Sunday, June 14, 2015

Cabaran PasMa lebih besar







Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) bergerak selangkah kehadapan untuk menjadi sebuah gerakan politik yang baru di Malaysia. Agenda PasMa tidak lain dan tidak bukan untuk menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Pas dalam Pakatan Rakyat kerana kepimpinan Pas tidak lagi mempercayai Dap dalam arena politik berbilang kaum di Malaysia.

Presiden PasMa, Phahrolrazi Zawawi berkata Pas telah mengalami kejejasan reputasi yang merosakkan imej selepas mengenepikan kelompok proprofesional dalam muktamar parti berkenaan baru-baru ini.

PasMa telah mencadangkan kombinasi baru pakatan pembangkang yang terdiri daripada Dap, PKR dan sebuah parti baru bagi menggantikan Pas. Di sini dapat dilihat bahawa Pas bakal diketepikan dan ia semakin kukuh apabila Dap yang telah menyerang Pas sebelum muktamar dengan memutuskan hubungan dengan Presiden Pas sendiri, Abdul Hadi Awang.

Selepas kelompok proulama menguasai Pas, harapan untuk melihat kedua-dua parti berkenaan saling berbaik-baik tidak ada harapan lagi. Sementelahan tokoh parti yang kalah di Pulau Pinang sudah pun melepaskan jawatan manakala pekerja dari Pas yang berjawatan dalam kerajaan negeri telah ditamatkan perkhidmatan.

Sekiranya penubuhan parti baru ini menjadi kenyataan, ia mempelbagaikan lagi aliran pecahan parti politik anak-beranak di Malaysia. Pas yang muncul dari Umno kini memberanakkan pula sebuah parti politik yang terdiri daripada ahli parti yang tersingkir. Sebelum ini pun sudah ada Berjasa, Hamim dan sebagainya yang muncul akibat perseteruan dalam Pas. PKR juga muncul akibat penyingkiran tokoh dalam Umno.

Beberapa kerat pemimpin PasMa yang ada dalam Pas telah menikmati keagungan dan glamor sebagai pemimpin parti. Mereka telah mendapat banyak faedah khususnya mengurus sebuah parti Islam. Kini, masanya untuk bekerja bagi menyaingi Pas namun dikhuatiri tidak dapat menarik golongan ulama untuk mempengaruhi masyarakat Islam.

Walaupun beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang memiliki ahli berlatar belakang pendidikan Islam, penonjolan tokoh-tokoh ini kehadapan untuk dikenali masyarakat umum amat berkurangan. Massa tidak mengenali mereka dan usaha promosi perlu digiatkan sebelum pilihan raya yang akan datang. Kita hanya mengenali Phahrolrazi sebagai penentang dalam Pas Kedah manakala bekas menteri besar Perak, Nizar Jamaluddin sering kali mengkritik presiden Pas selepas kalah dalam pemilihan peringkat cawangan.

Cabaran palng besar parti baru ini ialah menapat kepercayaan masyarakat pelbagai kaum. Bersama-sama dengan Dap dan PKR mungkin lebih mudah namun Pas sudah pasti menyediakan jentera propaganda yang akan memastikan parti itu menerima nasib yang sama seperti “anak-anak” Pas yang wujud sebelum ini kerana sejarah membuktikan parti serpihan tidak mampu hidup lama.

Apa-apa parti yang tidak memiliki kekuatan idealisme dan sokongan berterusan penyokong akan menjadi lukut yang hanya menumpang populariti orang lain.

Saturday, June 13, 2015

Akhlak remaja Islam






Akhlak yang mulia adalah idaman setiap remaja. Dengan berakhlak mulia, seseorang remaja akan jelas hala tuju hidupnya, mampu menjadi pendakwah yang matang dan cemerlang, berupaya mencetuskan dimensi baru dalam memberi makna khalifah dan menjadi harapan negara.

Namun begitu, bagaimanakah pula keadaan remaja pada zaman Rasulullah saw? Apakah yang mereka lakukan ketika mereka seusia dengan zaman remaja hari ini? Apakah kegemaran mereka? Apakah mereka juga sukakan hiburan, keseronokan atau mentelaah pelajaran? Apakah bezanya mereka dengan kita? Bagaimanakah hasil didikan Rasulullah saw terhadap generasi remaja ketika itu? Pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri bagaimanakah hasil didikan Rasulullah saw terhadap generasi remaja ketika itu yang sentiasa disirami dengan kata-kata semangat, pengalaman yang praktikal dan dibimbing oleh wahyu Allah swt?

Apabila kita memerhati perkembangan generasi remaja pada ini, kita akan dapati suatu rakaman kisah hidup remaja pada zaman yang penuh mencabar tetapi sangat mengagumkan. Terlalu ramai contoh yang boleh diambil dan dijadikan teladan. Salah seorang daripada mereka ialah S.Ali. Beliau adalah kanak-kanak yang paling awal memeluk Islam. Wajahnya tidak pernah sujud kepada berhala dan sangat berani melakukan tugasan yang diamanahkan oleh Rasulullah saw.

Ketika usia remaja, S. Ali pernah ditugaskan untuk tidur di katil baginda saw pada malam hijrah. Tugas ini merupakan satu amanah yang sangat besar dan akan menentukan jatuh dan bangunnya dakwah Islam ketika itu. Dengan berani dan tidak banyak soal, beliau menerima tugas tersebut. Akhirnya beliau ditangkap, diseksa dan diminta untuk membocorkan rahsia ke arah mana Rasulullah saw bergerak. Watak beliau yang tegas, memegang amanah dan teguh pendirian, beliau tetap tidak mebocorkan rahsia walaupun diancam untuk dipukul. Inilah contoh jati diri remaja yang kental dan penuh dengan disiplin diri terhadap perjuangan Islam.

Ketika peperangan Badar, sekali lagi beliau memperlihatkan keberaniannya untuk berperang apabila mewakili tentera Islam berlawan satu lawan satu. Di pihak tentera Islam, tiga orang wakil telah dipilih dan salah seorang daripadanya ialah S. Ali. Tentera kafir Quraisy turut menghantar tiga orang panglima perang handalan mereka. Keberanian remaja bernama S. Ali ini sangat hebat sehingga mampu menumpaskan lawan-lawannya satu demi satu.

Beliau yang juga merupakan sepupu Rasulullah saw turut terkenal sebagai seorang remaja yang alim dengan ilmu pengetahuan. Oleh kerana sentiasa melazimi diri dengan baginda saw sejak kecil, banyak ilmu dunia dan akhirat yang telah diperolehinya dan mematangkan kehidupan remaja beliau. Rasulullah saw pernah menghantarnya ke Yaman sebagai wakil kerajaan di sana serta menyampaikan ilmu pengetahuan yang dimiliki kepada masayarakat Yaman ketika itu.

Setelah meningkat dewasa, beliau menjadi menantu Rasulullah saw dengan mengahwini S. Fatimah. Beliau turut menjadi khalifah Islam ke empat dengan mewarisi bakat, ketokohan dan ilmuan yang melayakkannya menjadi pemimpin umat islam.

S. Ali adalah satu contoh seorang remaja yang lahir daripada didikan Rasulullah sejak awal dakwah Islam lagi. Beliau telah menggunakan usia remajanya bagi mendalami ilmu-ilmu Islam dan bersama-sama dengan Rasulullah saw dalam banyak peperangan.

Remaja Islam pada hari ini boleh merenung dan menggali pengalaman tokoh-tokoh remaja masa silam yang begitu ramai dan terkenal di kemudian hari. Mencontohi pengalaman mereka dari aspek kegigihan, disiplin diri, keberanian dan memberi sumbangan terhadap perkembangan dakwah Islam dan pertumbuhan generasi dan tamadun dunia yang lebih cemerlang.


Melalui pengalaman-pengalaman berguna yang dapat dimanfaatkan untuk masa depan, remaja Islam hari ini akan terhindar daripada terus hanyut dalam lautan nafsu yang sentiasa mendorong kepada keseronokan yang bersifat sementara.

Friday, June 12, 2015

Solat tahajjud sumber kekuatan diri







Solat tahajjud adalah solat yang istimewa. Solat yang dilakukan pada malam hari ini memberi kesan yang amat besar kepada orang yang mendirikannya.

Tahajjud bererti bangun pada malam. Waktunya ialah di antara isya’ hingga subuh. Firman Allah yang bermaksud;

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur pada waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah. (Az Zariyat ayat 15-18)

Kelebihan mengejar solat tahajjud turut ditekankan oleh Rasulullah saw seperti dalam hadis baginda yang bermaksud;

Apabila seseorang itu terjaga dari tidurnya pada waktu malam dan membangkitkan isterinya, lalu kedua-duanya menunaikan dua rakaat solat nescaya mereka ditulis dalam golongan manusia yang banyak menyintai dan menyebut Allah. (Riwayat Ibn Hibban dari Abi Sa’id)

Keutamaan waktu untuk menunaikan solat tahajjud ialah sepertiga malam yang akhir iaitu dari pukul 1 pagi hingga menjelang masuk waktu subuh. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah saw yang bermaksud;

Perintah Allah turun ke langit pada waktu tinggal sepertiga yang akhir dari waktu malam, lalu berseru; Adapun orang-orang yang memohon (berdoa) pasti akan Aku kabulkan, adapun orang-orang yang meminta pasti akan Aku berikan dan adapun orang-orang yang mengharapkan ampunan, pasti akan Aku ampuni baginya sampai tiba waktu subuh.

Solat tahajjud merupakan amalan para nabi dan sahabat r.a kerana solat ini merupakan ibadah tambahan.

Dan pada waktu malam bangkitlah solat tahajjud sebagai solat tambahan bagi ibadatmu semoga Allah membangkitkanmu di hari akhirat dengan kedudukan dan darjat yang terpuji. (Al Isra’ ayat 79)

Sememangnya suatu yang amat berat bagi seseorang untuk bangun ketika orang lain tidur dengan nyenyak. Namun demi Tuhan, patutlah kita bersusah payah untuk mencari rahmat mendapatkan keredhaanNya. Bangun malam untuk merebut rahmat Allah adalah suatu kekuatan yang sangat luar biasa.

Dengan ketenangan dan keheningan malam, hamba yang beriman akan mengambil kesempatan tersebut untuk mengukuhkan hubungannya dengan Allah. Bangun dengan penuh harapan, pujian dan permintaan agar dosa-dosa dimaafkan, doa dimakbulkan dan rezeki diluaskan.

Ketika mengangkat tangan untuk menyatakan kebesaran dan keagongan Allah sambil menghadap kiblat, terasa suatu kedamaian yang sangat luar biasa apatah lagi dihayati satu per satu makna ayat-ayat yang dibaca secara perlahan dan penuh tertib. Bagi yang memahami maksud ayat yang dibaca, terasa gerun, gembira dan sedih dengan janji-janji Allah.

Memohon hajat ketika dahi mencecah sejadah adalah detik-detik yang sangat kritikal kerana ketika itulah Allah sangat rapat dengan hambaNya. Mohonlah apa sahaja yang ingin dipohon supaya hidup diberkati.

Solat tahajjud mampu menguatkan hati kerana hamba dapat meluahkan isi hati tanpa ada sekatan terhadap Tuhannya. Menyesali dosa-dosa yang dilakukan dan mengharapkan rahmat Allah.

Perkara yang boleh dilakukan dengan sebanyak-banyaknya ialah beristighfar memohon keampunan. Di samping itu berzikir dengan khusyu’. Bermunajat dan berdoa supaya Allah memberi ehsan dan bimbinganNya kepada kita.

Rasulullah saw telah memberikan contoh yang terbaik untuk tidur lengkap dengan doanya sekali. Antaranya adalah, a) makan malam yang sedikit sebagai mengalas perut, b) menunaikan solat isya’ sebelum tidur, c) membersihkan tempat tidur dari habuk dan kotoran, dan, d) mengamalkan doa sebelum dan selepas bangun tidur.

Kebaikan dan kelebihan solat tahajjud sebahagiannya menjadi rahsia Allah. Dari segi logik, kita tidak akan memahami dengan tepat bahawa suruhan Allah untuk mengerjakan solat tahajjud sedangkan ketika itulah manusia sedang tidur nyenyak.

Solat tahajjud meneguhkan iman, jiwa dan mental kita untuk menghadapi sebarang masalah dan halangan dunia.


Thursday, June 11, 2015

Keunggulan ilmu teras kegemilangan ummah






Pengertian hijrah secara mudah adalah berpindah dan itu diketahui sejak 1400 tahun yang lalu. Walau bagaimanapun pengertian hijrah lebih luas daripada berpindah malah hijrah bererti pengorbanan, perubahan daripada buruk kepada baik, jahil kepada berilmu dan mundur kepada maju. Semua ini terangkum dalam Surah Al Anfal ayat 74 yang bermaksud;

Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dan orang-orang yang memberi tempat tinggal dan menolong, mereka itulah orang-orang yang beriman sebenarnya. Bagi mereka itu ampunan dan rezeki yang mulia.

Ilmu memainkan peranan yang sangat penting dalam pengertian hijrah ini. Umat Islam perlu bangkit dan bergerak ke hadapan sebagai pemimpin yang berilmu pada abad ini. Kita boleh tampil sebagai umat Islam yang paling maju di dunia jika menjadikan ilmu sebagai teras perjuangan. Sejarah kegemilangan Islam bukan bertitik tolak daripada faktor ketenteraan dan kekuatan tubuh badan sebaliknya terhasil daripada budaya dan nilai-nilai yang mengutamakan ilmu. Melalui ilmu, kita boleh membangunkan negara dan mencipta kemajuan, bertepatan dengan risalah yang dibawa oleh junjungan Rasulullah saw yang amat mementingkan ilmu pengetahuan.

Hijrah juga dapat membina tamadun Islam yang kembali gemilang. Realiti masa kini perlu difikirkan agar selari dengan falsafah dan semangat hijrah Rasulullah saw.

Hijrah membawa mesej yang jelas dan mudah bagi mencapai kejayaan sama ada di dunia ataupun di akhirat. Perubahan ke arah kejayaan ini harus disertai dengan membaiki kelemahan yang ada, membuat pelbagai persiapan dan persediaan khususnya dalam mencari kekuatan-kekuatan diri. Aspek yang wajar diberi perhatian ialah perubahan sikap yang menentukan hala tuju kejayaan dan kegemilangan umat. Sikap yang cemerlang akan dapat menyuntik semangat ke arah membina ummah yang mampu mentadbir diri, menguasai ilmu, bermaruah dan dihormati.

Saban tahun kita menyambut kedatangan hijrah walaupun telah lama berlalu peristiwa tersebut. Namun terasa masih baru dan segar. Hijrah dalam konteks Rasulullah saw ialah baginda memutuskan seketika hubungan dengan orang-orang Quraisy, membebaskan diri daripada keadaan yang berlaku di Mekah dan perpindahan ini dari Mekah ke Madinah dengan jarak 240 batu telah mengambil masa tujuh hari perjalanan. Tetapi perjalanan ini merupakan perjalanan yang sukar kerana Rasulullah saw melalui jalan yang tidak pernah dilalui supaya tidak diikuti oleh orang-orang Quraisy. 

Terdapat dua faktor yang menyebabkan Rasulullah saw berhijrah iaitu faktor penolak dan faktor penarik. Faktor penolak ialah orang-orang Mekah tidak boleh menerima Islam. Apabila orang Mekah merasakan Islam sebagai satu ancaman, mereka menyeksa Rasulullah saw dan para sahabat dengan ejekan, mempermainkan ajaran yang dibawa oleh baginda, mengacau, menzalimi dan menunjukkan kuasa bahawa Islam adalah sesuatu yang bercanggah dengan budaya dan adat resam masyarakat Quraisy pada masa itu. Mereka menganggap ajaran baru ini sebagai ancaman terhadap tradisi dan budaya sedia ada. Di samping faktor ekonomi, ajaran baru itu boleh menjejaskan penjualan berhala-berhala kerana Mekah pada masa itu merupakan pusat ekonomi berhala.

Struktur sosialnya pada masa itu amat bertentangan dengan masyarakat Mekah yang mementingkan suku sakat atau keturunan. Oleh yang demikian, kedatangan Rasulullah saw tidak dapat diterima oleh masyarakatnya sendiri. Faktor penariknya pula ialah di Madinah ketika itu berlaku krisis kepimpinan yang sangat hebat hinggakan mereka memerlukan seorang pemimpin yang boleh memimpin mereka.

Hijrah adalah pengorbanan dari segi mental dan fizikal. Saiyidina Ali sanggup tidur di tempat Rasulullah saw ketika dikepung oleh orang Quraisy. Begitu juga dengan Saiyidina Abu Bakar yang sentiasa menemani baginda di dalam gua selama tiga hari tiga malam dan menyembunyikan diri dari ancaman Quraisy. Asma’ binti Abu Bakar bertindak menyediakan makanan kepada Rasulullah saw dan bapanya.

Pengorbanan Bilal Ibnu Rabah dan Sumayyah yang sanggup menghadapi ancaman azab dan sebagainya semata-mata iman kepada Allah swt. Bilal umpamanya tidak berganjak daripada perjuangannya membantu Rasulullah saw hingga namanya dikenang sehingga akhir zaman sebagai tukang azan. Namanya diabadikan kepada mereka yang melaungkan azan. Alangkah bertuahnya Bilal!

Dalam sejarah peristiwa hijrah, ilmu memainkan peranan yang sangat penting bagi membina kekuatan dalaman. Rasulullah saw membekalkan para sahabat dengan ilmu kekuatan iaitu ilmu yang berkaitan dengan iman, akidah dan taqwa. Akhirnya baginda berjaya mengumpulkan para sahabat untuk berjuang menegakkan Islam di muka bumi.

Sekiaranya kita ingin berjaya wajarnyalah memberi keutamaan kepada ilmu-ilmu yang berkaitan dengan akidah supaya dapat meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim yang cemerlang.

Wednesday, June 10, 2015

Akhlak mulia jaminan syurga








Rasullullah saw bersabda,

"Aku sebagai ketua dapat menjamin sebuah rumah di taman syurga untuk orang yang meninggalkan perdebatan meskipun dia benar dan menjamin sebuah rumah di pertengahan syurga bagi orang yang tidak berdusta dan orang yang baik akhlak budi pekertinya".
(Riwayat Abu Daud)

Hadis ini telah menerangkan tiga perilaku penting yang mendapat jaminan syurga bagi mereka yang memilikinya. Begitu juga ketiga-tiga perilaku ini perlu diiringi dengan kewajipan-kewajipan lain yang ditentukan oleh Islam.

Perilaku pertama ialah orang yang meninggalkan perdebatan meskipun dia benar. Berdebat atau berbantah-bantahan adalah satu pernyataan dengan maksud menjadikan orang lain memahami sesuatu pendapat, mengurangkan kewibawaan lawan debat itu dengan cara mencela dan sebagainya. 

Apa yang lebih ditonjolkan dalam proses berdebat itu adalah keegoannya dengan pelbagai cara. Ramai orang yang egonya sangat tinggi dan tidak mahu dikalahkan oleh sesiapa sahaja ketika perdebatan berlangsung. Orang seperti ini selalunya mempertahankan ideanya dengan apa cara sekalipun. Kalau dilayan berkemungkinan bukan sekadar pertengkaran mulut malah beradu tenaga. Oleh kerana itu perdebatan hendaklah dijauhi kerana ia memudaratkan dan dianggap sebagai salah satu perdebatan yang menyesatkan.

Akan tetapi dalam keadaan tertentu seperti berdebat dengan orang-orang kafir mengenai hal-hal akidah, kita mesti mempertahankan pendapat kita sendiri berlandaskan syarak dengan pelbagai cara supaya mereka menyedari bahawa akidah kita memang benar. Jika mereka tidak mahu mengerti juga maka serahlah kepada Allah agar mereka diberi petunjuk tetapi mesti tetap berusaha untuk tidak mengadakan dan mengikut pendapat mereka.

Perilaku kedua ialah orang yang tidak berdusta meskipun bergurau. Dusta merupakan satu pertanyaan, pendapat atau pandangan yang tidak selari dengan kenyataan sebenar. Perbuatan ini sangat dilarang dalam Islam kerana selain merugikan orang lain juga merugikan diri sendiri. Sebaliknya Islam sangat menghargai orang yang bersifat jujur walaupun ketika bergurau seseorang itu selalunya suka berlebih-lebihan untuk menarik ketawa orang yang diajak bergurau. Keadaan ini menjadikannya merasa puas dan merangsangnya untuk melakukan gurauan dengan pelbagai cara walaupun harus berbohong. Perkara ini tidak dibenarkan dalam Islam biar apa pun alasannya. Berbohong adalah perbuatan yang sangat dilarang kerana boleh mencetuskan pelbagai masalah kepada individu dan masyarakat keseluruhannya. Untuk menjadi orang yang jujur kita perlu berkawan dan bergaul dengan mereka yang jujur kerana pergaulan sangat berpengaruh terhadap watak dan keperibadian.

Perilaku yang ketiga ialah orang yang baik budi pekertinya. Sifat dan akhlak yang terpuji ini dapat meningkatkan darjat dan martabat seseorang di sisi Allah swt dan dalam pandangan manusia.

Salah satu risalah Rasullulah saw adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia. Itu adalah salah satu strategi yang telah mendorong kejayaan dakwah baginda. Rasulullah saw tidak sekadar menganjurkan perintah ini kepada umatnya malah menjadikan peribadinya sebagai contoh teladan. Tidak hairanlah akhlak baginda dikagumi oleh kawan dan lawan kerana akhlak terpuji tersebut. Antara sifat orang yang berakhlak mulia adalah bermuka manis untuk membantu orang lain dalam melaksanakan perkara yang baik dan berfaedah, menjaga diri daripada perbuatan yang jahat dan sentiasa memaafkan orang lain. Individu yang memiliki sifat seperti ini selain dijanjikan dengan syurga juga dianggap orang yang paling baik di kalangan manusia.

Berhubung dengan gambaran yang dibayangkan oleh Rasulullah saw mengenai akhlak dan perilaku yang sangat dituntut dalam Islam, tidak lain adalah jaminan syurga. Beberapa ayat al-Quran yang dapat dikaitkan dengan jaminan tersebut seperti surah Al-An'am ayat 121 yang bermaksud, "Dan janganlah kamu makan binatang yang disembelih tanpa menyebut nama Allah, sesungguhnya yang demikian adalah suatu kefasikan. Sesungguhnya syaitan membisikkan kepada rakan-rakannya agar mereka membantah kamu dan jika kamu mengikut mereka, tentulah kamu menjadi orang-orang yang musyrik".

Begitu juga surah Az-Zumar ayat 60 dan 61 yang bermaksud, "Pada hari kiamat engkau melihat orang-orang berdusta terhadap Allah, muka mereka hitam warnanya. Bukankah dalam neraka tempat tinggal orang-orang yang sombong ? Allah menyelamatkan orang-orang yang bertakwa dengan kemenangannya, mereka tidak ditimpa kejahatan dan tidak berdukacita".

Daripada huraian hadis dan ayat-ayat al-Quran ini, rumusannya ialah terdapat tiga perkara yang sangat baik untuk dilakukan oleh kita iaitu meninggalkan perdebatan meskipun benar, tidak berdusta untuk bergurau dan baik budi pekerti atau tingkah lakunya. Rasulullah saw telah memberi jaminan bahawa mereka yang memiliki tiga sifat tersebut akan dijamin balasan syurga, diletakkan dalam tingkatan berbeza mengikut tahap yang bersesuaian dengan amalannya. Memiliki akhlak yang mulia bukanlah senang malah perlu berusaha untuk mendapatkannya. Ketika ditanya tentang akhlak Rasulullah saw, S.Aishah menjawab bahawa akhlak Rasullullah sawadalah al-Quran itu sendiri.

Islam sangat menghargai dan memuliakan orang yang bersifat jujur dan benar walaupun ketika bergurau. Kejujuran dan kebenaran sentiasa dipegang teguh oleh ahli ilmu, jika menghadapi sesuatu yang belum diketahui secara jujur perlu menyatakan bahawa dirinya tidak tahu. Itu merupakan kejujuran yang sangat tinggi dari seseorang ilmuan Islam untuk mendapatkan redha Allah swt.