Sunday, June 17, 2012

Tiga peringkat bahagia





Bahagia dan cemerlang

Dalam hidup kita, antara dua pilihan yang sering kali dicari ialah kecemerlangan dan kebahagiaan. Apakah maksud cemerlang dan apakah pula maksud bahagia?

Pada kita, mana satu yang lebih utama? Cemerlang atau bahagia?

Untuk memilih, mari kita lihat orang-orang yang telah berjaya dan cemerlang dalam kerjaya mereka. Kita lihat orang-orang yang ternama dan memberi impak kepada perubahan hidup orang lain.

Kita ambil Bil Gates, Warren Buffer dan tokoh-tokoh lain, mereka ini kaya-raya dan sangat cemerlang dalam bisnes. Adakah mereka bahagia? Mungkin bahagia dan mungkin tidak.

Kita boleh meneliti keadaan hidup mereka berdasarkan tiga peringkat bahagia iaitu pertama, hidup yang menyenangkan (pleasant life), kedua, hidup yang baik (good life) dan ketiga, hidup yang bererti (meaningful life). Jadi, di mana kita boleh letakkan tahap bahagia mereka ini?


Saturday, June 16, 2012

Bantu orang untuk bahagia




Beri makan kepada haiwan boleh timbulkan
rasa bahagia

Sebuah kajian dilakukan oleh seorang pensyarah University of Pennsylvania tentang dua pilihan aktiviti yang dapat memberi rasa bahagia.

Kelompok pertama diminta melakukan aktiviti yang mudah tetapi dapat mencetuskan bahagia dalam tempoh yang singkat. Aktivitinya ialah menonton filem-filem sambil makan ais krim.

Kelompok kedua diminta melakukan tugasan yang lebih lasak dan mengambil masa untuk rasa bahagia.

Selepas itu mereka disatukan dalam kumpulan besar sebagai sukarelawan membantu memasak dan menyediakan makanan. Semasa aktiviti ini berlangsung, pasukan penyelidik memerhati emosi dan tingkah laku mereka. Seterusnya kedua-dua kelompok ini disatukan dan diminta membuat rumusan masing-masing.

Soalan yang wajib dijawab ialah: mana satukah yang lebih memberi rasa bahagia?

Sebahagian besar peserta menyatakan aktiviti sosial seperti membantu orang lain lebih banyak memberi rasa bahagia.

Ramai orang yang mencari bahagia bermula dengan memenuhi keperluan diri, kemudian mencari apa yang diinginkan seterusnya memberi sumbangan kepada orang lain.


Friday, June 15, 2012

Usia muda menakluk dunia





Orang muda kuat dengan cita-cita dan impian


Gunung Everest adalah gunung yang paling tinggi di dunia.

Dengan ketinggian 8,848 meter, ramai pendaki yang telah berusaha untuk menakluk puncak dunia ini. Sepanjang usaha pendakian, ada yang mati kesejukan dan mayat mereka disemadikan di bawah timbunan ais.

Dapat mendaki sampai ke puncak gunung adalah impian dan cita-cita setiap penakluk gunung.

Salah seorang daripadanya ialah Ken Noguchi, seorang pemuda Jepun yang berjaya menjejakkan kaki ke Himalaya ketika berusia 25 tahun.

Orang muda sangat bertenaga, memiliki semangat kental dan fikiran yang tajam untuk menempuh semua rintangan, halangan dan cabaran. Mereka patut menggunakan semua ini untuk merancang dan berusaha meraih kejayaan ketika usia masih muda.


Thursday, June 14, 2012

Implikasi sosial peningkatan umur bersara







Hasrat kerajaan untuk menaikkan umur persaraan pekerja sektor swasta kepada 60 tahun dilihat memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara. Langkah ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang semakin panjang jangka hayat untuk hidup dengan lebih bahagia ketika umur memasuki takat 60-an hingga 70-an.

Trend memanjangkan umur persaraan telah menjadi polisi di Eropah kerana perkhidmatan kesihatan yang lebih baik telah memberi peluang kepada ramai penduduk di benua itu untuk bekerja. Secara tidak langsung mengurangkan beban ahli keluarga yang lain. Namun, memanjangkan umur persaraan seharusnya tidak dilihat pada aspek pertumbuhan ekonomi semata-mata kerana banyak perkara lain yang perlu diambil kira.

Pertama, struktur dan reka bentuk bangunan perlu disesuaikan dengan keadaan fizikal, emosi dan spiritual pekerja. Usia 50 tahun ialah usia yang perlukan perhatian lebih istimewa khususnya kesihatan pekerja supaya mereka dapat memberikan produktiviti yang setara dengan pekerja yang masih muda. Ruang pejabat perlu mengambil kira keperluan pekerja seperti kemudahan lif, ruang meletak kenderaan, keadaan pintu yang mesra pengguna dan peralatan pejabat yang selamat. Susunan ruang pejabat juga perlu mesra pekerja.

Kedua, kefahaman terhadap kaedah komunikasi. Bentuk hubungan pekerja menentukan kejayaan dalam organisasi. Jika orang muda sentiasa menggunakan media sosial dan gajet moden untuk mempercepatkan komunikasi, pekerja warga emas mungkin tidak berminat dengan kaedah ini. Mereka lebih cenderung menggunakan telefon atau kaedah lain yang lebih konvensional seperti emel untuk menyampaikan maklumat. Begitu juga dengan teknik berkomunikasi secara lisan, pekerja muda wajar mengambil tahu bagaimana teknik yang paling berkesan kerana warga emas ini mudah tersinggung atau kecil hati apabila tersalah bahasa atau ayat. Kursus-kursus komunikasi yang bersesuaian boleh dirangka supaya dapat menyelesaikan halangan-halangan ketika komunikasi berlaku.

Ketiga, keperluan makan dan minum. Organisasi mungkin perlu berbelanja lebih kerana kesihatan pekerja mereka sentiasa dipantau. Ada sebilangan mereka yang mengidap penyakit zaman moden seperti kencing manis, masalah jantung atau menghadapi tekanan darah tinggi akibat stres bekerja. Sebarang pengambilan makanan yang memudaratkan kesihatan akan memberi kesan kepada produktiviti dan semangat bekerja mereka. Justeru, organisasi perlu mendapatkan maklumat tentang tahap kesihatan pekerja melalui pemantauan berterusan.

Keempat, kesan sosial ke atas masyarakat. Pertambahan pekerja warga emas memberi implikasi besar ke atas bisnes, aktiviti masyarakat dan pengurusan pengangkutan negara. Sebarang perubahan bentuk bangunan, penyusunan jalan raya dan kemudahan awam mesti mengambil kira keperluan golongan ini supaya mereka turut mendapat peluang untuk merasai aktiviti-aktiviti ekonomi dan sosial setempat. Contohnya, kawasan riadah yang hendak dibina wajar melihat pekerja warga emas sebagai sebahagian daripada pengguna kerana mereka juga mempunyai hak untuk mencergaskan diri di kawasan berkenaan.

Menaikkan had umur pekerja kepada 60 tahun menunjukkan jangka hayat masyarakat Malaysia semakin panjang. Pada masa yang sama, golongan muda terpaksa bersaing untuk mendapatkan peluang pekerjaan. Golongan ini perlu diberi kerja supaya mereka boleh menyumbang kepada kegiatan ekonomi dan mengelakkan pengangguran. Kerajaan sendiri perlu berusaha lebih giat untuk membuka pasaran kerja supaya Malaysia kekal bersaing.



Wednesday, June 13, 2012

Mekanisme biaya pengajian tinggi





Persaingan akademik semakin sengit setiap tahun  

Menyediakan keperluan pendidikan merupakan tanggungjawab kerajaan biarpun ada sebilangan kelompok masyarakat tidak sefahaman dengan ideologi politik. Setiap warganegara berhak mendapat pendidikan ini walaupun tidak bersetuju dengan dasar dan pelaksanaan program kerajaan.

Konsep ini telah menjadi sebahagian daripada cara hidup masyarakat di negara-negara maju yang memiliki tahap kematangan berfikir yang lebih baik. Mereka tidak mengaitkan pendidikan sebagai tawar-menawar politik kerana melihat pendidikan sebagai keperluan untuk memajukan negara. Namun mereka amat cuak apabila terdapat amalan atau simbol agama dibawa ke dalam kawasan sekolah atau tempat kerja. Dua senario ini mengundang perbahasan yang kritikal terhadap peranan kerajaan dalam pendidikan negara. 

Di negara maju, setiap warganegara mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke universiti secara percuma kerana kos pendidikan ditanggung sepenuhnya oleh pembayar cukai yang tahu ke mana wang mereka dibelanjakan. Apabila yuran pengajian dinaikkan, mereka tentu akan marah kerana terpaksa membayar cukai yang lebih banyak. Kos pengajian yang tinggi turut menjejaskan tumpuan pelajar kerana mereka juga perlu membayar sewa rumah dan keperluan belajar yang lain.

Di Malaysia, pendidikan diberi subsidi oleh kerajaan bagi menggalakkan lebih ramai orang belajar hingga ke peringkat tertinggi.  Kerajaan sentiasa mencari alternatif untuk mencari ruang memberi galakan kepada masyarakat untuk terus belajar walaupun usia sudah meningkat. Pembukaan kolej komuniti telah membantu masyarakat setempat menambah ilmu dan menjadikan hidup mereka lebih teratur.

Pendidikan sangat akrab dengan kehidupan sosial masyarakat. Sejak merdeka, pendidikan diletakkan sebagai keutamaan dalam belanjawan tahunan dan pelaksanaan rancangan kemajuan negara. Sekolah berasarama penuh dan maktab sains dibina bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dalam pelbagai bidang dan dihantar ke luar negara untuk mengisi keperluan guna tenaga negara.

Mereka yang dihantar ke luar negara diberi biasiswa supaya dapat belajar dengan selesa, begitu juga sebilangan pelajar yang belajar dalam negara. Bentuk biasiswa bergantung kepada keputusan peperiksaan dan bidang pengajian yang dipilih.

Bagi pelajar yang kurang cemerlang atau mendapat pencapaian sederhana, mereka perlu mencari sumber pembiayaan supaya dapat meneruskan cita-cita ke universiti. Kerajaan tidak bersedia untuk membiayai semua pelajar secara percuma kerana ia melibatkan kos yang sangat tinggi. Jika kita ingin melihat pendidikan kita diberi secara percuma dari sekolah rendah hingga ke universiti, kerajaan perlu menaikkan cukai dua atau tiga kali ganda.

Cukai yang tinggi hanya membebankan orang ramai. Justeru mekanisme terbaik ialah menyediakan pinjaman yang berpatutan supaya setiap orang mendapat peluang belajar di institusi pengajian yang mereka pilih.


Tuesday, June 12, 2012

Transformasi Yemen perlukan strategi mantap





Jemputan kerajaan Yemen kepada Tun Dr Mahathir sebagai penasihat negara itu sangat membanggakan. Keupayaan Dr Mahathir membangunkan Malaysia dari sebuah negara berorientasi  pertanian kepada negara industri telah menarik minat kerajaan Yemen untuk melakukan transformasi yang sama. Walau bagaimanapun Malaysia dan Yemen adalah dua buah negara yang mempunyai latar belakang, penduduk dan sektor ekonomi yang jauh berbeza.

Keadaan Yemen ketika ini diselubungi peperangan yang belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir. Pasukan pemberontak semakin kukuh kedudukan mereka dan dapat membiayai latihan dan mendapatkan senjata baru bagi menentang kerajaan sedia ada. Situasi yang wujud ketika ini tentu menjadi cabaran besar kepada Dr Mahathir untuk melakukan transformasi sebenar dan menyeluruh.

Yemen masih bergantung kepada sektor pertanian untuk membangunkan ekonomi. Sebilangan rakyatnya masih buta huruf atau mendapat pendidikan peringkat asas sahaja. Kadar penganggurann juga tinggi diakibatkan daripada kegiatan ekonomi yang tidak produktif. Tenaga kerja yang melibatkan kaum wanita jauh sangat kurang berbanding Malaysia.

Jadi, bagaimana Dr Mahathir boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi Yemen yang lebih baik?

Pertama, prinsip pembangunan meletakkan komuniti sebagai kumpulan sasar. Peranan ketua puak di Yemen sangat penting untuk mengajak komuniti mereka bersama-sama menyertai inisiatif pembangunan yang dikenal pasti. Bagi mengajak mereka bersama, mesti ada jaminan keselamatan yang kuat untuk komuniti mendapat faedah. Kaedah ini telah digunakan di Malaysia selepas kemerdekaan dulu untuk membentuk sebuah komuniti berasaskan kesatuan kaum. Maknanya, kekuatan politik amat diperlukan bagi mempengaruhi ketua-ketua puak untuk melihat usaha kerajaan sebagai satu manfaat untuk masa depan mereka sendiri.

Kedua, projek ekonomi rintis. Skala projek rintis ini tidak perlu besar tetapi cukup untuk membuka mata dan fikiran rakyat Yemen bahawa mereka boleh menjadi maju jika bersedia berusaha untuk mengubah keadaan negara sendiri. Salah satu projek contoh yang sangat berjaya di Malaysia ialah Felda. Dr Mahathir boleh mencadangkan kerajaan Yemen membuka penempatan baru untuk membina ekonomi negara bermula dari penglibatan kerajaan mencari kawasan, menentukan peneroka dan menguruskannya secara profesional. Aspek pengurusan juga perlu diberi latihan kerana korupsi dan kronisme sering membantutkan usaha yang dirancang.

Ketiga, memperkasa sektor pendidikan. Yemen merupakan sebauh negara yang memiliki rakyat miskin yang ramai. Pendidikan bertindak sebagai program intervensi yang sangat berkesan hntuk membantu rakyat keluar dari kitaran ganas kemiskinan. Kerajaan Yemen perlu bertegas dalam menyediakan pendidikan kepada rakyat supaya ancaman keganasan dan jenayah tidak dapat bertapak dan merebak. Prasarana pendidikan ini wajar disediakan dari sekolah rendah hingga ke institusi pengajian tinggi. Kesediaan kerajaan Yemen menghantar para pelajarnya ke universiti-universiti di Malaysia dilihat sebagai tindakan bijak untuk memperkasa pendidikan di negara itu. Halangan utama dalam membangunkan pendidikan ialah peruntukan perbelanjaan yang besar. Jadi kerajaan perlu mengurus aspek ini dengan strategi paling baik.

Keempat, merangka pelan pembangunan sosial yang komprehensif. Pembangunan ekonomi sahaja tidak dapat memberi jaminan bahawa keadaan sosial masyarakat akan baik. Justeru, kerajaan Yemen perlu merangka dasar sosial yang akan mengambil kira keadaan semua pihak yang bertelagah. Dasar sosial yang kukuh akan menarik masyarakat kepada kesedaran terhadap pembagunan komuniti dan negara secara keseluruhannya.

Kelima, negara Arab cenderung untuk menyokong Barat ketika berdepan dengan acaman Al-Qaeda. Bagaimana Dr Mahathir boleh membantu Yemen untuk keluar daripada situsi kritikal ini?

Ia bergantung kepada kebijaksaan beliau sendiri yang tentunya mempunyai formula tertentu. Namun, masyarakat Arab adalah kelompok yang sangat susah menerima pandangan melainkan mereka sudah tidak ada pilihan.

Peranan Dr Mahathir ini diharap menjadi perangsang kepada rakyat Malaysia yang lain untuk membantu memajukan negara-negara Islam di seluruh dunia.



Thursday, June 07, 2012

Derma suburkan kekayaan




Derma suburkan kekayaan
(Gambar: Restoran Akhbar, Sengkurong, Brunei)

Harta dan kekayaan yang kita dapat boleh memberi pahala dan dosa. Ia memberi pahala jika diuruskan pada jalan yang betul, memberi faedah dan manfaat.

"Perumpamaan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai (pula ada) seratus biji buah. (Dan) Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki" (Al Baqarah ayat 261).

Bagi yang bersifat bakhil dan terlalu sayang dengan harta, ia tidak akan ke mana. Oleh karana tahap kesedaran yang tinggi, ramai orang Islam mengambil peluang melakukan infaq dan derma setiap kali bulan Ramadhan.


Wednesday, June 06, 2012

Sedia dengan cabaran








Membaca buku setebal 366 muka surat bukannya mudah bagi orang yang tidak minat membaca.

Belajar selama empat tahun untuk melengkapkan pengajian peringkat doktor falsafah bukannya mudah bagi orang yang tidak ada minat yang mendalam dalam mencari ilmu.

Bahkan bagi usahawan yang hendak berjaya sekali pun, dia juga perlu berhadapan dengan cabaran demi cabaran untuk meraih kejayaan.

Sama ada hendak menjadi seorang yang rajin membaca, ilmuan atau usahawan, tidak ada jalan mudah untuk berjaya. Untuk maju dan dapat apa yang kita hendak, selalunya kita mesti menempuh tindakan-tindakan yang mengarah pada zon yang sangat tidak selesa.

Cabaran-cabaran yang dialami ini akan menjadikan kita seorang yang lebih baik. Lagi besar zon tidak selesa ini, lagi besar daya fikir dan daya juang kita. Jadikan diri kita seorang yang sentiasa bersedia dengan cabaran pada bila-bila masa.


Tuesday, June 05, 2012

Berubah dengan pendidikan





Pelajar muda perlu miliki kekuatan mental
semasa di universiti

Zaman dahulu atau lebih tepat era sebelum merdeka, pendidikan adalah satu yang eksklusif. Tidak semua orang dapat melalui proses pendidikan formal kerana pelbagai faktor khususnya kemiskinan. Selepas sahaja merdeka, jumlah penduduk miskin yang telah dikenal pasti mencecah 50 peratus, suatu jumlah yang sangat besar.

Namun, pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan telah membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang memiliki paradigma baru terhadap pendidikan. Seiring dengan proses pembangunan tersebut, pendidikan telah boleh diakses dan dinikmati oleh semua orang termasuk dari luar bandar dan kawasan pedalaman.

Impak kemiskinan yang ketara ialah penurunan dalam kadar kemiskinan yang sangat ketara dalam tempoh 55 tahun. Berada di bawah lima peratus, anak-anak petani, nelayan dan buruh telah keluar dari lingkaran kemiskinan selepas mendapat pendidikan dari sekolah rendah hingga menengah seterusnya ke universiti. Mereka tidak lagi mewarisi pekerjaan tradisi ibu dan bapa sebaliknya menghuni pekan dan bandar sebagai kakitangan awam dan swasta, guru dan usahawan. Tahap asas pendidikan iaitu membaca, menulis dan mengira (3M) tidak lagi menjadi masalah besar.

Dalam tempoh 20 tahun, pendidikan tinggi telah dapat diakses  oleh semua orang. Bagi yang telah bekerja dan berhasrat menyambung pelajaran, peluang untuk mereka terbuka luas dengan pelbagai skim dan galakan. Bagaimanapun masalah utama ialah pelajar-pelajar muda yang kurang berminat dengan pelajaran dan enggan mengambil peluang untuk memajukan diri semasa di universiti.

Terdapat perbezaan yang sangat ketara antara pelajar yang cemerlang dan pelajar yang bermasalah. Kedua-dua karektor pelajar ini umpama langit dan bumi. Perbezaan utama ialah nilai dan sikap mereka terhadap pelajaran dan masa depan. Ketika pelajar cemerlang tidak ada masalah untuk menentukan hala tuju sendiri, pelajar bermasalah perlu dibantu dalam banyak perkara.

Dalam kajian tentang kemiskinan dan pendidikan- perubahan minda orang Melayu ke arah kecemerlangan pendidikan akademik oleh Faridah Abu Hassan et al., mendapati faktor keluarga menjadi penyumbang kepada pembentukan budaya belajar pelajar. Dapatan kajian merumuskan bahawa sikap negatif terhadap pendidikan, masalah kemiskinan, masalah rumah tangga, kurang sokongan terhadap pendidikan dan kurang hubungan antara keluarga dan sekolah menjadi penyebab kepada kegagalan dalam pelajaran.

Justeru, pelajar bermasalah yang lahir daripada faktor keluarga perlu dibimbing. Penampilan fizikal dari segi pakaian, kemasan diri dan gaya adalah cermin nilai dalam diri mereka. Tentulah nilai ini menjadi sebahagian daripada budaya hidup kerana nilai dan pemikiran menentukan apa dan bagaimana mereka bertindak. Contohnya, pensyarah telah mengagihkan tugasan pada awal semester tetapi hingga di penghujung semester, pelajar bermasalah masih belum dapat melengkapkan tugasan kerana bangun lewat, ponteng kelas dan tidak menghiraukan amaran pensyarah.

Nilai seperti ini terbina sebahagiannya daripada keluarga. Perubahan nilai hanya akan dapat dilakukan apabila terdapat proses intervensi seperti menyedarkan ibu dan bapa atau memasukkan anak-anak ke tadika atau ke suatu tempat yang memberi nilai-nilai baru yang lebih dinamik. Selepas itu baharulah nilai dan budaya baru dapat diterapkan dengan sempurna. 


Monday, June 04, 2012

Elak perangkap pendapatan sederhana

 
 
 



oleh Idris Jala

Mungkin ramai yang pernah mendengar mengenai jerat pendapatan sederhana.
Ia menggambarkan keadaan yang mana sesebuah negara itu mencapai pembangunan ekonomi yang pesat dan pendapatan yang semakin meningkat daripada gaji asas yang rendah, tetapi tidak berjaya mengambil langkah terakhir untuk menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi.

Punca kepada permasalahan ini adalah tidak jelas, tetapi ahli ekonomi berpendapat bahawa apabila faktor pengeluaran seperti tanah, tenaga kerja dan modal telah digunakan secukupnya, ia memerlukan pertambahan produktiviti untuk meningkatkan lagi pendapatan.

Dalam erti kata lain, tanah, tenaga kerja dan modal bukanlah sesuatu yang tidak mempunyai had. Sebaik ia digunakan secara optimum, peringkat seterusnya adalah untuk memastikan yang kita menggunakannya dengan lebih cekap supaya terdapat lebih peningkatan dalam produktiviti.

Masih terlalu awal untuk kita mengetahui sama ada kita telah terjerat dalam perangkap pendapatan sederhana.

Persoalan ini mungkin hanya akan terjawab jika kita gagal mencapai status pendapatan tinggi yang disasarkan pada 2020.
Tetapi yakinlah bahawa kita sedang melakukan apa yang terdaya untuk menjadikannya satu realiti.

Pada asasnya, kebolehan untuk bersaing sangat penting untuk pendapatan tinggi.

Kita mestilah melakukan sesuatu dengan lebih baik daripada sebelumnya dan lebih cekap lagi.

Kita perlukan anjakan teknologi dan pengetahuan dan juga mewujudkan suasana yang menghasilkan dan menggalakkan persaingan.

Bagi menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, kita perlu menjadi lebih kompetitif secara global.

Pada masa sama, kita juga perlu menumpukan kepada sektor yang mana kita boleh memadankan kebolehan untuk bersaing dengan impak maksimum dari segi ekonomi dan juga pendapatan.

Kita selalu mendengar tentang bagaimana sasaran Model Baru Ekonomi (MBE) untuk menggerakkan negara kita menjadi sebuah negara maju telah digantikan dengan Pelan Transformasi Ekonomi dan Kerajaan.

Ini sama sekali jauh daripada perkara yang sebenar dan saya berazam untuk mengubat ‘blues’ transformasi ini.

Langkah yang kita ambil untuk transformasi ini diilhamkan daripada MBE dan bukanlah sebagai pengganti.

Kita sedang melaksanakan MBE sebaik mungkin melalui langkah yang disasarkan sebagai pemangkin untuk satu perubahan yang besar terhadap cara kita beroperasi.

Inisiatif Pembaharuan Strategik ini telah dilaksanakan untuk membolehkan kita mencapai sasaran ini.

Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) telah menyarankan 51 tindakan polisi dalam MEB bagi membolehkan kita mencapai sasaran mentrasformasikan negara kita kepada negara berpendapatan tinggi dengan ekonomi yang mampan serta menyeluruh.

Secara keseluruhan, kami sedang melaksanakan semua 51 inisiatif pembaharuan strategik, dalam peringkat yang berbeza.

Berikut adalah enam bahagian di mana kita dapat melihat perubahan yang besar:


  • Persaingan, standard dan liberalisasi
  • Memperbaiki kewangan awam
  • Memperbaiki akses perkhidmatan awam
  • Mendefinisikan dan mengurangkan peranan Kerajaan dalam perniagaan
  • Pembangunan modal insan
  • Mendekatkan jurang perbezaan

    Seperti perkara lain, persaingan bermula daripada rumah. Kami memperkenalkan Akta Persaingan yang akan berkuat kuasa tahun ini supaya segala perlakuan anti persaingan di kalangan industri Malaysia akan dihapuskan supaya terdapat persaingan bebas dan adil di antara semua.

    Ini adalah satu kejayaan besar dan dengan pelaksanaan tindakan ini menunjukkan komitmen kita ke arah ekonomi yang lebih kompetitif.

    Kita telah membuat pindaan kepada Akta Standard Malaysia 1996 yang diluluskan pada Disember 2011, untuk mempercepatkan pembangunan piawaian.

    Ini termasuk mengurangkan tempoh masa adaptasi piawaian antarabangsa daripada tempoh satu tahun sebelumnya kepada sembilan bulan.

    Ini adalah keperluan utama bagi industri untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

    Berdasarkan Belanjawan sebelumnya, tujuh belas subsektor telah diumumkan untuk liberalisasi dengan penyertaan ekuiti antarabangsa sehingga 100 peratus.

    Sembilan sektor telah diliberalisasikan sementara bakinya akan mengambil langkah sama secara berperingkat menjelang akhir 2012 ini.

    Kita memerlukan keadaan fiskal ekonomi yang sihat bagi memastikan semua perubahan ini berjalan dengan lancar.

    Terdapat perubahan yang progresif dalam proses pungutan cukai yang telah menghasilkan pungutan tambahan lebih kurang RM25 bilion sepanjang 2011.

    Pelbagai tindakan penambahbaikan lain sedang dalam perancangan dan akan diumumkan pada masa yang sesuai.

    Apabila menyentuh tentang akses perkhidmatan awam, kita juga sedang membuat penambahbaikan dalam proses perniagaan.

    Sebanyak 395 lesen akan dilupuskan menjelang penghujung tahun ini yang dianggarkan akan membantu mengurangkan kos RM729 juta daripada segi pelesenan perniagaan.

    Kita juga sedang membuat penyelidikan terhadap peluang penggajian terbuka antara sektor swasta dan perkhidmatan awam dan malah kita juga telah memperkenalkan pengesanan prestasi serta-merta.

    Kita juga telah memperkenalkan gaji minimum untuk menggerakkan industri untuk lebih berdaya saing dan banyak lagi inisiatif untuk memperbaiki kemahiran dan menaik taraf tenaga kerja.

    Pada masa sama, kita sedang memodenkan undang-undang buruh, memberikan pekerja tempat bergantung, memberikan pengiktirafan kepada tenaga kerja wanita yang berkebolehan, memperkukuhkan lagi pengurusan sumber manusia dan memberikan analisis pasaran pekerja.

    Untuk menjadikan tenaga kerja Malaysia mempunyai kelebihan dalam industri ICT dan bagi menyelesaikan isu sumber tenaga kerja yang berkebolehan, program MyProCert telah melaksanakan tugasnya untuk mempertingkatkan bakat pekerja Malaysia dengan standard pengiktirafan antarabangsa/ global dengan program seperti iOS Mobile Development dan Oracle Certified Professional.

    Kami telah mengehadkan peranan Kerajaan dalam perniagaan kepada empat bidang infrastruktur negara seperti pengangkutan awam, perniagaan yang memerlukan pemilikan tempatan seperti pertahanan, industri khusus yang perlu pertumbuhan yang besar, pemangkin atau teknologi baru, dan keadaan di mana sektor swasta memerlukan perkongsian pelaburan.

    Ini adalah program untuk mengurangkan pelaburan Kerajaan dalam sektor swasta.

    Tahun lepas, 80 syarikat telah turut serta dalam program TERAS yang bertujuan untuk membangunkan PKS Bumiputera yang berprestasi tinggi dengan membolehkan mereka terus maju, mempercepatkan pertumbuhan, menambah daya saing di pasaran terbuka.

    Sejajar dengan MBE, kita menggunakan prinsip mesra pasaran, berasaskan merit, keperluan dan telus dalam melaksanakan langkah ini.

    Setakat ini 50 lagi syarikat telah memenuhi syarat di bawah program itu tahun ini.

    Kami komited untuk menggalakkan persaingan dan keusahawanan. Peranan kerajaan adalah untuk menetapkan keadaan yang berdaya saing bagi membolehkan sektor swasta untuk menerajui dan menyahut cabaran ini.

    Kita tahu bahawa jika kita tidak berjaya membuat transformasi di sini, kita akan tewas dalam perjuangan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

    Kita telah mengambil langkah dengan menyediakan pemboleh ubah untuk menjadikan ekonomi lebih berdaya saing dan mengambil langkah tertentu merentasi pelbagai bidang untuk mencapai pendapatan yang kita perlukan untuk menjadikan kita sebuah negara maju. Kita akan dapat mencapainya.

    Penulis ialah Ketua Eksekutif PEMANDU dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Komen adil dan saksama adalah dialu-alukan melalui
    idrisjala@pemandu.gov.my


  • (Berita Harian, 4 Jun 2012)