabar membunga di dalam diri, marah dan dendam tidak akan bersarang lagi di dalam jiwa manusia yang merdeka.

Maaf

Maaf mempunyai daya tarikan untuk meleraikan dua orang yang bersengketa. Ia menyuburkan perhubungan dan menyegarkan kembali emosi yang sedikit kecewa. Apabila kita bertindak memaafkan seseorang yang telah dikecewakan, kita memberi mereka suatu hadiah yang sangat indah, hebat dan bermakna.

Memaafkan bukan sekadar amalan tradisi sosial semata-mata, malah ia bertindak sebagai suatu tanda hormat dan empati kepada individu yang telah melakukan kesilapan dan kesalahan. Ia juga mempunyai keupayaan meruntai rasa marah, melerai salah faham dan membina kembali jambatan kemesraan.

Bagi dua orang yang saling menyimpan perasaan dendam akibat persaingan, cemburu, salah faham dan kecewa, saling bermaaf-maafan dapat membentuk dan mengekalkan gaya hidup yang sihat. Setiap hubungan yang dinikmati akan membina kemesraan seterusnya menanam kepercayaan dan keyakinan. Bertindak memaafkan kesilapan dan kesalahan orang lain adalah tindakan paling bijak yang boleh kita lakukan untuk diri sendiri, rakan-rakan dan juga perhubungan itu sendiri.

Kepentingan memberi maaf

Setiap masa tanpa kita sedar, kita sering melakukan kesilapan dan mengharapkan agar kesilapan itu diperbetulkan. Sebahagian daripada kita mempunyai kecenderungan merasa bersalah atau malu apabila melakukan kesilapan atau kesalahan biar sekecil mana sekalipun. Apabila meminta maaf, kita akan merasa lebih selesa dan tidak lagi berada dalam keadaan tertekan. Jika maaf kita diterima, seolah-olah kita kembali menghargai setiap detik kehidupan dan masuk kembali ke alam kehidupan yang lebih ceria.

Terdapat lima alasan peri pentingnya memberi maaf :

· Memaafkan orang lain menunjukkan tanda hormat.

· Memaafkan menunjukkan keupayaan mengambil tanggungjawab di atas setiap tindakan.

· Memaafkan menunjukkan yang kita mengambil berat perasaan orang lain.

· Memaafkan menunjukkan sifat timbang rasa yang tidak berbelah bahagi.

· Memaafkan kesalahan orang lain mengelakkan kita daripada menjadi ancaman kepadanya dan menghilangkan rasa marah serta dendam yang berpanjangan.


Cuba kita fikirkan betapa hebatnya perasaan kita selepas memaafkan kesilapan orang lain. Mungkin kita akan lebih mesra dengannya dan mencetuskan perhubungan yang baru dan berkekalan.

Kepentingan menerima maaf

Perlu juga difikirkan juga bahawa keupayaan menerima maaf juga sangat penting. Apabila kia menerima maaf daripada seseorang, kita juga menyatakan :

· Penghargaan terhadap individu tersebut mengenai kekesalannya di atas apa yang telah berlaku.

· Kepercayaan kita terhadap kemaafan yang sesungguhnya dan mengharapkan agar kesilapan tersebut tidak diulangi.

· Keupayaan untuk memahami dan melimpahkan rasa kasihan.

· Melahirkan hasrat untuk individu berkenaan bertaubat dan berubah sikap.

· Kesungguhan kita untuk memberi maaf.


Semua kepentingan di atas adalah suatu yang sangat hebat untuk dilaksanakan. Mereka yang menerima maaf akan merasai suatu keyakinan yang kuat dan dapat membina budaya pemaaf dengan harapan orang yang melakukan kesilapan itu akan belajar daripada kesilapannya dan berubah menjadi individu yang lebih baik. Melalui cara inilah nilai diri dan maruah seseorang itu dapat dibentuk dengan lebih cepat dan berkesan.

Kaedah memohon maaf

Cara atau bentuk yang dipilih semasa meminta maaf adalah refleksi daripada peri pentingnya meminta maaf. Sebagai contoh, sesetengah orang lebih selesa meminta maaf secara berhadapan atau bersemuka dan sesetengahnya pula secara bertulis. Bagaimanapun terdapat lima cara bagi kita untuk meminta maaf :

· Bersemuka

Cara bersemuka adalah kaedah yang terbaik kerana ia memberi peluang kepada orang yang bersalah untuk bertemu secara langsung dengan saingnya dan juga memperlihatkan keikhlasan untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Kaedah ini sangat berkesan jika kedua-dua pihak dapat berfikir rasional dan memahami keperluan pertemuan berkenaan dan ia tidak lagi berkesan jika pihak mangsa mempunyai keinginan untuk membalas dendam dan mencetuskan konflik yang lebih kompleks dan berpanjangan.

· Bertulis

Cara ini sangat sesuai jika orang yang hendak dimaafkan itu berada jauh. Meminta maaf secara bertulis amat baik jika maaf itu berpunca daripada suara hati kerana ada di kalangan kita tidak mampu meminta maaf dengan kata-kata tetapi mampu berbuat demikian dengan lebih berkesan dan selesa dengan menulis. Tambahan pula menulis maaf dapat mengurangkan tekanan 
dan memberi ruang kepada orang yang hendak memberi maaf memikirkan secara mendalam apakah tindakan seterusnya.

· E-mel

Kaedah ini adalah pilihan bagi memohon maaf secara bertulis. Berbanding surat, maaf secara e-mail dapat menjimatkan masa dan memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar-tukar e-mail.

· Rakaman

Bagi mereka yang tinggal berjauhan dan susah untuk melahirkan kemaafan, merakam maaf adalah satu langkah alternatif yang bijak. Cara ini memberi ruang untuk rakaman tersebut diedit sehinggalah puas. Nada dan intonasi suara juga boleh mempengaruhi pihak yang satu lagi untuk menilai keikhlasan peminta maaf.

· Telefon

Memohon maaf secara telefon ini sangat kurang keberkesanannya. Pemberi maaf sukar hendak membuat keputusan kerana tidak bersedia untuk memberi maaf dalam masa yang singkat. Dia juga tidak diberi peluang untuk membuat keputusan secara jujur dan tujuan memohon maaf melalui telefon tidak akan mencapai objektifnya.


Kenapa susah untuk memberi maaf?

Terdapat halangan-halangan besar yang membantutkan proses memberi maaf : marah, takut, bangga diri, buruk sangka, keras hati dan salah tafsir.

· Marah

Rasa marah adalah satu manifestasi yang sangat kuat pengaruhnya dan boleh digunakan dalam pelbagai cara – merangsang perubahan, menguatkan keazaman dan melindungi diri daripada dan kekalahan dan kesakitan.

Kemarahan sinonim dengan ungkapan “tiada maaf bagimu” yang sedikit sebanyak berpunca daripada sukarnya memberi maaf. Kadangkala api kemarahan sentiasa dibayangi dengan fikiran hendak membalas dendam.

· Takut

Sesetengah orang enggan berfikir tentang sesuatu kejadian kerana akan menyebabkan mereka sedih dan kecewa hingga menyukarkan tumpuan kepada memberi maaf. Ketakutan itu menyebabkan mereka fikir ia akan membuka kembali luka lama dan kesedihan yang dialami akan berpanjangan.

Takut juga menghalang seseorang daripada memberi maaf kerana jika mereka percaya bahawa maaf dapat menghilangkan duka lama, mereka mungkin akan dikecewakan sekali lagi. Kebanyakan daripada mereka yang sukar memberi maaf ini terdiri daripada kurangnya kepercayaan bahawa kemaafan akan memberi manfaat dalam hidup mereka.

· Bangga diri

Sama seperti bangga diri dapat melahirkan simpati dan memberi maaf secara ikhlas, bangga diri juga boleh menjadi halangan untuk memberi maaf. Bangga diri bagi sesetengah orang dapat mengelakkan gambaran sebenar kelemahan dan kesalahan diri. Bangga kerana telah dapat mengecewakan orang lain dan gembira dengan keadaan tersebut mungkin menjadikan sesuatu perhubungan akan lebih sukar dan menyukarkan.

· Keras hati

Bagi mereka yang keras hati, sekali salah akan salah selamanya dan tidak ada lagi kepercayaan. Jadi, biar apa pun cara yang dilakukan untuk memohon maaf, pesalah berkenaan tidak perlu dilayan dan tidak perlu dimaafkan. Pada mereka, sama ada baik atau buruk, tidak ada kawasan kelabu, samara-samar ataupun peluang kedua.

· Salah tafsir

Barangkali salah tafsir adalah halangan yang paling besar untuk memberi maaf. Membuat keputusan dengan tergesa-gesa dan terdesak bukan hanya membuat keputusan yang tidak tepat tetapi menunjukkan kurangnya kematangan dalam berfikir dan bertindak. Apa pun yang terjadi, hakikatnya tidak ada orang yang sempurna kerana ada-ada saja kesilapan yang akan dilakukan sehinggalah nyawa terpisah daripada jasad.

Erti kehidupan

Persoalan tentang erti kehidupan ada nilai dan kepentingannya hanya jika kita meninjau kembali perkaitan di antara sistem kejadian manusia dan sunnatullah. Apabila kita mengambil pendekatan ini, amatlah mudah untuk kita melihat perkaitannya. Sunnatullah adalah asas kepada setiap kehidupan kerana setiap kehidupan akan cuba memenuhi segala keperluannya.

Untuk hidup bermakna kita perlu membangun dan berkembang ke arah kesempurnaan dan keunggulan. Firman Allah swt dalam Surah Az-Zariat ayat 56 yang bermaksud, “Dan Aku (Allah) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu, Aku tidak sekali-kali menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan, sesungguhnya Allah, Dialah yang maha pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh”.

Kesimpulan

Memberi maaf, meminta maaf dan mengharapkan kemaafan dapat memberi kesan yang sangat hebat kepada seseorang. Jika orang yang kita maafkan tersebut tersentuh hatinya dengan maaf kita, ia akan membuatkan orang berkenaan memikirkan berkali-kali tentang kehebatan maaf. Ia juga akan membuatkannya berfikir tentang siapa lagi yang perlu baginya untuk meminta maaf dan memaafkan. Seterusnya merangsang dirinya untuk berubah menjadi seorang yang mudah memberi dan menerima maaf biar apapun yang berlaku ke atasnya kerana keredhaan Tuhan adalah lebih utama.