Sunday, July 10, 2022

Tanggungjawab sendiri


Tabiat dan sikap yang ada pada diri kita bukannya seperti ukiran pada batu. Maksudnya adalah tabiat dan sikap boleh diubah kerana kita mempunyai kuasa dan kawalan untuk mengubah dan mengikis sikap yang tidak berkenaan. 

Selepas kita memilih untuk memulakan tabiat atau sikap yang baharu, tidak ada seorang pun yang boleh membantah pilihan kita kecuali diri kita sendiri. 

Katakan, kita ingin sekali menjadi seorang usahawan burger, justeru menjual burger dalam pilihan kita sendiri dan kita bertanggungjawab sepenuhnya bagi menentukan semua keputusan dan tindakan pada akhirnya menjadikan kita seorang usahawan yang berjaya. 

Di sini, kita meletakkan kawalan diri yang besar untuk membentuk haluan hidup sendiri. 

Setiap cabaran dan halangan akan dilalui sepenuh hati kerana bukanlah apa yang terjadi dalam hidup kita yang menjadi masalahnya, tetapi bagaimana kita menerima dan mengendalikannya adalah lebih penting.

Saturday, July 09, 2022

Antara dua sikap


Antara sikap positif dan sikap negatif perbezaannya umpama langit dan bumi. Sikap positif mendorong kejayaan dan rasa bahagia manakala sikap negatif membawa kegagalan dan sengsara. 

Setiap hari kita memaksa sikap positif dan sikap negatif ke dalam pemikiran kita tanpa sedar, kadang-kadang silih berganti. Contohnya kawan kita meminta tolong untuk menyiapkan kerja yang mesti disiapkan esok lalu kita bagi alasan ‘sekejap lagilah’. 

Tunggu punya tunggu, saat-saat akhir baharu hendak buat dan kerja tadi tidak siap. Fikiran ‘sekejap lagi’ telah mendorong tingkah laku dan fikiran kita untuk melengah-lengahkan kerja. 

Apabila kerja tidak siap, tentulah kena marah. Sekarang kita tukar ‘sekejap lagi’ kepada ‘sekarang juga’. Bagaimana reaksi? 

Fikiran tingkah laku dan ‘mood’ kita tentulah tangkas, cepat dan berkobar-kobar hendak siapkan kerja. 

Sikap positif dan sikap negatif boleh dibentuk asalkan ada kemahuan.

Friday, July 08, 2022

Kita fikir untung nasib sendiri



Ketika kecil, masih kanak-kanak, ibu bapa membentuk pemikiran, sikap dan tingkah laku kita. Mereka mengawal pergerakan, menentukan bentuk pemikiran dan kita ikut sahaja kerana pada kita ibu bapa adalah betul. 

Apabila kita dewasa dan matang, ibu bapa tidak lagi mempengaruhi pemikiran kita kerana kita sudah boleh berfikir membezakan yang baik dan buruk, yang betul dan salah. 

Sikap kita juga dikawal dan ditentukan oleh diri kita sendiri. Tidak ada sesiapa pun yang berupaya membantah atau menghalang sikap kita melainkan diri kita sendiri. 

Oleh kerana pemikiran mempunyai pengaruh yang besar ke atas sikap, apa yang kita fikir akan membentuk sikap kita. 

Contohnya kalau kita selalu memikirkan perkara yang buruk, lambat laun yang buruk pula lah akan terjadi. Katakan kita fikir sudah nasib tidak ada pekerjaan, ada pekerjaan tetapi gaji yang kecil ataupun belum cuba tetapi sudah jangkakan kekecewaan. 

Jika yang buruk-buruk kita fikirkan, maka itulah yang kita akan dapat.

Thursday, July 07, 2022

Saingan dalam pendidikan


Bidang pendidikan telah mengalami banyak perubahan. Antara perubahan ini ialah bertambahnya bilangan pelajar, sekolah, institusi pengajian tinggi dan bidang-bidang kemahiran turut berkembang. 

Jika 10 tahun lepas tidak banyak kelas tuisyen untuk pelajar, namun pada hari ini ibu bapa berlumba-lumba menghantar anak-anak ke kelas tuisyen supaya menjadi cemerlang akademik.

Pada masa yang sama mendidik anak-anak cemerlang akhlak. 

Di samping semua perubahan ini satu ciri yang sangat menonjol dalam pendidikan ini ialah persaingan. Semua orang hendak bersaing mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan bersaing untuk belajar di sekolah terbaik serta bersaing untuk mendapat sanjungan. 

Dalam persaingan ini, kita mesti bermula dari awal sejak awal tahun supaya stamina dan motivasi belajar atau bekerja akan berterusan sehingga ke hari peperiksaan.


Wednesday, July 06, 2022

Beza pendapat adalah baik


Pernahkah ibu dan ayah kita bertanya kepada kita adik beradik, ‘Cuti sekolah nanti hendak bercuti ke mana? 

Tentulah pernah. 

Jika kita anak tunggal senanglah jawapannya. Katakan kita hendak pergi ke Makassar, Indonesia. Sangat menarik tempat ini jika. Okey jika seorang senanglah bagi pilihan. 

Namun, jika adik-beradik ramai tentulah bermacam macam jawapannya. Abang hendak pergi ke London, kakak hendak pergi ke Beijing, adik pula hendak ke Miri sahaja. 

Jadi masing-masing ada pilihan sendiri yang memeningkan kepala ibu dan ayah. 

Berbeza pendapat dalam keluarga terutama adik-beradik sangat baik. Malah jika boleh sentiasa digalakkan. Cuma jangan sampai bertengkar sudahlah. 

Berbeza pendapat dapat melatih fikiran kita memberi alasan yang berbagai-bagai, menghormati pandangan orang lain dan pada masa yang sama menyuburkan budaya berfikir.


Tuesday, July 05, 2022

Tidak boleh meniru


Universiti adalah tempat yang paling baik untuk menimba ilmu, meneroka ilmu-ilmu baru, membuat kajian-kajian dalam pelbagai bidang. 

Universiti juga menjadi tempat untuk menguji kepintaran dan kecerdasan pelajar. Biasanya pelajar-pelajar diuji dengan banyak cara seperti tugasan, latihan, tutorial, mini projek, kuiz dan peperiksaan akhir. 

Perkara yang paling diberi perhatian ketika peperiksaan akhir ialah tidak boleh meniru. Kenapa tidak boleh meniru? 

Banyak sebabnya. 

Yang paling utama ialah melahirkan pelajar yang ada keyakinan diri dalam dirinya. 

Selepas berhempas pulas, belajar siang dan malam, membuat tugasan, menghadiri kuliah dan membuat perbincangan dengan rakan-rakan, tentulah perlu diuji tahap kepintaran keyakinan dan keupayaan ilmu mereka.


Monday, July 04, 2022

Kena ubah sendiri


Sikap dan tabiat adalah satu perkara perkara yang boleh memberikan perbezaan besar dalam hidup. Kita boleh mengubah hidup dengan cara mengubah pemikiran, perasaan dan tindakan kita. Allah swt telah memberi tip bagaimana hendak mencapai kejayaan dan kebahagiaan hidup ini. 

Dalam surah Ar-Rad ayat 11 yang bermaksud, ‘Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri mengubah diri mereka.’ 

Orang yang berjaya sentiasa memiliki ciri-ciri kesedaran diri yang lebih banyak, sentiasa melihat potensi diri dan memandang kelemahan diri dengan positif. 

Kesedaran positif bermaksud berfikiran terbuka terhadap perubahan. Terima hakikat bahawa persekitaran berubah dan kita juga mesti berubah. 

Anak kunci kejayaan kepada kesedaran diri yang positif adalah kit amesti belajar bagaimana cara untuk bertenang dan terus bertahan dengan pelbagai kesulitan dan masalah hidup.

Sunday, July 03, 2022

Manfaat teknologi


Semenjak Facebook diperkenalkan pada tahun 2006, jumlah pengguna laman sesawang ini semakin bertambah setiap hari. 

Organisasi atau selebriti yang tidak ada akaun Facebook mungkin tertinggal jauh di belakang kerana tewas dalam persaingan mencari pelanggan kerana di mana ada capaian internet, di situ ada Facebook. 

Antara baik dan buruk Facebook atau komunikasi media sosial yang lain, adakah boleh memberi kecemerlangan hidup, kejayaan akademik atau mengubah hidup seorang usahawan kerepek pisang? Biar apa pun teknologi komunikasi yang muncul setiap hari, ia tidak membawa apa-apa makna andainya kita tidak mengambil langkah untuk menghadapinya. 

Facebook, Twitter, ResearchGate dan Mendeley tidak memberi manfaat kalau kita anggap ia sebagai tidak penting. 

Seorang peniaga ikan pekasam di kampung dapat mengeksport bertan-tan ikan pekasam kerana berfikiran terbuka terhadap teknologi internet dan sudah kaya-raya.


Saturday, July 02, 2022

Matlamat belajar


Kelmarin kita membincangkan kegagalan pelajar yang berkaitan dengan sikap. Hari ini kita akan ambil satu lagi sebab iaitu tidak ada matlamat belajar yang cukup. 

Apakah maksudnya? 

Untuk menerangkan ayat ini, saya ambil maksud yang disampaikan oleh Tinto, seorang penyelidik dalam pendidikan. Beliau berkata, “The lower the individual’s commitment, the more likely he is to drop out from college”. 

Matlamat belajar mestilah cukup kuat untuk mendorong kita belajar dan cemerlang di sekolah atau universiti. 

Apakah contoh matlamat yang kuat ini? 

Antaranya adalah mesti jelas. Contohnya, dalam peperiksaan umum, ada yang hendak mendapat 8A, 9A atau 10A, jadi matlamat ini perlu ditulis dengan jelas. 

Kemudian tulis langkah-langkah untuk mencapai matlamat tersebut seperti mesti datang sekolah, mesti melaksanakan kerja sekolah yang diberi guru, sentiasa bertanya jika tidak faham dan berdoa selepas solat. 

Insya-Allah matlamat yang jelas dan usaha yang gigih akan menuai kejayaan.

Friday, July 01, 2022

Tak pandai kerana salah sikap


Ketika ini saya sedang membuat kajian mengenai kenapa para pelajar universiti terutama tahun pertama yang cenderung mendapat keputusan yang lemah dalam peperiksaan. 

Untuk mendapat kesimpulan kajian ini, saya perlu membaca banyak artikel dari jurnal, buku dan kajian-kajian lepas. 

Kenapa pelajar-pelajar lemah? Banyak sebabnya. 

Antaranya adalah tidak belajar, pengurusan masa yang lemah, tidak ada matlamat belajar yang cukup dan lemah persediaan menghadapi peperiksaan. 

Cuba kita lihat sebab pertama iaitu tidak belajar. Masalah ini adalah masalah universal, di mana-mana saja boleh berlaku. Tambahan lagi pada hari ini capaian kepada internet sangat menyenangkan pelajar untuk mendapat maklumat. 

Tidak mahu belajar berkait rapat dengan sikap, kalau sudah tidak mahu belajar, dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun yang akan datang, apakah yang akan berlaku? 

Barangkali pelajar-pelajar hari ini kurang sedar bahawa setiap tahun, persaingan mendapatkan pekerjaan sangat sengit.

Jika malas belajar, apakah kita mampu bersaing?