Kita akan menyambut hari raya sekitar dua ataupun tiga hari lagi. Ramai yang sudah berada dalam ‘mood’ ataupun suasana raya ketika ini. Sambutan ini juga diserikan dengan pengumuman perdana menteri yang memberikan dua berita baik iaitu cuti tambahan dan pengecualian bayaran tol di 33 lebuh raya selama empat hari dari 19 hingga 21 April dan 24 April.
Bagi kakitangan awam, mereka menerima gaji lebih awal dan ‘duit raya’ untuk membantu persiapan raya tahun ini. Kemudahan ini membolehkan mereka berbelanja dan merangsang penjualan di seluruh negara.
Saya melihat inisiatif ini adalah satu bentuk luahan perasaan gembira untuk bersama-sama meraikan hari raya aidilfitri dan juga merupakan satu inisiatif baik yang boleh dilaksanakan setiap tahun bagi menggalakkan masyarakat untuk berhimpun dan berkumpul di kampung halaman bersama keluarga untuk menjenguk ataupun melihat suasana kampung.
Bagi yang muda, mereka belajar kepelbagaian cara hidup masyarakat kampung manakala bagi orang dewasa yang masih mempunyai sanak saudara di kampung, inilah masanya untuk mereka berhubung di sebalik dalam suasana kehidupan moden hari ini.
Yang tinggal di utara, bergerak dari ibu kota Kuala Lumpur adalah tempoh yang mendebarkan. Biasanya mereka akan bertolak ke kampung dua ataupun tiga hari supaya dapat bersama-sama keluarga. Laluan ke Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis menjadi sesak ketika ini. Perjalanan yang mengambil masa lima atau enam jam boleh beranjak kepada 12 jam. Tumpuan kenderaan ialah ketika mendaki Terowong Menora di Perak kerana pemandu perlu memperlahankan kenderaan.
Bagi perantau yang menuju ke pantai timur iaitu di Pahang, Terengganu dan Kelantan, mereka juga menghadapi suasana kesesakan yang sama. Biarpun melalui Lebuhraya Pantai Timur atau laluan Grik, pertambahan kenderaan melambatkan pergerakan.
Di wilayah tengah yang merangkumi Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka, kesesakan tidak begitu terasa kerana mereka berada dalam jarak yang dekat antara satu sama lain.
Balik kampung ke Sabah dan Serawak juga perlukan perancangan perjalanan. Membeli tiket penerbangan dari Semenanjung Malaysia ketika waktu puncak amat memeritkan kerana harga yang lebih mahal.
Hari Raya Aidilfitri memberi banyak impak sosial kepada rakyat Malaysia. Umumnya tanpa mengira kaum, hari raya disambut meriah dan melibatkan penyertaan pelbagai lapisan peringkat.
Acara sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula dengan persiapan beberapa hari sebelumnya seperti membersihkan dan menghiasi rumah. Selain itu, persediaan lebih awal turut dibuat seperti membeli pakaian baru, mendapatkan bahan mentah untuk menyediakan juadah dan memasak kuih raya. Persediaan ini diuruskan secara berperingkat-peringkat sehingga ke malam hari raya.
Pada malam sebelum hari raya yang dikenali sebagai malam takbir, orang Islam akan berkumpul di masjid sambil membaca takbir dan tahmid. ‘Mood’ raya ketika ini berada di kemuncaknya kerana sebahagian besar atau semua ahli keluarga sudah berkumpul.
Pada hari raya, mereka akan bangun lebih awal membersihkan diri dan memakai pakaian baharu yang cantik-cantik. Sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri, ahli keluarga akan bermaaf-maafan dan kembali mentautkan hati masing-masing.
Selepas solat, masing-masing akan kunjung-mengunjung, menjamu selera dan bagi kanak-kanak, mereka akan mencari ‘duit raya’.
Kuih raya seperti ketupat, rendang dan lemang adalah hidangan istimewa yang disajikan semasa menerima tetamu. Ada juga rumah yang menyediakan laksa, bihun sup atau nasi briyani sebagai hidangan istimewa.
Sejak beberapa tahun lalu, sambutan hari raya ini diadakan di peringkat kebangsaan yang
dihadiri oleh pelancong. Acara ini disertakan dengan pertunjukan kebudayaan, permainan tradisional di samping jualan makanan dan barangan.
Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang sangat penting bagi masyarakat Islam di Malaysia kerana mampu memupuk interaksi social yang lebih kukuh. Sepanjang bulan Syawal, mereka berpeluang untuk berkumpul dengan keluarga dan rakan-rakan untuk bermaaf-maafan dan menyambung tali silaturrahim.
Selain itu, tradisi kunjung-mengunjung dapat membina suasana bertukar cerita dan saling berkongsi pengalaman kehidupan dan pengalaman. Hal ini dapat membantu memperkuat ikatan sosial antara keluarga.
Memberi duit raya kepada kanak-kanak sebagai tanda kasih sayang dan ucapan selamat dapat memperkuat ikatan sosial antara generasi muda dan tua dalam keluarga. Orang dewasa tidak lokek untuk memberi seringgit dua kepada kanak-kanak untuk melihat kegembiraan dan keceriaan pada wajah.
Bagaimana masyarakat bukan Islam dapat memahami hari raya aidil fitri ini?
Bagi masyarakat bukan Islam, memahami Hari Raya Aidilfitri dapat membantu memperkuat pemahaman tentang budaya dan tradisi yang berbeza di Malaysia serta memperkuat hubungan antara etnik dan agama.
Mereka dapat memulai dengan mempelajari makna dan sejarah Hari Raya Aidilfitri melalui buku atau artikel tentang perayaan ini dan mengunjungi laman sesawang yang menyajikan pelbagai informasi bermanfaat.
Selain itu, masyarakat bukan Islam juga dapat mengambil dalam kegiatan Hari Raya Aidilfitri seperti menghadiri acara sambutan perayaan dan menikmati juadah istimewa yang disajikan. Cara ini dapat membantu mereka memahami lebih banyak budaya dan tradisi yang terdapat dalam masyarakat Islam.
No comments:
Post a Comment