Wednesday, July 11, 2012

Jaga keselamatan pemimpin negara





Utamakan keselamatan
(Sumber: Google images)


Sesekali berlaku gempar di Putrajaya, seluruh negara berada dalam tekanan.

Tindakan seorang lelaki dan seorang wanita di Kompleks Jabatan Perdana Menteri menarik perhatian kita untuk mengenal pasti dengan tepat apakah motif sebenar kedua-duanya berada di situ. Ulasan-ulasan berkaitan keadaan mental dan personaliti mereka berdua dibincangkan dengan pelbagai andaian seperti sakit mental, pengaruh ajaran sesat dan kumpulan songsang.

Namun, huraian di sini melihat daripada perspektif berbeza iaitu kenapa mereka memilih untuk berjumpa perdana menteri?

Satu pandangan yang menarik ialah mungkin sikap terbuka perdana menteri terhadap rakyat telah mendorong kedua-duanya ingin berjumpa dengan beliau bagi menyatakan hasrat dan keinginan mereka. Bagaimanapun pandangan ini tidak semestinya betul namun populariti perdana menteri mungkin menjadi sebahagian penyebab kepada persepsi sesetengah orang bahawa boleh berjumpa beliau pada bila-bila masa. Hakikatnya tidak semudah itu. Ramai yang tidak kenal kedua-duanya, apatah lagi motif sebenar yang mendorong tindakan ini.

Pandangan lain ialah tentang keghairahan untuk mencetuskan tindakan dan aksi tertentu untuk menarik perhatian. Pada mereka, individu yang boleh membuat keputusan terhadap harapan dan impian adalah perdana menteri sendiri. Keadaan ini boleh berlaku secara sedar dan terancang. Mengugut mangsa dengan ancaman kecederaan adalah tanda yang sangat bahawa pelaku memiliki azam dan tekad yang membuak-buak.

Apa yang kita patut lakukan selepas ini?

Pertama, keselamatan perdana menteri sebagai ketua kerajaan yang sah mesti diberi keutamaan. Semakin hampir dengan pilihan raya, dijangkakan beliau akan lebih kerap bertemu dengan masyarakat dan risiko terhadap ancaman keselamatan tetap ada. Pihak polis dan agensi keselamatan wajar melaksanakan prosedur standard untuk menghadapi suasana seperti ini. Kepungan keselamatan bukan sekadar ancaman fizikal secara badan ke badan malah melibatkan balingan objek yang boleh mendatangkan kecederaan fizikal.

Kedua, sifat syak wasangka dan tidak boleh dipercayai pada sesiapa sahaja perlu ada dalam kalangan pengawal peribadi yang ditugaskan untuk melindungi keselamatan perdana menteri. Dua sifat ini sangat penting kerana setiap orang yang cuba hampir dengan beliau berpotensi mencetuskan risiko. Peristiwa seorang perdana menteri India mengingatkan kita betapa seorang gadis yang membawa jambangan bunga dan meletupkan diri langsung tidak boleh dipercayai.

Ketiga, perdana menteri sendiri perlu mengambil tindakan mengehadkan hubungan bersemuka yang terlalu banyak dengan khalayak semasa bersalam-salaman tanpa diawasi pengawal peribadi. Orang yang hendak melakukan jenayah biasanya membuat perancangan melarikan diri supaya tidak ada jejak. Dalam pemikiran perdana menteri perlu ada ingatan ini supaya beliau dapat bertindak pantas apabila terdapat sesuatu yang luar biasa berhampirannya.

Pergerakan bebas perdana menteri dan menteri-menteri lain termasuk pemimpin-pemimpin politik adalah simbol keamanan negara. Rakyat akan berasa cemas jika pemimpin negara berhadapan risiko keselamatan yang sangat besar. Justeru kita menggesa pihak polis mengambil langkah-langkah kawalan yang lebih ketat supaya peristiwa di kompleks berkenaan tidak berulang pada hadapan.


 

Monday, July 09, 2012

Boleh guna Facebook waktu kerja pejabat






Teknologi maklumat mengaktifkan minda untuk berfikir


Penjawat awam Britain diarahkan melayari web rangkaian sosial Facebook ketika waktu pejabat untuk mengetahui keperluan rakyat.

Ketua perkhidmatan awam baru, Sir Bob Kerslake, menulis kepada ketua agensi kerajaan di Whitehall, supaya pekerja dapat berhubung dengan orang ramai dalam laman web rangkaian sosial itu. “Jutaan orang menggunakan media sosial dan cenderung berbual dengan pegawai kerajaan mengenai perkhidmatan awam yang diperlukan dan cara ini memudahkan mereka.

“Ia boleh berjaya jika ia membabitkan dua pihak yang benar-benar jujur. Ini bermakna, kakitangan awam patut terbabit dalam proses memperluas akses kepada media sosial,” kata jurucakap Kabinet.

Wakil pembangkang yang juga Pengerusi Konservatif bagi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Bernard Jenkin, menganggap cara itu memberi kebaikan tetapi menuntut supaya sistem terbabit tidak disalahgunakan.

“Tiada alasan laman Facebook tak perlu diwujudkan bagi setiap perundingan. Ini adalah cara baik mendapatkan pandangan luar Whitehall.”

Kerslake memberi jabatan berkenaan sehingga September ini, untuk menyesuaikan sistem keselamatan antivirus komputer bagi membenarkan capaian ke Facebook.

Beliau menyokong pembabitan orang awam menerusi rangkaian sosial dan percaya ia membantu kerajaan berinteraksi dengan penduduk.

Beliau mahu pegawai Whitehall meletakkan lebih banyak maklumat ketika rundingan menerusi internet.

Memo Kerslake menjurus kepada ribuan kakitangan generasi muda yang mempunyai capaian kepada Facebook sehingga tiga bulan pada satu masa.

Mereka yang terbabit dalam rundingan awam, dibenarkan menggunakan laman web rangkaian sosial termasuk Twitter. - Agensi

(Sumber: Berita Harian, 9 Julai 2012)




Sunday, July 08, 2012

Kesan menunda-nunda kerja






Menunda-nunda pekerjaan lebih banyak menimbulkan kesan negatif kepada diri sendiri dan negatif kepada organisasi.

Kita ambil contoh, menunda bayaran kad kredit. Rata-rata hari ini ramai yang menggunakan kad kredit semasa membeli-belah. Masa hendak bayar, senang-senang dihulurkan kad untuk di "swipe" tetapi sangat liat hendak bayar.

Semakin lama menunda, semakin banyak pula faedah yang dikenakan. Itu baru urusan kita dengan orang lain, bagaimana pula urusan kita dengan Allah swt? Adakah kita sering menunda solat, menunda doa atau sedekah?

Satu perkara yang sering kali kita tunda ialah ketepatan masa.

Di negara-negara maju, masa sangat penting dan menepati masa merupakan satu kebanggaan. Ia jarang berlaku dalam masyarakat kita kerana budaya menepati masa masih belum mantap. Jika kita berjanji datang pukul 2 petang, sering kali berlaku ialah terbabas hingga pukul 2.30 petang.

Amalan seperti ini boleh diubah jika ada kesungguhan dan kemahuan yang tinggi.


Saturday, July 07, 2012

Kuasa imaginasi

 
 
 


Sebelum sebuah bangunan dibina, reka bentuk bangunan itu sudah ada di di fikiran arkitek.

Dia akan membayangkan desain, ciri-ciri dan saiz bangunan itu beberapa hari. Lalu bayangan bangunan dipindahkan ke atas kertas, dibuat model dan dibincangkan. Barulah kita nampak bangunan yang difikirkan oleh arkitek tadi selepas proses transformasi yang panjang.

Model bayangan bangunan telah menjadi kenyataan kerana ada tindakan, ia tidak dibiarkan begitu sahaja.

Andai kata arkitek hanya menyimpan imej bangunan dalam fikirannya, tentulah kita tidak tahu bangunan masa yang paling tinggi, paling cantik dan sebagainya.

Namun pernahkah kita mendengar kenyataan ini, "sesuatu kejadian terjadi dua kali, pertama dalam fikiran, kedua, terjadi secara realistik"?

Kenyataan pertama amat mudah tetapi yang kedua amat sukar kerana kebanyakan daripada kita selalu menunda-nunda kerja.


Friday, July 06, 2012

Memperkasa institusi raja pada era moden




Institusi raja semakin kurang
(Sumber: Google images)


Dalam sejarah moden dunia, institusi raja tidak lagi menunjukkan perkembangan dalam kemunculan raja baru sebaliknya berhadapan dengan kemerosotan pengaruh dan bilangan.
Negara Nepal merupakan antara negara yang kehilangan institusi raja akibat sengketa keluarga dan kehidupan golongan raja sendiri yang meminggirkan keadaan rakyat. Sebahagian besar keluarga raja Nepal telah dibunuh oleh Putera Mahkota Dipendra dalam sebuah majlis menggunakan senapang M16. Ayahnya, Raja Birendra dibunuh lebih awal sebelum ibunya, Aishwarya dan adik-adiknya yang lain dibunuh. Di akhir kejadian ini, putera mahkota tersebut telah membunuh diri. Peristiwa ini berlaku pada 2001.


Akhir sebuah takhta
(Sumber: Google images)

Institusi raja Nepal seterusnya digantikan oleh adik Raja Birendra iaitu Raja Gyanendra sehinggalah baginda turun takhta dan Nepal menjadi sebuah republik sehingga kini. Semasa diumumkan Nepal menjadi sebuah republi pada tahu 2008, rakyat negara itu bersorak dan berpesta sepanjang malam meraikan kelahiran sistem baru. 

Dalam dunia, masih terdapat beberapa buah negara yang mempunyai kuasa penuh ke atas perjalanan negara dan pengurusan rakyat masing-masing terutama di Timur Tengah. Kuasa raja sangat besar dan sukar dikurangkan. Namun ada sesetengahnya yang sudah mula melakukan pembaharuan yang melibatkan penyertaan bersama masyarakat awam dalam menguruskan negara seperti yang berlaku di Bahrain.

Raja-raja di Eropah telah lama dihadkan kuasa masing-masing melalui pelbagai sistem seperti raja berpelembagaan yang diamakan di Britain. Kaedah yang sama turut diguna pakai di Malaysia, Jepun dan Thailand di mana kuasa raja hanya untuk urusan tertentu sahaja seperti ketenteraan dan keselamatan negara.

Terdapat 35 buah negara yang masih mengamalkan sistem monarki dalam pemerintahan negara, namun tidak semua negara ini mengamalkan monarki mutlak kerana perubahan-perubahan yang berlaku dari semasa ke semasa.

Antara perubahan yang berlaku ialah golongan terpelajar yang semakin ramai menyebabkan rakyat menuntut pembaharuan khususnya dari segi akses kepada politik dan pengurusan ekonomi negara. Di negara yang mempunyai banyak sumber ekonomi, monopoli perniagaan kerap berada di bawah keluarga raja dan rakyat berkongsi kekayaan melalui pelbagai subsidi, cukai yang rendah dan kemudahan-kemudahan awam secara percuma.

Penonjolan keluarga raja juga dilakukan secara tersusun apabila berita-berita utama yang melibatkan mereka diberi keutamaan dalam laporan muka hadapan. Kaedah ini sebagai strategi mengukuhkan sistem monarki.

Kajian-kajian yang berkaitan dengan monarki di seluruh dunia menunjukkan sistem ini tidak lagi menjadi pilihan kerana pengaruh globalisasi dan kebangkitan rakyat yang mahukan penglibatan yang menyeluruh bagi meningkatkan kecekapan pengurusan negara.

Dapat dilihat dalam mencaturkan kesedaran di peringkat global khususnya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, banyak indeks mengenai pencapaian negara diperkenalkan. Antaranya ialah indeks berkaitan pembangunan kemanusiaan, ekonomi, pendidikan, kebebasan media, kebebasan bersuara dan indeks prestasi dalam daya saing. Biasanya negara yang mengamakan sistem monarki mutlak akan jauh ketinggalan dalam tahap pencapaian negara masing-masing. Ranking seperti ini tentu mengundang perdebatan dalam kalangan rakyat dan menuntut dibuat pembaharuan segera supaya ranking berkenaan dapat diperbaiki. 

Bagi negara yang mempunyai raja berpelembagaan, akses rakyat memang besar dalam menentukan kejayaan negara dan tidak ada masalah dalam menentukan hala tuju negara. Justeru, akses ini memberi ruang kepada rakyat untuk mengkritik kehidupan peribadi keluarga raja kerana keterbukaan telah menjadi sebahagian daripada budaya hidup rakyat yang berpengetahuan dan maju.

Di Barat, sumbangan institusi raja diperdebatkan, cara hidup mereka didedahkan dan setiap aktiviti yang melibatkan golongan itu diteliti. Contohnya ialah pendapatan dan harta kekayaan, kedua-dua perkara ini sentiasa menjadi perhatian kerana ia melibatkan cukai rakyat. Apabila dikritik, institusi raja memberi respon yang berfakta dan dapat diterima umum.

Ada sesetengah negara, institusi raja tidak boleh ditegur dan pengkritik akan dikenakan pelbagai bentuk tindakan. Pihak berkuasa akan mengetatkan kawalan apabila terdapat kebangkitan rakyat seperti yang berlaku dalam "Arab spring" baru-baru ini.

Mayarakat moden hari ini tidak lagi menganggap raja atau institusi raja sebagai kepimpinan masa depan kerana terdapat banyak sistem pemerintahan yang menjadi pilihan. Namun begitu, mempunyai institusi raja adalah satu kebanggaan kerana keupayaan rakyat sesebuah negara menguruskan institusi tersebut sehingga dapat dilihat dan dialami keadaannya.

Ia berlaku kerana institusi raja memahami tanggungjawab asal untuk memelihara rakyat dan mengutamakan rakyat. Institusi raja yang mengutamakan keperibadian dan berbangga dengan harta dan kekayaan menyebabkan rakyat mula mengeluarkan pandangan dan nasihat secara terus-terang mahupun berlapik. Institusi raja yang memahami pandangan ini akan membuat pengubahsuaian dan menerima teguran dan nasihat untuk kebaikan institusi itu sendiri.


Thursday, July 05, 2012

Masa hadapan terletak pada diri kita







Masa depan kita ditentukan oleh usaha-usaha kita sendiri.

Corak hidup yang kita inginkan bergantung kepada pilihan kita. Kalau hendak merasai suasana hidup yang yang lebih baik, persekitaran rumah yang damai, pendapatan yang besar, tempat kerja yang menyenangkan, kita mesti membuat pilihan pada hari ini.

Orang yang memiliki gaji besar, rumah besar atau kereta besar, ramai yang bermula dengan impian atau cita-cita yang besar. Impian yang berada dalam fikiran mereka ditransformasi dalam bentuk usaha  yang berterusan.

Mereka percaya dan sangat yakin bahawa kelemahan diri boleh diatasi dengan berusaha.

Seorang pelajar yang malas berusaha, malas bangun pagi, malas hadir ke sekolah dan berbagai-bagai macam malas lagi, kita boleh jangkakan apakah kesudahan hidupnya.

Jika tidak ada pekerjaan, dia tentu akan memberi beban kepada keluarga. Orang lain pun tidak akan mendapat manfaat daripada sikapnya.

Masa hadapan kita, terletak pada diri kita.


Wednesday, July 04, 2012

Gaji SPM, tapi belajar di universiti





Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) membuat keputusan membolehkan pemegang ijazah sarjana muda memohon pekerjaan bagi jawatan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tindakan ini dibantah oleh CUEPECS kerana pembaziran masa, tenaga dan wang ringgit pelajar dan kerajaan sendiri. Pada masa yang sama melambakkan lepasan SPM yang semakin dipinggirkan dalam sektor kerajaan.

Bagi pensyarah, isu ini sangat relevan dibincangkan di dalam kelas supaya pelajar dapat berfikir secara kritikal keputusan kerajaan dan apa yang mereka patut lakukan dari sekarang.

Beban graduan yang telah menamatkan pengajian di universiti adalah lebih berat berbanding lepasan SPM. Mereka perlu bekerja dengan pendapatan yang lebih besar untuk membayar pinjaman pengajian, sewa rumah dan keperluan lain termasuk persediaan perkahwinan. Gaji kakitangan awam di peringkat SPM jauh lebih rendah dibandingkan dengan gaji seorang lepasan universiti dan ia dilihat dapat menjejaskan semangat dan keinginan pelajar untuk meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi.

Terlalu banyak perkara yang boleh didebatkan dalam isu ini supaya lepasan pelajar universiti mendapat hak mereka.

Ketika kerajaan memberi banyak insentif kepada mahasiswa ketika ini, keputusan SPA ibarat "mematikan anak benih" kerana kerajaan khususnya perdana menteri telah mencuba sedaya upaya memastikan mahasiswa mendapat hak mereka terutama dalam peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik.

Mungkin berlaku pengaliran keluar guna tenaga ke negara-negara yang menawarkan pendapatan lebih tinggi. Jika ini berlaku, hasrat untuk melihat rakyat negara kita berpendapatan tinggi tentu tidak tercapai dan mungkin menghampiri paras kemiskinan kerana kos hidup yang semakin bertambah.


Tuesday, July 03, 2012

Merangkak ke masjid





Kesungguhan lelaki tua merangkak untuk bersolat

Susuk lelaki tua OKU merangkak ke masjid berdekatan setiap hari adalah sesuatu yang biasa dilihat oleh penduduk di sebuah perkambungan di Arab Saudi.



Susah-payah di dunia, senang-lenang di akhirat


Sesetengah mereka yang saban hari menyaksikan kesungguhan, ketaatan dan keazaman lelaki itu merangkak ke masjid untuk setiap waktu solat mungkin telah meninggal dunia kerana usia lelaki itu kini mencecah 76 tahun.

Sejak kecil, Abdullah Al Asiri dilaporkan tidak pernah terlepas menunaikan solat secara berjemaah. Beliau bertegas untuk menunaikan solat lima waktu di masjid walaupun mengalami kecacatan di bahagian kaki.

Asiri dilahirkan cacat dalam sebuah keluarga yang terdiri daripada 10 orang ahli - ibu bapanya, tiga saudara lelaki dan empat saudara perempuan. Setelah kehilangan orang tua, kebajikan Asiri dijaga oleh abang, kakak, sepupu dan anak saudaranya.

Asiri berulang-alik dari rumah ke masjid di kampung selatan Alaziza sebanyak lima kali sehari selama hampir 65 tahun tanpa mengira terik padang pasir ketika cuaca panas atau kedinginan udara pada waktu malam dan pagi.


(Sumber: http://abusyahirah.blogspot.com)


Monday, July 02, 2012

Hentikan marah dengan maaf






Sifat marah mendapat perhatian Rasulullah saw dalam mendidik para sahabatnya.

Suatu hari seorang lelaki datang berjumpa baginda saw dan berkata: Perintahkan aku suatu pekerjan dan mohon disedikitkan. Lalu nabi saw bersabda: Jangan engkau marah. Lelaki itu mengulangi lagi permintaannya dan dijawab Rasulullah saw dengan jawapan yang sama.

Marah adalah sifat hati yang boleh merosakkan seluruh kehidupan. Orang yang sedang marah tidak mampu berfikir secara rasional. Marah juga mengundang pelbagai masalah dengan keluarga, anak-anak, kawan-kawan, bos atau orang ramai.

Hati yang marah penuh dengan bisikan syaitan yang mendorong kepada kebencian, dengki dan ingin membalas dendam. Andainya kita mudah marah, kawan-kawan menjauhkan diri, seluruh hidup adalah suram. Kemarahan yang tidak dihentikan dengan kemaafan akan dibawa ke anak cucu.


Sunday, July 01, 2012

Cemburu punca dibunuh



Pembunuhan yang menakutkan
(Sumber: Harian Metro)


Kematian seorang kerani bank yang dibunuh secara kejam amat menakutkan.


Pembunuh dan perancang pembunuhan ini berasa puas selepas mereka membakar mayat wanita itu di hadapan rumahnya dan jiran-jiran lain. Tidak ada kata-kata yang boleh dikeluarkan untuk menggambarkan kekejaman ini melainkan sedih dan kecewa dengan perlakuan sebahagian daripada masyarakat.

Kecewa kerana tidak dapat memiliki gadis idaman adalah lumrah hidup kerana jodoh telah pun ditentukan. Tentu ada hikmah kenapa tuhan tidak menemukan seseorang. Ramai orang yang telah melalui pengalaman hidup seperti ini dan di hujung kehidupan barulah mereka tahu bahawa apa yang dijodohkan itulah yang terbaik.

Pembunuhan di Ampang ini mengingatkan kita kepada kematian yang menyayat hati jutawan kosmetik di Banting yang berlaku pada bulan puasa. Mahkamah telah pun menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada pembunuh wanita berkenaan.

Namun kekejaman dan kezaliman pembunuh membuka mata kita bahawa mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan harta dan kekayaan, mengenepikan sekali hukum-hakam agama dan nilai-nilai kehidupan. Ketika ini pembunuh yang menghuni sel penjara sebagai Banduan Akhir pasti menyesal seumur hidup.

Media melaporkan kematian wanita yang baru dua minggu bertunang disebabkan pukulan dan dibakar hingga hangus. Sebelum kejadian ini, wanita itu pernah mengadu dirinya diganggu oleh lelaki yang telah ditolak pinangannya kerana dia sendiri tidak berkenan.

Kes ini adalah kes cemburu dan balas dendam. Amat mudah bagi polis untuk mengesan perancang dan pelaku pembunuhan ini kerana mereka boleh dikenal pasti berdasarkan motif pembunuhan. Esok lusa kita tentu dapat berita suspek telah ditahan.