Tuesday, November 02, 2021

Perbezaan kecil, pengakhiran besar



Di tepi pantai, seorang lelaki berjalan seorang diri melihat ombak yang membawa beratus-ratus siput, anak-anak ikan dan tapak sulaiman. 

Apabila ombak beransur ke laut, hidupan ini ditinggalkan dan pancaran matahari menyebabkan mereka mati kelaparan. Sekali lagi ombak datang dan lelaki ini mengambil beberapa ekor tapak sulaiman dan melontar semula ke laut. 

Dia melakukannya berulang kali. 

Di belakangnya ada seseorang yang memerhati dan bertanya: “Ada banyak tapak sulaiman, berapa banyak yang kamu hendak tolong? Apa bezanya?” 

Lelaki itu tidak menjawab, dia bergerak dua langkah, mengambil sepasang tapak sulaiman dan melemparnya ke laut dan berkata: “Kali ini ada bezanya! Sama ada kecil atau besar itu tidak penting. Jika kita melakukan perbezaan yang kecil, ia akan memberikan perbezaan yang besar pada akhirnya”.


Monday, November 01, 2021

Dari impian ke perancangan dan tindakan


Ketika saya meninjau beberapa buah buku motivasi di deretan rak buku yang tersusun rapi, saya tertarik dengan sebuah buku yang bertajuk “Start Where You Are” tulisan Chris Gardner.

Setiap tajuk dalam buku ini memberi pengajaran dan harapan untuk membuat perubahan yang lebih baik. 

Contohnya pengajaran yang pertama, “tanpa perancangan, impian hanya tinggal impian”. 

Kenyataan ini memang benar kerana hasil tidak akan nampak jika tidak mengambil sebarang langkah untuk merancang. Kejayaan manusia menjejakkan kaki ke bulan tidak akan menjadi realiti jika tidak merancang. 

Begitu dengan cita-cita, ia hanya menjadi cita-cita jika tidak membuat perancangan dan tidak ada tindakan.


Sunday, October 31, 2021

Motivasi petunjuk kejayaan


Seorang penyelidik, Dr Anders Ericson menyatakan “motivasi adalah petunjuk kejayaan yang paling penting”. 

Penyelidikan yang lain turut membuat rumusan yang hampir sama. 

Seseorang yang telah lama berada dalam perkhidmatan atau pekerjaan, tahap keupayaan semula jadi seperti kecerdasan didapati semakin menurun. 

Ketika inilah motivasi menjadi penting. Kenapa motivasi tinggi dan kejayaan ada hubungan yang akrab? 

Tidak lain dan tidak bukan kerana motivasi memastikan persediaan yang lebih rapi, prestasi maksimum dan keputusan yang lebih baik.

Saturday, October 30, 2021

Lanskap hidup berubah dengan idea



Perubahan pemikiran, sikap dan tingkah laku bermula dengan satu idea. Idea yang hebat akan membuahkan kehidupan yang menarik. 

Banyak idea dicetuskan dalam abad ke-21 ini seperti telefon pintar, tablet dan yang paling hebat ialah internet. 

Gaya hidup berubah, cara kita berinteraksi juga berubah. Jika dulu (15 hingga 20 tahun), teknologi menghantar mesej menggunakan surat dan telefon talian tetap, menjadi penghubung, kini dengan SMS, tanpa wayar dan media sosial, perhubungan semakin pantas. 

Idea muncul untuk memudahkan orang ramai menyempurnakan kerja, kurangkan kos dan jimatkan masa. 

Saya jangkakan lebih banyak idea yang akan muncul dalam pelbagai bidang seperti sosial, ekonomi, budaya, politik dan sebagainya.

Friday, October 29, 2021

Pujian kepada pemberi idea



Persaingan dan kerjasama adalah dua sifat yang sangat berbeza. 

Orang yang memiliki kerjasama lebih cenderung bertindak sebagai pelengkap, menyempurnakan idea atau tugasan. 

Jika seseorang bertanya untuk berkongsi idea, respon terbaik ialah memberi fokus kepada membantu. Jika kita diminta untuk membawa dua atau tiga orang rakan bagi berkongsi pendapat, beri pujian dan penghargaan lebih kepada pendapat tersebut kerana jika pendapat itu dipersetujui, semua orang akan mendapat manfaat. 

Justeru, kita perlu menukar sedikit demi sedikit konsep memberi pujian kepada sumber idea kerana strategi ini hanya melibatkan seseorang. 

Kalau idea, ia lebih menyeluruh.


Thursday, October 28, 2021

Fikiran terbaik, fikiran popular



Ramai orang muda suka mengikut apa yang orang lain buat. Kadangkala ikutan ini kerana hendak ambil jalan mudah, mungkin juga kerana takutkan penolakan. 

Namun, kalau kita mahukan kejayaan, kita mesti berfikir tentang apa yang terbaik bukannya apa yang popular. 

Berfikir tentang ‘terbaik’ ini, kemungkinan tidak disukai ataupun salah faham, mungkin juga tidak dihargai. 

Pemikiran terbaik mengandungi bibit-bibit wawasan dan peluang. Kadangkala kita perlu melatih diri untuk berfikir ‘terbaik’ berbanding ‘popular’ supaya keputusan yang dibuat nanti lebih tepat dan membawa kebaikan. 

Perbincangan dan mesyuarat adalah tempat terbaik untuk melatih cara berfikir jenis ini. Berfikir ‘popular’ menggembirakan hati tetapi berfikir ‘terbaik’ akan lebih berkesan.

Wednesday, October 27, 2021

Buat perubahan



John Maxwell dalam bukunya “How Successful People Think” menyenaraikan 24 jenis frasa ayat yang boleh memandulkan atau merencatkan kreativiti. 

Antara frasa ini yang kita boleh berkongsi ialah, “Saya bukanlah seorang yang kreatif, ikut peraturan, jangan tanya soalan, jangan jadi bodoh, seriuslah, it’s not practical, we don’t have the time, dah cuba … tapi”. 

Nasihat beliau ialah kita kalau kita ada idea, jangan biarkan sesiapa pun mempengaruhi kita untuk mengubah idea tersebut. 

Kita juga tidak patut membiarkan pemikiran atau ungkapan-ungkapan negatif merosakkan kreativiti sendiri. Jika tidak kita tetap berada dalam takuk yang lama. 

Jangan kerja kuat pada perkara yang sama. 

Lakukan perubahan.

Tuesday, October 26, 2021

Ciri orang kreatif



Menjadi seorang pemikir atau seorang kreatif tidaklah mudah tetapi tidaklah sukar. Namun kita sendiri boleh menilai sama ada kita kreatif atau tidak. 

Terdapat beberapa ciri umum orang yang kreatif ini. Antaranya ialah mengutamakan idea. Walaupun bakat penting, idea boleh membawa individu dan organisasi pergi lebih jauh. 

Ciri lain ialah minat meneroka peluang. Meneroka adalah satu bentuk rangsangan yang mengayakan imaginasi. Seperti kata Albert Einstein, “Imagination is more important than knowledge”. 

Seterusnya ialah sedia menghadapi situasi tidak menentu. Orang yang kreatif melihat wujudnya ketidaktentuan dan jurang dalam hidup dan sentiasa meraikan perbezaan jurang tersebut. 

Jika kita ada ketiga-tiga ciri ini, sahlah kita orang yang ada kreativiti kelas pertama.


Sunday, October 24, 2021

Tukar cara fikir


Kreativiti sangat penting dalam hidup lebih-lebih lagi kalau hendak mencari staf dalam organisasi. Pencari kerja yang masih mencari-cari kerja patut tahu bahawa kebanyakan syarikat atau organisasi cenderung melihat kreativiti sebagai sumber penting untuk memajukan syarikat. 

Dalam buku The Five Faces of Genius, penulis buku menyebut, “The most valuable resource you bring to your work and to your friend is your creativity”. 

Staf yang kreatif tentulah menghasilkan lebih banyak output. Jika kurang kreatif, bagaimana pula? 

Caranya ialah tukar cara berfikir. 

Pemikiran kreatif tidak semestinya berasal dari pemikiran atau idea tulen, ia boleh bermula di mana-mana. Jadi, belajarlah sikit-sikit untuk berfikir kreatif hari ini.