Tuesday, April 21, 2020

Covid-19 resahkan banyak negara







Covid-19 menjadikan penghuni planet bumi resah gelisah kerana ketakutan, kebimbangan dan kerisauan memikirkan bilakah ia akan berakhir.

Sejumlah kematian menunjukkan angka yang menakutkan lebih-lebih lagi melibatkan negara-negara maju yang diketahui memiliki tahap kesihatan moden, taraf pendidikan rakyat yang tinggi dan sentiasa bangga dengan pencapaian teknologi.

Setakat hari ini, 170,000 jiwa mati kerana serangan virus corona yang memasuki sel-sel badan dan merosakkan sistem imun tubuh. Amerika Syarikat yang sauté ketika dulu tidak gentar dengan pandemik ini, berada pada kedudukan pertama dengan jumlah kes lebih 800,000 positif.

Presiden Donald Trump menyatakan pihaknya telah menang ke atas virus corona pada 23 Mac 2020 dan akan membuka semula Amerika kepada kehidupan biasa pada 12 April 2020[1].

Di Indonesia, Menteri Kesihatan menyatakan negara itu bebas daripada virus corona pada 27 Mac 2020 merupakan 'rahmat daripada Tuhan' [2]. 

Pada 22 Mac 2020, media melaporkan tiga orang doktor mati kerana dijangkiti virus dan 23 orang petugas kesihatan disahkan turut dijangkiti virus yang sama[3]. Namun, laman sesawang coronatracker.com menerbitkan jumlah kematian telah menghampiri 600 orang dengan hampir 7000 kes positif [4].

Singapura, negara kecil di selatan Semenanjung Malaysia, bilangan kes naik mendadak sehingga lebih 8000 kes positif hanya beberapa hari selepas asrama pekerja asing disahkan dijangkiti virus. 

Negara itu kini menduduki carta teratas dalam kalangan negara-negara ASEAN malah satu ketika bilangan kes positif hampir mencecah 1000.

Brunei Darussalam, negara kecil di Borneo, berhempas-pulas mengekang penularan wabak virus corona dengan pendekatan lebih ketat tetapi terkawal. Negara itu telah mencatatkan sifar kes sejak beberapa hari lalu dengan jumlah kumulatif pesakit positif sebanyak 138 dengan satu kematian. 

Pendekatan yang digunakan ialah melaksanakan ujian saringan intensif yang melibatkan peruntukan kewangan dan ménûtup sempadan kepada pelawat luar. Rakyat dalam negara juga tidak dibenarkan keluar.

Antara negara yang mengesahkan belum ada pesakit positif Covid-19 adalah Korea Utara, Turkmenistan dan Sudan Selatan.

Kita tidak tahu bilakah virus yang menakutkan ini akan berakhir. Usaha yang berterusan melalui kempen 'duduk di rumah, kerap cuci tangan dan penjarakkan sosial' diharap dapat mengembalikan keadaan seperti sedia kala.


Thursday, April 09, 2020

Dobi layan diri







Gelombang dobi layan diri turut terkesan Brunei. Perkhidmatan ini mendapat sambutan kerana harga yang murah dan pantas. 

Sekali cucian cuma B$3 dan untuk pengeringan hanya B$2. 

Kadar ini lebih murah apabila tiba musim perayaan kerana syarikat dobi memberi diskaun. 

Setakat ini mesin dobi layan diri menggunakan sabun cucian automatik termasuk pembasmi kuman dan wangian. 

Sambutan dalam kalangan penduduk tempatan semakin meningkat namun dalam kalangan pekerja asing, masih belum popular kecuali di kompleks perniagaan komersil seperti Gadong atau Kiulap. 

Biasanya mereka ini terdiri daripada pekerja dari Filipina atau Malaysia. Jarang dilihat pekerja dari Bangladesh, Indonesia atau India yang menggunakan dobi layan diri ini kerana mereka mungkin lebih selesa mencuci sendiri. 

Bagi pengguna kali pertama, sudah tentu mereka terkial-kial hendak bermula dari mana kerana tidak biasa, di sinilah pentingnya maklumat dalam pelbagai bahasa di samping keprihatinan pengguna lain untuk membantu.


Wednesday, April 08, 2020

Orang susah dan orang miskin







Mencari orang miskin lebih sukar daripada mencari orang susah di Brunei.

Di negara ini, definisi orang miskin tidak mengikut piawaian antarabangsa kerana rakyat negara ini umumnya mempunyai pendapatan yang lebih tinggi. 

Namun begitu, pemedulian seorang raja menjadikan setiap rakyat yang  susah dan miskin mendapat bantuan yang cukup. Agensi kerajaan, yayasan dan pertubuhan bukan kerajaan sentiasa mencari mereka yang perlukan bantuan hidup supaya dapat menikmati kehidupan dengan lebih baik. 

Majlis agama Islam juga sentiasa mencari golongan asnaf untuk diberi zakat mengikut kategori masing-masing. 

Derma dan sumbangan melimpah-ruah ketika bulan puasa kerana masing-masing ingin mencari pahala yang banyak melalui sedekah. 

Singkat kata, orang susah dan miskin di Brunei sentiasa mendapat perhatian dari sultan hinggalah orang kebanyakan. 

Walaupun pendapatan per kapita Brunei antara yang tinggi, lebih banyak kereta berbanding motosikal, nisbah penduduk dan penggunaan telefon bimbit yang lebih banyak dan tidak terdapat peminta sedekah yang berkeliaran, kehidupan terasa agak sukar kerana peningkatan kos hidup  dan kenaikan harga barang yang mencengkam hati membuatkan orang susah semakin resah. 

Walau bagaimanapun, bantuan dan subsidi yang besar dapat mengurangkan resah asalkan mahu bekerja dan mencari wang untuk kekal positif.


Tuesday, April 07, 2020

Usahawan Cube







Di The Mall, Gadong, Brunei Darussalam, terdapat dua premis perniagaan yang menjalankan bisnes jualan yang unik iaitu mempamer barang dalam kiub. 

Konsep sewaan kiub ini sangat sesuai untuk mereka yang mula berjinak-jinak dengan bisnes kecil dan berisiko rendah seperti barangan kecantikan, produk kesihatan, permainan kanak-kanak, gajet atau ubat tradisional. 

Penyewa boleh membayar sewa bulanan dan petugas kedai ini akan membuka pintu kiub jika ada pelanggan yang  mahu membeli produk. 

Bagi usahawan kecil-kecilan, mereka boleh mempromosi produk dalam tempoh tiga hingga lima bulan dan membuat hebahan di media sosial. 

Jika ada masa mereka boleh turut menerangkan kepada pelanggan kelebihan produk berkenaan. 

Kaedah ini sangat sesuai diwujudkan di universiti sebagai inisiatif galakan keusahawanan yang mana ia boleh diletakkan di kompleks mahasiswa dengan sewa yang berpatutan. 

Produk pameran boleh dipelbagaikan seperti sandwich, kuih-muih, kek dan minuman.

Monday, April 06, 2020

Tiket bas seringgit







Di Bandar Seri Begawan, hanya ada satu stesen bas berpusat. 

Di sini, semua destinasi bas berkumpul mengikut laluan masing-masing. Keadaan dalam stesen agak gelap. 

Tempat duduk untuk menunggu juga tidak banyak menyebabkan penumpang bertenggek di laluan berhampiran dinding lorong parkir kereta. 

Laluan bas ini ditandai dengan warna bas manakala di badan bas terdapat nombor yang menjadi rujukan. 20 tahun lalu, semua bas berwarna ungu tetapi kini ditukar warna mengikut laluan. 

Contohnya warna hijau dikhususkan untuk laluan keliling bandar. Harga tiket tidak mahal, cuma $1.00 untuk semua laluan di Brunei-Muara. 

Tidak kira dekat atau jauh, harganya seringgit. Sebahagian besar perhidmatan ini menggunakan ‘coaster’ 14 tempat duduk. 

Yang betul-betul bas adalah untuk laluan Muara, Kuala Belait dan Seria. Harga tiket ke Kuala Belait dan Seria lebih mahal sedikit kerana melimpasi daerah. 

Kebanyakan pemandu adalah pekerja asing dari India, Indonesia atau Filipina. Keadaan bas masih baik tetapi ada pembalut tempat duduk yang sudah berlubang atau koyak.


Sunday, April 05, 2020

Tazkirah mingguan







Ilmu ada di mana-mana dan wajar dikongsi. Lebih-lebih lagi dengan rakan-rakan yang berlainan bidang kepakaran. 

Di Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei Darussalam, tazkirah mingguan diadakan pada pagi hari Khamis dari pukul 8 hingga 9. 

Ia bermula dengan bacaan surah Yaa Siin yang dibaca beramai-ramai sehingga membaca doa tahlil. 

Di hujung bulan, mereka membaca doa khatam al-quran. 

Sesi tazkirah mengambil masa 10 hingga 15 minit yang merangkumi pelbagai isu seperti kewangan, usuluddin, motivasi dan pengalaman hidup. Ia dikaitkan dengan situasi semasa yang boleh dijadikan sebagai panduan dan penyelesaian. 

Penggiliran dilakukan mengikut pusat atau fakulti yang mempunyai kepakaran tajuk yang diutarakan. Dalam kalangan pensyarah di universiti ini, ada yang berpengalaman sebagai penceramah dalam siri An-Nuur di Radio Televisyen Brunei dan Radio An-Nuur. 

Ketika hadir ke tazkirah ini, semua staf lelaki dikehendaki memakai baju Melayu lengkap bersamping, umpama berhari raya.

Saturday, April 04, 2020

Jambatan Temburong








Jambatan Temburong adalah mercu tanda terbaru di Brunei Darussalam. Ia dibuka pada 17 Mac 2020 iaitu ketika penularan wabak Covid-19 memuncak di seluruh dunia bagi menghubungkan daerah Brunei-Muara dan daerah Temburong. 

Keputusan itu juga dipengaruhi oleh larangan perjalanan keluar negara oleh kerajaan Brunei bagi membendung Covid-19 dalam kalangan rakyat dan penduduk negara itu. Kos pembinaan jambatan ini adalah sebanyak US$1.7 bilion dan disiapkan selama enam tahun. 

Kontraktor dari China, China State Construction Engineering Corporation dilantik membina jambatan ini di samping kontraktor kejuruteraan sivil Daelim dari Korea Selatan. Pembinaan dimulakan pada 2014 dan disiapkan pada awal tahun 2020. 

Pengumuman kejayaan ini dimaklumkan pada 2 Januari lalu. 

Panjang jambatan ini adalah 30 kilometer yang dapat memintas perjalanan dua jam dari Temburong ke Kuala Lurah melalui Limbang kepada kurang daripada 30 minit. 

Pembukaan Jambatan Temburong akan melimpahkan pembangunan ekonomi kepada Limbang, Lawas dan Kota Kinabalu di Malaysia. 

Aktiviti lain yang sedang dipertimbangkan adalah acara berbasikal, perlumbaan bot berkuasa tinggi dan marathon antara Brunei dan Malaysia serta negara-negara Asean.

Impak Jambatan Temburong dapat dilihat dalam beberapa bulan lagi apabila pergerakan dari daerah Brunei-Muara ke Temburong menjadi lebih kerap. 

Daerah Temburong yang dikenali sebagai sebagai ‘permata hutan’ bakal menarik ramai penggemar alam semula jadi untuk menikmati keindahan flora dan fauna yang mencetuskan pengaktifan ekonomi dalam pelbagai aspek. 

Jambatan Temburong juga menjadi pengukuh kepada hubungan dua hala Brunei-China yang telah terjalin sejak ratusan tahun lalu.

Friday, April 03, 2020

Pencuci tangan di tempat berwudhuk







Menjadi kebiasaan di surau atau masjid menyediakan pencuci tangan di tempat wudhuk bagi kegunaan ahli jemaah. 

Pencuci tangan ini boleh jadi disumbangkan oleh dermawan ataupun disediakan oleh pihak masjid melalui peruntukan atau sumbangan orang ramai. 

Apa yang menarik ialah kesedaran betapa penting menjaga kebersihan dan membuat persediaan untuk bersolat. Oleh kerana ingin berada dalam keadaan bersih, pihak masjid, orang ramai dan dermawan sanggup bersama-sama menyediakan pencuci tangan di tempat wudhuk supaya tapak tangan mereka bersih semasa bersolat dan bersalaman. 

Budaya ini juga merupakan sebahagian daripada amalan kebersihan yang disuruh dalam agama Islam. Nilai menjaga kebersihan seperti ini dibawa ke dalam kehidupan seharian masyarakat Brunei seperti di kedai makan atau restoran. 

Jarang sekali kita dapati makanan bersepah atau berselerak di atas meja makan memandangkan tahap kesedaran yang tinggi dalam masyarakat. Ia diajar dan diterap ketika masih kanak-kanak dan membuat kotor dianggap mencemarkan nilai masyarakat.

Thursday, April 02, 2020

Mufti orang Johor







Barangkali ramai yang sudah tahu yang Mufti Brunei yang pertama adalah orang Johor. Beliau adalah (Almarhum) Pehin Datuk Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz. 

Kali pertama Allahyarham ke Brunei ialah pada tahun 1954 untuk meninjau cadangan bagi mendirikan sekolah agama di Brunei. Bersamanya adalah Allahyarham Haji Muhammad Sa’id, bekas ketua pemeriksa sekolah-sekolah agama kerajaan Johor. 

Kedatangan kali kedua pada tahun 1962 adalah sebagai pegawai pinjaman kepada kerajaan Brunei sebagai Mufti Kerajaan, satu tanda Raja Johor bermurah hati meminjamkan Allahyarham kepada Brunei. 

Ia adalah budi bicara dan inisiatif raja-raja Johor dan Brunei dalam beragama dan menghargai ulama. Berdasarkan catatan dalam daftar fatwa di Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam dari tahun 1962 hingga 1993, fatwa yang telah dihasilkan menjangkau sehingga 1753 siri. 

Semasa menemubual menantu Allahyarham, Dr Abdul Kadir di Bandar Seri Begawan, beliau menyifatkan bapa mertuanya seorang yang pendiam dan kurang banyak bercakap membuatkan orang yang berurusan dengannya berasa segan dan hormat. 

Ketika di hospital, Allahyarham umpama tidak sakit kerana menguruskan pelbagai jenis surat dan mencari penyelesaian masyarakat ketika itu. Menantunya menyediakan kotak masuk dan keluar surat supaya urusan mufti dapat berjalan dengan lancar. 

Allahyarham diangkat sebagai tokoh besar di Brunei, seringkali diziarah oleh Sultan Brunei ketika di hospital, seterusnya diperkenan untuk disemadikan di Kubah Makam Diraja Brunei pada 4 Februari 1993.

Wednesday, April 01, 2020

Logo Brunei halal







Seperti Malaysia, mendapatkan sijil halal dan permit halal di Brunei perlukan proses dokumentasi yang telus dan proses yang teliti. Setiap perniagaan yang berkaitan pemakanan perlu dipamerkan logo halal Brunei manakala permohonan bagi produk perubatan bukan oral, kosmetik, barang gunaan dan perkhidmatan (logistik) adalah wajib. 

Ada dua kategori, pertama Sijil Halal yang merangkumi restoran, kafe, medan selera dan dapur pusat. Kategori kedua ialah Permit Halal  yang diwajibkan kepada pengusaha yang memproses makanan. 

a dikuatkuasa dalam Bab 4(1) Perintah Sijil Halal dan Label Halal 2005. Juruaudit Halal akan menjalankan ujian lisan dan bertulis, membuat pemeriksaan ke tempat perniagaan, meneliti invois pembelian barang yang diragui, mengambil gambar dan membuat laporan kepada Jawatankuasa Pemeriksaan Sijil Halal dan Label Halal. 

Pemutus kepada pertimbangan pengeluaran sijil halal adalah Majlis Ugama Islam Brunei.