Thursday, April 02, 2020

Mufti orang Johor







Barangkali ramai yang sudah tahu yang Mufti Brunei yang pertama adalah orang Johor. Beliau adalah (Almarhum) Pehin Datuk Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz. 

Kali pertama Allahyarham ke Brunei ialah pada tahun 1954 untuk meninjau cadangan bagi mendirikan sekolah agama di Brunei. Bersamanya adalah Allahyarham Haji Muhammad Sa’id, bekas ketua pemeriksa sekolah-sekolah agama kerajaan Johor. 

Kedatangan kali kedua pada tahun 1962 adalah sebagai pegawai pinjaman kepada kerajaan Brunei sebagai Mufti Kerajaan, satu tanda Raja Johor bermurah hati meminjamkan Allahyarham kepada Brunei. 

Ia adalah budi bicara dan inisiatif raja-raja Johor dan Brunei dalam beragama dan menghargai ulama. Berdasarkan catatan dalam daftar fatwa di Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam dari tahun 1962 hingga 1993, fatwa yang telah dihasilkan menjangkau sehingga 1753 siri. 

Semasa menemubual menantu Allahyarham, Dr Abdul Kadir di Bandar Seri Begawan, beliau menyifatkan bapa mertuanya seorang yang pendiam dan kurang banyak bercakap membuatkan orang yang berurusan dengannya berasa segan dan hormat. 

Ketika di hospital, Allahyarham umpama tidak sakit kerana menguruskan pelbagai jenis surat dan mencari penyelesaian masyarakat ketika itu. Menantunya menyediakan kotak masuk dan keluar surat supaya urusan mufti dapat berjalan dengan lancar. 

Allahyarham diangkat sebagai tokoh besar di Brunei, seringkali diziarah oleh Sultan Brunei ketika di hospital, seterusnya diperkenan untuk disemadikan di Kubah Makam Diraja Brunei pada 4 Februari 1993.

No comments:

Post a Comment