Wednesday, March 05, 2014

Bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan

 
 
 
 



Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia memperkenal bahasa Mandarin dan bahasa Tamil di sekolah kebangsaan dilihat sangat relevan dalam konteks mengukuhkan integrasi etnik di Malaysia.

Walaupun kita belum tahu mekanisme pelaksanaan kedua-dua bahasa ini, hasrat tersebut boleh menjadi daya tarikan kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan di samping menjadi nilai tambah kepada pelajar-pelajar di sekolah berkenaan.

Perubahan paling ketara apabila pelaksanaan ini bermula ialah penempatan guru bahasa di sekolah kebangsaan. Permintaan untuk guru bahasa akan meningkat secara mendadak dan keperluan pengajaran juga semakin bertambah. Pada peringkat awal, dicadangkan pelajar boleh diberi pilihan bahasa yang disukai dengan menggunakan konsep "siapa cepat dia dapat".

Perubahan lain ialah permintaan terhadap buku-buku rujukan dan latihan bahasa Mandarin dan bahasa Tamil akan bertambah. Penerbit buku sudah tentu akan menggunakan peluang ini untuk menambah koleksi buku terbitan kerana pasaran sekolah kebangsaan lebih banyak.

Penguasaan bahasa tidak hanya berlaku di dalam kelas sebaliknya permintaan untuk pusat tuisyen juga akan berlaku. Ibu bapa yang mahukan pelajar menguasai kedua-dua bahasa akan menghantar anak-anak ke pusat tuisyen sebagai usaha tambahan membantu mempercepat penguasaan bahasa dalam kalangan anak-anak.

Pengajaran bahasa ketiga sudah dilaksanakan di MRSM dan sekolah berasrama penuh sejak lama. Pihak Mara sendiri menghantar pelajar mempelajari bahasa Mandarin di Beijing Foreign Studies University, Beijing, China supaya mereka mempunyai guru bahasa khusus dalam bahasa Mandarin. Justeru pelajar di MRSM berupaya menguasai bahasa tersebut dengan bimbingan guru terlatih.

Selain itu universiti-universiti awam turut menawarkan bahasa Mandarin kepada pelajar.

Memperkenal bahasa Mandarin dan bahasa Tamil boleh memberi ruang kepada pelbagai etnik di Malaysia mempelajari budaya dan bahasa masyarakat Cina dan India. Keterbukaan kerajaan Malaysia dalam hal ini amat dihargai kerana ia membantu memperkaya penguasaan bahasa pelajar Melayu yang sudah pun menguasai bahasa Inggeris, Arab dan bahasa ketiga yang lain seperti Jepun, Perancis dan Sepanyol. Pelajar yang dapat menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa sudah pasti akan memberi nilai tambah kepada organisasi dan membantu produktiviti.





Tuesday, March 04, 2014

Paradigma jutawan




 



Menjadi jutawan di Malaysia perlu menunggu sehingga berumur lebih 50 tahun. Mengikuti senarai Forbes, orang terkaya di negara ini berumur 62 tahun hingga 90 tahun. Keadaannya lebih kurang sama dengan negara-negra Asia yang lain.

Azam melibatkan diri dan menjadi jutawan di Malaysia tidak sama dengan usahawan di Amerika Syarikat. Di negara itu, seseorang boleh menjadi jutawan sebelum berumur 30 tahun. Paradigma pemikiran usahawan muda Amerika Syarikat ialah menceburkan diri dalam bisnes yang berisiko tinggi kerana wang berada di luar zon selesa dan mereka mesti menjadi pencetus.

Bidang yang sangat cepat berkembang dan memberi wang yang banyak ialah teknologi maklumat atau IT. Bidang ini umpama mesin cetak wang jika dapat digabungkan dengan pengiklanan kerana pengiklanan adalah "bisnes makan tak habis".

IT adalah ilmu baru yang menarik minat golongan muda dan peniaga. Golongan muda kerana mereka suka yang baru manakala bagi peniaga mereka dapat menjual produk di seluruh dunia.

Golongan 50 tahun ke atas tidak lagi berminat dengan IT sebaliknya berminat menjadi pemegang saham kerana kehidupan yang telah stabil. Menjadi pelabur lebih mudah kerana operasi syarikat dilakukan oleh orang muda yang lebih dinamik. 

China juga melahirkan jutawan dalam usia muda. Sekiranya satu produk berharga RM100 seunit dan mendapat sambutan, dalam tempoh setahun usahawan boleh menjadi jutawan kerana pasaran domestiknya yang besar.

Mengumpul kekayaan adalah falsafah jutawan hari ini. Mereka mengembangkan satu per satu perniagaan sedia ada supaya mencipta lebih banyak harta. Ada orang kaya berhati mulia dan menjadikan dirinya sebagai "bank" kepada orang susah. Ada juga yang tidak peduli nasib orang susah.

Namun , antara ciri orang kaya dan jutawan yang akan diingati ialah bersifat pemurah dan bersama-sama menyelesaikan masalah hidup masyarakat. Mereka kembalikan kekayaan kepada masyarakat supaya dapat dirasai bersama. Jutawan beginilah yang kita harap dapat dilahirkan sama ada muda ataupun lanjut usia.



 

Monday, March 03, 2014

Why we want you to be rich





Penulis: Donald Trump, Robert Kiyosaki Meredith McIver
Tahun: 2012
Penerbit: PTS Profesional Publishing Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor.
Muka Surat: 410

Donald Trump dan Robert Kiyosaki tidak akan memberi wang kepada kita sekalipun kita membeli buku ini. Namun, mereka akan kongsikan ilmu kewangan yang lebih bernilai daripada wang kerana wang yang diberi akan habis manakala ilmu kewangan membantu kita menjana lebih banyak wang.

Berikan seekor ikan kepada seseorang, kita hanya memberi dia makan untuk sehari. Ajarkan orang itu memancing dan dia dapat mencari makan sepanjang hayatnya.

Apabila dua jutawan ini bergabung tenaga untuk menulis sebuah buku, kita dapat menjangkakan hasilnya. Tulisan mereka juga penuh dengan tenaga dan aura kejayaan tersendiri.

Tulisan mereka mencabar pemikiran dan mengubah persepsi kita terhadap wang. Mereka menyedarkan kita yang terperangkap dalam zon selesa sedangkan timbunan wang berada di luar zon selesa.



 

Saturday, March 01, 2014

Aplikasi azan di telefon pintar

 
 
 
 
 

Mohamad Zahir Zainudin, Ibrahim Abu Bakar, Jamil Ab Hamid, Muhammad Sobrie Amil, Muhammad Fauzi Muslih, Amirul Aqim Ahmad, Mohd Zulhilmi Nasharuddin

Abstrak
 
Waktu azan berbeza di setiap negeri kerana kawasan berlainan. Ada kawasan yang masuk waktu azan pada masa yang awal dan ada kawasan yang masuk waktu pada masa yang lambat. Ramai orang yang tidak tahu bilakah masuknya waktu solat dan tidak tahu di mana arah kiblat semasa dalam perantuan. Oleh itu, aplikasi azan adalah sangat penting untuk mengingatkan kita tentang masuknya waktu azan semasa kita berada di kawasan yang berbeza dan dapat membantu menunjukkan arah kiblat. Tujuan kajian ini ialah mengetahui pengunaan aplikasi azan dalam telefon pintar dan gajet masa kini. Berdasarkan kajian ini, kita dapat mengetahui aplikasi dan sistem operasi yang kerap digunakan.

Kata kunci: applikasi telefon pintar, waktu solat, azan
 

1.0 Pendahuluan

Apakah azan? Azan atau adzan (Arab: أذان) merupakan panggilan bagi umat Islam untuk memberitahu masuknya solat fardu. Dikumandangkan oleh seorang muadzin setiap solat lima waktu. Azan mulai disyariatkan pada tahun kedua Hijriah. Pada mulanya, Nabi Muhammad SAW mengumpulkan para sahabat untuk memusyawarahkan bagaimana cara memberitahu masuknya waktu solat dan mengajak orang ramai agar berkumpul di masjid untuk melakukan solat berjemaah.
 
Di dalam musyawarah itu ada beberapa usulan. Ada yang mengusulkan supaya dikibarkan bendera sebagai tanda waktu solat telah masuk. Apabila benderanya telah berkibar, hendaklah orang yang melihatnya memberitahu kepada umum. Ada juga yang mengusulkan supaya ditiup trompet seperti yang biasa dilakukan oleh pemeluk agama Yahudi.
 
Ada lagi yang mengusulkan supaya dibunyikan lonceng seperti yang biasa dilakukan oleh orang Nasrani. Ada seorang sahabat yang menyarankan bahwa manakala waktu solat tiba, maka segera dinyalakan api pada tempat yang tinggi di mana orang-orang dengan mudah melihat ke tempat itu, atau setidaknya, asapnya boleh dilihat orang walaupun ia berada ditempat yang jauh. Yang melihat api itu dinyalakan, hendaklah datang menghadiri solat berjemaah.
 
Semua cadangan yang diajukan itu ditolak oleh Nabi Muhammad SAW. Namun, baginda menukar lafaz itu dengan assolatu jami’ah (marilah solat berjemaah). Lantas, ada usul dari Umar bin Khattab jika ditunjuk seseorang yang bertindak sebagai pemanggil kaum muslimin untuk solat pada setiap masuknya waktu solat. Kemudian saran ini diterima oleh semua orang dan Nabi Muhammad SAW juga menyetujuinya.

Lafaz azan tersebut diperoleh dari hadis tentang asal usul azan dan iqamah: Abu Daud mengisahkan bahawa Abdullah bin Abbas berkata sebagai berikut: "Ketika cara memanggil kaum muslimin untuk solat dimusyawarahkan, suatu malam dalam tidurku aku bermimpi. Aku melihat ada seseorang sedang menenteng sebuah lonceng. Aku dekati orang itu dan bertanya kepadanya, "apakah ia bermaksud akan menjual lonceng itu? Jika memang begitu, aku memintanya untuk menjual kepadaku saja". Orang tersebut bertanya, "Untuk apa?" Aku menjawabnya, "Bahawa dengan membunyikan lonceng itu, kami dapat memanggil kaum muslim untuk menunaikan solat". Orang itu berkata lagi, "Maukah kamu ku ajari cara yang lebih baik? Dan aku menjawab, "ya" dan dia berkata lagi dengan suara yang amat lantang:
 
 
Allahu Akbar Allahu Akbar, Asyhadu alla ilaha illallah, Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah, Hayya 'alash sholah (2 kali), Hayya 'alal falah (2 kali), Allahu Akbar Allahu Akbar, La ilaha illallah


Ketika esoknya aku bangun, aku menemui Nabi Muhammad SAW dan menceritakan perihal mimpi itu kepadanya, kemudian Nabi Muhammad SAW berkata, "Itu mimpi yang sebetulnya nyata. Berdirilah di samping Bilal dan ajarilah dia bagaimana mengucapkan kalimat itu. Dia harus mengumandangkan azan seperti itu dan dia memiliki suara yang amat lantang." Lalu aku pun melakukan hal itu bersama Bilal." Rupanya, mimpi serupa dialami pula oleh Umar. Dia juga menceritakannya kepada Nabi Muhammad SAW.


1.1 Latar Belakang Kajian
 
Waktu azan berbeza di setiap negeri kerana kawasan berlainan. Ada kawasan yang masuk waktu azan pada masa yang awal dan ada kawasan yang masuk waktu pada masa yang lambat. Ramai orang yang tidak tahu bila masuknya waktu solat dan tidak tahu di mana arah kiblat semasa dalam perantuan.


1.2 Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah untuk mengetahui tahap keprihatinan umat Islam terhadap azan, mengetahui aplikasi sedia ada dalam gajet sedia ada dan menimbulkan minat terhadap aplikasi azan.


1.3 Kepentingan Kajian
 
Kajian ini dilakukan bagi membuktikan apakah kepentingannya dan impak terhadap pengguna peranti mudah alih ini. Adakah aplikasi ini seperti selamat untuk digunakan, mudah untuk digunakan, mesra pengguna, fleksibel dan memberi manfaat kepada penggunanya.

Perkara di atas adalah antara persoalan yang timbul sepanjang kajian ini dilakukan. Hal ini kerana adakah aplikasi ini selamat kepada pengguna terutamanya golongan remaja mudah terdedah kepada teknologi yang sedia ada pada masa kini? Seperti yang kita ketahui, semakin banyak kejadian seperti pencurian data peribadi yang dimuatkan dalam aplikasi peribadi, virus dan juga pencerobohan syitem. Oleh itu, kajian ini penting bagi memastikan segala persoalan yang menjadi isu semasa dapat diselesaikan dengan jayanya dan secara tidak langsung membentuk komuniti yang maju dari aspek fasiliti dan juga pemikiran.


1.4 Skop kajian

Pelbagai variasi dari segi masa dan tempat bagi menjalankan kajian ini. Misalnya, kajian ini dilakukan di kelas iaitu semasa di luar waktu pengajaran dan pembelajaran, di dewan dan juga di hostel ataupun penempatan yang didiami oleh para pelajar universiti. Pelbagai kaedah dilakukan antaranya temu bual dan juga borang soal selidik.


2.0 Kajian Literatur
 
Sebelum membangunkan projek ini, kajian harus dilakukan pada semua bahagian yang akan digunakan dalam aplikasi azan dalam telefon pintar mudah alih. Beberapa rujukan dan terminologi projek yang serupa yang dibuat oleh penyelidik lain telah digunakan sebagai bahan rujukan bagi memudahkan proses penghasilan projek.

Creative telah mereka satu aplikasi azan untuk sistem android. Di antara kegunaan aplikasi ini ada dapat memaparkan waktu solat untuk Malaysia dan Singapura, waktu Malaysia adalah berdasarkan e-solat.gov.my dan waktu Singapura adalah berdasarkan muis.gov.sg. Antara ciri-ciri yang terdapat dapat aplikasi ini adalah Notification/Alarm. Ciri ini dapat membantu pengguna untuk lebih peka terhadap masuk waktu solat kerana setiap kali masuk waktu solat telefon akan mengeluarkan bunyi azan. Ciri kedua, aplikasi mempunyai offline data, fungsinya memudahkan pengguna yang ingin merantau kerana pengguna tidak perlu menggunkan internet untuk mengetahui waktu azan. Ciri ketiga, Kompas Qiblat (GPS atau Jakim) fungsinya adalah untuk menunjukkan arah kiblat

Athan – Prayer Timings and Tracking. Islamic finder telah telah mereka satu aplikasi azan untuk sistem iOS. Aplikasi ini akan membantu pelayar mencapai disiplin solat dalam kehidupan yang sibuk dengan menyediakan cara yang menyeronokkan dan mudah untuk mengingatkan kita tentang solat. Setiap kali log masuk aplikasi ini, ia akan meningkatkan skor, membuka penghargaan dalam aplikasi dan mencapai tahap elit sepanjang jalan. Aplikasi ini menawarkan peringatan yang tepat pada masanya untuk solat, mencari arah kiblat dan arahan ke masjid berdekatan. Antara ciri aplikasi ini adalah membuka penghargaan dalam aplikasi dan mencapai tahap status elit berdasarkan skor peribadi. Ciri kedua adalah terdapat ratusan bandar-bandar di seluruh dunia berserta dengan peringatan azan yang tepat pada. Ciri ketiga adalah memaparkan arah kibat dengan tepat.
 
Mobile Athan Software 2.7, Islamic finder juga telah mereka satu aplikasi untuk pengguna telefon mudah alih yang menyokong aplikasi java di dalam telefon mudah alih. Ini kerana telefon generasi lama seperti Nokia dan Sony ericson tidak menyokong pelbagai aplikasi yang menarik. Aplikasi java athan ini dapat membantu pengguna telefon pintar yang lama untuk terus memaklumkan waktu solat yang terkini. Antara ciri-ciri yang terdapat dalam aplikasi ini adalah dapat menunjukkan arah kiblat yang tepat. Selain itu, aplikasi akan memberitahu waktu setiap kali masuk waktu azan. Seterusnya, aplikasi juga akan dibuka automatik setelah telefon pintar dihidupkan.

Android adalah platform mudah alih yang paling popular di dunia. Android boleh menggunakan semua aplikasi Google yang menarik, terdapat lebih daripada 600,000 aplikasi dan permainan yang boleh didapati di Google Play untuk menghiburkan pelayar. Di samping itu, terdapat berjuta-juta lagu dan buku serta filem. Android berada pada berjuta-juta peranti mudah alih di lebih daripada 190 negara di seluruh dunia. Sistem operasi terbesar yang di pasang di mana-mana platform mudah alih dan berkembang pesat. Setiap hari setiap pengguna peranti mudah alih Android mencari aplikasi, permainan dan lain-lain kandungan digital. Android memberikan satu platform bertaraf dunia untuk mewujudkan aplikasi dan permainan untuk pengguna Android di mana-mana, serta pasaran terbuka untuk edaran serta-merta.
 
iOS (iPhone OS) adalah sistem operasi mudah alih yang dibangunkan dan diedarkan oleh Apple Inc. Dikeluarkan pada 2007 untuk Touch iPhone dan iPod, ia telah diperluaskan untuk menyokong peranti Apple yang lain seperti iPad dan TV Apple. Tidak seperti Telefon Microsoft Windows (Windows CE) dan Google Android, Apple tiada lesen IOS untuk pemasangan pada perkakasan bukan Apple. Sehingga September 12, 2012, App Store Apple mengandungi lebih daripada 700,000 IOS aplikasi dan telah yang dimuat turun secara kolektif lebih daripada 30 bilion kali.
 
Symbian adalah sistem operasi mudah alih (OS) dan platform pengkomputeran direka untuk telefon pintar dan kini dibekalkan oleh Accenture. Symbian pada asalnya dibangunkan oleh Symbian Ltd, sebagai keturunan EPOC Psion dan berjalan semata-mata pada pemproses ARM. Bentuk semasa Symbian adalah satu platform sumber terbuka yang dibangunkan oleh Yayasan Symbian pada tahun 2009, sebagai pengganti Symbian OS asal. Symbian adalah telefon pintar yang paling popular OS sehingga akhir tahun 2010, apabila ia telah diambil-alih oleh Android.
 
 
3.0 Metodologi
 
Sebanyak 30 orang responden telah dipilih daripada tiga fakulti berbeza iaitu FTK, FKM dan FKE. Soal selidik tersebut telah dijalankan selama seminggu. Berdasarkan kepada keputusan soal selidik, di dapati 80% daripada responden sering menggunakan aplikasi azan manakala 20% hanya memuat turun dan tidak menggunakan aplikasi azan tersebut.


3.1 Reka Bentuk Kajian
 
Reka bentuk kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti kesan penggunaan aplikasi di kalangan pelajar UTEM. Selain itu, penyelidik juga mengkaji kelebihan dan kekurangan penggunan aplikasi tersebut pada masa kini samada ia membantu pelajar tentang masa solat. Di samping itu, kami juga menjalankan tinjauan untuk mendapatkan gambaran tentang pandangan pelajar terhadap aplikasi azan yang kini semakin digunakan dengan meningkatnya pengguna-pengguna telefon pintar. Data kajian ini diperolehi daripada responden melalui instrumen yang melibatkan soal selidik dan instrumen temubual. Kesimpulannya, kami berpendapat bahawa kaedah tinjauan ini amat sesuai digunakan dalam kajian ini bagi mengetahui kesan penggunaan versi soalan berbeza kepada pelajar dalam penggunaan aplikasi azan yang digunakan.

 
3.2 Kawasan Kajian

Dengan melakukan kajian soal selidik dan temubual, kajian telah dijalankan di lima tempat iaitu asrama pelajar lelaki murni, pusat persatuan pelajar, perpustakaan, kafe dan bilik kuliah. Lokasi kajian ini dipilih kerana ia merupakan tempat tumpuan pelajar. Oleh itu ia memudahkan proses pemilihan responden yang terdiri daripada fakulti yang berbeza.


3.3 Sampel Kajian

Populasi ialah kumpulan sasaran penyelidik supaya sesuatu dapatan kajian dapat diaplikasikan (Fraenkel & Wallen, 1990). Dalam kajian ini populasi sasaran kami terdiri daripada pelajar-pelajar UTEM yang terdiri daripada tiga buah fakulti iaitu FKE, FTK dan FKM. Terdapat lebih kurang 3,000 orang pelajar di tiga-tiga buah fakulti dan 30 orang responden yang dipilih ialah 10 orang dari FKM, 10 orang dari FTK dan 10 orang dari FKE.


3.4 Instrumen Kajian

Instrumen kajian yang digunakan untuk mengumpul data bagi projek kami ialah daripada soal selidik dan temubual. Semua data yang dikumpul, dikodkan dan seterusnya dianalisis. Sebelum analisis dijalankan, data disaring terlebih dahulu. Penyaringan data dijalankan bagi melihat ciri-ciri sebenar yang wujud sebelum analisis dapat dijalankan.


4.0 Hasil Kajian
 
Penemuan dan perbincangan dengan menggunakan borang soal selidik kami telah melakukan kajian tentang aplikasi azan yang digunakan dalam kalangan pelajar UTEM. Berdasarkan kajian yang telah dilakukan, terdapat 20 orang responden perempuan manakala 10 orang responden lagi adalah lelaki. Kebanyakan responden berumur dalam linkungan 21 hingga 25 tahun. Responden yang berumur 25 tahun dan ke atas adalah yang paling sedikit.

Kesemua responden yang telah memberikan kerjasama merupakan pengguna telefon pintar yang mempunyai aplikasi azan. Berdasarkan hasil kajian, lebih ramai pengguna telefon pintar android berbanding dengan iPhone dan symbian.
 
Daripada 30 orang yang di soal selidk, didapati pengguna yang mengunakan operasi sistem Android adalah paling banyak, kedua banyak adalah iOS dan paling sedikit adalah symbian. Kebanyakkan yang mengunakan android mengunakan telefon pintar jenis Samsung kerana harganya yang murah dan mengikuti perkembangan semasa. Kedua terbanyak adalah iOS kerana tidak ramai yang mengunakanya kerana iPhone merupakan telefon pintar yang mahal. Paling sedikit adalah symbian kerana telefon bimbit jenis ini tidak mengikuti perkembangan semasa.
 
Analisis seterusnya dilakukan untuk mengkaji tentang tahap pengetahuan pengguna atau para responden terhadap aplikasi azan. Tiga jenis soalan berbeza telah ditanya kepada mereka.
 
Soalan yang pertama adalah berbentuk pertanyaan tentang kerajinan responden memuat turun aplikasi-aplikasi di telefon pintar mereka. Kebanyakan responden iaitu seramai 25 orang telah mengatakan ya manakala selebihnya adalah tidak.

Soalan kedua pula berkisar tentang pengetahuan mereka terhadap nama-nama aplikasi azan yang terkandung di telefon pintar yang boleh mereka memuat turun. Hanya separuh responden mengatakan ya manakala separuh lagi adalah tidak. Kebanyakan responden yang mengatakan ya tersebut telah mencadangkan aplikasi ‘My Solat’ sebagai aplikasi yang mereka ketahui.

Soalan ketiga pula adalah tentang kerajinan mereka mengemas kini versi-versi aplikasi azan yang mereka gunakan. Hanya 20 orang responden yang mengiakan manakala selebihnya adalah tidak.

Daripada carta di atas, kebanyakkan pengguna telefon pintar sangat menyukai aplikasi azan kerana aplikasi ini sangat membantu mereka dapat menguruskan waktu solat dengan lebih baik. Meraka juga dapat mengetahui arah kiblat dengan mudah. Bagi mereka yang tidak menyukai aplikasi tersebut kerana mereka mendapati aplikasi azan tersebut tidak sesuai apabila dimasukkan kedalam telefon pintar mereka.

 
5.0 Kesimpulan
 
Setelah selesai melakukan kajian, pelbagai perkara yang boleh dijadikan input berguna kepada seluruh masyarakat khususnya bagi yang beragama Islam. Kepada muslimin dan muslimat, kajian ini membantu mereka dalam membentuk kehidupan seharian mereka sebagai seorang muslim dengan lebih teliti.
 
Selain itu, pelbagai maklumat mengenai aplikasi ini dapat diperolehi daripada kajian yang dilakukan. Antaranya, aplikasi ini dapat diperolehi dalam pelbagai versi dan grafik yang menarik mengikut citarasa para pengguna. Malah, info mengenai telefon bimbit yang memberi sokongan kepada aplikasi ini dapat diperoleh daripada kajian yang telah dijalankan dari semasa ke semasa.
 
Di samping itu, perkembangan teknologi Islam yang moden ketika ini dapat diperhatikan dengan jelas apabila pelbagai perisian komputer mengenai aplikasi ini telah dihasilkan. Hal in jelas menunjukkan bahawa golongan cerdik pandai Islam juga merupakan kumpulan elit yang setanding dengan pencipta perisian komputer yang lain. Oleh itu, jelaslah bahawa aplikasi ini memberikan impak yang baik bukan sahaja terhadap umat Islam di dunia malah seluruh penduduk dunia.

Pengeluaran aplikasi azan yang lebih efisien menjadikan pengguna yakin untuk mengguna aplikasi tersebut. Aplikasi azan yang efisien bermaksud,para pengguna akan yakin bahawa waktu masuknya waktu solat adalah sangat tepat. Pengeluaran aplikasi azan juga mempunyai pelbagai fungsi. Melalui aplikasi azan yang pelbagai fungsi ini, para pengguna akan menjadi lebih berminat untuk memuat turun aplikasi tersebut. Sebagai contoh, aplikasi azan yang juga dilengkapi dengan kompas arah kiblat atau bacaan-bacaan doa. Melalui fungsi tambahan ini, pastinya dapat memudahkan pengguna dengan tidak perlu memuat turun pelbagai aplikasi lain.
 

Rujukan


 


Friday, February 28, 2014

Keluarga angkat Polis Pulau Pinang

 
 
 
 
(nst.com.my)
 

Kesediaan Kontinjen Polis Pulau Pinang menjadikan ibu tua berusia 100 tahun, Meliah Md Diah dan Abd. Rahman Saud yang berusia 62 tahun yang juga orang kurang upaya sebagai keluarga angkat amat menyentuh hati. Kisah kedua-dua beranak ini pernah disiarkan oleh akhbar.

Mereka berdua tinggal di Kampung Bukit Nambua, Belimbing Kanan, Padang Terap, Kedah. Tentu ada kisah di sebalik kesediaan Datuk Abdul Rahman Hanafi, Ketua Polis Pulau Pinang membuat keputusan itu selepas yang melawat keluarga berkenaan.

Kita boleh bayangkan ketabahan ibu menjaga anaknya yang perlukan jagaan rapi ini. Mungkin ada orang kampung yang mengambil berat keluarga ini namun tentulah bantuan berkenaan terhad kerana orang kampung juga perlu menjaga keluarga masing-masing.

Huluran tangan kontinjen polis ini sedikit sebanyak membantu kedua-dua beranak menguruskan hidup dengan lebih baik. Contohnya dari segi keperluan makan minum dan pakaian. Perhatian ke atas pemakanan sangat penting kerana si ibu tentu perlukan makanan yang sesuai dengan tahap umur manakala anaknya perlukan makanan khusus untuk perkembangan fizikal. 

Begitu juga dengan pemeriksaan kesihatan. Selepas ini kesihatan kedua-duanya akan lebih diberi perhatian kerana pihak polis sudah tentu ingin melihat mereka berdua dalam keadaan sihat dan ceria. Mungkin si anak perlu disediakan kerusi roda, tempat mandi yang istimewa dan juga peralatan mandian yang sesuai. Jika semua dapat disediakan, kehidupan Makcik Meliah dan anaknya akan lebih bererti.

Bagi masyarakat awam, mereka juga boleh membantu dengan memberi pelbagai bantuan memenuhi keperluan harian seperti beras, pakaian, lampin pakai buang dan tambah baik infrastruktur rumah supaya sesuai dengan keadaan kedua-dua beranak.

Kontinjen Polis Pulau Pinang boleh dijadikan contoh dalam mendekatkan keprihatinan polis terhadap golongan masyarakat yang kurang berkemampuan. Walaupun akan melibatkan kos kewangan dan masa untuk memberi perhatian kepada kedua-dua beranak ini, kita yakin Datuk Abdul Rahman dan semua anggota polis Pulau Pinang akan berasa puas selepas melihat kehidupan keluarga angkat mereka bertambah baik dan sejahtera.



Thursday, February 27, 2014

Robot tunjuk cara solat

 
 
 
 
 

 
Seorang guru mengajar al-Quran di sebuah sekolah rendah di bandar Varamin di Iran, 35 kilometer dari sini mencipta sebuah robot kecil yang menunjukkan cara untuk bersolat kepada kanak-kanak.

Guru berkenaan Akbar Rezaie, 27, mendapat idea untuk mencipta robot berkenaan selepas melihat kanak-kanak terlalu asyik bermain dengan patung import yang boleh menyanyi dan menari.

"Justeru, saya mendapat idea untuk mencipta sebuah robot yang boleh mengajar kanak-kanak tentang agama dan pada masa yang sama menghiburkan mereka," katanya.

Menurutnya, dia mencipta robot berkenaan di rumahnya dan memberikan nama Veldan kepada robotnya yang bermaksud kanak-kanak syurga. - AP

(Kosmo, 27 Februari 2014)

Tuesday, February 25, 2014

Usaha atasi jenayah

 
 
 
 



Pembunuhan berlaku lagi. Kali ini melibatkan seorang bayi, kanak-kanak dan dewasa. Bayi dan kanak-kanak dibunuh manakala pembunuhnya dipercayai membunuh diri. Mangsa dan suspek kenal-mengenal keran tinggal serumah.

Kisah bunuh dan mati berlaku setiap hari dalam masyarakat kita, suatu yang jarang berlaku 20 tahun lalu. Sesiapa sahaja berpotensi dibunuh dalam pelbagai keadaan jika pembunuh ada kesempatan. Pembunuh ini boleh jadi orang asing, rakan, saudara malah adik-beradik atau anak-beranak.

Dalam kes orang asing, seorang pekerja di stesen minyak ditikam suspek. Kematiannya ditangisi. Isteri kehilangan suami, anak kehilangan bapa.

Dalam kes rakan, pernah berlaku pergaduhan dua orang rakan serumah kerana berebut tandas berakhir dengan salah seorang daripada mereka ditikam.

Dalam kes adik-beradik, pertengakaran kecil menjadi serius hingga menyebabkan kematian.

Kita perlu melihat kembali secara menyeluruh apakah yang menyebabkan pembunuhan dan kematian ini. Apakah sebenarnya yang sedang berlaku dalam masyarakat? Setiap negeri perlu menilai di mana tindakan yang boleh diambil untuk mewujudkan kesejahteraan masyarakat.

Jenayah tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana bakal menjadikan masyarakat berasa tidak selamat. Jika penguatkuasaan wajar diketatkan, ia perlu dilakukan segera. Jika undang-undang sedia ada tidak menakutkan, ia perlu dipinda dan dikukuhkan.

Apa yang kita lihat ialah undang-undang tidak menakutkan dan jenayah masih berleluasa.


 

Monday, February 24, 2014

Siri Bestari Pantas Membaca




Buku bersiri Pantas Membaca menggunakan tulisan merah dan hitam bagi membezakan bunyi huruf dan suku kata. Buku Siri 1 mengandungi huruf a i o u e (pepet dan taling). Pendekatan pengajaran yang menggunakan kaedah fonetik dirasakan lebih mudah berbanding ejaan konvensional kerana ada gambar dan anak-anak dapat bezakan bunyi berdasarkan warna tadi.

Buku Siri 1 sangat bagki anak-anak yang baru belajar membaca kerana bacaan yang sangat ringkas dan mudah diingat. Namun ibu bapa atau guru harus sabar kerana anak-anak kerap minta diulang ejaan.

Sesi pengajraan akan lebih menarik jika ibu bapa menggunakan kad imbas dan mengajar bagaimana hendak menggabungkan bunyi huruf. Contohnya i...ni. Jika menggunakan kad imbas, kaedah gabungan dan bunyi akan lebih mudah diingat dan konsepnya boleh diaplikasi serta-merta.

Berbanding buku-buku lain di pasaran, boleh dikatakan buku ini membantu perkembangan membaca anak-anak dengan agak pantas terutama anak-anak yang tidak mengidap sebarang kesukaran membaca seperti masalah pendengaran, hiperaktif atau lembam.

Kelemahan buku ini ialah menggesa anak-anak mengingat semua huruf a e i o u sekali gus. Lebih baik jika dipecahkan untuk huruf yang selalu digunakan dalam bahasa Melayu iaitu a i u, kemudian barulah disusuli huruf yang lain pula.

Pengalaman saya mengajar menggunakan kaedah fonik, buku !1boleh dihabiskan dalam tempoh seminggu dan anak-anak tidak sabar hendak membaca buku 2. 


 

Sunday, February 23, 2014

Konsep pelaksanaan BR1M di Malaysia






Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) merupakan satu bentuk bantuan sosial yang diperkenal oleh kerajaan Malaysia kepada kumpulan sasar yang telah dikenal pasti. Ia bermula pada tahun 2012 dan diuruskan oleh pelbagai agensi yang dipantau oleh kerajaan. Selain dianggap sebagai usaha kebajikan sosial, BR1M juga dilihat sebagai senjata politik Barisan Nasional dalam pilihan raya 2013 yang lalu. Kejayaan BR1M ialah mengekalkan kuasa politik Barisan Nasional di Putrajaya dan melumpuhkan kemaraan Pakatan Rakyat di Kedah dan Perak.

Konsep BR1M

BR1M adalah inisiatif di bawah jaminan sosial iaitu satu bentuk dasar sosial untuk mengatasi kemiskinan dan ketempangan sosial dalam masyarakat. Jaminan sosial dilaksanakan dalam pelbagai bentuk seperti sokongan pendapatan dan dasar cukai serta pemeliharaan pendapatan (taxation and income maintenance policy). Namun jaminan sosial ini selalunya meliputi pelbagai aspek perkhidmatan sosial seperti rawatan kesihatan dan pendidikan. Terdapat dua jenis jaminan sosial iaitu berbentuk sokongan pendapatan (in-cash) dan sokongan barangan atau sokongan sosial (in-kind).

Maksud jaminan sosial ialah usaha membebaskan masyarakat daripada kesusahan. Secara khusus, jaminan sosial didefinisikan sebagai sistem pemberian wang dan/atau perkhidmatan sosial untuk melindungi seseorang daripada risiko tidak memiliki atau kehilangan pendapatan disebabkan kemalangan, kecacatan, sakit, menganggur, usia tua dan kematian.

BR1M merupakan satu bentuk jaminan sosial adalah komitmen kerajaan untuk mewujudkan keadilan sosial melalui mekanisme pemindahan pendapatan atau agihan semula pendapatan (income transfer or redistributive income). Ia dilaksanakan dibawah kelolaan agensi khusus seperti kementerian atau jabatan.

Alasan kukuh pelaksanaan BR1M ialah melindungi kelompok tertentu dalam negara daripada menghadapi kesusahan hidup kesan daripada risiko yang tidak diduga seperti kenaikan harga barang secara mendadak kerana kemerosotan ekonomi dunia. BR1M bukannya satu bentuk pemberian awam yang sia-sia malah satu pelaburan sosial yang menguntungkan pada jangka masa panjang jika didasari dua prinsip iaitu agihan semula pendapatan dan kesatuan sosial. Dua prinsip ini menjelaskan fungsi mekanisme jaminan sosial seperti BR1M ini.

Contohnya ialah menerangkan peredaran wang pemberian oleh kerajaan kepada penerima hingga wujud mekanisme saling melindungi untuk meningkatkan kualiti hidup. Redistribusi atau agihan semula pendapatan dibahagikan kepada bentuk vertikal dan horizontal.

Vertikal ialah pemindahan wang daripada orang kaya kepada orang miskin. Dalam maksud yang lebih mendalam, bentuk pemindahan ini ialah dokongan masyarakat yang lebih kuat kepada kelompok masyarakat yang lemah, khususnya dalam aspek ekonomi.

Horizontal ialah pemindahan wang antara kelompok seperti laki-laki kepada perempuan, dewasa kepada orang tua atau dewasa kepada remaja dan sebagainya. Contoh lain ialah kelompok sihat kepada orang sakit atau yang bekerja kepada golongan pencen dan bersara.

Kesatuan sosial mempunyai pendekatan yang berbeza kerana dilaksanakan atas dasar saling memberi keuntungan kerana sifatnya yang kolektif. Saling menguntungkan bermaksud angota masyarakat bersetuju berkongsi risiko dan tanggungjawab menghadapi ketidaktentuan pada masa hadapan. Manakala kolektif merujuk kepada usaha kesejahteraan sosial merupakan tanggungjawab semua anggota dalam masyarakat atau negara.


Mekanisme Bantuan Sosial

Bantuan sosial adalah jaminan sosial yang umumnya diberikan kepada golongan lemah dalam masyarakat. BR1M yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia memenuhi ciri-ciri umum iaitu pendapatan di bawah paras tertentu, bersifat kolektif dan universal iaitu setiap warganegara yang layak tetapi khusus, berbentuk in-cash dan disenggara oleh kerajaan sendiri.

Kelebihan bantuan sosial ialah menjangkau pelbagai kelompok sasar dan dapat memenuhi keperluan yang khusus. Bantuan tunai daripada BR1M dapat digunakan untuk kepentingan khusus penerima seperti persediaan anak-anak ke sekolah, meringankan beban kewangan warga emas dan penuhi keperluan harian golongan miskin dalam tempoh tertentu.

Sebaliknya kelemahan bantuan sosial seperti BR1M ini amat ketara iaitu kecenderungan menimbulkan sikap terlalu bergantung kepada kerajaan. Di samping itu, kaedah menetapkan syarat-syarat tertentu seperti pendapatan isi rumah membataskan kumpulan sasar untuk menerima bantuan ini walaupun sesetengah kes masih layak menerimanya. Justeru, kriteria penerima bantuan bergantung pada pendapatan keluarga.


Kesimpulan

Pelaksanaan bantuan sosial seperti BR1M di Malaysia dapat menjadi asas kepada kesejahteraan sosial dalam tempoh yang singkat kerana kelompok sasar berupaya menghadapi kesulitan hidup dalam tempoh sementara. Namun, dalam jangka masa lebih panjang, bantuan sosial dalam bentuk in-kind adalah lebih sesuai supaya kelompok sasar dapat berdikari sendiri dan berupaya memperkasa keluarga sendiri. Pelaburan sosial dalam bentuk pendidikan boleh menggalakkan kelompok sasar lebih cepat mengubah kehidupan mereka walaupun tempoh untuk melihat perubahan tersebut mungkin mengambil masa.

Saturday, February 22, 2014

Cari kerja, jangan duduk saja








Ramai yang mengeluh kerana hidup susah. Memanglah sesiapa pun tidak boleh kata kehidupan ini sesuatu yang mudah tetapi satu-satunya cara untuk keluar daripada masalah ialah dengan rajin bekerja.

Buatlah apa-apa kerja yang boleh memudahkan kehidupan.

Apabila kita sedar bahawa rajin bekerja adalah penyelesaian kepada hidup yang susah ini, kita akan berhenti merungut kerana rungutan tidak akan selesaikan masalah, tidak akan jadikan kita orang senang.

Ada orang yang terlalu memilih kerja sehingga setahun masih belum mendapat kerja. Ada orang yang bekerja apa sahaja sementara mencari kerja yang lebih sesuai dengan kelayakan akademik.

Maknanya, lebih baik bekerja daripada tidak bekerja atau menganggur.