Tuesday, April 07, 2015

Pengurusan kewangan mengikut perspektif etnik










1.0 Pengenalan

Pengurusan dan perancangan adalah suatu tabiat yang amat mustahak dalam semua urusan kehidupan terutama berkaitan dengan harta atau kewangan. Kegagalan merancang kewangan mengikut kategori ataupun keperluan merupakan punca utama seseorang individu terjebak dengan pelbagai masalah kewangan dalam kehidupan. Merujuk Wikipedia, “Pengurusan terdiri daripada pengarahan dan pengawalan sebuah kumpulan yang terdiri daripada satu atau lebih orang atau entiti bertujuan menyelaraskan dan mengharmonikan kumpulan tersebut untuk mencapai sesuatu matlamat. Pengurusan biasana melibatkan sumber-sumber manusia, kewangan, teknologi serta sumber semula jadi. Selain itu, pengurusan juga boleh merujuk kepada seorang atau sekumpulan orang yang menjalankan fungsi pengurusan”. Bidang-bidang yang menggunakan konsep pengurusan kewangan adalah seperti pengurusan perakaunan, pengurusan perolehan, pengurusan aset, pengurusan perbelanjaan, pengurusan hasil dan pengurusan belanjawan.

Dalam pengurusan perakaunan, rekod-rekod perakaunan yang lengkap dan sentiasa dikemas kini akan membantu pihak pengurusan membuat keputusan dalam perancangan, pengagihan, peruntukan dan perbelanjaan. Selain itu, ia membantu kerja-kerja pengauditan dan membantu menjelaskan akauntabiliti kewangan penjawat awam.

Dalam pengurusan perolehan, sistem yang melibatkan peraturan dan tatacara perolehan yang  berkesan mestilah dilaksanakan dengan sepenuhnya oleh semua jabatan dalam sektor awam. Perolehan boleh dibuat dengan cekap jika spesifikasi barang perkhidmatan ditentukan terlebih dahulu dan dasar dan peraturan, tatacara perolehan dipatuhi.

Pengurusan aset ada secara langsung dan tidak langsung aset awam ini. Pengurusan perbelanjaan yang baik dan berkesan tidak boleh melebihi peruntukan yang diluluskan. Pemindaan perlu dilakukan jika peruntukan yang disediakan adalah kurang.

Dalam pengurusan hasil, satu penyata pengutan hasil hendaklah disediakan dan dikemas kini. Penyata ini hendaklah disesuaikan dengan hasil yang dipungut dan tunggakan hasil manakala pengurusan belanjawan membolehkan pihak pengurusan merancang hasil dan perbelanjaan jangka pendek dan jangka panjang dengan tujuan menentukan pulangan terbaik daripada setiap ringgit hasil yang dipungut.

1.1 Latar Belakang Kajian

Apakah maksudnya “wang” ataupun “duit” yang sering digunakan oleh manusia sejak zaman dahulu? Sebenar, sistem barter telah digunakan sebelum kemunculan wang. Sistem barter ini berkonsep pertukaran benda yang mempunyai nilai yang sama. Revolusi wang telah muncul dengan wang komoditi dahulu. Peringkat penggunaan wang komoditi bermula apabila masyarakat merasakan terlalu banyak kelemahan dalam sistem barter. Barang-barang yang digunakan sebagai alat pertukaran ialah biji manik, kulit binatang, pedang, cerek dan sebagainya. Revolusi wang telah berterus dengan penemuan batu uji kecil membawa kepada penciptaan syiling. Logam lembut boleh diuji ketulenannya di atas batu uji yang membolehkan seseorang mengira jumlah kandungan sesuatu logam dengan cepat dalam satu ketulan. Emas adalah logam lembut yang juga sukar didapati, padat dan senang disimpan. Antara logam yang pernah digunakan adalah besi, timah, perak dan tembaga selain daripada emas. Antara logam-logam ini, emas dan perak merupakan logam yang paling popular dan diguna secara meluas di seluruh dunia. Kewujudan wang kertas adalah untuk mengatasi kelemahan wang logam yang berat untuk berurus niaga. Pada permulaan, wang kertas berbentuk satu resit yang digunakan sebagai bukti simpanan emas dan perak dengan tukang emas. Resit ini secara tidak langsung memberitahu bahawa resit boleh ditukarkan kepada duit syiling emas ataupun perak yang sebenar.

Pengurusan kewangan berhubung kait dengan pembangunan organisasi. Kira-kira abad ke-15, perniagaan di sepanjang pantai bandar Mediterranean telah membangun secara pesat. Pada permulaannya, syarikat bersaham dihendaki pengurusan kewangan dijadikan sebagai salah satu bentuk organisasi bagi perusahaan. Namun, pada masa itu, pengurusan kewangan tidak dipentingkan dalam pengurusan organisasi kerana tidak mempunyai pengetahuan dan tiada pengalaman dalam pengurusan kewangan.

Oleh itu, pengurusan kewangan hanyalah dipentingkan pada peringkat permulaan sesuatu organisasi. Sehinggalah abad ke-19, tempoh revolusi perindustrian Barat tamat, syarikat bersaham berkembang dengan pesat dan peningkatan secara beransur-ansuran, demi biasakan dengan pengumpulan modal, terbitan saham, cara memberi faedah, telah menghasilkan pengurusan kewangan yang berprofesional. Kewangan sebenarnya adalah suatu seni dan sains mengurus wang. Setiap orang akan menggunakan wang, tetapi tidak banyak mampu mengurus wang yang seadanya dengan cermat. Konsep pengurusan kewangan seharusnya dipupuk sejak kecil kerana pengurusan yang kemas memerlukan kesabaran dan disiplin dalam individu. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan konsep “pengurusan kewangan”? Pengurusan kewangan ialah proses untuk memastikan supaya sumber kewangan yang diterima, diurus dan dibelanjakan dengan cara yang terbaik untuk memenuhi objektif organisasi mahupun individu.

Selain itu,  pengurusan kewangan juga dimaksudkan dengan mengurus ekonomi individu dengan mengambil kira perkara yang ingin dilakukan seperti berkahwin, membeli aset dan sebagainya.Siapakah yang memerlukan pengurusan kewangan? Jawapannya ialah setiap insan termasuklah pelajar, pesara, suri rumah tangga, pekerja dan lain-lain. Mengurus kewangan pula melibatkan penggunaan pelbagai teori ekonomi dan maklumat-maklumat perakaunan bagi mencapai matlamat firma atau individu. Dengan mempunyai pengurusan kewangan yang teratur, masa depan dapat dijamin, sekurang-kurangnya wang yang selebihnya akan dilabur dengan cermat. Pengurusan kewangan juga membantu individu memperbaiki tahap hidup, mengumpul harta secara efisyen dan mencapai matlamat untuk memenuhi kehendak kita.

Sekiranya tiada pengurusan kewangan, pelbagai masalah akan dihadapi oleh organisasi ataupun individu dari aspek perolehan, pelaburan dan sebagainya. Fungsi pengurusan kewangan ialah menganggar keperluan modal, penentuan komposisi modal, pilihan sumber dana pelaburan dana, pengurusan wang tunai, kawalan kewangan dan sebagainya. Langkah-langkah dalam pengurusan kewangan ialah menilai semula kedudukan kewangan dengan meneliti pendapatan dan perbelanjaan. Dengan mempunyai analisis ini, individu seharusnya merangka yang ingin dicapai, contohnya, bagi jangka masa yang pendek untuk membeli kereta dan jangka masa panjang membeli rumah, ataupun berspesifik dengan menabung RM 3000 dalam masa empat bulan. Dengan mempunyai target, seterusnya merangka belanjawan dan membuat pelan seperti mengenal pasti keperluan dan kehendak.

Seterusnya ialah merancang aliran kewangan dan mengambil kira hal-hal yang harus didahulukan seperti mengumpul harta, menguruskan hutang, meneliti dan merancang cara pembayaran cukai. Untuk meningkatkan kewangan, seseorang individu seharusnya sentiasa berbelanja mengikut bajet, membayar hutang kad kredit dan bukan membayar bayaran minimum tiap-tiap bulan kerana faedah yang setinggi itu mampu menyebabkan seseorang menghadapi masalah kewangan dalam masa yang pendek. Pelan simpanan seharusnya ada untuk menjamin keperluan masa hadapan terutamanya dalam kecemasan, dan cuba menjimat dari segi penggunaan elektrik, penggunaan kad kredit dan sebagainya.

1.2 Objektif Kajian

Dalam kajian ini, kami telah mengenal pasti pola pengurusan kewangan dalam masyarakat pelbagai kaum, mengenal pasti sistem pengurusan kewangan masyarakat dan mengenal pasti cabaran, keperluan dan masalah pengurusan.

1.3 Kepentingan Kajian

Kajian ini telah dijalankan kerana membawa kesedaran yang amat penting kepada orang ramai. Setiap orang seharusnya mempunyai pengetahuan terhadap pengurusan kewangan, terutamanya merancang, mengawal aktiviti kewangan seperti perolehan dan penggunaan kewangan bagi sesuatu organisasi atau individu. Kesedaran ini bukan sahaja memberi kekemasan dari segi pemfailan, mempunyai tabiat perancangan kewangan mampu melatih disiplin dan mengawal nafsu untuk mengejar kebendaan.


2.0 Sorotan Kajian

Kajian literatur ini adalah tentang kaedah-kaedah masyarakat mengurus kewangan dan termasuk faktor-faktor yang akan menjejaskan kegunaan kewangan masyarakat. Kaedah- kaedah kegunaan wang akan termasuk simpanan, pelaburan, hiburan,keperluan dan barang mewah yang dibeli. Faktor-faktor pribadi, sosial, ekonomi dan politik kerajaan juga akan menyebabkan perbezaan pengurusan kewangan masyarakat .

Warren Edward Buffett, menyatakan penilaian pasti, memandangkan melibatkan masa depan. Peter Ferdinand Drucker menyatakan kebanyakan orang tidak boleh memiliki pengetahuan akan bersepadu dan oleh itu tidak boleh diletakkan dalam pengurusan. Dari buku “Rich Dad, Poor DaD”, syarat-syarat ini penting untuk seseorang menjalankan pengurusan kewangan. Buku ini mengada kebanyakan pengetahuan-pengetahuan tentang pengurusan kewangan. Konsep “Rich Dad” dan “Poor Dad” adalah untuk menganalisis perbezaan fikiran antara orang kaya dan orang miskin. Contohnya, “Poor Dad” akan membuat wang perlu berhati-hati dan jangan mengambil risiko. “Rich Dad” akan mempelajari bagaimana untuk mengurus risiko.


3.0 Metodologi Kajian

Kajian ini tertumpu kepada pekerja swasta, kakitangan kerajaan dan orang yang tidak bekerja seperti pelajar  dan suri rumah tangga. Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif bagi mengumpul data.

3.1 Rekabentuk Kajian

Rekabentuk kajian merupakan kaedah atau tatacara pengumpulan data yang bertujuan untuk menjawab soalan-soalan kajian umntuk menyelesaikan masalah-masalah dan mendapatkan data-data yang diperlukan. Oleh itu, reka bentuk kajian jenis tinjaun dipilih untuk mendapatkan maklumat tentang faktor-faktor atau masalah-masalah menjejaskan pengurusan kewangan masyarakat. Di samping itu, juga mendapatkan pola pengurusan kewangan antara beberapa kaum.

3.2 Sampel Kajian

Populasi kajian adalah kaum Cina, Melayu, India dan kaum-kaum lain. Responden yang terpilih dikelaskan mengikut pekerjaan. Sampel kajian terdiri daripada 40 orang responden.

3.3 Instrumen Kajian

Instrumentasi yang digunakan dalam kajian ini adalah soal selidik yang disediakan melalui perbincangan. Instrumen kajian yang sangat penting bagi memastikan data yang diperolehi dapat menjawab objektif kajian. Oleh itu, penyelidik menggunakan borang soal selidik sebagai instrumen kajian. Melalui soal kajian, boleh memberikan penyelidik mempunyai lebih banyak masa untuk berfikir dan menjawab soalan-soalan yang diberikan. Hal ini membantu mendapatkan keputusan atau data-data yang lebih tepat kerana tidak perlu terburu-buru semasa menjawabkan soalan.

Soal selidik yang dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Bahagian satu berkaitan latar belakang dan Bahagian dua berkaitan pengurusan wang. Bahagian satu merupakan bahagian maklumat am responden yang mengenai latar belakang responden seperti jantina, umur, status, gaji, etnik, pekerjaan dan tempat tinggal.

Bahagian dua mempunyai 12 soalan yang berkaitan dengan pengurusan kewangan. Responden diberikan lima pilihan iaitu sangat tidak setuju, tidak setuju, tidak pasti, setuju dan sangat setuju.


4.0 Hasil Kajian dan Perbincangan

Bahagian ini mendapatkan data-data latar belakang responden untuk analisis demografi responden. Kaedah tinjuan akan dijalankan untuk mendapatkan data-data tersebut. Semua responden akan mengelaskan mengikut kaum, pekerjaan dan jantina.


Rajah 1: Peratusan responden yang mengikut jantina

Rajah 1 di atas mewakili peratusan jantina lelaki dan perempuan berdasarkan analisis serta tinjauan yang telah dibuat. Sebanyak 43% atau 17 orang mewakili lelaki telah dipilih, manakala responden perempuan sebanyak 57% atau 23 orang. Peratusan ini mewakili pemilihan secara rawak melalui pelbagai kaum dan pekerjaan kerajaan, swasta atau tidak bekerja.


Rajah 2: Peratusan reponden yang mengikut pekerjaan

Melalui Rajah 2 dan jadual di atas, sebanyak 53% atau  21 orang yang tidak ada pekerjaan termasuk pelajar dan suri rumah tangga. Sebanyak 12 % atau 5 orang kakitangan kerajaan dan 35 % atau 14 orang pekerja swasta telah dipilih sebagai responden kajian ini .


Rajah 3:  Peratusan yang mengikut entik

Melalui analisis, masing -masing kaum Melayu  dan kaum Cina terdapat 27.5% atau 11 orang, 30% atau 12 orang kaum India dan 15% atau enam orang terdiri dari lain-lain.


Rajah 4: Peratusan pilihan responden dalam soal selidik mengikut simpanan kecemasan

Berdasarkan Rajah 4 yang dikemukan, hanya 18% kaum Cina yang sangant tidak setuju menggunakang wang untuk simpanan kecemasan tetapi 64% atau tujuh orang kaum Cina yang tidak setuju untuk simpan kecemasan. Kaum Melayu, India dan lain-lain lebih ramai yang setuju untuk menggunakan wang untuk simpanan kecemasan iaitu sebanyak 55%, 42% dan 33%.


Rajah 5: Peratusan pilihan responden mengikut simpanan semasa

Berdasarkan Rajah 5, terdapat 73% atau lapan orang Cina  tidak setuju dengan menggunakan kewangan untuk menjada simpanan semasa. Perbezaan dengan orang Cina, orang Melayu terdapat 36% setuju dan 55% sangat setuju. Secara umumnya, selain orang Cina kebanyakan responden yang setuju ataupun sangat setuju dengan mengunakan kewangan untuk membuat simpanan semasa, 50% India  dan 33% lain-lain.


Rajah 6: Peratusan pilihan responden mengikut saham

Berdasahkan Rajah 6, terdapat 50% atau tiga orang yang tidak setuju menggunakan wang untuk membeli saham. Berlainan dengan kaum-kaum lain, sebanyak 55 % atau enam responden Cina bersetuju menggunakan wang untuk membeli saham.


Rajah 7: Peratusan pilihan responden mengikut insurans

Berdasarkan Rajah 7, kebanyakan responden memilih setuju dalam pilihan ini. Terdapat sebanyak 64 % orang Melayu dan 58 % orang India tetapi bilangan orang adalah sama iaitu masing-masing mempunyai sebanyak tujuh orang dan 55%  atau enam orang adalah responden Cina.


Rajah 8: Peratusan pilihan responden mengikut kadar pertukaran wang

Berdasarkan Rajah 8, terdapat 73%  atau lapan responden  Cina yang setuju melakukan pelaburan iaitu jumlah yang tertinggi dalam pilihan ini. Tiada sesiapa memilih pilihan sangat tidak setuju. Hanya seorang responden Cina dan India yang memilih sangat setuju untuk pelabuaran tersebut.


Rajah 9: Peratusan pilihan responden mengikut harta tanah

Bedasarkan Rajah 9, sembilan responden India telah memilih pilihan tidak pasti dalam menggunakan wang untuk pelaburan harta tanah, bilangan ini adalah bilangan yang tertinggi berbanding dengan semua kaum. Selain itu, berbanding dengan pilihan lain, pilihan tidak pasti mendapat bilangan dan peratusan yang paling tinggi di mana responden Cina sebanyak tujuh orang (64%), Melayu sebanyak lapan orang (73%) dan kaum-kaun lain  sebanyak lima orang (83%). Kebanyakan responden berasa pelaburan harta tanah perlu menggunakan wang yang terlalu banyak, oleh itu mungkin bakal menjejaskan gaya hidup mereka walaupun boleh mendapat kadar pulangan yang baik.


Rajah 10: Peratusan pilihan responden mengikut keperluan

Berdasarkan Rajah 10,  kebanyakan responden memilih pilihan setuju iaitu kaum Cina sebanyak 73% atau lapan orang, kaum Melayu sebanyak 64% atau tujuh orang, kaum India sebanyak 67% atau lapan orang dan kaum-kaun lain sebanyak 83% atau lima orang. Keputusan ini disebabkan keperluan adalah kegunaan yang sangat penting untuk hidup manusia, keperluan termasuk makanan,  minuman, pakaian dan sebagainya. Oleh itu, semua orang juga akan mengunakan sebahagian gaji mereka dalam bahagian keperluan ini.


Rajah 11 : Peratusan pilihan responden mengikut hiburan

Bedasarkan Rajah 11,  sebanyak 20 responden yang memilih pilihan tidak pasti, sebanyak empat orang adalah kaum Cina, tujuh orang Melayu, enam orang India dan tiga orang kaum-kaum lain. Selain itu, ada beberapa orang responden yang memilih pilihan setuju, empat orang Cina, empat orang Melayu, dua orang India dan kaum-kaum lain hanyalah seorang. Perbezaan antara kedua-kedua pilihan adalah sebanyak sembilan orang.


Rajah 12: Peratusan pilihan mengikut barang mewah

Berdasarkan Rajah 12, sebanyak 19 orang yang telah memilih pilihan tidak setuju menggunakan kewangan untuk membeli barang mewah termasuk enam responden Cina, enam responden Melayu, empat responden India dan lima responden daripada kaum-kaum lain, bilangan ini adalah paling ramai berbanding dengan pilihan lain. Selain itu, tidak ada responden yang memilih pilihan sangat setuju.


Rajah 13: Peratusan pilihan responden mengikut soalan adakah perbelanjaan rakyat akan menjejaskan ekonomi negara

Berdasarkan Rajah 13, lebih separuh orang yang setuju perbelanjaan rakyat akan menjejaskan ekonomi negara. Sebanyak 21 orang atau 52% telah memilih pilihan “ya”, sebahagian responden berasa ada kebanyakan faktor boleh menjejaskan kemajuan ekonomi negara, tidak semestinya adalah perbelanjaan rakyat.


Rajah 14: Bilangan pilihan responden untuk menjelaskan faktor-aktor menjejaskan pengurusan kewangan masyarakat.

Berdasarkan Rajah 14, terdapat 31 orang responden yang setuju pendapatan yang akan menjejaskan pengurusan mereka. Bilangan ini adalah tertinggi berbanding dengan faktor- faktor lain. Selain itu, faktor inflasi mempunyai sebanyak 27  orang responden yang setuju.


5.0 Ringkasan dan Cadangan

Secara keseluruhan, pengurusan kewangan amat penting kepada setiap orang terutamanya sesuatu organisasi. Dengan mempunyai sistem fail yang kemas akan menyenangkan dan meningkat kecekapan dalam pencarian sesuatu data manakala inidividu pula seharusnya mempunyai fail untuk menyimpan kesemua data secara teratur terutamanya pekerja kerana setiap informasi penggunaan adalah amat penting untuk pengawalan kewangan. Jika seseorang ataupun organisasi mempunyai modal selebihnya, seharusnya melabur dan bukan membazir sewenang-wenangnya. Oleh itu, perancangan untuk perolehan adalah proses yang penting supaya seseorang tidak membazir setiap sen yang ada. Terdapat pelbagai jenis pelaburan yang telah ditawarkan di pasaran. Semua pelaburan ini sebenarnya bukan kerana ketamakan, padahal adalah kerana pada masa depan. Oleh itu, pelaburan diperlukan sebagai kegunaan masa depan. Simpanan juga seharusnya diperuntukkan untuk kegunaan kecemasan untuk bila-bila masa supaya dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi.


Rujukan

http://uniprof.wordpress.com/2008/01/07/pengurusan-definisi-sejarah-dan-konsep-siri-1/
http://dspace.unimap.edu.my/dspace/bitstream/123456789/1582/1/Konsep%20akautabiliti%20dalam%20pengurusan%20kewangan.pdf

http://www.thebuffettblog.blogspot.com/
http://www.360doc.com/content/10/0910/18/185139_52683409.shtml
http://www.tradingeconomics.com/malaysia/inflation-cpi
http://www.malaysiaeconomy.net/my_economy/comm_econ/citizen_in_exp/2011-09-22/12600.html
http://www.kkk.org.my/melayu/index.php/portal-pengguna/penerbitan/80-risalahbrochure/125-pengurusan-kewangan.html
http://pts.com.my/modules.php?name=News&file=print&sid=65


MZ Zainudin, Lim Ruoh Ing, Ang Sock Koon, Chee Haw Yee, Elaine Cheong Hui Ming



Monday, April 06, 2015

Become your own boss in 12 months






Penulis: Melinda F. Emerson
Tahun: 2013
Penerbit: Advantage Quest Sdn Bhd, Petaling Jaya, Selangor.
Muka Surat: 254

Sama ada anda baru sahaja mendapat pekerjaan, hidup dalam suasana pejabat yang menyesakkan atau mahu menjadikan bisnes sebagai realiti, anda boleh mengikut impian anda dan melakukan yang terbaik. Berdasarkan pengalaman pengasas dan mendapat anugerah syarikat produksi, Melinda menunjukkan kepada kita bagaimana amalan dan panduan bulan ke bulan menjadikan perniagaan anda berdaya maju.

Dalam buku ini anda akan mendapat jadual masa dan langkah demi langkah untuk menjadi CEO sendiri seperti berikut:

Bulan 1: Berjumpa dengan pemodal
Bulan 2: Bentukkan peruntukan pemasaran selama setahun
Bulan 3: Siapkan logo syarikat anda
Bulan 4: Dapatkan perisian pengurusan pelanggan
Bulan 5: Bersedia melancarkan bisnes anda

Buku ini menjadi panduan kepada peniaga yang mahu menjalankan perniagaan mereka dengan sistematik dan berkumpulan. Ada 24 bab yang menerangkan apa yang perlu dalam perniagaan dan bab 23 amat menarik kerana ia memberi ilmu tentang perkara yang kita tidak boleh lupakan semasa menjalankan bisnes seperti tahu keuntungan setiap kali berurus niaga dan mementingkan khidmat pelanggan.


Sunday, April 05, 2015

Helikopter terhempas di Semenyih









Kemalangan helikopter yang meragut enam nyawa semalam amat mengejutkan kita semua. Helikopter yang membawa ahli politik dan korporat itu bertolak ke Subang tetapi terhempas di Semenyih. Antara yang terkorban adalah Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis, Ahli Parlimen Rompin dan Datuk Seri Azlin Alias, Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri. Mangsa lain adalah juruterbang Kapten Clifford William Fournier, pembantu juruterbang Aidana Baizieva, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang dan anggota polis Koperal Razakan Seran.

Helikopter keluaran Airbus itu dilapor meletup di udara dan terhempas di kawasan hutan.

Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis dikatakan mempunyai jadual harian yang padat sepanjang hari. Beliau bergerak dari satu tempat ke tempat menggunakan helikopter untuk menjimatkan masa dan dapat memenuhi semua undangan dengan sempurna. Gambar-gambar yang disiarkan di media berkenaan perjalanan harian beliau semalam menggambarkan beliau seorang yang tidak duduk diam.

Sebelah pagi beliau bersarapan di sebuah restoran dan tengah harinya menghadiri majis perkahwinan anak perdana menteri di Pekan. Beliau dikatakan akan menghadiri satu lagi majlis perkahwinan pada sebelah malamnya.

Punca kemalangan ini tidak dapat dipastikan sehinggalah siasatan disempurnakan. Namun begitu, faktor cuaca, masalah teknikal dan sabotaj biasanya diberi perhatian.

Jarang-jarang kita dengar kemalangan udara melibatkan helikopter di negara ini. Biasanya ia berlaku bagi jarak yang agak lama. Kes seperti ini yang pernah berlaku adalah melibatkan tokoh korporat, Tan Sri Yahya Ahmad, isteri dan juruterbang pada Mac, 1997 di Kuala Lipis.

Tahap keselamatan pengangkutan udara di Malaysia masih diyakini walaupun kehilangan tiga pesawat dalam tempoh beberapa bulan ini. Kehilangan pesawat MH370, pesawat MH17 ditembak dan AirAsia QZ8501 yang terhempas di  perairan Selat Karimata, Indonesia memang suatu yang malang kepada industri penerbangan udara negara.

Kita tidak tahu bagaimana tindak balas orang ramai terhadap ketiga-tiga tragedi ini namun publisiti berkaitan keselamatan yang dilakukan oleh syarikat-syarikat penerbangan yang terlibat sedikit sebanyak meningkatkan keyakinan kita terhadap aspek keselamatan kapal terbang.

Kematian yang berlaku dalam industri penerbangan adalah rendah berbanding kematian di atas jalan raya. Justeru, masih ramai yang memilih kapal terbang sebagai pengangkutan utama. Walaupun begitu, dengan perkembangan industri kereta api laju dan kemudahan jalan raya yang dinaik taraf, pengguna boleh memilih pelbagai sistem pengangkutan yang mereka gemar.

Keselamatan dilihat menjadi salah satu faktor yang menentukan pilihan pengguna. Walaupun harga berpatutan, ada pengguna yang tidak teragak-agak memilih perjalanan yang jauh tetapi selamat supaya nyawa mereka tidak terancam. Secara kasarnya, tragedi yang berlaku ke atas pesawat Germanwings baru-baru ini mahu dielakkan.


Friday, April 03, 2015

Pendakwah yang mantap










Kerja yang akan mendatangkan keuntungan kepada orang-orang yang beriman ialah mengajak orang ramai kepada Islam. Namun begitu, semua usaha yang hendak dilakukan perlu kepada proses dan praktikaliti. Bagi mereka yang lahir sebagai seorang Islam, wajar mensyukuri nikmat tersebut.

Sejarah kegemilangan Islam sejak 1400 tahun yang silam telah berlalu dan hakikat kini ialah umat Islam masih ditekan dan belum bebas sepenuhnya. Masih banyak perkara yang perlu dilakukan bagi melahirkan sebuah masyarakat Islam yang kembali melaksanakan tuntutan iman dan ibadah. Seringkali kita dengar umat Islam melafazkan keinginan untuk menjadi kelompok masyarakat yang hebat dan hendak sangat masuk ke syurga Allah swt tetapi masih ramai yang kurang berusaha ke arah tersebut.

Bagi umat yang beriman, rintangan dan ujian tidak melemahkan keupayaan mereka apabila tahu apa yang dikehendaki. Dalam hal ini, keluhan dan rintihan untuk mencari mad'u kerapkali kedengaran bagi para dai' yang tidak produktif. Justeru, asas kepada dakwah wajar diberi pendedahan dan perancangan yang jelas supaya dapat melahirkan mukmin yang tahan lasak, bijaksana dan berilmu.

Di mana kita dapat membentuk seorang pendakwah yang kental dan cemerlang dalam usaha-usahanya? Mahu ataupun tidak, keluarga menjadi tempat proses yang paling penting. Pentingnya untuk membina keluarga muslim ini adalah kerana isteri yang bertanggungjawab dapat memberi tarbiyah yang sangat berkesan kepada anak-anak kerana beliau memahami kerja-kerja dakwah. Justeru itu, keluarga menjadi asas kepada pembangunan Islam yang hebat bagi membaiki diri, keluarga dan masyarakat.

Pendakwah juga wajar tahu membezakan amal yang utama dan sampingan supaya hubungan hati dengan Allah swt dan hubungan sesama manusia sentiasa berkeadaan baik. Upaya dengan doa lebih berkat daripada berusaha sahaja tanpa berdoa dan mengharapkan ihsanNya.

Kukuhkan persaudaraan Islam dapat menguatkan kerjasama dan dan menambah keazaman. Proses membentuk dan mendidik perlu sentiasa berjalan seiring serta ia adalah usaha yang berterusan. Tergelincir daripada jalan tarbiyah akan tertinggal di belakang dan perlu mempunyai stamina yang kuat untuk mengejarnya kembali.


"Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan." (Surah Yunus, ayat 36)


Thursday, April 02, 2015

Mencari lelaki soleh










Lelaki soleh adalah istilah yang agak asing bagi kebanyakan orang pada hari ini. Bagi mereka yang biasa dengan dakwah dan tarbiyah, lelaki soleh adalah pilihan yang terhad kerana mendapat gelarnya sudah cukup menghiburkan hati. Apatah lagi di akhir zaman, ketika ramai orang lelaki yang mengejar keindahan dunia, slogan lelaki soleh bertambah asing dan jauh daripada fikiran. Wang lebih dekat di hati berbanding keinginan untuk membentuk peribadi lelaki soleh. Namun, pilihan untuk menjadi lelaki soleh atau tholeh terletak pada keinginan setiap lelaki kerana sememangnya mereka diberi pilihan untuk berbuat demikian.

“Dan jiwa serta penyempurnaannya, maka Allah akan mengilhamkan pada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwanya itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.” (Surah Asy Syams ayat 7 hingga 10)

Abu Muhammad Jibril, penulis buku “Karakteristik Lelaki Shalih” menceritakan secara panjang lebar mengenai lelaki soleh dari pelbagai sudut. Satu petikan yang menarik dari beliau ialah;

“Lelaki seperti apa yang dicadangkan untuk menjadi seorang bapa yang soleh, atau rahim perempuan yang mana mesti dipilih sebagai tempat tinggal pertama generasi yang soleh? Tentu jawapan yang dikehendaki Islam ialah calon bapa yang soleh dan rahim perempuan yang suci, sementara kesucian rahim mustahil terdapat pada perempuan yang tidak solehah.”

Justeru, pilihan untuk membentuk watak dan personaliti lelaki, perempuan, keluarga dan masyarakat soleh terletak pada pilihan yang asas iaitu calon lelaki soleh mesti mengahwini calon perempuan solehah. Ini syarat paling sesuai untuk membentuk keluarga soleh. Telah tercatat bahawa dunia ini akan diwarisi oleh mereka yang taat, tunduk dan patuh kepada Rab yang Esa.

“Sesungguhnya telah Kami tulis di dalam Zabur (kitab-kitab yang kami turunkan) sudah tercantum (pada Lauhul Mahfuz) bahawasanya bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh.” (Surah Al Anbiya’ ayat 105)

Soalan yang masih berlegar-legar di fikiran kita ialah siapa yang dicatat sebagai “hamba-hambaKu yang soleh” itu? Apakah mereka masih wujud pada zaman moden hari ini?

Abu Muhammad Jibril memberi gambaran dan contoh yang jelas tentang salah faham mengenai watak lelaki soleh dalam masyarakat. Gambaran watak yang terpesong ini telah terpahat dalam benak sebahagian masyarakat Islam yang masih menganggap ciri-ciri lelaki soleh adalah begini dan begitu.

Ciri yang salah, pertama ialah menganggap orang-orang yang asyik berzikir, menghitung biji tasbih beribu-ibu setiap hari hingga lupa peranannya dalam masyarakat. Keyakinan golongan ini ialah dengan berzikir begitu mereka akan mencapai taraf “wali Allah.” Lebih teruk lagi mereka ini malas bekerja untuk mencari nafkah kerana menganggap rezeki akan turun dari langit.

Kedua, orang yang memiliki serban besar, berjubah panjang dan memegang jawatan-jawatan utama agama tetapi masih suka berkhidmat dengan kerajaan yang menentang undang-undang Allah swt. Menurut Abu Muhammad Jibril, lelaki jenis ini tidak termasuk dalam terminologi Islam sebagai lelaki soleh.

Ketiga, sarjana-sarjana muslim profesional di universiti dan institusi pengajian tinggi. Bagaimana kehidupan peribadi dan keluarga mereka? Kita boleh lihat dan nilai sendiri?

Lelaki soleh zaman sekarang tidak lagi boleh ditunjuk sepertimana zaman para sahabat. Ketika itu, lelaki paling soleh di dunia, Rasulullah saw, dapat menyatakan watak lelaki soleh dan menerangkan dengan terperinci ciri-ciri kesolehan berkenaan. Malah boleh pula menetapkan sahabat-sahabat tertentu telah kedengaran bunyi tapak kasut di syurga seperti mana yang diisyaratkan kepada Bilal bin Rabbah. Inilah potret lelaki soleh yang jelas untuk kita nilai. Bilal adalah tukang azan dan namanya diabadikan sehingga kini setiap kali muazzin memanggil untuk azan. Dan sahabat ini adalah calon ahli syurga. Penghuni syurga adalah calon yang mengikut penilaian Allah swt, bukannya penilaian manusia.

Justeru itu, golongan pertama, kedua dan ketiga tidak menjadi jaminan sebagai lelaki soleh menurut penilaian Allah swt. Dibandingkan dengan Umar bin Khattab r.a, seorang khalifah yang berjiwa keras tetapi mampu menjadi pemimpin, mempunyai akhlak yang mulia dan juga termasuk dalam golongan lelaki soleh. Walau bagaimanapun ada berita gembira yang dinyatakan oleh Rasulullah saw mengenai kedatangan lelaki (lelaki-lelaki) soleh pada setiap kurun bagi membawa pengislahan dalam masyarakat.

“Sesungguhnya Allah akan membangkitkan buat umat ini pada setiap permulaan seratus tahun, orang yang memperbaharui urusan agamanya.”
(Riwayat Abu Hurairah)

Yusuf Al Qardhawi (2000) mentafsirkan ungkapan “orang” dalam hadis ini sebagai individu dan kolektif. Contoh individu ialah Umar Abd. Azizi, Imam As Syafie dan Imam Al Ghazali. Manakala beliau sendiri lebih cenderung untuk memilih kolektif kerana boleh jadi mujaddid tersebut wujud dalam bentuk satu jemaah dakwah, tarbiyah atau jihad.

Ada di kalangan pemimpin umat Islam pada hari ini masih terkapai-kapai untuk menerapkan Islam dalam pelaksanaan pentadbiran mereka, tetapi tetap tidak berjaya. Perkara ini menarik perhatian Abu Muhammad Jibril untuk melihatnya dari perspektif yang berbeza.

“Sedangkan tokoh-tokoh masyarakat muslim hari ini rata-rata hanya menjadi pelengkap penderita daripada sistem jahiliyah moden. Mereka diberi kebebasan palsu untuk berbicara tentang Islam tetapi tidak boleh keluar daripada cengkaman musuh.”

Kenyataan ini keras tetapi ada hakikatnya. Abul A’la Maudidi (1970) dalam huraian yang sangat menarik melalui buku Dasar-Dasar Islam, beliau menekankan betapa aqidah adalah prasyarat membentuk jiwa muslim yang benar dan mantap. Perjalanan hidup umat bermula dengan hati kerana hati manusia adalah sumber semua tindakan dan penentu sikap dalam kehidupannya.

“Dalam diri manusia itu terdapat seketul daging. Apabila daging yang seketul itu baik maka akan baiklah seluruh tubuh badannya. Dan apabila rosak daging yang seketul akan rosaklah tubuh badannya. Dan daging yang seketul itu ialah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kekuatan hati ini ialah ia menjadi titik pusat dan sumber kekuatan mental dan fizikal untuk berfikir dan beramal.

Pembentukan lelaki soleh memerlukan perancangan dan pelaksanaan yang rapi. Ia tidak muncul dalam angan-angan dan cakap-cakap kosong tetapi mesti dilalui secara realiti. Keteguhan dan kesabaran hati menjadi nadi kepada watak lelaki soleh. Perincian lebih lanjut menjadikan lelaki soleh dibahagikan kepada dua iaitu skala kecil dan skala besar.

1. Skala kecil

Ukuran kecil di sini ialah minimum iaitu melaksanakan keperluan minimum perintah-perintah dan kewajipan syarat seorang muslim. Dari Jabir, katanya Rasulullah saw didatangi oleh Nukman bin Qauqal, katanya, ”Harap penjelasan tuan, apabila saya mengerjakan sembahyang yang wajib, dan menghalalkan yang halal serta mengharamkan yang haram, maka apakah mungkin saya masuk syurga? Jawab Rasulullah, “Ya.” (Riwayat Muslim).

Melaksanakan Rukun Iman dan Rukun Islam sudah cukup bagi melayakkan seorang muslim untuk mendapatkan syurga Allah swt. Terlalu mudah bagi mereka yang amalannya sedang-sedang dan tidak mahu bersusah-payah. Darjat lelaki soleh pada skala inipun sudah dikira baik kerana jaminannya pun syurga.

Di samping lengkap pengetahuan dan amalan mengenai tauhid, melengkapkan diri dengan ilmu fiqah menjadikan lelaki soleh skala kecil terpelihara daripada melaksanakan hal-hal yang boleh merosakkan amalan sehariannya. Kitab Kifayatul Akhyar (Kelengkapan Orang Soleh) oleh Imam Taqiyuddin Abu Bakar (1993) menghuraikan dengan panjang lebar mengenai bersuci, solat, zakat, puasa, haji dan jual beli supaya lelaki soleh tidak terlepas pandang dalam setiap amalan mereka. Ilmu fiqah menyinarkan kembali wajah mereka dengan sinaran air wudhuk dan memperelokkan akhlak melalui ketertiban tingkah laku.

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya.” (Surah Al Baqarah ayat 208)

2. Skala besar

Kunci utama lelaki soleh skala besar ialah taqwa. Darjat taqwa adalah nilaian utama Allah swt kepada umat Islam. Taqwa menukar taraf yang rendah ke peringkat paling mulia sehingga dimuliakan oleh Allah swt.

“Semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa.”
(Surah Al Hujerat ayat 13)

Taqwa adalah lambang jiwa yang suci, murni dan bersih. Ini adalah kerana taqwa dibangunkan dengan pembersihan jiwa dan penyucian hati (Ashaari Muhammad, 1990). Taqwa sangat berkaitan dengan aqidah.

”Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat).” (Surah Al-An'aam, Ayat 122)

Aqidah adalah ruh bagi setiap orang, umpama cahaya yang menerangi kegelapan dan kesesatan. Aqidah juga adalah sumber dari rasa kasih sayang yang terpuji, tempat tertanamnya perasaan yang indah dan luhur, juga sebagai tempat tumbuhnya akhlak yang mulia dan utama (Sayid Sabiq,1978).

Golongan skala besar seperti juga pada namanya, mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar. Mereka ini menjadi pemimpin dalam masyarakat, penunjuk jalan, meletakkan keutamaan untuk menyebarkan risalah tauhid ke seluruh dunia dan berusaha mendapat keredhaan Allah swt. Sesuai dengan peranan mereka, ujian dan cabaran juga hebat. Besarnya cabaran ini bersesuaian dengan kekuatan yang mereka miliki.

Contoh cabaran terbesar lelaki soleh ialah peristiwa Nabi Ibrahim a.s dibakar di dalam api oleh Namrud. Ketabahan, keyakinan dan kesabaran membantu baginda a.s untuk cekal berhadapan dengan watak yang sangat zalim dan tanpa ada rasa perikemanusiaan. Kejayaan terbesar dalam merencana gerakan Islam kesan dari kesolehan iman dan akhlak ialah melatanya dakwah Islam dan kekal ke hari ini walaupun ada masa jatuh dan bangunnya.

”Tidak Kami utus engkau Muhammad melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam.” (Surah Al Anbiya’ ayat 107)

Sifat yang menjadi asas kepada pembentukan lelaki soleh skala besar ialah empat sifat yang ada pada Rasulullah saw iaitu siddiq, amanah, tabligh dan fatanah. Mereka yang hebat dapat menguasai kesemua empat sifat ini. Bagi yang baru hendak menjadi dan sedang merancang menjadi hebat, belajar untuk memahirkan diri dengan sifat siddiq, amanah, tabligh dan fatanah akan membantu hajat mereka.

Kehadiran lelaki soleh adalah untuk membaiki, membawa rahmat dan kejayaan kepada umat. Kerosakan akhlak dalam masyarakat, pemimpin yang angkuh dan sombong serta ketidakadilan sosial dan ekonomi akan lenyap bersama kemunculan lelaki-lelaki soleh yang menjadi pendokong kepada kebangkitan umat.

Pembinaan watak lelaki soleh sangat bertaut dengan tema ”Islam sebagai satu cara hidup.” Allah swt menciptakan sistem hidup yang lengkap dengan peraturan dan amalan melalui RasulNya supaya umat dapat merasai kesejahteraan hidup bermasyarakat dan bernegara.

Islam adalah satu sistem atau satu cara hidup yang dibentuk berasaskan ilmu, berbanding sistem lain di mana cara hidup manusia berasaskan kejahilan dan kekurangan oleh kerana ianya sistem yang dihasilkan oleh manusia (Syarifuddin Muhammad et.al). Islam adalah agama yang datang dari Allah swt manakala agama-agama lain yang bikinan manusia berdasarkan persepsi sendiri dan ada yang telah diubah suai selaras dengan kepentingan masing-masing.

”Sesungguhnya agama yang diterima di sisi Allah hanyalah Islam.”
(Surah Ali Imran ayat 19)

Lelaki soleh boleh muncul dalam pelbagai keadaan. Ada yang kehadiran mereka disedari dan ada yang tidak. Yang disedari adalah lebih baik kerana dapat membuat perubahan pada diri, keluarga dan masyarakat. Yang lebih baik lagi ialah mereka mencetuskan perubahan peradaban seperti falsafah, perubatan, matematik, farmasi dan kimia, astronomi, bahasa, sejarah, sosiologi dan budaya. Sumbangan kesolehan dalam falsafah umpamanya seperti Abu Ishak Al Khindi. Beliau menghasilkan 231 judul buku dan diangkat sebagai ahli falsafah Arab yang terkenal. Ibnu Sina adalah tokoh yang alim dalam perubatan dan bukunya masih lagi menjadi rujukan dalam bidang perubatan. Ibnu Khaldun yang terkenal dengan buku ”Muqaddimah” adalah seorang tokoh dalam bidang sosiologi.

Ramai lagi yang terlibat dalam pelbagai bidang dan mereka sangat alim dalam bidang yang diterokai. Tokoh-tokoh ini, kalau dilihat gambar atau potret mereka, ada yang memakai jubah, berserban dan berjanggut panjang. Keadaan ini tidak sedikitpun menghalang mereka untuk maju dalam bidang masing-masing malah menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Justeru, tidak ada gelaran yang tepat bagi lelaki soleh kerana banyak panggilan yang digunakan seperti ”orang-orang yang beriman,” ”orang-orang yang berakal" dan ”haunan”. Tanda atau bukti orang-orang yang baik memang diberikan oleh Allah swt kepada hamba-hambanya yang terpilih ini. Tanda ini dapat dilihat dari keperibadiannya, ia dapat dilihat sewaktu mereka berjalan di muka bumi dengan sifat yang diistilahkan oleh al quran sebagai ”haunan” (Nik Abd. Aziz,1996). Haunan di sini ditafsirkan sebagai tenang.

Gambaran lelaki soleh ialah seorang yang dinamik, aktif dan menyumbang kepada pembangunan umat manusia. Pada masa yang sama, kehidupannya terikat dengan tauhid dan panduan hidup sebagai hamba Allah. Peribadi dan akhlaknya terpuji sebagai refleksi perhambaan yang maksimum kepada Tuhannya.

Lelaki soleh jika boleh dicari, adalah seperti ”siangnya adalah singa, malamnya adalah ’abid.” Siangnya dia akan bekerja bersungguh-sungguh supaya setiap masa yang dilalui akan membawa manfaat. Berusaha supaya hidup akan berubah, membawa kebaikan kepada masyarakat umum dan tidak mensia-siakan anugerah sihat yang diberikan. Manakala malamnya seperti ’abid bererti mengambil sebahagian dari masa tidur untuk ”bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka” iaitu melaksanakan qiamullail (Nik Abd. Aziz,1996).

Menjadi lelaki soleh bukannya dengan berangan-angan tetapi memerlukan usaha untuk memperbaiki dan mentarbiyah akhlak dengan keutamaan-keutamaan dan kesempurnaan sejak awal (Hasan Al Banna,1998).

Pembentukan lelaki soleh, seterusnya keluarga soleh adalah menyahut nasihat dan peringatan Allah swt supaya umat terhindar dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.

”Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan olehNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah At Tahrim ayat 6)


Rujukan

Abu Muhamad Jibril Abdurrahman.1999. Karakteristik Lelaki Soleh. Yogyakarta: Wihdah Press.

Abul A’la Maududi.1970. Dasar-Dasar Islam. Bandung: Penerbit Pustaka. Karya terjemahan.

Ashaari Muhammad.1990. Renungan Untuk Mengubah Sikap. Kuala Lumpur: Penerangan Al Arqam.

Hasan Al Banna.1998. Risalah Pergerakan Ikhwanul Muslimin. Solo: Era Intermedia. Karya terjemahan.
Mahmud Yunus.1973. Tafsir Quran Karim. Djakarta: P.T. Hidakarya Agung.

Nik Abdul Aziz Nik Mat.1996. Pemisah Antara Iman dan Kufur. Kuala Lumpur: Al Hidayah Publishers.

Sayid Sabiq.1978. Aqidah Islam. Bandung: Diponegoro. Karya terjemahan.

Syarifuddin Muhammad et.al. (Tahun tidak dinyatakan). Manhaj Islam Hadhari : Konsep dan Metodologi. Kuala Lumpur: Pusat Kajian dan Pembangunan Manhaj Islam Hadhari.

Taqiyuddin Abu Bakar bin Muhammad Al Husaini.1993. Kifayatul Akhyar (Kelengkapan Orang Soleh). Bahagian pertama. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd. Karya terjemahan.

Yusuf Al Qhardawi.2000. Berita-Berita Gembira Tentang Kemenangan Islam. Kuala Lumpur: Al Hidayah Publishers. Karya terjemahan.

Wednesday, April 01, 2015

Baiki kualiti hidup









Bilangan masyarakat semakin bertambah setiap hari malah yang belajar tinggi-tinggi pun ramai. Tidak cukup dengan universiti, ditambah dengan institusi pendidikan swasta. 

Peluang bekerja juga semakin mencabar. Ada satu cara untuk melepasi persaingan ini iaitu memiliki sifat kreatif. Kenapa kreatif sangat penting? 

Saya membaca satu petikan yang sangat bermakna iaitu, “kreativiti mampu membaiki kualiti hidup seseorang”. 

Apa maksud kata-kata ini? Pemikiran kreatif memberi nilai tambah dalam semua perkara. 

Bukankah lebih baik sekiranya kita mempunyai idea yang banyak, yang membolehkan kita melihat apa yang orang lain lihat dan memikirkan apa yang belum difikirkan oleh orang lain. 

Seterusnya kita bertindak dan membuat sesuatu yang berbeza daripada orang lain. Tidak kira bagaimana caranya, kreativiti membantu kita melihat dunia dengan cara yang berbeza.