Tuesday, August 02, 2016

Impak Facebook terhadap masa hadapan Gen-Y di Malaysia







1.0       Pengenalan

Kamus Dewan edisi keempat mentakrifkan impak sebagai kesan yang ketara. Hubungan etnik bermaksud perkaitan atau pertalian antara etnik atau kaum. Facebook membawa maksud sebuah tapak atau laman sesawang media sosial yang dimiliki sepenuhnya oleh Facebook Inc. Melalui Facebook sebagai perantaraan, pengguna boleh menambah rakan dan saling menghantar mesej, Facebook juga boleh mempengaruhi penggunanya secara baik mahupun buruk.

Skop kajian adalah sekitar UTeM yang terdiri daripada mahasiswa/mahasiswi Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi dan Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer. Jumlah responden adalah seramai 30 orang yang terdiri daripada 25 orang pelajar UTeM dan lima orang staf UTeM.

Terdapat tiga objektif dalam kajian ini iaitu mengetahui sejarah perkembangan  media sosial, menentukan impak positif dan negatif Facebook terhadap hubungan Gen-Y di Malaysia dan mengetahui kaedah dan strategi penggunaan Facebook dalam kehidupan Gen-Y di Malaysia.


2.0 Sorotan Kajian

Terdapat lima sumber yang telah diperolehi dan dikaji dalam sorotan literatur ini. Sumber yang pertama adalah artikel yang bertajuk ‘Media Sosial dan Remaja’ yang ditulis oleh Zatunnur (9 Mac 2015) yang membincangkan tentang media sosial serta kesannya terhadap remaja. Beliau menjelaskan remaja adalah golongan yang berpotensi dalam penggunaan laman sosial. Media sosial menjadi alat interaksi utama yang berguna dan membantu dalam pelbagai aspek jika ianya digunakan dengan cara yang betul. Golongan remaja harus di beri ‘guideline’ serta perhatian dan dorongan daripada ibu bapa untuk menggunakan media sosial ini secara betul untuk mengelakkan masalah sosial kelak.

Di samping itu, artikel yang dikaji iaitu ‘Kebergantungan Internet dan Aktiviti Online Remaja di Lembah Kelang’ oleh Normah, Waan Amizah, Fauziah, Maizatul & Mohd. Helmi (2013), menyatakan bahawa tahap kebergantungan remaja terhadap internet adalah tinggi iaitu melebihi enam jam sehari. Remaja menggunakan internet untuk tujuan berinteraksi berbanding fizikal. Remaja menghabiskan masa selama satu hingga dua jam untuk memahami persekitaran sosial mereka, tiga hingga empat jam dan ke atas untuk interaksi dan memenuhi keperluan kendiri.

Seterusnya, buku yang bertajuk ‘Social Computing and Social Media’ yang ditulis oleh Gabriele Meiselwitz (2015) menyatakan bahawa sosial media mampu menjadi penawar rohani dan spiritual kerana ia dapat membantu mengekspresikan diri. Tiga cara utama untuk ekspresikan diri iaitu menulis, berkongsi video dan merakam suara. Kebanyakan ahli psikologi menasihati pesakit-pesakit mereka untuk menulis diari untuk meluahkan perasaan diri sesuai dengan remaja sekarang yang menggunakan media sosial sebagai salah satu cara mereka mengekspresikan diri.

Menurut akhbar Berita Harian, ‘Media Sosial Punca Runtuh Akhlak Masa Kini’ yang dikarang oleh Athirah Hasli (3 Januari 2016), menyatakan bahawa media sosial membawa keburukan kepada penggunanya. Media sosial merupakan platform yang membuka ruang kepada remaja untuk mengenal dunia luar tanpa had. Maklumat positif yang diperolehi dapat membantu dalam pembelajaran dan lain-lain namun maklumat yang negatif akan mempengaruhi minda dan menjadi ikutan remaja tersebut.

Akhir sekali, keratan akhbar yang bertajuk ‘Berdakwah di Alam Maya’ yang ditulis oleh Mohd Shahrizal Nasir (16 Februari 2013) menekankan tentang peranan media sosial terutama sekali Facebook serta kesannya terhadap golongan muda malahan yang tua. Media sosial dapat merapatkan ukhuwah dan menjalin hubungan persahabatan yang baru tanpa sempadan serta menjadi tempat menyebarkan dakwah. Penggunaan Facebook boleh dilakukan dalam dua cara iaitu secara positif atau negatif bergantung kepada penggunanya.


3.0 Metodologi Kajian

Kaedah kajian yang digunakan terbahagi kepada dua iaitu sumber primer dan sekunder. Kajian ini telah menggunakan kaedah soal selidik secara dalam talian bagi mendapatkan maklumat dan maklum balas daripada responden bagi melengkapkan kajian ini. Sumber primer ialah bahan yang belum diolah atau dicetak. Terdapat 30 soalan kaji selidik mengenai impak Facebook terhadap generasi Gen-Y di Malaysia yang mengandungi sepuluh soalan.

Sumber sekunder pula terdiri daripada bahan atau dokumen yang dikaji melalui pembacaan bahan bertulis. Sumber kedua yang digunakan didalam kajian ini ialah buku, keratan akhbar, jurnal dan artikel daripada internet.


4.0 Hasil Kajian

Terdapat tiga penemuan dan perbincangan utama yang ditemui dalam perbincangan ini iaitu hasil kajian objektif 1; bagi mengetahui sejarah perkembangan media sosial yang telah diperolehi melalui sumber rujukan literatur yang dibentangkan dalam kertas kerja ini. Masyarakat kini sudah dapat mengetahui hal di dalam dan luar negara dengan pantas melalui media sosial lebih-lebih lagi melalui Facebook. Pada tahun 1995 terbentuknya laman sosial GeoCities yang menjadi tunggak awal laman sesawang lain terbina. Tahun 1997 Sixdegree.com dan Classmates.com telah diperkenalkan, pada tahun 1999 munculnya blog peribadi yang membolehkan setiap blogger membuat laman sesawang mereka sendiri dan berkongsi dengan pembaca-pembaca blog mereka. Pada masa kini, blog merupakan laman sosial yang sering menjadi tunggak berkembangnya media sosial.

Seterusnya pada tahun 2002, Friendster telah diperkenalkan dan telah menjadi sesuatu fenomena yang baru kerana pertama kalinya diperkenalkan untuk medan sosial. Friendster berfungsi untuk para penguna dapat berkenalan dan mencari rakan baru dari setiap pelosok dunia serta dapat mengenali pelbagai kaum dan bangsa. Pada tahun 2003 terbinanya laman sosial Linkedln untuk bersosial malah dapat mencari pekerjaan melaluinya. Selain itu, Myspace turut diperkenalkan untuk menawarkan kemudahan mengunakannya sehingga dikenali sebagai laman pengguna mesra kawan. Facebook juga telah dibina pada tarikh 28 Oktober 2003. pada Seterusnya pada tahun 2004, lahirnya Facebook yang menjadi sebuah laman sosial yang terkenal sehingga sekarang dan merupakan laman yang paling banyak penggunanya. Tahun 2006 terbinanya Twittter yang mempunyai perbezaan dengan laman sosial yang lain kerana setiap pengemaskinian status atau lebih dikenali sebagai tweet hendaklah tidak melebihi 140 patah perkataan berbanding Facebook yang tidak mempunyai had patah perkataan untuk pengemaskinian status pengguna.

Tahun 2007 lahirnya Wiser iaitu satu jaringan sosial pertama yang dibina untuk peringatan Hari Bumi (22 April 2007) yang diharapkan menjadi sebuah organisasi dalam talian seluruh dunia termasuk pergerakan golongan baik yang dilakukan oleh individu mahupun berkumpulan. Terbaru munculnya Google pusat mencari pelbagai maklumat secara meluas. Sejarah Google bermula pada tahun 1990-an, namun ia berkembang pantas pada tahun 2000-an. Dengan pengunaan Google, pengguna dapat mencari maklumat di hujung jari mereka sahaja. Pada awal kemunculannya, Google hanya dapat digunakan terhadap pengguna yang dijemput oleh Google sahaja, dan kini Google dapat dilancarkan dan digunakan secara umum.

Di samping itu, objektif kajian kedua adalah menentukan impak positif dan negatif Facebook terhadap hubungan Gen-Y di Malaysia. Melalui soal selidik, terdapat sepuluh penyataan yang dikemukakan kepada responden bagi mengkaji objektif kajian ini iaitu lima penyataan soal selidik dikemukakan untuk mengetahui impak positif manakala lima penyataan selebihnya bagi menentukan impak negatif Facebook terhadap hubungan Gen-Y di Malaysia.

Secara keseluruhan, analisis hasil kajian objektif kedua ini hanya merangkumi maklum balas purata bilangan responden yang menyatakan persetujuan mereka terhadap penyataan yang dilontarkan dalam soal selidik. Berdasarkan dapatan kajian, secara purata, terdapat 72. peratus responden menyatakan persetujuan mereka bahawa Facebook membawa impak positif terhadap hubungan Gen-Y di Malaysia. Kenyataan yang diajukan kepada responden dalam soal selidik termasuklah; dapat berkenalan dengan etnik lain, merapatkan komunikasi dengan etnik lain, menyetujui sesuatu perkara yang dimuatkan dalam Facebook, berkongsi maklumat dalam memperkenalkan adat dan budaya masing-masing, dan pertukaran ilmu dan idea dengan etnik lain. Di samping itu, 68 peratus responden bersetuju bahawa Facebook membawa impak negatif terhadap hubungan Gen-Y di Malaysia. Kenyataan mengenai impak negatif yang telah diajukan kepada responden ialah dapat mengakibatkan konflik dalam hubungan etnik, boleh mencetuskan isu sensitif agama, berupaya mengaibkan maruah individu, penggunaan bahasa slanga yang berleluasa dan berlaku penipuan melalui perniagaan dalam talian tanpa mengira etnik. Perbezaan peratusan purata responden bersetuju yang tidak begitu ketara iaitu 4.6 peratus menggambarkan bahawa Facebook membawa kedua-dua impak positif dan negatif terhadap hubungan Gen-Y di Malaysia. Hal ini kerana responden menganggap bahawa penilaian ini bergantung kepada pengguna masing-masing untuk pandai memilih dan menyerap impak Facebook agar sentiasa buang yang keruh, ambil yang jernih.

Hasil kajian objektif ketiga membincangkan kaedah dan strategi penggunaan Facebook dalam kehidupan Gen-Y di Malaysia. Soalan pertama adalah mempunyai kenalan berbeza etnik dan kajian menunjukkan hasil respon daripada responden terhadap kaedah penggunaan Facebook dengan mempunyai kenalan etnik yang berbeza. Kebanyakkan responden bersetuju bahawa mereka perlu mempunyai kenalan berbeza etnik di Facebook bagi mewujudkan perpaduan dalam golongan Gen-Y. Seramai 19 responden bersetuju dengan kenyataan tersebut. Seterusnya sebanyak sepuluh responden tidak pasti bahawa mereka perlu mempunyai kenalan berbeza etnik di Facebook manakala hanya seorang sahaja yang tidak bersetuju dengan kenyataan ini. Hasil yang didapati melalui kajian ini menunjukkan sebahagian besar bersetuju bahawa seseorang itu perlu mempunyai kenalan yang berbeza etnik.

Hasil kajian berkaitan reaksi responden terhadap kenyataan bahawa seseorang perlu memuat naik kenyataan yang benar dan tidak mencetuskan fitnah apabila menggunakan laman Facebook. Sebanyak 13 responden (43.3 peratus) bersetuju dan merasakan bahawa mereka seharusnya hanya memuat naik kenyataan yang benar dan tidak mencetuskan fitnah semasa menggunakan Facebook supaya tidak mencetuskan sebarang salah faham dan kesan buruk lainnya. Terdapat 11 responden (36.7 peratus) yang tidak pasti dan diikuti oleh enam responden (20 peratus) yang tidak bersetuju dengan kenyataan ini. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa majoriti berpendapat agar tidak memuat naik kenyataan yang boleh memecahbelahkan kaum atau masyarakat Malaysia.

Hasil kajian berkaitan kesedaran menghormati adat dan agama etnik lain menunjukkan sebanyak 20 responden (66.7 peratus) bersetuju dengan kenyataan bahawa seseorang perlu mempunyai kesedaran untuk menghormati adat dan agama etnik lain. Hal ini penting agar tidak mencetuskan pergaduhan atau salah faham antara etnik-etnik yang berbeza di Malaysia. Terdapat lapan responden (26.7 peratus) responden yang tidak pasti dengan kenyataan tersebut dan terdapat dua responden (6.7 peratus) yang tidak bersetuju dengan kenyataan ini dan merasakan tidak penting adanya kesedaran untuk meghormati etnik lain dalam penggunaan Facebook.

Hasil kajian berkaitan penggunaan bahasa dan perkataan yang mudah difahami oleh semua etnik menyatakan menggunakan bahasa dan perkataan yang mudah difahami oleh semua etnik adalah penting bagi mengelakkan berlakunnya salah paham dalam komunikasi antara etnik yang boleh mengancam kesejateraan kaum. Majoriti responden iaitu seramai 21 responden (7 peratus) bersetuju dengan kenyataan tersebut. Terdapat juga responden yang tidak pasti terdiri daripada enam responden (20 peratus) dan yang tidak setuju dengan kenyataan tersebut dan merasakan penggunaan bahasa tidak ada kaitan dalam menjaga keharmonian antara etnik adalah seramai tiga responden (10 peratus). Kajian ini menunjukkan masih ramai yang mempunyai kesedaran menjaga sentiviti etnik lain dalam mengekalkan hubungan yang baik sesama masyarakat.

Hasil kajian berkaitan kepentingan pengamalan etika penulisan yang baik semasa menggunakan Facebook menunjukkan seramai 22 responden yang bersetuju dengan kenyataan tersebut. Mereka merasakan etika penulisan yang baik adalah sangat penting supaya tidak menimbulkan sebarang masalah dan salah faham antara kaum dan masyarakat. Terdapat tujuh responden yang tidak pasti mengenai kenyataan tersebut dan diikuti dengan satu responden yang tidak setuju sama sekali dengan kenyataan ini. Majoriti responden menunjukkan bahawa pengamalan etika penulisan yang baik dan sopan adalah sangat penting bagi menjaga hati pembaca dan pengguna Facebook dan seterusnya melestarikan kesejahteraan kaum dan masyarakat Malaysia.


5.0 Kesimpulan

Dalam kajian ini, ketiga-tiga objektif telah berjaya dicapai melalui perbincangan hasil penyelidikan daripada soal selidik dalam talian terhadap 30 responden. Objektif pertama iaitu mengetahui sejarah perkembangan media sosial, hasil kajian mendapati bahawa penemuan media sosial telah dimulakan sejak zaman 70-an oleh Ward Christensen dan Randy Suess. Bagi media sosial Facebook yang menjadi fokus kajian ini pula diasaskan oleh Mark Zuckerberg pada 23 Oktober 2003 yang diguna pakai di Universiti Harvard. Seterusnya, data yang dianalisis bagi objektif kedua iaitu menentukan impak positif dan negatif Facebook terhadap hubungan Gen-Y di Malaysia menunjukkan responden bersetuju penggunaan Facebook meninggalkan kesan positif terhadap hubungan Gen-Y di Malaysia. Bagi impak negatif penggunaan Facebook terhadap hubungan Gen-Y di Malaysia, dua pertiga responden menyatakan persetujuan mereka. Di samping itu, bagi objektif ketiga iaitu untuk mengetahui kaedah dan strategi penggunaan Facebook dalam kehidupan Gen-Y di Malaysia, majoriti responden bersepakat bahawa penggunaan Facebook perlu disertai dengan nilai-nilai murni dan etika yang tinggi dalam diri pengguna.

Bahagian cadangan menyatakan bagi memastikan Gen-Y di Malaysia mempunyai masa hadapan yang baik, terdapat beberapa cadangan dikemukakan untuk memastikan bahawa penggunaan Facebook yang menjadi kegilaan masa kini menuju ke arah positif. Penggunaan Facebook seharusnya diiringi dengan kesedaran yang ada pada individu itu sendiri. Pengguna Facebook terutamanya dalam kalangan Gen-Y seharusnya mengamalkan etika yang baik tidak kira dari segi penulisan status yang dimuat naik mahupun sikap ketika mengulas status pengguna yang lain. Etika yang dijaga ini seterusnya dapat mengelakkan berlakunya fitnah dan pergaduhan sesama sendiri.

Seterusnya, golongan Gen-Y yang menjadi pewaris masa hadapan hendaklah menjadikan Facebook sebagai medium bagi masyarakat untuk membantu golongan yang memerlukan. Di samping itu, semangat patriotisme dalam kalangan Gen-Y boleh dipupuk apabila menggunakan Facebook dengan sebaik-baiknya. Terdapat beberapa situasi kritikal yang memerlukan golongan Gen-Y untuk mempertahankan nama negara daripada dicemari. Apabila munculnya pengguna-pengguna Facebook daripada negara lain menghamburkan kata-kata yang buruk mengenai Malaysia, rakyat seharusnya dengan berganding bahu membersihkan nama negara daripada terus-menerus menjadi bahan ejekan di media sosial. Dalam masa yang sama, etika yang tinggi mestilah sentiasa diaplikasikan dengan menegur mereka secara baik.


MZ Zainudin, Nurul Qamariyah Misbahul Munir, Irne Zainuddin, Nurul Fatehah Abdullah, Nur’ain Syamimi Karami, Mohamed Asraf Alam Obaidur Rahman

No comments:

Post a Comment