Monday, April 14, 2014

Guided reading








Penulis: Irene C. Fountas dan Gay Su Pinnell
Tahun: 1996
Penerbit: Heinemann, Portsmouth, NH, USA.
Muka Surat: 405

Sebilangan perubahan yang sangat ketara dalam pendidikan di Amerika Syarikat ialah perubahan ke arah arahan dalam kelas. Tidak dapat dinafikan kanak-kanak masih membawa pengalaman proses pembelajaran berdasarkan pengalaman dan kompetensi mereka.

Bagaimana dan bila masanya pengajar boleh memberi sokongan yang terbaik supaya kaedah pembacaan dan pengajaran memenuhi kehendak komuniti?

Kepada Fountas dan Pinnell, jawapan kepada soalan ini terletak pada pembacaan terbimbing yang memberi ruang kepada kanak-kanak untuk berkembang sebagai pembaca dalam kumpulan kecil. Buku ini menyediakan sumber dalam pembacaan terbimbing secara sistematik.

Kaedah yang digunakan ialah membaca dengan kuat, berkongsi cerita, penulisan interaktif dan pendekatan-pendekatan lain.

  

Friday, April 11, 2014

Wasatiyyah dan indeks Maqasid Syariah

 
 
 
 

 

Saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perasmian Seminar Antarabangsa Wasatiyyah baru-baru ini mengenai penubuhan Indeks Maqasid Syariah Antarabangsa adalah menarik untuk diteliti.

Ia adalah suatu saranan yang baik supaya negara-negara Islam dapat mengukur setakat mana lima prinsip dalam Maqasid Syariah telah dilaksana dan dirancang untuk dilaksana dalam negara masing-masing.

Maqasid Syariah berasaskan lima prinsip iaitu menjaga agama (Deen), nyawa (kehidupan), akal (ilmu dan pendidikan), maruah (jati diri Islami) dan harta benda (kekayaan sumber).

Allah mengurniakan sumber rahmah dan nikmat yang banyak di negara-negara Islam. Buminya yang subur dan hasil perut buminya yang banyak, suatu tamadun yang pernah lahir dan bertahan selama 700 tahun sebagai sumber refleksi, jumlah manusia melepasi 1.6 bilion yang memerlukan pemugaran kembali supaya kekuatan tamadun Islam memberi inspirasi bersama dengan kekuatan sumber hasil bumi dan sumber daya manusia yang banyak.

Umat Islam kini sudah hilang prioriti atau keutamaan. Peperangan, perseteruan, perpecahan, kebencian dan dendam kesumat menjadi pilihan mereka menyebabkan kelemahan yang sangat ketara berlaku.

Umat Islam memerlukan pendekatan bijaksana bagaimana strategi dan maslahah dapat disantuni supaya terelak menjadi mangsa pihak ketiga dengan mengambil pendekatan sederhana dan berimbang supaya yang dikejar dapat dan yang diken­dung tidak berciciran.

Wasatiyyah seperti yang terungkap dalam Surah Al Baqarah : 143 adalah manifestasi pendekatan bijaksana dan adil supaya umat Islam menjadi saksi kepada contoh kemajuan dan perubahan bagi umat manusia seperti yang berlaku pada masa terdahulu.

Maqasid Syariah menuntut supaya agama terpelihara. Memelihara agama bukan sekadar menampilkan syiar yang sifatnya rohaniah semata tetapi Deenul Islam harus mampu dijana sebagai sumber tamadun.

Nyawa atau kehidupan umat Islam ha­rus berada dalam tahap karamah insan supaya diri mereka terpelihara, tidak menjadi mang­sa kepada eksploitasi pihak ketiga, ju­taan terpinggir sebagai pelarian dan tahap kesihatan yang rendah bagi sesetengah negara.

Ia memerlukan strategi membangun akal fikir supaya sistem ilmu dan pendidikan yang sifatnya integratif dan holistik terjadi untuk menghasilkan modal insan yang mampu mencetuskan perubahan dan kemajuan.

Maruah atau jati diri Islami warga umat perlu dipertahan dan dikembang suburkan supaya keupayaan dan kejayaan umat Islam menjadi contoh terbaik kebangkitan "Order Baru Dunia" yang menjadikan ilmu yang bermanfaat dan teknologi yang terpedoman sebagai landasan memugar kekayaan yang dimiliki.

Malaysia boleh menjadi contoh kepada dunia Islam bagaimana pendekatan wasa­tiy­yah yang diteroka sekian lama mengha­silkan kemajuan dan perubahan yang boleh menjadi contoh kepada negara Islam yang lain. Kita tidak memilih jalan revolusi dan anarki dalam realiti masyarakat majmuk yang menuntut ketinggian kebijaksanaan.

Dalam bidang pendidikan integrasi dan Islamisasi ilmu terjadi, Pelan Pembangunan Pendidikan mengambil kira asas-asas negara yang fundamental dan menyediakan generasi penerus menghadapi cabaran globalisasi, Universiti Al-Quran bakal dibina dan menghasilkan graduan yang mempunyai daya kompetensi tinggi untuk hadir dalam sistem.

Dalam bidang ekonomi dan kewangan perbankan dan takaful Islam, sukuk dan waqaf berkembang sehingga Bank Rakyat yang patuh syariah menjadi tarikan pe­minjam dan pelabur Bukan Islam. Undang-undang keluarga Islam diperkemas, sistem mahkamah syariah dipertingkatkan, industri halal dimajukan dan dasar-dasar negara menyantuni kelompok miskin dan kebajikan golongan yang tidak bernasib menjadi agenda negara.

Pada hemat penulis, Malaysia harus mewujudkan Indeks Maqasid Syariahnya terlebih dahulu supaya suatu jawatankuasa di peringkat antarabangsa dibangunkan dan menjadikan model Malaysia sebagai model rujukan.

Umat Islam harus meletakkan wahdah atau kesatuan sesama umat sebagai ke­utamaan, bijaksana dalam mengurus krisis, cabaran dan kemenangan. Pendekatan berimbang (wasat) dan sederhana ternyata memberi kesan positif kepada perubahan dan kemajuan kerana ia adalah suatu proses dan tidak harus berlaku sikap gopoh dan melampau yang merugikan.

(Utusan Malaysia, 11 April 2014)



Thursday, April 10, 2014

Impak industri pelancongan terhadap Negeri Melaka



 
1.0 Pengenalan 

Melaka secara amnya terkenal sebagai destinasi pelancongan kerana nilai sejarahnya, kecantikan fatamorgana serta keunikan budaya dan kepelbagaian makanan serta tempat-tempat bersejarah untuk dilawati. Slogan “Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia” secara ringkas sudah dapat memberi gambaran apa yang dapat disajikan kepada pelancong oleh penduduk berbilang kaum di negeri ini. Kelebihan ini meletakkan Negeri Melaka sebagai salah sebuah destinasi pelancong yang terbilang di Aia Tenggara. 

Pada 7 Julai 2008, Melaka telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai sebuah Bandaraya Warisan Dunia dan dikenali sebagai "Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO". Pengiktirafan ini disokong dengan 12 subsektor pelancongan Negeri Melaka yang terkenal iaitu pelancongan sejarah, pelancongan budaya, pelancongan rekreasi, pelancongan sukan, pelancongan membeli-belah, pelancongan konvensyen, pelancongan kesihatan, pelancongan pendidikan, pelancongan agro, pelancongan makan-makan, pelancongan Melaka Rumah Keduaku dan pelancongan belia. Kepelbagaian subsektor pelancongan di Melaka dapat menarik minat para pelancong untuk datang ke sini. 

Antara tempat-tempat yang menarik minat pelancong untuk datang ke Melaka ialah Kota A-Farmosa, Muzium Melaka, galeri seni rakyat, Bukit St. John, perigi Hang Tuah, Kota Belanda dan sebagainya. Terdapat banyak kesan industri pelancongan terhadap Negeri Melaka terhadap ekonomi dan sosial yang boleh dibahagikan kepada kesan positif mahupun negatif. Dari segi kesan positif, Melaka akan mengalami peningkatan ekonomi, perubahan positif budaya serta peningkatan infrastruktur manakala dari segi kesan negatif masalah sosial dan sifat mundur budaya mungkin akan berlaku sekiranya terdapat migrasi pelancong asing ke negeri ini. 

1.1 Objektif Kajian

Tujuan utama kajian ini dijalankan ialah untuk mengkaji impak industri pelancongan terhadap Negeri Melaka dari segi ekonomi dan sosial tidak kira dari sudut positif mahupun negatif. Secara terperincinya, kajian ini dijalankan untuk mengetahui perubahan ekonomi, pembangunan dan sosial masyarakat setempat setelah kedatangan pelancong asing dan juga mengkaji kemajuan yang dicapai oleh Melaka.                                                                                                                                   


2.0 Sorotan Kajian

Pelancongan merupakan industri yang terbesar di dunia. Pelancongan mempunyai maksud mengikut perspektif dan pandangan pihak-pihak yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dengan industri pelancongan termasuklah pelancong itu sendiri, organisasi, penginapan dan pengangkutan, organisasi pendidikan, pihak kerajaan dan sebagainya. Definisi pelancongan ialah “suatu kajian manusia yang bertentangan dengan habitat semula jadi mereka serta penglibatan industri yang bertindak balas pada keperluan mereka dan juga kesan ke atas diri mereka dan industri itu daripada sudut sosiobudaya, ekonomi, dan persekitaran”.

Pelancongan mampan merujuk kepada aplikasi asas daripada idea pembangunan mampan untuk sektor pelancongan, di mana pembangunan pelancongan yang memenuhi keperluan pada masa kini tanpa mengabaikan keperluan generasi pada masa depan. Menurut Budowski (1976), ini merupakan senario simbiosis yang mana pelancongan digunakan dengan cekap di samping memelihara sumber-sumber yang ada supaya dapat dikekalkan untuk jangka masa panjang. Pembangunan pelancongan pula merupakan perubahan ekonomi dan sosial yang berlaku sama ada dalam industri atau destinasi pelancongan (Nurhazani, 2004).

Konsep pembangunan pelancongan pernah diketengahkan oleh Noronha (1979) dengan mengenal pasti tiga tahap pembangunan. Tahap pertama melibatkan perjumpaan sesuatu kawasan oleh pelancong dan tuan rumah destinasi itu. Apabila wujudnya kedatangan pelancong, maka tuan rumah dengan sendirinya mewujudkan kemudahan seperti tempat tinggal, pengangkutan dan sebagainya untuk kegunaan pelancong. Seterusnya membawa kepada tahap ketiga di mana akan berlakunya institusi yang formal. Institusi formal ini merujuk kepada kewujudan organisasi pelancongan seperti hotel, resort, restoran, syarikat penerbangan dan lain-lain. Pada tahap ini juga akan berlakunya perubahan dalam persekitaran dan sosiobudaya masyarakat tempatan.

Pada asasnya pelancongan mampan meminimumkan kesan negatif dan memaksimumkan kesan positif. Pelancongan mampan boleh menjadi satu bentuk pembangunan mampan dalam mencapai objektif pembangunan. Merujuk kepada Brundtland Commisian Report (1987), pembangunan pelancongan mampan dibuat untuk memastikan kualiti kehidupan untuk semua orang pada masa ini dan juga untuk generasi pada masa akan datang. Pembangunan mampan memberi kesan positif dari segi ekonomi, sosial dan alam sekitar di samping mengurangkan kesan negatif.

Kesan pelancongan perlu diberi perhatian kerana kesan itu menentukan penerimaan penduduk terhadap pembangunan pelancongan sesebuah destinasi. Malah kesan pelancongan perlu dititikberatkan dalam merancang dan membangunkan pelancongan kerana ia menentukan sama ada industri pelancongan sesebuah destinasi itu dapat terus berkembang ataupun sebaliknya. Dalam konteks pelancongan, impak merujuk kepada kesan ke atas sesuatu aspek akibat daripada pembangunan pelancongan. Dengan erti kata lain, dengan membangunkan pelancongan di sesebuah destinasi, maka sudah tentu memberi sedikit kesan ke atas beberapa aspek terutamanya ekonomi, persekitaran dan juga sosiobudaya. Kebiasaannya kesan positif dapat membangunkan lagi industri pelancongan dan kesan negatif sebaliknya menyebabkan berlakunya kemerosotan dalam industri pelancongan (Nurhazani, 2004).

Banyak kajian pernah dijalankan bagi mengenal pasti impak pelancongan. Malah terdapat juga kajian yang dijalankan bagi menentukan kaedah dalam mengukur setiap impak yang berlaku. Walau apa sekalipun, kesan pelancongan agak sukar diukur kerana ia melibatkan subjek dan objek yang sensitif seperti budaya masyarakat setempat, gelagat serta tingkah laku penduduk. Walaupun penulis-penulis seperti Cohen (1972), Robinson (1976) dan Pizam (1978) telah menekankan betapa perlunya perhatian yang lebih diberikan kepada aspek kelakuan pelancong dan penduduk dan kesan perhubungan di antara sesebuah masyarakat dengan pelancongnya, namun hanya dua rangka konsep yang digunakan secara meluas dalam penyelidikan tentang kesan pelancongan terhadap keadaan sosial. Kedua-dua rangka konsep tidak menafikan bahawa kesan pelancongan terhadap keadaan sosial berubah menurut masa sebagai reaksi terhadap keadaan sosial. Kedua-dua rangka konsep tidak menafikan bahawa kesan pelancongan terhadap keadaan sosial berubah menurut masa sebagai reaksi terhadap perubahan struktur dalam industri pelancongan, dan betapa jauh serta betapa lama penduduk tuan rumah terdedah kepada pembangunan pelancongan.

Menurut Butler (1975) rangka konsep yang dibuat oleh Bjorklund dan Philbrick (1972, 1975) bagi menganalisis proses perhubungan dua kumpulan budaya atau lebih, dapat digunakan bagi memahami hubungan sosial antara pelancong dengan tuan rumah. Sikap dan kelakuan kumpulan atau individu terhadap pelancongan masing-masing boleh jadi positif ataupun negatif dan aktif ataupun pasif.


3.0 Metodologi Kajian

Dalam mendapatkan maklumat mengenai tajuk ini, kaedah yang telah digunakan ialah temu bual, soal selidik, kaedah tinjauan dan kajian ilmiah. Berikut merupakan subsektor kaedah kajian ini.

Bagi mendapatkan kepastian tentang kesan industri pelancongan ke atas negeri Melaka, proses temu bual ke atas responden yang melibatkan orang awam ataupun peniaga komuniti setempat dilakukan bagi mengetahui pendapat mereka mengenai kesan industri pelancongan dari segi ekonomi, pembangunan fizikal dan perubahan sosial di Melaka. Dari segi ekonomi, mereka berpendapat bahawa kedatangan pelancong membuatkan ekonomi Negeri Melaka stabil selain dapat membantu meningkatkan perniagaan komuniti setempat dan seterusnya mengelakkan kes pengangguran di negeri ini.

Borang soal selidik sebanyak 30 salinan telah diedarkan bagi mengetahui pendapat responden mengenai impak ataupun kesan industri pelancongan terhadap Negeri Melaka. Sebanyak 15 soalan dikemukakan dalam borang selidik itu dan telah diedarkan kepada 30 orang responden mengikut jantina iaitu 15 orang perempuan dan 15 orang lelaki. Semua jawapan dan pandangan yang diperoleh dalam borang soal selidik tersebut dikumpulkan dan direkodkan dalam hasil kajian ini.


4.0 Hasil Kajian

Berdasarkan soal selidik yang diberikan, 25 responden bersetuju industri pelancongan memainkan peranan penting terhadap perbangunan di Negeri melaka. Tiga responden tidak bersetuju manakala dua responden tidak pasti industri pelancongan dapat membangunkan Melaka.

Dari segi pengaruh budaya masyarakat di Melaka, 11 responden bersetuju kedatangan pelancong banyak mempengaruhi budaya masyarakat negeri ini manakala sembilan responden tidak bersetuju dan sepuluh responden tidak pasti budaya masyarakat di Melaka dipengaruhi budaya yang dibawa oleh pelancong. Bagaimanapun semua responden bersetuju kesan-kesan peninggalan zaman dahulu adalah tarikan utama para pelancong datang ke Melaka.

Dari segi perkembangan ekonomi, majoriti responden bersetuju industri pelancongan banyak menyumbang pendapatan kepada komuniti setempat melalui pemeliharaan dan memulihara tempat dan bangunan-bangunan bersejarah. Di samping itu, inap desa dilihat mampu menjana pendapatan tambahan kepada penduduk Melaka di mana 21 responden bersetuju inap desa dapat meningkatkan industri pelancongan Negeri Melaka. 

Dalam aspek sosial, hampir separuh responden bersetuju kedatangan pelancong di Negeri Melaka meningkatkan masalah sosial dalam masyarakat setempat. Namun sebahagian besar daripada mereka kurang setuju jika dikatakan peningkatan jenayah yang berlaku di Melaka ada kaitannya dengan pelancongan.

Pelancongan juga menjadi katalis kepada pemupukan persefahaman masyarakat setempat dengan dua per tiga responden melihat situasi itu sebagai amat membina perpaduan kaum di Melaka. Justeru mereka bersetuju bahawa Melaka dikenali kerana industri pelancongan. 

Kajian juga mendapati 30 peratus responden bersetuju kenaikan harga barang memang berlaku apabila berurusan dengan pelancong.


5.0 Kesimpulan

Berdasarkan soal selidik ini, majoriti responden memberi tindak balas positif terhadap impak industri pelancongan dari segi ekonomi dan sosial. Berdasarkan hasil kajian diperolehi, kebanyakan responden menyokong bahawa industri pelancongan memainkan peranan penting dalam pembangunan Negeri Melaka. Justeru, semakin ramai pelancong, semakin banyak kemudahan awam dibina bagi memudahkan pergerakan para pelancong. 

Dari segi perkembangan budaya, kedatangan pelancong dari luar negara banyak mempengaruhi budaya dan sosial masyarakat setempat, memupuk persefahaman antara masyarakat dengan pelancong dan dapat mencontohi budaya yang dibawa oleh pelancong asing seperti menjaga kebersihan dan hormat-menghormati. Tidak syak lagi industri pelancongan telah banyak menyumbang pendapatan ekonomi kepada komuniti setempat dan perolehan pendapatan kepada kerajaan Melaka itu sendiri.


Rujukan

Ahmad Salim. (1991). Pelancongan Di Melaka. Selangor: Fajar Bakti.

Bonny Wee dan Mohammad Al-wi. (2009). Malacca: A World Heritage Site. Melaka: Purple Productions & PR consultants Sdn. Bhd.

Melaka. (2006). Pencapaian Gemilang Melaka. Kerajaan Negeri Melaka.

Wee Hock Chye dan Bonny Wee. (1998). You’ll love Malacca More. Melaka: Purple Productions & PR consultants Sdn. Bhd.

Internet

http://www.melaka.gov.my/index.php/bm/pelancongan.html
http://bicarapakkebun.blogspot.com/2008/08/pelancongan-versus-warisan-budaya-di.html
htttp://mazlan66.wordpress.com/2008/03/06/kesan-pelancongan-terhadap-budaya- tempatan/"


MZ Zainudin, Mohd Lokman Ramli, Muhammad Azwadi Abdullah, Khairul Afzam Zolkeply, Che Wan Muhammad Ridhuan Che Wan Razaley, Amir Nashrul Abd Jalil

 

Wednesday, April 09, 2014

Pasangan cerai sukarkan masa depan anak






Keputusan mahkamah sivil membenarkan dua orang anak pasangan yang berpisah kerana perbezaan agama diserahkan kepada ibu yang beragama Hindu sekali lagi menjadi tumpuan. Kes ini berlarutan agak lama melibatkan kedua-dua jenis mahkamah sivil dan syariah.

Media melaporkan kekecewaan suami yang beragama Islam dan melihat wujud penganiayaan kerana tidak dibela walaupun dirinya adalah Islam. Tindakannya yang terkini ialah dituduh melarikan anak lelaki dari rumah bekas isteri. Masalah pasangan ini dijangkakan akan berlarutan kerana proses perundangan masih lagi terbuka kepada pasangan ini untuk diselesaikan.

Kes ini agak baru dalam perundangan negara kita dan sangat unik. Ia menjadi unik kerana pasangan India beragama Hindu terpaksa berpisah kerana salah seorangnya menjadi memeluk agama Islam dan mahu melihat anak-anaknya turut menjadi seorang Islam. Persengketaan ini menjadi lebih rumit apabila mahkamah sivil dan syariah membuat keputusan yang berbeza. 

Peranan hakim di mahkamah sivil adalah menentukan hak penjagaan anak pasangan berkenaan harus diserahkan kepada siapa, lalu melihat perkahwinan yang dilaksanakan secara tradisi agama Hindu sebagai pemutus kepada keputusannya untuk memberi hak penjagaan kepada isteri. Hakim tidak melihat kepada perubahan-perubahan yang berlaku selepas itu dan tidak mengaitkannya dengan fungsi seorang muslim untuk menjaga hak umat Islam. Keadaan ini sudah tentu berbeza dengan mahmah syariah yang mempunyai sandaran yang lebih kuat terhadap kepentingan hak umat Islam.

Dalam sesuatu pengadilan, masyarakat ingin melihat keadilan ditegakkan dan orang yang bersengketa berpuas hati. Hakim wajar dipilih berdasarkan kearifan mereka dalam kes berkenaan supaya setiap ahli masyarakat berpuas hati dengan keputusan di mahkamah.
Kes ini bakal menjadi rujukan bagi kes-kes yang akan datang. Jika keadaan ini berterusan, imej Islam sudah pasti dipandang rendah dan tidak ada penghomatan, sedangkan rasa bangga dan dihormati adalah sebahagian daripada sebab-musabab Islam dapat berkembang kerana Islam menjaga hak dan maruah penganutnya.


 

Tuesday, April 08, 2014

Usahawan gagal masih berpotensi








"Saya tidak mampu. Jika mahu makan nasi, saya perlu membeli lauk-pauk untuk dimasak. Ini semua melibatkan kos. Saya perlu mencatu makanan setiap hari. Saya kini tidak ada lagi pendapatan. Hanya mi goreng yang saya mampu beli untuk dimakan bersama keluarga".

Luahan di atas bukannya dialog filem tetapi adalah kisah benar seorang usahawan wanita yang kehilangan kontrak membuat nombor plat timbul aluminium kenderaan. Akibatnya beliau terpaksa menanggung hutang lebih RM30 juta.

Bisnes ini memang lumayan tetapi bergantung kepada kontrak tanpa mempunyai bisnes sokongan menyebabkan usahawan menderita. Jika dahulu beliau boleh berbangga kerana mampu naik kenderaan besar, kini hanya dapat naik teksi. Jika dahulu beliau dapat memberi gaji kepada orang lain, kini hanya makan mi goreng untuk meneruskan hidup.

Usahawan, bisnes dan kontrak adalah rangkaian penting dalam mencipta keajaiban hidup. Rezeki lebih banyak dalam bisnes dan seseorang usahawan perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencatat keuntungan sama ada bergantung atau tidak bergantung kepada kontrak. Masalah muncul apabila risiko bisnes besar kerana kemampuan bertahan berbeza dalam diri setiap usahawan.

Dalam kes ini, usahawan wanita dilihat tidak berupaya lagi meneruskan bisnes sedia ada. Kemungkinan besar beliau tidak memiliki bisnes sampingan yang dapat menyokong kehidupannya ketika ditamatkan kontrak. Akibat terlalu bergantung pada kontrak menyebabkannya berasa selesa tanpa membuat persediaan lain seperti melabur di luar negara atau mewujudkan bisnes hiliran yang menyokong bisnes teras.

Satu-satunya kelebihan yang ada dalam dirinya ialah ketabahan dan kesungguhan untuk bangkit kembali selepas kegagalan hidup yang dahsyat itu. Tidak ramai usahawan wanita yang begitu berani membuat pelaburan besar dan berhadapan dengan risiko seperti itu. Disebabkan kita tidak dapat mengetahui lebih lanjut latar belakang usahawan wanita ini, kita tidak dapat membuat andaian tentang corak bisnes dan prospek masa depan.

Kita boleh membantu sekadar yang cukup supaya beliau terus berusaha mencari penyelesaian, lebih kreatif dan tidak menjadikan kegagalan ini sebagai penutup kepada usahanya. Kita juga menyeru ada pihak yang dapat memberi bantuan kepadanya untuk memulakan bisnes baru supaya beliau dapat bangkit daripada kegagalan.
 

Monday, April 07, 2014

How successful people think

 
 
 
Penulis: John C. Maxwell
Tahun: 2012 (Edisi Bahasa Melayu)
Penerbit: PTS Professional Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor.
Muka Surat: 98

Buku hebat How successful people think adalah bahan bacaan paling padat dan sesuai bagi dunia masa kini yang bergerak pantas. Pakar kepimpinan Amerika, John C. Maxwell mengajar kita cara menjadi lebih kreatif serta masa yang sesuai untuk kita mempersoalkan pemikiran dan pendapat popular.

Kita juga diajar cara melihat dari sudut pandang yang lebih luas sambil memfokuskan pemikiran bagi mencapai kejayaan. Buku ini membongkar cara menggunakan potensi pemikiran kreatif, membangunkan idea yang hebat dan belajar daripada pengalaman. Semua ini bagi memahami masa depan dengan lebih baik dan seterusnya menjadi insan yang berjaya.

Berpandukan 11 rahsia pemikiran yang lebih efektif, kita dapat melihat dengan lebih jelas akan kejayaan dalam hidup.

Di akhir buku ini, penulis memetik mutiara kata yang mahu mengingatkan iaitu:


                                   Segala-galanya bermula dengan satu buah fikiran.

               Apa yang kita fikirkan menentukan siapa diri kita. Siapa diri kita menentukan
                                          apa yang kita lakukan setiap hari.

              Pemikiran kita menentukan nasib kita. Nasib kita pula menentukan legasi kita.

 

Sunday, April 06, 2014

Telefon pintar punca jenayah








Siapa yang patut dipersalahkan apabila seorang remaja lelaki menikam leher ibunya sehingga mati kerana hendakkan sebuah telefon pintar? Pengakuan remaja terbabit yang ibu memarahinya setiap hari menjadi punca tindakan tersebut. Akhirnya remaja anak sulung dari tiga beradik itu disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Dalam kes ini kita boleh lihat dari tiga perspektif iaitu peranan ibu bapa, pengaruh persekitaran dan gajet telefon pintar.

Aspek pertama iaitu peranan ibu bapa menjadi sangat kritikal pada hari ini. Tidak semua ibu bapa mempunyai perbelanjaan yang banyak untuk mengikut cakap anak-anak kerana harga barangan semakin meningkat setiap hari. Belanja keluarga perlu diutamakan kepada keperluan harian dan pendidikan anak-anak berbanding membeli sebuah telefon pintar. 

Kes remaja itu dilihat sangat relevan dengan keperluan memahami peranan ibu bapa masa kini kerana mangsa merupakan seorang guru kelas tambahan yang terpaksa berjimat-cermat berbelanja. Walau bagaimanapun kesungguhannya menghantar anak remajanya pergi bermain tenis menunjukkan dia mahu yang terbaik untuk anaknya. Kasih sayang ibu untuk melihat anak menjadi seorang remaja yang sihat tidak dipandang positif oleh remaja tersebut kerana dendam dan marah mengatasi fikiran emosinya.

Dalam konteks ibu bapa hari, masalah yang serupa turut dialami. Ada ibu bapa yang tidak cukup wang untuk belanja makan harian dan terpaksa melakukan kerja tambahan untuk menyara keluarga. Mereka perlu keluar awal pagi dan merayau-rayau di kawasan taman perumahan mencari barangan terpakai yang boleh dijual di pusat kitar semula ataupun meninjau persekitaran pasar borong untuk mencari sayur dan buah yang hampir busuk dan tamat tempoh untuk dibawa ke rumah sebagai hidangan makan malam. Hal ini berlaku kerana kasih sayang ibu dan bapa terhadap anak-anak.

Pengaruh persekitaran memainkan peranan utama untuk memberi persepsi kepada remaja terbabit. Dia mungkin terdesak untuk mendapatkan sebuah telefon pintar supaya dapat diterima oleh rakan-rakan di sekolah. Di sini, rakan-rakan bertindak sebagai kumpulan pendesak supaya remaja itu seboleh-bolehnya mendapatkan sebuah telefon pintar. Kemungkinan besar desakan berterusan ini menjadikan remaja itu agresif dan bertindak melampaui batas ke atas ibunya.

Perkembangan teknologi telefon pintar meninggalkan jauh telefon bimbit yang pernah menjadi ikon kepada status dan kerjaya seseorang. Sepuluh tahun lalu, memiliki sebuah telefon bimbit Nokia menjadi kegilaan namun scenario itu sudah berubah. jenama Nokia sudah menjadi asing dan digantikan dengan jenama Apple atau Samsung. Justeru memiliki sebuah telefon pintar jenama Apple atau Samsung menggambarkan imej yang canggih bagi seorang remaja. Mungkin dalam kes ini, ibunya tidak mahu membeli sebuah telefon pintar mungkin disebabkan harga yang mahal dan di luar kemampuan. Dalam keadaan tersebut, remaja itu tidak memahami kesulitan yang sedang dihadapi mangsa.

Remaja lelaki yang disabitkan dengan kesalahan membunuh ibunya mengingatkan kita kepada tindakan seorang remaja perempuan di China yang menjual sebiji buah pinggang semata-mata hendak memiliki sebuah iPad Apple. Dia memang dapat membeli sebuah iPad tetapi kehilangan buah pinggang dan mengundang ihsan ibu bapa dan masyarakat. Dia tidak memikirkan suatu hari nanti kesihatannya akan merosot kerana sebiji buah pinggang tidak mampu melakukan tapisan yang lebih banyak bagi tempoh 40 hingga 50 tahun kerana pelbagai jenis makanan hari ini penuh dengan bahan kimia. Biarpun dia tidak membunuh ibunya untuk membeli sebuah iPad tetapi dia telah mendapat nasihat yang salah dalam membuat keputusan.

Jenayah remaja berkaitan teknologi tidak boleh dipandang ringan lebih-lebih lagi kenyataan Menteri Dalam Negeri baru-baru ini yang menyatakan jenayah dalam kalangan pelajar sekolah semakin membimbangkan. Kita perlu bersama-sama memikul tanggungjawab memastikan kawasan sekolah adalah selamat, persekitaran rumah adalah selamat dan masyarakat kita juga selamat.
 

Thursday, April 03, 2014

Sumbangan sosioekonomi kedai telefon terhadap masyarakat: kajian kes di Budget.com








1.0 Pengenalan

Kedai telefon menjadi tumpuan dewasa ini kerana perkembangan telefon pintar telah melonjakkan permintaan terhadap pelbagai aplikasi dan aktiviti sokongan industri ini. Syarikat-syarikat telekomunikasi sama ada kecil ataupun besar sentiasa melakukan inovasi untuk menarik pelanggan baru dan pelanggan sedia ada untuk menggunakan kkhidmat mereka. Biasanya syarikat-syarikat ini menjadikan premis kecil-kecilan untuk menjual produk keluaran mereka khususnya di kawasan berpenempatan padat. Secara tidak langsung cara ini memberi sumbangan ke atas perkembangan ekonomi penduduk setempat melalui penawaran kerja dan peluang perniagaan.

1.1 Objektif kajian

Objektif kajian ialah mengenal pasti sumbangan sosioekonomi yang dibawa oleh syarikat Budget.com terhadap kawasan sekitar. Kajian ini juga mendedahkan kepada pelajar tentang penubuhan sebuah bisnes kedai telefon bimbit dan pengaruhnya terhadap kawasan setempat.


2.0 Latar Belakang Usahawan

Tulang belakang Budget.com ialah Raymond Yong yang baru berusia 24 tahun. Bercita-cita untuk menjadi seorang usahawan sejak berumur 13 tahun. Kelebihan yang ada pada Raymond ialah sifatnya yang peramah dan sentiasa mengutamakan pelanggan. Berkelulusan sarjana muda dalam “International Business” di MMU Melaka. Kemahiran utama ialah membaiki telefon bimbit.

Syarikat Budget.com ditubuhkan pada pertengahan tahun 2009 apabila bermula dengan sebuah kedai kecil di 657-C, Taman Bukit Melaka, Jalan Bukit Beruang, Melaka sehinggalah Raymond dapat menubuhkan sebuah ibu pejabat baru di Pangsapuri Bukit Beruang, Melaka Oktober 2009. Pada awal tahun 2010, Budget.com diberi anugerah sebagai wakil penjual dan servis bagi Zitron. Seterusnya, pada bulan yang sama syarikat itu dipilih sebagai wakil penjual dan servis Apple Inc di Melaka.

Slogan syarikat Budget.Com ini ialah “Your budget is our concern” yang bermaksud syarikat sangat prihatin tentang penjimatan pembelanjaan pelanggan dengan menawarkan harga yang berpatutan.

Perkhidmatan yang disediakan ialah menguruskan pelbagai jenis telefon bimbit, aksesori, menjual dan membeli, membaiki dan memberikan perkhidmatan berkaitan telefon bimbit. Anggaran bulanan pelanggan syarikat Budget.com ialah antara 150 hngga 170 orang yang majoriti berumur dari 16 tahun hingga 40 tahun. Biasanya pelanggan lelaki sekitar 70 orang manakala pelanggan wanita sekitar 85 orang.


3.0 Cabaran Budget.com

Cabaran yang dihadapi apabila cuti semester, keuntungan akan berkurangan kerana kebanyakan pelanggannya terdiri daripada pelajar-pelajar universiti yang berhampiran seperti UTeM dan MMU. Selain itu cabaran berkenaan persaingan daripada kedai telefon bimbit yang lain.


4.0 Sumbangan terhadap sosioekonomi

Kehadiran Budget.com di Bukit Beruang, Melaka dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Selain itu, dapat memberi perkhidmatan kepada masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan selepas jualan yang terbaik. Pekerja Budget.com yang ditawarkan bekerja dapat membantu ekonomi keluarga di samping dapat mempelajari selok-belok perniagaan telefon bimbit.

Antara perancangan masa hadapan Budget.com ialah menambahkan cawangan, mempelbagaikan konsep perniagaan yang dijalankan, mengukuhkan kewangan syarikat dan menjadi syarikat yang terkenal di Malaysia amnya dan Melaka khususnya.

5.0 Penutup

Syarikat Budget.com menjadi salah sebuah syarikat yang menjadi tumpuan penduduk mendapatkan pelbagai teknologi terkini. Syarikat ini juga banyak memberi faedah serta kemudahan kepada penduduk di mana majoriti penduduk kawasan tersebut adalah pelajar. Sebagai salah satu tempat tumpuan penduduk, syarikat ini dapat diperkasa supaya menjadi contoh kepada usahawan-usahawann muda yang lain.


MZ Zainudin, Muhammad Azwan Sulaiman, Muhammad Shahir Sidek, Ahmad Arif Sabirin, Mohd Azmie Sham Shamsuddin, Mohd Shahreeza Saher@Azhar, Khairil Jauhari Muhd Ali, Khairul Hakim Mohd Shahid

Wednesday, April 02, 2014

Abdel Fattah pemusnah demokrasi




 

Pergerakan Islam Mesir, Ikhwanul Muslimin memberi amaran bahawa kemenangan bekas ketua tentera, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi dalam pilihan raya Presiden Mei ini, akan menjerumuskan negara ini di bawah pemerintahan tentera, sekali gus memusnahkan demokrasi yang baru bertapak selama setahun sejak penggulingan bekas Presiden, Hosni Mubarak pada 2011. 

Dalam kenyataan yang disiarkan melalui laman web www.ikhwanweb.com, Ikhwanul Muslimin berkata, hasrat Abdel Fattah bertanding dalam pilihan raya tersebut secara jelas membuktikan bahawa penggulingan bekas Presiden, Mohammed Mursi pada 3 Julai lalu, merupakan satu rampasan kuasa oleh pihak tentera. 

Malah, tindakan bekas ketua tentera berusia 59 tahun itu menggunakan kesemua saluran media milik kerajaan untuk mengumumkan hasratnya bertanding sebagai Presiden pada 26 Mac lalu, menunjukkan beliau menggunakan harta kerajaan demi kepentingan diri. 

"Rakyat Mesir telah lama berjuang untuk mengecapi sistem pemerintahan demokrasi, sekali gus menamatkan pemerintahan tentera yang bersifat kuku besi selama 40 tahun. 

"Hasrat rakyat untuk merasai pemerintahan demokrasi hanya bertahan selama setahun sehingga Abdel Fattah menghancurkan impian mereka dengan menggulingkan Mursi dan kini mahu bertanding sebagai Presiden," jelas kenyataan itu. 

Dalam pada itu, pergerakan tersebut melabelkan Abdel Fattah sebagai seorang pembunuh yang bertanggungjawab ke atas kematian beribu-ribu orang awam yang tidak bersalah dan penipu kerana sering mengkhianati sumpah atau janji yang dilaungkan sebelum ini bahawa beliau atau institusi tentera tidak berniat memerintah Mesir. 

Jelasnya, Abdel Fattah juga disifatkan sebagai seorang pensabotaj keadilan Mesir dengan menjatuhkan hukuman mati ke atas 529 penyokong Ikhwanul Muslimin dengan hanya dua kali sesi perbicaraan dalam tempoh 20 minit. 

"Sifat diktator dalam diri Abdel Fattah terserlah apabila mendalangi penahanan dan penyeksaan lebih 23,000 tahanan Mesir, termasuk kanak-kanak dan wanita kerana mengadakan tunjuk perasaan secara aman. 

"Beliau juga merupakan seorang pengecut kerana menggunakan kekuatan tentera termasuk kereta kebal dan pesawat tempur untuk menggempur kampung dan pekan di negara ini, sedangkan beliau sendiri tidak pernah berperang menentang musuh Mesir," kata kenyataan tersebut.

(Utusan Malaysia, 2 April 2014)

 

Tuesday, April 01, 2014

Tinjauan pembangunan sosial di Malaysia







Semenjak Perang Dunia Kedua hingga pertengahan tahun 1970-an, corak umum pertumbuhan ekonomi negara-negara perindustrian adalah pesat dan berkembang sehingga ke pertengahan tahun 1990-an. Pada masa yang sama, negara-negara di Asia Tenggara mula menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang pantas. Ketika tempoh ini, kerajaan di negara-negara terbabit berupaya membangunkan pembangunan sosial yang membolehkan mereka melaksanakan langkah-langkah pengawalan dalam pelbagai aspek ekonomi. Bukan sahaja berupaya mempengaruhi pemboleh ubah ekonomi seperti kadar faedah, pengangguran, pelaburan atau struktur industri, malah berupaya menambah pendapatan yang dapat disalurkan ke arah pencapaian matlamat sosial yang dapat memberi impak kepada pembangunan komuniti (Roziah Omar dan John Doling, 2000).

Pembangunan berteraskan ekonomi menyaksikan kemunculan Negara Industri Baru (NIB) seperti Thailand, Indonesia dan Malaysia. Dalam menentukan tahap pencapaian pembangunan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memperkenal Matlamat Pembangunan Milenium (Millenium Development Goals) pada September 2002 untuk memperkukuh usaha ke arah keamanan, demokrasi, urus tadbir yang baik dan pembasmian kemiskinan secara global. Di samping itu, MDG juga memberi komitmen yang tegas kepada hak untuk kesaksamaan gender dan memperkasa wanita, pembasmian kemiskinan dan pembangunan manusia yang mapan (Unit Perancang Ekonomi, 2011).

Pencapaian Malaysia dalam MDG ini diukur dengan beberapa indikator khususnya Human Development Index (HDI) yang dikeluarkan oleh United Nations Development Programme (UNDP). Laporan Pembangunan Manusia 2013 (Human Development Report 2013) menunjukkan indeks pembangunan Malaysia berada pada kedudukan ke-64. Midgley dan Livermore (2009) melihat HDI boleh digunakan sebagai alat ukur langsung untuk mengetahui situasi masyarakat dan berupaya membuat jangkaan terhadap hasil sesuatu atau sebahagian daripada dasar sosial. Berdasarkan laporan ini, Malaysia telah memperlihat taraf hidup yang lebih baik khususnya dalam aspek jangka hayat, celik huruf, pendidikan, asas hidup dan kehidupan yang lebih berkualiti (Human Development Report, UNDP, 2013).

Perubahann sosial ini berlaku kerana kerajaan Malaysia menyediakan pelbagai bentuk perkhidmatan kemanusiaan yang merangkumi ekonomi, sosial dan keselamatan di mana di bawah setiap bidang ini terdapat pelbagai jenis program yang lebih khusus. Antaranya ialah perkhidmatan sosial yang merangkumi perkhidmatan luar (keluarga dan kanak-kanak), perkhidmatan atau bantuan orang papa, perkhidmatan kanak-kanak bersalah, perkhidmatan perlindungan wanita dan gadis, perkhidmatan untuk orang kurang upaya, perkhidmatan untuk mangsa keganasan rumah tangga dan perkhidmatan institusi (kebajikan dan perlindungan kanak-kanak, perkhidmatan kebajikan dan perlindungan warga tua serta perkhidmatan kebajikan dan perlindungan orang papa). Kesungguhan kerajaan Malaysia menyediakan program pembangunan sosial dilihat melalui peruntukan pembangunan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) iaitu sebanyak RM230 bilion disediakan meliputi keseluruhan sektor dengan sosial menerima RM69 bilion atau 30 peratus daripada keseluruhan peruntukan. Agenda utama RMK-10 ialah menyediakan modal insan untuk menjayakan Model Baru Ekonomi melalui peningkatan kualiti pendidikan, penyediaan latihan dan strategi menambah kemahiran. Di samping itu, RMK-10 juga mahu membentuk keadilan sosial khususnya di antara bandar dan luar bandar.

Kejayaan Malaysia 44 tahun yang lalu dalam melaksanakan pembangunan sosial kepada kesejahteraan masyarakat ialah melalui inisiatif pembasmian kemiskinan. Pada tahun 1970, sebanyak 49.3 peratus daripada penduduk Malaysia hidup di bawah garis kemiskinan yang meliputi 64.8 peratus masyarakat Bumiputera, 39.2 peratus masyarakat India dan 26.0 peratus masyarakat Cina. Selain itu wujud jurang sosioekonomi yang ketara khususnya dalam kalangan masyarakat Bumiputera. Dasar-dasar ekonomi dan sosial yang digubal oleh kerajaan Malaysia telah mengubah struktur ekonomi dan sosial masyarakat. Kemiskinan secara keseluruhan telah berkurangan dengan ketara kepada 3.8 peratus pada tahun 2009 manakala taraf hidup telah dapat ditingkatkan. Justeru katakseimbangan ekonomi antara etnik telah berkurangan dengan ketara (Malaysia, 2011).

Seterusya Malaysia telah menikmati pertumbuhan ekonomi dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebenar berkembang sebanyak 5.8 peratus setahun semenjak 1991 hingga 2010. Kadar pertumbuhan ini telah membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia dan menyokong kemajuan yang lebih menyeluruh dalam bidang pendidikan, kesihatan, infrastruktur, perumahan dan kemudahan awam (RMK-10). Namun, pertumbuhan ekonomi bukan satu-satunya faktor yang menentukan kualiti hidup masyarakat malah perkara yang lebih penting ialah memenuhi kesejahteraan hidup mereka.

Kepesatan pembangunan ekonomi ini telah menambah baik agihan pendapatan, menurunkan kadar kemiskinan dan merapatkan jurang ekonomi. Perubahan ini sebahagiannya telah disumbangkan oleh pelaksanaan program pembangunan sosial yang mengubah keadaan hidup masyarakat ke arah yang lebih baik atau sejahtera. Perubahan ini dilakukan oleh dasar-dasar sosial yang mengambil kira tiga perkara yang penting iaitu memahami masalah sosial, menyediakan sistem penyampaian yang berkesan dan memberikan peluang sosial untuk individu dan masyarakat memaju dan meningkatkan kualiti hidup mereka.

Masalah sosial turut berkait rapat dengan keperluan-keperluan sosial. Namun, sebab-musabab masalah sosial dan penyelesaian tidak semestinya terbatas kepada struktur dan institusi nasional. Penyelesaian terhadap masalah sosial ini menimbulkan tuntutan-tuntutan yang memerlukan respons dalam bentuk perkhidmatan manusia bagi mengekal, menjamin dan memelihara kesejahteraan hidup individu dan masyarakat.