Tuesday, November 24, 2026

Kenapa perlu rajin belajar dan pandai?


Sejak tahun 1957 hingga sekarang, kerajaan telah memberi peruntukan belanjawan tahunan yang sangat besar kepada Kementerian Pendidikan.





Peruntukan yang besar ini telah digunakan untuk membentuk ekosistem pendidikan bagi membangunkan sumber manusia pada semua peringkat kehidupan, sama ada di bandar mahupun di luar bandar, tanpa mengira latar belakang ekonomi keluarga.

Pada tahun 1970, kadar kemiskinan di Malaysia adalah hampir separuh, iaitu 49.3 peratus. Angka ini sangat tinggi. Salah satu sebabnya ialah kitaran ganas kemiskinan yang belum dapat dihentikan. Keadaan ini sangat ketara di luar bandar, khususnya di kawasan kampung, pesisir pantai, ladang dan pedalaman.

Anak-anak petani dan nelayan telah terperangkap dalam kitaran ganas ini kerana tidak ada mekanisme yang dapat membantu mereka keluar daripada kitaran tersebut. Petani yang mengusahakan tanah untuk menanam padi, membajak sawah dan meneroka hutan telah mewariskan pekerjaan ini kepada anak cucu mereka. Gambaran kehidupan petani ini dapat kita baca dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad yang mengingatkan kita tentang kehidupan masyarakat di kampung kelahiran beliau, iaitu Kampung Banggol Dedap, Sik, Kedah.

Kesukaran hidup tanpa penyelesaian telah menyebabkan anak-anak petani di kampung membesar dalam suasana kehidupan desa dengan rutin harian sebagai pengusaha sawah. Tanpa faktor pendorong untuk memecahkan kitaran ganas ini, kehidupan sebagai petani akan terus diwarisi oleh generasi anak cucu.

Salah satu pendekatan yang sangat berkesan untuk memutuskan kitaran ini adalah dengan membawa anak-anak petani, peladang, buruh dan nelayan keluar daripada kitaran tersebut melalui ekosistem pendidikan negara. Kerajaan menggunakan seribu cara untuk meyakinkan ibu bapa tentang keperluan memberikan peluang pendidikan kepada anak-anak mereka supaya dapat meneroka dunia kehidupan baharu yang akan mengubah dimensi kehidupan keluarga.

Di luar bandar, anak-anak digalakkan hadir ke sekolah melalui penyediaan berbagai-bagai jenis bantuan percuma. Bantuan seperti buku teks, buku tulis, pakaian seragam sekolah, malah makanan untuk murid telah disediakan bagi membantu mereka sepanjang tempoh persekolahan. Dalam kalangan anak-anak kampung ini, ada yang pintar dan ada juga yang agak lemah dalam pelajaran. Namun demikian, kerajaan telah memberikan peluang kepada semua anak untuk mendapatkan pendidikan di sekolah.

Apa yang dihasratkan oleh kerajaan adalah supaya ibu bapa menghantar anak masing-masing ke sekolah. Jika sekolah terletak jauh dari rumah dan murid menghadapi kesukaran untuk ke sekolah, kerajaan menyediakan asrama sebagai tempat penginapan. Tidak lain dan tidak bukan, kemudahan ini disediakan sebagai dorongan untuk memudahkan murid-murid mengikuti sesi persekolahan mereka. Di sekolah, kerajaan menyediakan guru dan kemudahan yang sesuai supaya murid di seluruh negara mendapat peluang pendidikan yang saksama berdasarkan sukatan pelajaran yang ditetapkan.

Dari semasa ke semasa, elemen-elemen dalam sistem pendidikan telah ditambah baik. Contohnya, jalan kampung telah dinaik taraf bagi memudahkan perjalanan ke bandar, perkhidmatan pengangkutan awam diperluas dan penerbitan buku-buku rujukan dipertingkatkan. Secara tidak langsung, ibu bapa dapat melihat sendiri perkembangan dan kemajuan pendidikan ini di hadapan mata mereka. Justeru, mereka dapat merasai kesungguhan anak-anak belajar di sekolah dan menilai prestasi pembelajaran anak-anak mereka.

Kerajaan turut menarik anak-anak yang pintar untuk memasuki sekolah-sekolah berprestasi tinggi supaya mereka dapat dibangunkan sebagai tenaga kerja profesional dalam sektor awam dan swasta, termasuk sebagai pegawai dan teknokrat. Kerajaan menubuhkan sekolah berasrama penuh di pelbagai negeri untuk menempatkan pelajar yang cemerlang dalam pelajaran. Majlis Amanah Rakyat (MARA) pula telah membina Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang pertama di Seremban sebelum memperluas penubuhannya ke seluruh negara bagi memberikan peluang pendidikan kepada pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik, khususnya daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah.

Sehingga tahun 1990-an, pelajar-pelajar lulusan sekolah berasrama penuh yang pintar dan cemerlang telah dihantar untuk melanjutkan pengajian ke luar negara dengan pembiayaan penuh. Mereka ditempatkan di universiti-universiti ternama dan diberikan biasiswa, manakala keputusan peperiksaan mereka dipantau pada setiap semester. Kerajaan juga mencari destinasi baharu untuk menghantar pelajar pintar melanjutkan pengajian.

Salah satu dasar yang agak popular pada suatu ketika dahulu ialah Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan semasa pentadbiran Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Ribuan pelajar cemerlang telah dihantar untuk menguasai ilmu sains dan teknologi di Jepun dan Korea Selatan. Di samping mengikuti pendidikan formal, para pelajar ini turut digalakkan mendalami dan menghayati amalan terbaik masyarakat kedua-dua negara, seperti disiplin dan budaya kerja keras. Dasar ini diperkenalkan seiring dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju, dihormati dan disegani.

Kini, kitaran ganas kemiskinan yang sekian lama membelenggu masyarakat luar bandar telah berjaya diputuskan bagi banyak keluarga. Rantaian kemiskinan yang dahulunya sukar diputuskan semakin dapat diatasi. Perangkaan tahunan menunjukkan kadar kemiskinan yang semakin menurun. Pada tahun 2024, kadar kemiskinan mutlak ialah 5.1 peratus, manakala kadar kemiskinan tegar ialah 0.09 peratus.

Generasi datuk, nenek, ibu dan bapa terdahulu kini dapat melihat anak cucu mereka tidak lagi semata-mata mewarisi pekerjaan sebagai petani dan nelayan. Sebaliknya, ada yang menjadi pakar teknologi maklumat (IT), pakar ekonomi dan golongan profesional. Malah, ada juga yang menjadi jutawan. Usaha memutuskan rantaian kemiskinan ini telah mengambil masa satu generasi dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.

Usaha memperluas peluang pendidikan turut mendorong penubuhan lebih banyak institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Terdapat 20 universiti awam yang menawarkan pelbagai bidang pengajian, antaranya sains, teknologi, perubatan, ekonomi, undang-undang dan pengajian Islam. Semua disiplin ilmu ini sangat penting untuk memajukan masyarakat dan negara.

Rakyat yang berilmu sudah tentu dapat menyumbang kepada kemakmuran negara kerana ilmu membolehkan seseorang menjana pendapatan yang lebih tinggi, membentuk pemikiran yang lebih matang dan mewujudkan lebih banyak peluang pelaburan. Akhirnya, masyarakat kita berupaya bersaing di peringkat global.

Kembali kepada persoalan mengapa kita perlu belajar dengan rajin dan menjadi pandai. Jawapannya adalah untuk menjadikan masyarakat kita sebagai penjana kemajuan berasaskan ilmu yang mampu meningkatkan kualiti hidup ke arah kesejahteraan bersama.

No comments:

Post a Comment