Thursday, May 16, 2013

Kabinet pemangkin transformasi





Kabinet Malaysia 2013 (Utusan Malaysia)


oleh Wan Hasnan Wan Hasan, Junhairi Alyasa,  Suhana Md. Yusop

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan barisan Kabinet baharu yang disifatkan sebagai Kabinet berimbang yang mampu menjayakan agenda transformasi nasional serta meningkatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Jelas beliau, Kabinet itu juga menggabungkan menteri-menteri yang berpengalaman, pemimpin muda dan golongan teknokrat yang mempunyai kepakaran khusus.

“Saya percaya mereka yang berpengalaman akan menyumbang daripada segi kesinambungan berdasarkan pengalaman mereka sama ada sebagai menteri atau timbalan menteri, mereka yang merupakan teknokrat akan menyumbang kepakaran khusus untuk menyuntik idea-idea kreatif dan bernas untuk pertimbangan kerajaan.
“Mereka yang muda pula, selain berkebolehan, mampu membawa cita rasa golongan muda kepada pertimbangan kerajaan. Saya sifatkan Kabinet ini mampu meneruskan dan menjayakan agenda transformasi nasional selain dapat meningkatkan keyakinan dan kepercayaan kerajaan,” katanya.
Najib berkata demikian ketika mengumumkan barisan Kabinet baharu yang terdiri daripada 30 orang menteri, 26 timbalan menteri dan 24 kementerian di Bangunan Perdana Putra di sini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa.
Kabinet itu menjadi perhatian rakyat selepas Barisan Nasional menang 133 daripada 222 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) 5 Mei lalu.
Pengumuman senarai penuh Kabinet dibuat setelah Najib mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah pada sebelah paginya.
Kabinet baharu itu turut menyaksikan pelantikan muka-muka baharu seperti Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hassan Malek dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahalan.
Turut dilantik ialah tokoh korporat iaitu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malayan Banking Bhd., Datuk Seri Abdul Wahid Omar sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Pengerusi Transparency International, Datuk Paul Low juga memegang jawatan yang sama. Kedua-dua mereka dilantik sebagai Senator.
Menurut Perdana Menteri, walaupun bilangan menteri dikekalkan seramai 30 orang, bilangan timbalan menteri telah dikurangkan daripada 37 orang kepada 26 orang.
Daripada jumlah itu, seramai 13 menteri berasal dari Sabah dan Sarawak. Daripada jumlah itu tujuh menteri adalah dari Sarawak, manakala enam dari Sabah.
Kesemua menteri dan timbalan menteri yang dilantik dijadual mengangkat sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di Istana Negara hari ini. 
(Kosmo Online, 16 Mei 2013)

 

Sunday, May 12, 2013

Banteras jenayah kanak-kanak





Kehidupan kanak-kanak umpama bunga yang bersinar


Kematian seorang kanak-kanak perempuan yang dirogol berulang kembali. Justeru kita bertanya bagaimanakah keadaan keselamatan masyarakat pada masa kini? Sebaik sahaja anak-anak terlepas daripada pandangan ibu bapa atau penjaga, nyawa mereka berada dalam bahaya.

Kanak-kanak yang baru membesar umpama bunga indah yang perlu diberi perhatian. Andai lalai dan leka dalam membelai ini, ia akan layu dan tidak dapat berkembang dengan cantik. Ke mana juga mereka pergi, kanak-kanak mesti diawasi supaya dapat kembali ke rumah dengan selamat. Jika tidak, menangis seharian pun tidak akan mengembalikan nyawa kanak-kanak yang menjadi mangsa.

Membanteras jenayah merupakan tugas kerajaan melalui agensi penguatkuasa yang dibentuk. Pasukan polis dan agensi-agensi lain perlu bersama-sama berganding bahu menjaga keselamatan orang awam khususnya kanak-kanak supaya kejadian yang sama tidak berulang. Kita berharap kejadian yang menimpa kanak-kanak perempuan di Johor, Dirang, tidak akan berlaku. Namun, ia masih berulang. Maknanya, aspek keselamatan kanak-kanak di negara kita masih belum baik.

Di samping polis, ibu dan bapa juga berperanan besar dalam memastikan anak-anak sentiasa berada di bawah pengawasan mereka. Jika dapat, ajar anak-anak langkah menyelamakan diri apabila berjumpa dengan orang yang tidak dikenali dan cuba melakukan kekerasan. Tidak salah untuk menyediakan anak-anak ini telefon bimbit supaya dapat mencari pertolongan ketika dalam kecemasan.

Masalah jenayah kanak-kanak adalah masalah masyarakat. Menuding jari menyalahkan satu sama lain hanya mengundang gema "bangau oh bangau" yang akhirnya tidak ada siapa yang dipersalahkan.
 

Saturday, May 11, 2013

Analisis PRU13: Haron Din gagal lagi di Arau






Datuk Haron Din di Sekolah Kebangsaan Jelempok


Calon Pas di Parlimen Arau dalam pilihan raya lalu, Datuk Haron Din gagal dalam usahanya menjadi wakil rakyat selepas kalah 1,371 undi kepada Datuk Seri Shahidan Kasim dari Barisan Nasional. Beliau mendapat 18, 005 undi berbanding Shahidan 19,376 undi. 
 
Parlimen Arau mempunyai 43,876 pengundi yang merangkumi Dewan Undangan Negeri Pauh, Tambun Tulang, Guar Sanji, Simpang Empat dan Sanglang. Dari segi komposisi pengundi mengikut kaum, Melayu membentuk 87.34 peratus, Cina 8.15 peratus, India 1.65 peratus dan lain-lain sebanyak 2.74 yang terdiri daripada masyarakat Siam. Peratusan yang keluar mengundi ialah 87.6 peratus atau 38,312 orang. 

Jentera Pas tidak dapat menandingi kempen berterusan Barisan Nasional yang mendirikan banyak bilik gerakan sama ada di rumah individu atau di kawasan awam. Disebabkan kawasan luar bandar dan masyarakat Arau berpendapatan kecil, kebergantungan kepada Barisan Nasional masih ketara. Di sinilah kelemahan Haron Din yang dilihat lebih banyak masanya berada di luar Arau berbanding Shahidan Kassim yang menggunakan pendekatan personal untuk mendampingi masyarakat. 

Ketokohan Haron Din tidak banyak membantu masyarakat mengenali beliau secara peribadi kerana perumahan penduduk di Arau adalah berselerakan, justeru beliau memerlukan jentera parti yang ramai untuk sampai kepada pengundi-pengundi ini. Ada sesetegah kawasan, rumah pengundi berada di tengah-tengah sawah dan kemudahan jalan raya yang kurang baik memalaskan jentera parti untuk mendekati mereka. Berbanding Barisan Nasional, mereka bergerak juga bertemu pengundi seperti itu sambil bertanya khabar dan membawa buah tangan untuk mengikat hati pengundi kepada parti itu. 

Keputusan pemilihan 2013 menunjukkan pengundi di Simpang Empat dan Sanglang cenderung memilih beliau berbanding di kawasan DUN lain.  

Memenangi Arau merupakan cabaran besar kepada Pas kerana kemajuan negeri itu banyak disumbangkan oleh kerajaan Barisan Nasional. Apatah lagi semenjak pembukaan Lebuhraya Kuala Perlis-Changlon, penduduk Arau dapat meningkatkan akses kepada kegiatan ekonomi dengan lebih ketara. Kawasan sawah yang dulunya mengambil masa 20 minit untuk ke pekan Arau kini hanya perlu menunggang motosikal di antara lima hingga sepuluh minit untuk ke pasaraya C-Mart atau kedai-kedai lain. Tentulah pembangunan ini disumbangkan ketika Shahidan Kassim menjadi Menteri Besar dan juga peranan yang dimainkan oleh Datuk Ismail Kassim, wakil rakyat Arau dalam pilihan raya 2008. 

Oleh kerana pengundi Melayu sangat tinggi di Arau, pendekatan juga berbeza. Memenangi hati mereka bermakna calon perlu datang dan bertanya khabar. Jentera parti Pas tidak kelihatan di sesetengah kawasan berbanding Barisan Nasional yang begerak ke seluruh kawasan di samping berterusan menembusi kubu kuat Pas. Ia dapat dilihat daripada pemasangan poster dan kain rentang berlambang dacing. Barisan Nasional turut menggunakan kaedah memujuk apabila berhadapan dengan pengundi yang tidak dapat membuat keputusan.

Satu perkara yang diperhatikan ialah pengundi di Arau mempunyai pertalian persaudaraan yang akrab. Mereka saling mempengaruhi dan sentiasa memberi peringatan berkaitan calon yang bakal dipilih. Adu domba dan emosional tidak kedengaran di Arau kerana masyarakat masih menjaga adab dan akhlak sebagai umat Islam. Begitu juga denga pengundi muda yang rata-ratanya tamat sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi tempatan dan kurang terdedah kepada media sosial yang bersifat provokasi dan emosi menyumbang kepada kekalahan Haron Din. 

Untuk menang di Arau, Pas perlu menggunakan pendekatan memenangi hati pengundi melalui gerak kerja perdampingan berterusan. Bakal calon juga perlu lebih kerap turun padang dalam aktiviti kemasyarakatan, membantu ahli masyarakat yang terpinggir dan merasai susah payah orang kampung dalam mengisi pembangunan negeri. 

Pentadiran kerajaan Barisan Nasional yang mesra rakyat menghalang Pas untuk memenangi lebih kerusi parlimen dan DUN pada pilihan raya lalu.

 

Thursday, May 09, 2013

Analisis PRU13: Ali Rustam kecewa di Bukit Katil





Kajian lanjut perlu bagi mengenal pasti punca kekalahan di Bukit Katil


Datuk Seri Mohd Ali Rustam menzahirkan rasa kecewa kerana kalah dalam Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) baru-baru ini ke atas pola pengundian masyarakat Cina yang disifatkan “tidak kenang budi, tidak mengambil kira jasa dan cuba membiarkan dirinya seperti sampah di tepi jalan”. Beliau juga menyalahkan sikap segelintir  orang Melayu yang telah mendapat banyak kemudahan asas dengan rumah yang besar dan banyak harta tetapi melupakan khidmatnya apabila menjadi kaya dan hidup senang. 
 
Rumusan beliau terhadap sikap pengundi Cina di Parlimen Bukit Katil ialah masyarakat itu sangat rasis dan mengamalkan poitik perkauman sehingga lupa kepada bantuan yang telah diberikannya.
 
Mohd Ali tewas kepada calon dari Parti Keadilan Rakyat, Shamsul Iskandar Mohd Akin dengan majoriti 5,447 iaitu merupakan suatu jumlah yang besar jika dikira pengalaman, jasa dan hubungannya dengan pengundi di situ. Angka ini menunjukkan jawatan Ketua Menteri yang dipegang sejak 3 Disember 1999 sebenarnya tidak memberi kelebihan untuk menang.
 
Kekalahan Mohd Ali mengejutkan banyak pihak termasuk lawannya. Bagaimanapun peralihan sokongan orang-orang Cina kepada pakatan pembangkang wajar dikaji dan diberi perhatian kerana lebih 80 peratus pengundi bangsa itu menentang beliau. Apakah yang menyebabkan peralihan ini berlaku? 
 
Secara umum pengundi terdiri daripada tiga kelompok iaitu penyokong tegar, simpati dan atas pagar. Kemungkinan besar kelompok simpati dan atas pagar dari kaum Cina terpengaruh dengan sentimen “ubah” yang dibawa oleh DAP untuk meraih kemenangan kali ini. Slogan ini mempengaruhi minda sedar dan separa sedar pengundi selepas diasak dengan pelbagai maklumat. Asakan berterusan ini mampu mempengaruhi emosi pengundi untuk membuat kepastian pada 5 Mei 2013.
 
Selain kempen agresif yang berterusan ini, peranan jentera pakatan pembangkang amat kemas walaupun tidak banyak kain rentang yang diikat atau poster yang dicacak di sekitar Bukit Katil. Jika dibandingkan dengan kain rentang Barisan Nasional, poster pakatan pembangkang boleh dikira. Kesatuan usaha mereka berjaya menggerakkan perpaduan tiga parti untuk mencapai matlamat yang sama iaitu menumbangkan BN.
 
Pergantungan kepada media cetak dan media elektronik hanya mempengaruhi pengundi yang tua dan mengenepikan keupayaan pengundi muda. Rata-ratanya pengundi muda mendapat maklumat yang lebih cepat dan meluas daripada media sosial dan tidak bergantung kepada saluran media kerajaan dan arus perdana.
 
Perbalahan dalam UMNO untuk menjadi calon turut menyumbang kepada kekalahan Mohd Ali. Budaya tidak puas hati beralih kepada dendam jatuh-menjatuhkan sesama sendiri. Seterusnya ia merencatkan gerakan bersungguh-sungguh kem Mohd Ali untuk membawa beliau ke Putrajaya.
 
Akhir sekali, faktor sentimen “Asal Bukan UMNO” telah menjadi tema besar kepada pengundi muda untuk menolak Mohd Ali. Sentimen ini bergema di seluruh negara dan tempiasnya terkena kepada beliau.
 
Keinginan Mohd Ali untuk menjejakkan kaki ke parlimen tidak kesampaian dalam PRU-13 ini kerana pengundi Cina tidak memberi sokongan padu kepadanya. Walau bagaimanapun, dalam sebuah negara demokrasi berparlimen, Malaysia memberi kebebasan kepada setiap warganegara yang layak mengundi untuk menentukan pilihan sendiri. Dalam sistem ini, DAP menggunakan sepenuhnya kebebasan yang ada untuk meraih sokongan dan memberi peluang kepada Parti Keadilan Rakyat untuk mewakilkan suara mereka di parlimen.

Wednesday, May 08, 2013

Masyarakat Islam Malaysia mahukan hudud




Masyarakat Islam di Malaysia lebih cenderung kepada pelaksanaan
undang-undang syariah khususnya dalam hal kekeluargaan



Sebuah institusi penyelidikan Amerika Syarikat, Pew Research Center melaporkan dapatan kajian berkaitan kecenderungan masyarakat Islam di Malaysia,  Indonesia dan Thailand yang mahu melaksanakan undang-undang syariah. Sebanyak 86 peratus responden di Malaysia mahukan undang-undang itu dilaksanakan, jauh di hadapan berbanding Indonesia dan Thailand dengan masing-masing mencatat 72 peratus dan 77 peratus.

Di Indonesia, lebih 70 peratus menyokong langkah itu di samping hampir 50 peratus bersetuju dengan hudud, 48 peratus bersetuju dengan merejam penzina dan 45 peratus menyokong pelaksanaan potong tangan bagi pencuri.

Kajian yang dilakukan antara 2008 hingga 2012 di 39 buah negara merangkumi Afrika, Asia dan Eropah melibatkan 38,000 responden, menggunakan pendekatan bersemuka dan respondennya adalah masyarakat Islam. Laporan dapatan itu dikaitkan dengan komitmen agama yang akrab dengan pandangan terhadap undang-undang syariah. Solat lima waktu sehari dikatakan menjadi pengukuh bahawa syariah adalah undang-undang Allah untuk manusia.

Bagi Indonesia, dapatan kajian ini memperlihat konflik dalam kalangan kepimpinan Islam dan saintis sains sosial yang melihat kebanyakan masyarakat Islam di negara itu cenderung kepada fahaman sekular dan tidak menyokong pembentukan sebuah negara Islam yang melaksanakan undang-undang syariah. Mereka beranggapan Pancasila lebih mendominasi kerana menggalakkan kesederhanaan dalam amalan hidup.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan masyarakat Islam seluruh dunia memilih undang-undang syariah. Faktor utama ialah penyelesaian terhadap konflik keluarga atau lebih tepat adalah berkaitan pembahagian harta pusaka.

Biarpun terdapat sokongan yang tinggi terhadap undang-undang syariah, khususnya di Afrika dan Asia Selatan, majoriti responden lebih suka kepada amalan demokrasi. Dalam meneliti kecenderungan ini terhadap demokrasi, responden di Malaysia mencatat 67 peratus diikuti Thailand 64 peratus dan Indonesia 61 peratus.


Sunday, April 28, 2013

Lindungi keselamatan penjawat awam


Tiga das tembakan telah menyebabkan seorang penjawat awam terbunuh serta-merta di Putrajaya. Kejadian ini amat memeranjatkan kerana pembunuhan seperti ini belum pernah berlaku di situ apatah lagi ketika mood pilihan raya sedang berlangsung.

Keselamatan penjawat awam wajar diberi perhatian

Modus operansi pembunuhan ini sama seperti yang dilakukan oleh pembunuh upahan iaitu pembonceng dan penunggang motosikal menghampiri sasasan dan melepaskan tembakan tepat ke arah mangsa. Kejadian di Melaka, Seremban dan Batu Caves mempunyai modus operandi yang melibatkan pembunuh upahan dan sehingga kini belum dapat dirungkai misteri pembunuh tersebut.

Media melaporkan pihak polis mengesyaki ia berkaitan dengan balas dendam sindiket pengedaran dadah yang tumpas di KLIA baru-baru ini melibatkan RM73 juta syabu yang hendak diimport ke Malaysia. Kejayaan pihak kastam menggagalkan pengedaran berkenaan mungkin menjadi penyebab kepada tindak balas tersebut.

Keselamatan melaksanakan tugas bagi pihak kerajaan merupakan tanggungjawab kerajaan. Ia melibatkan prosedur, kos, sistem penyampaian dan pengawasan. Contohnya, jika melibatkan keselamatan anggota, pihak kerajaan perlu membenarkan agensi melantik pengawal keselamatan sendiri yang memiliki kepakaran dalam memberi perlindungan kepada pegawai kanan. Dalam kes kastam, agensi itu wajar diberi keistimewaan menempatkan pengawal pengiring bersenjata untuk urusan rasmi. Malahan kenderaan yang dinaiki juga wajar diberi kebenaran memasang cermin paling gelap.

Anggota penguatkuasa  seringkali berhadapan dengan ancaman yang menghalang keberkesanan tugas mereka. Namun insiden yang berlaku di Putrajaya ini diharap menjadi iktibar kepada penambahbaikan dalam aspek keselamatan pegawai kanan agensi dan mengingatkan kita bahawa dalam setiap masa, ada pihak yang tidak senang dengan agensi penguatkuasa membanteras pelbagai kegiatan penyelewengan dan jenayah di negara kita.

 

Wednesday, April 24, 2013

PRU13: "Ini kali lah"





Sepanjang minggu ini saya bergerak dari satu tempat ke satu tempat di sekitar Melaka untuk meninjau mood dan  sentimen pengundi muda terhadap pilihan raya 2013. Malam ini saya menyertai kelompok orang muda bermain badminton di Dewan Bistari. Rata-rata pemain di sini dalam lingkungan 20 hingga 35 tahun. Mereka bekerja dalam pelbagai sektor, mahir dan separuh mahir dan datang dari pelbagai kawasan seperti Telok Mas, Durian Tunggal, Klebang dan Alor Gajah.

Sebahagian besar adalah Melayu, sedikit Cina dan malam ini tidak ada pemain India.

Sambil bersembang menunggu giliran bermain, saya mengedarkan borang selidik kecenderungan mengundi kepada orang-orang muda ini. Ada yang berminat dan ada juga yang menolak. Selepas selesai mengisi maklumat dan mengembalikan borang, saya hulurkan saguhati sebagai penghargaan kerana menjawab dengan jujur. Masa itu saya dapat sepuluh borang selidik yang lengkap diisi dari merata kawasan parlimen dan dewan undangan negeri di Melaka.

Ia sangat mengujakan kerana pola pengundi yang pelbagai ini memberi gambaran awal kepada tahap kecenderungan terhadap parti politik yang mereka akan pilih dalam pilihan raya akan datang.

“Ini kali lah, ini kali lah...” saya terdengar kata-kata ini lalu memandang ke arah suara berkenaan. Rupanya seorang pemain yang baru selesai bermain mengucapkan kata-kata itu sambil tersenyum dan bergerak menuju ke arah rakan-rakannya yang sedang memanaskan badan. Walau bagaimanapun tidak ada sambutan daripada rakan-rakannya dan ia terhenti begitu saja.

Istilah “Ini kali lah” merupakan slogan popular di media sosial khususnya laman sesawang pro pembangkang. Ia bermaksud mengajak pengundi membuat perubahan dalam pilihan raya 2013 melalui proses pemasakan indoktrinasi yang mudah, ringkas dan berterusan. Terdapat kain rentang yang dipasang di sekitar Melaka menggunakan istilah inti untuk mengingatkan pengundi.

“Ini kali lah” boleh menjadi slogan pengukuh yang hebat bagi Pakatan Rakyat jika dipamerkan di merata tempat seperti simpang jalan, kedai makan atau risalah. Ceramah juga boleh menggunakan tema ini selain daripada slogan “Ubah” yang dilihat mengambil idea kempen dalam pemilihan presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama.

Slogan “Ini kali lah” tidak mempunyai makna kepada pengundi-pengundi muda di Dewan Bistari kerana mereka tidak faham, tidak diberi penjelasan dan tidak dijadikan kempen besar-besaran dalam hidup seharian. Pakatan Rakyat berharap pilihan raya 2013 ini menjadi penentu kepada kejayaan ke Putrajaya, mungkin pengundi muda melihat ia lebih kepada ancaman ke atas kedudukan selesa mereka.

Pengundi-pengundi muda di Dewan Bistari ini mempunyai pekerjaan yang sudah mantap, gaji yang agak lumayan dan tidak perlu risau dengan keadaan hidup ketika ini. Justeru slogan “Ini kali lah” tidak begitu sinonim dengan orang-orang muda kaki badminton itu, dan saya perlu cari tempat lain untuk melihat slogan ini diraikan.

 

Tuesday, April 23, 2013

Kuasa persepsi penganiayaan politik






oleh Karim Raslan

Isu mengejutkan pengundi 48 jam menjelang hari penamaan calon. Ia juga mempersembahkan “senjata” penting bagi kempen Pakatan Rakyat – penganiayaan. Sebagai pembangkang, mereka terpaksa bertanding sebuah perlumbaan yang tidak adil untuk mengalahkan Barisan Nasional yang menguasai segala pelosok kerajaan.

Sebagai contoh, hampir kesemua kredibiliti yang ditonjolkan Setiausaha Agung DAP dan Ketua Menteri peralihan Pulau Pinang, Lim Guan Eng datang daripada kesanggupan beliau pada tahun 1998 untuk bersuara bagi pihak seorang gadis Melayu yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seks. Dipenjarakan hanya memperkasakan kredibiliti beliau.

Pemimpin PKR, Anwar Ibrahim juga muncul sebagai ikon pembangkang kerana dipecat dan dipenjarakan (dari 1999 hingga 2004) yang kemudiannya didedahkan sebagai kes pencabulan kuasa dan sodomi yang diada-adakan.

Pemimpin- pemimpin ini – dan juga parti mereka – menunjukkan mereka sanggup untuk bersuara dan merana untuk kepercayaan mereka. Ini juga menyatupadukan pihak pembangkang di Malaysia, melangkaui garis perkauman dan agama.

Sebaliknya, Umno telah berkuasa sejak pembentukan Malaysia. Parti itu sudah merasai prestij kuasa dan jawatan tinggi. Malah, kini berlaku gabungan identiti di antara kerajaan dan parti sehingga Umno dianggap “parti kerajaan”.

Namun zaman internet ini, kuasa kerajaan memerintah tidak menjanjikan kemenangan. Apabila institusi kerajaan menjadi kaku, tidak efisien dan korup, kegagalan mereka dikaitkan dengan tuan politik mereka. Tidak mungkin gabungan identiti ini, yang sejak dulu menjadi kebanggaan mereka, dirungkai dalam masa singkat.

Apa yang bakal kita saksikan adalah titik perubahan, di mana Barisan Nasional mula menyedari kesan buruk kerana terlalu dikaitkan dengan ‘status quo’ - terutama di kawasan bandar dan separa bandar di mana rakyat Malaysia mengambil serius perkhidmatan kerajaan, keadilan, dan ketelusan.

Kemampuan Pakatan untuk meraih simpati umum dengan menunjukkan kekerdilan mereka menentang kuasa kerajaan menyebabkan gabungan identiti BN ini menjadi pedang bermata dua. Sepanjang lima tahun lepas, pembangkang sudah mahir dalam mewujudkan kemarahan terhadap layanan diterima mereka daripada kerajaan Barisan. Simpati yang diterima membolehkan mereka menandingi jentera BN lebih besar – saksikan bagaimana Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah sengaja menjadikan diri beliau underdog walaupun beliau penyandang kerusi dan ikon pembangkang.

Dua hari kemudian pada hari Khamis, ketika calon-calon di seluruh Malaysia bersedia untuk hari penamaan calon, DAP mengadakan mesyuarat tergempar di ibu pejabat mereka di Kuala Lumpur.

Tanpa pengetahuan umum, parti itu menerima dua surat berkaitan dengan isu pentadbiran parti itu daripada pihak berkuasa setelah pilihan raya parti yang memalukan dan berkemungkinan haram pada Disember 2012 yang lepas.

Surat pertama menyatakan bahawa penyiasatan insiden itu sedang dijalankan dan perbicaraan akan diadakan pada 9 Mei.

Namun, surat kedua bertarikh sama, lebih membingungkan apabila menyebut Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP tidak diiktiraf oleh JPPM. Guan Eng mencadangkan 156 calon parti itu akan bertanding di bawah logo Pas dan PKR masing-masing di Semenanjung dan Sabah Sarawak.

Namun, Datuk Abdul Rahman Othman daripada JPPM selepas itu menyatakan logo DAP tidak dibatalkan. Tetapi, DAP berkeras selagi surat kedua itu tidak ditarik balik, parti itu akan berkempen di bawah logo sekutu mereka.

Seterusnya, Guan Eng mengumumkan parti itu akan memberikan calon mereka dua surat watikah, satu daripada roket dan satu daripada Pas/PKR.

Walau apa pun hari penamaan calon berjalan lancar dan 'roket' boleh diguna untuk kempen, kesan buruk pada Barisan Nasional tampak serius. Tanggapan bahawa kuasa kerajaan telah disalah guna untuk kepentingan politik akan mengikis sokongan pada Barisan Nasional.

Anda mungkin mengkritik politik dan taktik DAP dan Pakatan, tetapi tiada siapa boleh menafikan persepsi ketidakadilan dan pencabulan kuasa di Malaysia merupakan senjata paling mustajab bagi mereka. Sememangnya, senjata (dan muslihat) ini ada bahayanya: pertama, “si penggembala kambing hanya boleh berteriak serigala” sekali atau dua – dan selebihnya akan diragui dan kedua, pemimpin Pakatan sendiri memenuhi posisi berkuasa dan penganiayaan tidak mudah lagi dieksploitasi.

Selamat berkempen semua!

(Sinar harian, 23 April 2013)

Monday, April 22, 2013

PRU13: Calon tanpa kualiti






Ketegasan penolakan presiden Pas, Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang terhadap calon pilihan raya yang menjadi penjual pil kuda dan penyokong Marxisme amat membantu pengundi memahami karektor bakal pemimpin mereka. Jika calon seperti ini menang, masyarakat berada dalam kesusahan kerana urus niaga dan penyebaran ideologi akan lebih mudah dilakukan.

Contohnya berniaga pil kuda, penguat kuasa tentu berasa gentar berhadapan dengan pemimpin politik ini kerana kuasa dan pengaruh yang mereka ada. Justeru tindakan agak sukar kerana tekanan yang bakal dihadapi oleh pihak berkuasa. Agensi penguatkuasaan akan berfikir dua tiga kali untuk menyiasat kerana ia melibatkan pemimpin dalam masyarakat.

Pemimpin yang menjunjung fahaman Marxisme juga bahaya kerana mudah mempengaruhi pemikiran orang muda yang agresif dalam melaksanakan perjuangan. Bermula dari seorang, ideologi ini berkembang menjadi kumpulan kecil sebelum menjadi barah yang berbahaya.

Pendedahan yang dibuat oleh presiden Pas itu menjelaskan rasa tidak senang parti itu terhadap calon-calon dari PKR kerana menjejaskan hala tuju dan misi Pakatan Rakyat untuk menjadi organisasi politik pilihan dalam pilihan raya ini. Kewibawaan PKR sebagai parti pilihan mungkin terjejas apabila peribadi dan sahsiah calon-calon mereka didedahkan.

Antara Pas, DAP dan PKR, latar belakang calon sangat diutamakan oleh Pas. Dalam setiap pilihan raya, calon-calon dari parti itu tidak boleh menghisap rokok dan menjadi polisi utama sehingga kini. Melalui saringan seperti ini, masyarakat melihat calon tanpa rokok sebagai bersih dan mengutamakan kesihatan diri. Kredibiliti calon akan lebih tinggi jika mereka memiliki tahap keintelektualan yang hebat.

Sahsiah calon menjadi kritikal dalam pilihan raya kerana pengundi lebih bijak dan pintar menentukan pemimpin mereka. Masa untuk calon-calon menggula-gulakan rakyat sudah pun berakhir kerana masa depan negara lebih penting. Persaingan dalam ekonomi dan memberi pekerjaan kepada rakyat perlukan calon yang bekerja kuat dan memahami situasi global di samping dapat mengekalkan kestabilan politik negara.

Saturday, April 20, 2013

PRU13: Ramai calon Bebas






Pertembungan politik dalam Pilihanraya Umum ke-13 semakin rancak selepas proses penamaan calon selesai pada hari ini. Di Kedah, Pulau Pinang dan Perak memperlihat terdapat calon bebas dari UMNO sendiri yang masuk bertanding. Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim menjadi calon Bebas di Parlimen Kuala Kangsar selepas menolak tawaran untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Chandan. Beliau juga mengumumkan perletakan jawatan sebagai ahli UMNO.

Perjuangannya dalam politik UMNO sudah berakhir dan menjadi iktibar kepada pemimpin muda pelapis supaya meletakkan kesetiaan kepada parti melebihi kepentingan peribadi. Sukar bagi pengundi yang waras untuk memilih pemimpin yang “keras kepala” seperti wanita itu.

Di sesetengah tempat, cawangan parti politik dibubarkan di samping ada yang enggan turun padang membantu kempen.

Di seluruh negara, keanehan yang agak ketara ialah peningkatan jumlah calon Bebas yang bertanding. Walaupun menjadi calon Bebas merupakan strategi politik, bilangan yang ramai menunjukkan ada faktor lain selain daripada memecahkan undi.

Satu alasan yang boleh diterima ialah tahap kesedaran masyarakat untuk memberi tekanan kepada parti-parti politik supaya meletakkan rakyat pada tempatnya. Pengundi hari ini memiliki tahap kesedaran politik yang jauh lebih baik berbanding tahun-tahun lepas. Masyarakat kampung turut mempunyai tahap kesedaran ini dan mana-mana parti politik belum tentu akan mendapat undi dengan mudah.

Isu lain yang berkaitan dengan pengundi ialah tindakan seorang pengurus cawangan bank di Nusa Bistari, Johor yang meminta pekerja Melayu untuk menyokong pembangkang. Nama pengurus dan bank  itu telah pun diketahui umum dan pihak polis menyifatkan isu tersebut sebagai masalah dalaman bank. Bagaimanapun kempen memboikot bank berkenaan dapat dilihat dalam beberapa laman blog.

Kempen pilihan raya di pihak BN dan PR sangat sengit. Sepanjang jalan terdapat pemidang besar yang memaparkan gambar pengerusi BN bersama usaha-usaha memajukan Malaysia. Begitu juga dengan kempen PR khususnya Parti Kadilan Rakyat (PKR). Anwar Ibrahim telah menghantar e-mel kepada rakyat Malaysia dalam Projek 222 untuk merayu dana kempen pilihan raya kali ini. Dengan menderma RM222 seorang, PKR mampu menjana pendapatan jutaan ringgit dalam tempoh beberapa hari sahaja.

Pilihan raya kali ini amat mencabar kerana masing-masing cuba untuk meraih kejayaan. Namun perkara yang lebih penting ialah Malaysia telah memasuki era pilihan raya yang sangat matang dan rakyat negara ini mampu menguruskan masa depan negara dengan keupayaan mereka sendiri. Pemilihan calon atau parti untuk menjadi pemimpin negara pada 5 Mei nanti harus tunduk kepada kepentingan rakyat, memerangi rasuah dan memartabatkan Islam.