Sunday, June 03, 2012

Pemandu leka, pemandu cuai







Kemalangan jalan raya menjadi sebahagian daripada mimpi ngeri pengguna lebuh raya dan jalan-jalan utama di seluruh Malaysia. Kajian-kajian yang dilakukan dari semasa ke semasa menunjukkan faktor manusia adalah penyebab kepada kecederaan dan kematian akibat kemalangan jalan raya ini. 

Dalam gambar di sebelah, sebuah kereta terperosok di belakang sebuah lori di tepi kawasan rehat dan rawat Tapah arah selatan. Bahagian depan kereta berkenaan hancur sama sekali, cermin hadapannya juga pecah namun tidak ada kematian. Kemalangan ini berlaku pada 3 Jun 2012 di antara pukul 2 hingga 3.15 petang. Punca insiden ini tidak diketahui dan tidak ada kereta polis atau peronda lebuh raya yang tiba. Kesesakan meleret-leret ke belakang. 

Kemalangan jalan raya mengakibatkan kerugian yang sangat besar kepada kerajaan dan negara. Seorang mangsa yang masih sihat dan bekerja tetapi meninggal dunia kerana kemalangan maut menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos melatih pekerja baru yang mengambil masa untuk mahir. Kos untuk menguruskan bantuan dan hal ehwal kebajikan kepada keluarga mangsa juga bertambah. 

Satu cara yang dapat mengubah senario ini dalam jangka masa panjang ialah melalui pendidikan dan naik taraf infrastruktur jalan raya. Kurikulum pendidikan jalan raya wajar diperkemaskan dari peringkat tadika supaya kanak-kanak memahami peranan mereka sebagai pengguna jalan raya yang berhemah.

Manakala infrastruktur pula perlu mengambil kira ciri-ciri kesedaran menjaga keselamatan ketika berada di atas jalan raya, Contohnya keadaan jalan yang rata tanpa lopak, papan tanda arah yang jelas, ruang untuk penunggang motosikal dan garisan yang sentiasa wujud (kadangkala garisan di atas jalan hilang dan pudar). 

Kita boleh mengelakkan kemalangan jalan raya  dan kematian dengan menggunakan pelbagai pendekatan yang menyeru kepada perubahan dan mengiktiraf perubahan tersebut. Cara ini dapat memberi galakan kepada pengguna untuk terus-menerus melakukan tindakan yang memenuhi ciri-ciri pemandu yang berhemah.

 

Saturday, June 02, 2012

Jaga hati





Hati boleh menjadi secerah cahaya


Hati sangat penting dalam kehidupan kita. Hati yang dimaksudkan ialah ruh yang mempengaruhi perangai, tabiat atau akhlak, bukannya organ hati dalam sistem tubuh badan kita. Hati atau ruh inilah yang cenderung menentukan keadaan hidup kita.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud; Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.

Betapa mustahak kita memberi perhatian kepada hati ini kerana banyak punca masalah hidup berasal daripada hati. Insya Allah apabila jiwa, fikiran dan perangai kita baik, hakikatnya hati kita berada dalam keadaan baik seperti mana maksud hadis tadi.

Berusaha membaiki hati perlukan kesungguhan dan keazaman yang kuat. Ramai orang yang berjaya mengatasi sifat-sifat buruk hati mereka selepas berusaha mengenal pasti punca masalah hati dan bertindak mencari penyelesaian. Dalam zaman sekarang, semua perkara boleh berubah menjadi lebih baik dalam masa yang singkat asalkan kita mahu melakukannya.


Friday, June 01, 2012

Kejayaan lepas beri keyakinan diri







Mungkin ada antara kita yang masih mengenali Carl Lewis, atlet olahraga yang telah memenangi sembilan pingat emas dalam acara-acara yang disertainya di Sukan Olimpik.

Dari tahun 1984 hingga 1996, kehadirannya dalam setiap acara mampu menyumbang pingat untuk pasukan Amerika Syarikat.

Apakah rahsia kejayaan Carl Lewis? Ada dua perkara.

Pertama, positive self-talk iaitu percaya kepada diri sendiri yang sentiasa terakam dalam fikirannya setiap kali mahu memulakan persaingan. Rasa takut akan kalah kepada pesaing-pesaing akan hilang seketika.

Kedua, kemenangan lapan pingat emas dalam acara-acara sebelum itu. Kejayaan lepas memberi keyakinan kepada Carl Lewis bahawa dia boleh mengulangi kejayaan. Ternyata, Lewis memberi fokus kepada kejayaan berbanding fokus kepada kegagalan.

Kalau kita hendak berjaya dalam bidang yang kita ceburi, fokuskan kepada kejayaan-kejayaan lepas supaya kita berasa yakin dan akan berusaha yang terbaik untuk mendapatkan kejayaan.


Wednesday, May 30, 2012

Impian yang hebat


 
 
 



John F. Kennedy dan Martihn Luther King adalah dua orang tokoh yang memberi kesan kepada pemikiran masyarakat Amerika Syarikat.

Seorang mempunyai visi untuk membebaskan dunia dari kemiskinan dan seorang lagi ingin melihat manusia dipandang sama rata. John F. Kennedy memberi harapan kepada usaha besar yang jauh ke hadapan dengan kata-kata, "Permasalahan bangsa tidak mampu diselesaikan dalam 100 hari atau 1000 hari atau sehingga dunia berakhir. Tetapi marilah kita memulakannya."

Marthin Luther King mengimpikan masyarakat yang tidak dihakimi berdasarkan warna kulit. Pidatonya yang terkenal, "I have a dream" menggambarkan hasrat dan impiannya untuk hidup sama rata dengan semua orang.

Walaupun kedua-duanya tidak dapat merasai impian masing-masing, namun impian mereka menjadi kebanggaan umum. Untuk berjaya, kita mesti miliki impian yang hebat.



Tuesday, May 29, 2012

Peluang menjadi lebih baik



Setiap orang berpeluang menjadi lebih baik tidak kira
di mana permulaannya 

Sebahagian besar orang yang berusaha tetapi gagal meraih kejayaan disebabkan usaha-usaha awal mereka seringkali menemui jalan buntu dan kesannya mereka mudah putus asa seterusnya berhenti dari mencuba.

Jika kita mengambil sedikit masa untuk membaca dan menganalisis kejayaan-kejayaan yang dikecapi oleh tokoh-tokoh masyarakat, rakan-rakan atau pakar-pakar dalam pelbagai bidang, sebenarnya mereka tidak memiliki kelebihan jika dibandingkan dengan orang lain.

Apa yang mereka ada ialah sikap berusaha terus-menerus bagi menyempurnakan tugas sehingga berjaya. Sikap inilah yang jarang dimiliki oleh mereka yang putus asa, kecewa dan tewas dalam persaingan.

Sepatutnya jika kita mahu menjadi juara, berjaya dalam usaha, banyak kemahiran yang perlu dikuasai supaya usaha menjadi lebih mudah dan berkesan.



Monday, May 28, 2012

Pahit manis kehidupan








Setiap peringkat hidup yang kita lalui pasti ada satu atau dua peristiwa penting yang benar-benar memberi kesan kepada hidup.

Ada peristiwa ini menjadi memori paling indah seperti melangsungkan perkahwinan dengan orang yang kita cintai ataupun memori paling pahit seperti kecewa dalam temuduga naik pangkat. Memori paling indah tidak perlukan apa-apa untuk diubati kerana kita dapat merasai kebahagiaan.

Namun bagaimana hendak mengatasi kekecewaan yang kita hadapi?

Jawapannya ialah perubahan. Dengan menerima idea untuk berubah, kita bersedia untuk menghilangkan rasa kecewa, membantu merawat duka, merangsang daya usaha, membuka lembaran hidup baru, membawa pengalaman indah dan kegembiraan dalam hidup.

Kuasa perubahan sangat menakjubkan kerana dapat menghilangkan gelisah dan kecewa kerana pelbagai masalah hidup.



Sunday, May 27, 2012

Sikap pemisah nasib hidup






Perbezaan antara orang yang cemerlang dan gagal ialah sikap mereka.

Saya berikan kisah dua sifat ikan yang berbeza. Ikan pertama adalah ikan laut flounder (sejenis ikan laut berbentuk sebelah). Ikan ini hidup di dasar laut dan memiliki sikap tunggu dan lihat.

Oleh kerana ia tunggu, pergerakannya amat perlahan dan sentiasa mengikut gelombang laut. Nelayan tidak menghadapi masalah besar untuk menangkap ikan jenis ini.

Namun amat bermasalah untuk menangkap ikan air tawar (katakan ikan haruan) yang lincah dan suka melawan arus. Ia sangat memilih makanan dan mempunyai prinsip diri yang tegas apabila membuat keputusan.

Orang yang memiliki ciri flounder adalah orang yang menunggu semuanya berubah, barulah dia bertindak. Sebaliknya ciri haruan adalah perubahan yang dibuat sesuai dengan keinginannya.

Jadilah orang yang cepat membuat perubahan pada masa yang tepat.

 

Saturday, May 26, 2012

Rancang hidup masa depan



Rancang hidup ketika usia masih muda
Kehidupan yang kita lalui semalam atau kelmarin umpama medan pertempuran yang hebat.

Untuk menang, kita perlukan senjata dan sistem pertahanan yang kuat supaya hidup akan berjaya. Apakah senjata yang paling ampuh dalam peperangan hidup? Satu perkataan yang sangat tepat ialah kebijaksanaan. Bagaimana hendak mendapat kebijaksanaan ini?

Tentulah dengan belajar, berfikir, mencuba, memerhati, mengkaji dan bertanya. Apakah pula sistem pertahanan yang paling kebal dalam diri? Jawabnya ialah sabar.

Apabila kita gabungkan bijaksana dan sabar, Insya Allah kita dapat merancang kehidupan dengan lebih teratur, terencana dan berkesan. Jika kita ingin hidup dengan selesa ketika berumur 60 atau 70 tahun, rancanglah kewangan hari ini, urus perbelanjaan dengan teratur dan buat pelaburan dalam pelbagai bidang.






Friday, May 25, 2012

Yang aktif, yang lembap



Harapan setinggi Gunung Kinabalu
Baru-baru ini saya menghadirkan diri untuk kursus pembangunan diri di sebuah resort yang menarik.

Jadual harian sangat ketat dan setiap masa diisi dengan program-program yang mencabar mental dan fizikal. Pukul lima pagi semua peserta telah bangun untuk bersedia dengan solat subuh dan aktiviti kecergasan diri. Hampir satu jam semua peserta berlari dan bergerak dengan pantas sambil memberi perhatian kepada arahan jurulatih.

Walaupun badan keletihan, kami tidak ada masa hendak tidur kerana badan yang cergas telah mengaktifkan otak. Kita boleh bezakan siapa yang cergas dan siapa yang lembap dengan melihat pergerakan kaki. Jika kita perasan, orang yang bergerak pantas lebih aktif dalam kerja atau berfikir.

Aktif dalam kerja bermaksud sebaik sahaja diberi tugasan, terus dibuat tanpa melengah-lengahkannya. Insya Allah pekerja seperti ini lebih cepat berjaya dalam hidup dan kerjaya.



Wednesday, May 23, 2012

Angan-angan dan fantasi







Fikiran kita tidak dapat membezakan antara realiti dan fantasi sepenuhnya.

Maksudnya ialah, apa-apa yang kita bayangkan, besar kemungkinan boleh meraihnya. Bagaimana kita hendak mempercayai perkara ini?

Saya berkongsi beberapa kajian yang telah dibuat.

Pertama, Dr Maxwell Maltz melakukan kajian ke atas dua pasukan bola keranjang. Satu pasukan diminta berlatih membuat lemparan bebas dengan hanya membayangkan aksi tersebut. Manakala satu pasukan lagi diminta berlatih membuat lemparan di gelanggang dengan seorang jurulatih. Selepas itu, kedua-dua pasukan berentap dalam permainan sebenar dan pasukan pertama yang telah menang.

Kedua, kajian oleh Dr Denis Waitley ke atas atlit olimpik Amerika Syarikat. Beliau meminta atlit olahraga "berlari" dengan membayangkan otot-otot mereka bergerak semasa berlari. Kedua-dua teknik ini ialah "act as if" iaitu teknik yang mengajar tentang kaedah berpura-pura, seolah-olah hal tersebut akan berlaku.

Andai kita dapat bayangkan akan mendapat kenaikan pangkat atau cemerlang dalam peperiksaan, hal tersebut boleh menjadi satu realiti.