Wednesday, July 01, 2026

Adakah rakyat benar-benar sejahtera dengan KDNK per kapita AS$15,000?

Pengumuman bahawa Malaysia berjaya melepasi paras Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita sebanyak AS$15,000 pada tahun 2026 merupakan satu berita yang wajar dibanggakan. Berdasarkan data Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), pencapaian ini menandakan ekonomi negara terus berkembang dan semakin hampir untuk mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi. Malah, terdapat jangkaan bahawa Malaysia mampu mencapai KDNK per kapita AS$20,000 sekitar tahun 2030 hingga 2032 sekiranya momentum pertumbuhan dapat dikekalkan.

Di atas kertas, angka ini kelihatan sangat memberangsangkan. Namun sebagai seorang penyelidik sosioekonomi, saya berpendapat bahawa persoalan yang lebih penting bukanlah "berapa besar ekonomi negara?", tetapi "siapa yang benar-benar menikmati hasil pertumbuhan tersebut?"

Di sinilah kita perlu membezakan antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

KDNK per kapita ialah ukuran purata nilai pengeluaran ekonomi yang dibahagikan dengan jumlah penduduk. Ia berguna untuk membuat perbandingan antara negara, namun ia bukan ukuran langsung terhadap taraf hidup setiap individu. Dalam erti kata lain, purata yang tinggi tidak semestinya bermaksud semua rakyat memperoleh pendapatan yang tinggi.

Bayangkan sebuah keluarga mempunyai lima orang anak. Seorang memperoleh pendapatan RM50,000 sebulan, manakala empat yang lain masing-masing hanya memperoleh RM2,000. Secara purata, pendapatan keluarga tersebut kelihatan tinggi. Namun realitinya, majoriti ahli keluarga masih hidup dalam keadaan sederhana. Begitulah juga sifat KDNK per kapita.

Malaysia sememangnya mempunyai banyak sebab untuk optimis. Pertumbuhan ekonomi pada suku pertama 2026 mencecah 5.4 peratus, inflasi kekal rendah sekitar 1.9 peratus, pelaburan swasta terus berkembang dan sektor berteknologi tinggi seperti semikonduktor, kecerdasan buatan, pusat data serta ekonomi digital semakin rancak. Semua ini menunjukkan asas ekonomi negara semakin kukuh.

Namun pertumbuhan ekonomi tidak semestinya bergerak seiring dengan peningkatan kesejahteraan isi rumah. Ramai rakyat masih berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi, harga rumah yang sukar dicapai, peningkatan kos pendidikan, perbelanjaan kesihatan yang semakin mahal serta ketidaktentuan pekerjaan. Dalam keadaan sedemikian, angka KDNK yang tinggi mungkin tidak banyak mengubah kehidupan harian mereka.

Artikel Berita Harian yang memetik pandangan Ketua Ahli Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed, turut menekankan bahawa produktiviti merupakan faktor paling penting untuk memastikan Malaysia mencapai KDNK per kapita AS$20,000. Kenyataan ini amat tepat. Sesebuah negara tidak boleh bergantung kepada pertumbuhan ekonomi semata-mata tanpa meningkatkan produktiviti pekerja, inovasi dan kecekapan industri.

Namun produktiviti juga tidak seharusnya dinilai hanya melalui keuntungan syarikat atau peningkatan output. Produktiviti yang benar-benar berkualiti ialah apabila peningkatan hasil ekonomi diterjemahkan kepada kenaikan gaji, peluang pekerjaan yang lebih baik dan peningkatan taraf hidup rakyat secara menyeluruh.

Di sinilah wujud satu cabaran besar yang sering dibincangkan oleh ahli ekonomi, iaitu fenomena growth without inclusive prosperity. Ekonomi berkembang, keuntungan korporat meningkat dan pelaburan asing bertambah, tetapi manfaatnya tidak diagihkan secara seimbang kepada masyarakat. Akibatnya, jurang pendapatan terus melebar walaupun negara mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan.

Selain itu, artikel tersebut juga tidak menyentuh secara mendalam mengenai ketidaksamaan antara wilayah. Negeri-negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang menikmati pembangunan ekonomi yang jauh lebih pesat berbanding sebahagian negeri lain. Jika pertumbuhan hanya tertumpu di beberapa kawasan, purata pendapatan negara akan meningkat tetapi jurang pembangunan wilayah akan terus melebar.

Begitu juga dengan isu mobiliti sosial. Adakah anak daripada keluarga berpendapatan rendah mempunyai peluang yang sama untuk menikmati pendidikan berkualiti, pekerjaan bernilai tinggi dan peningkatan pendapatan? Persoalan ini jauh lebih penting daripada sekadar mengejar sasaran KDNK per kapita.

Satu lagi aspek yang sering terlepas pandang ialah kesan kadar pertukaran ringgit. Oleh kerana KDNK per kapita diukur dalam dolar Amerika Syarikat, pengukuhan atau penyusutan nilai ringgit boleh mempengaruhi angka tersebut. Ringgit yang lebih kukuh akan meningkatkan nilai KDNK per kapita dalam dolar AS, manakala penyusutan ringgit boleh menyebabkan angka itu kelihatan lebih rendah walaupun ekonomi domestik masih berkembang. Oleh itu, sasaran AS$20,000 bukan sekadar bergantung kepada prestasi ekonomi, tetapi juga kepada kestabilan mata wang.

Apa yang lebih penting ialah bagaimana kita mentafsir kejayaan ekonomi negara. Adakah kejayaan itu hanya diukur melalui angka KDNK, atau melalui kehidupan rakyat yang semakin baik? Sebuah negara boleh mempunyai ekonomi yang besar, tetapi jika sebahagian besar rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup, pekerjaan tidak stabil dan peluang ekonomi yang terhad, maka pencapaian tersebut masih belum lengkap.

Di sinilah letaknya sedikit "karikatur ekonomi" yang sering kita lihat. Negara diisytiharkan semakin kaya, tetapi rakyat masih membandingkan harga ayam di tiga pasar raya sebelum membeli. Statistik menunjukkan pendapatan per kapita meningkat, tetapi ramai pekerja masih menunggu gaji masuk sebelum mengisi minyak atau membayar ansuran rumah. Ekonomi berkembang megah dalam laporan tahunan, namun di media sosial rakyat masih berkongsi petua berjimat cermat untuk menghadapi hujung bulan. Seolah-olah negara sedang berlari dalam acara pecut, tetapi sebahagian rakyat masih tercari-cari kasut untuk turut sama berlari.

Hakikatnya, KDNK per kapita AS$15,000 merupakan pencapaian yang wajar diraikan kerana ia mencerminkan kekuatan asas ekonomi Malaysia. Namun sasaran AS$20,000 tidak seharusnya menjadi penamat, sebaliknya satu penanda aras ke arah ekonomi yang lebih inklusif, produktif dan berdaya tahan.

Akhirnya, kejayaan sebenar bukanlah apabila Malaysia berjaya menambah beberapa ribu dolar lagi pada angka KDNK per kapita. Kejayaan sebenar ialah apabila lebih ramai rakyat mampu membeli rumah pertama, menyimpan untuk hari tua, memperoleh pekerjaan yang bermaruah, menikmati pendidikan berkualiti dan membesarkan keluarga tanpa dibayangi kebimbangan tentang kos sara hidup. Ketika itulah statistik ekonomi bukan sahaja kelihatan indah di atas kertas, malah benar-benar dirasai dalam kehidupan seharian rakyat.

No comments:

Post a Comment