Saturday, December 28, 2019

Travel dari Brunei ke Labuan







Labuan adalah sebuah pulau kecil yang tidak jauh dari Brunei. Pengunjung boleh ke Labuan melalui feri yang disediakan di Terminal Feri Serasa, Muara, Brunei sama ada waktu pagi atau petang. Perjalanan Ke Labuan bermula pukul 8.30 pagi dari Muara menggunakan feri Suria.

Terminal Feri Serasa telah ditambah baik, dibesarkan dan lebih selesa. Suasana muram dan kurang berseri ditukar kepada lebih ceria, moden dan teratur.

Pengunjung boleh meletakkan kenderaan mereka di kawasan parkir yang disediakan. Jika mereka mahu bermalam di Labuan, caj parkie B$5 sehari dikenakan. Jika tiga hari kereta ditinggalkan di situ, mereka perlu membayar B$15. Kenderaan yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat kerana kawasan parkir adalah kawasan berpagar.

Pengunjung yang menggunakan bas, mereka boleh turun di hentian bas yang disediakan.

Di kawasan kaunter tiket, terdapat tiga kaunter jualan termasuk kaunter bagi mereka yang mahu membawa kenderaan ke Labuah dengan Shuttle Hope. Di sebelah kaunter ini terdapat kaunter tukaran wang yang dibuka sebelah pagi hingga petang.

Harga tiket bagi dewasa adalah B$15 seorang, kanak-kanak 3 tahun hingga 12 tahun sebanyak B$10 seorang dan bayi sehingga berumur 2 tahun adalah percuma. Setiap penumpang dikenakan caj perkhidmatan terminal sebanyak B$2 termasuk bayi. Tiket yang dibeli perlu diletakkan di dalam pasport untuk pemeriksaan polis dan petugas feri bagi memastikan bilangan penumpang yang tepat.

Kemudahan kerusi untuk pengunjung juga lebih banyak dan teratur. Mereka boleh pilih kerusi yang mahu diduduki mengikut keselesaan.

Di hadapan pintu masuk ke kaunter kastam dan imigresen terdapat sebuah gerai cenderamata yang kecil. Saya dapati tidak banyak gerai di sini walaupun ruang terminal kelihatan luas.

Pintu masuk ke kaunter kastam dan imigresen sangat hampir dengan pintu masuk ke laluan feri. Terdapat sebuah kaunter kastam yang akan memeriksa barangan pengunjung bagi memastikan tidak ada barangan tegahan yang dibawa keluar seperti telur masin. Biasanya urusan di sini berjalan lancar.

Feri yang saya naik ini tidak memiliki nombor kerusi, jadi semua penumpang bebas memilih tempat duduk masing-masing. Saya memilih tempat duduk di hadapan supaya lebih senang dan cepat keluar apabila tiba di Labuan.

Sepanjang perjalanan, penumpang akan dihiburkan dengan tayangan filem aksi kerana tempoh perjalanan satu jam tanpa aktiviti amat membosankan.

Di pertengahan perjalanan iaitu antara sempadan laut Brunei dan Malaysia, krew feri akan menurunkan bendera Brunei dan menaikkan bendera Malaysia. Ia berlaku setiap kali feri bertukar sempadan negara.

Di Terminal Feri Antarabangsa Labuan, keadaan terminal jauh lebih meriah kerana ketibaan penumpang dari Brunei, Menumbok, Limbang, Lawas dan Kota Kinabalu. Bagi penumpang dari Brunei, Limbang atau Lawas, mereka perlu ke kaunter masuk imigresen dan kastam.

Selepas itu, penumpang bergerak ke laluan keluar dan disambut oleh beberapa buah kaunter kereta sewa dan hotel. Ada berbagai-bagai jenis kereta sewa dengan harga berbeza. Jika kita berminat dengan kereta yang kecil dan separuh hari, kita boleh pilih dan akan dapat serta-merta.

Di bahagian luar terminal, terdapat banyak gerai jualan makanan dan minuman serta kedai coklat. Terdapat bahagian kaunter jualan tiket, bilik air, simpanan bagasi dan tempat tunggu ke destinasi. Susun atur terminal feri yang baru ini lebih selesa berbanding terminal feri lama di sebelahnya.

Terminal feri lama terbiar tanpa digunakan kecuali terdapat sebuah kedai bebas cukai coklat dan agensi pelancongan. Di hujung terminal feri ini terdapat restoran Melayu yang menghidangkan pelbagai masakan tengah hari.

Restoran Raff memang sedap dan kita akan dapat melihat pemandangan jeti terminal lama dan baru. Sekiranya kita tidak perasan, sukar mencari restoran ini kerana papan tanda di luar restoran masih menggunakan papan tanda presmis lama berbahasa Inggeris dan bertulisan Cina. Kita hanya akan masuk apabila ternampak dua tiga orang pekerja restoran wanita yang memakai tudung dan juga pelanggan wanita Islam yang bertudung.

Paling menarik di Restoran Raff ini ialah bentuk nasi segitiga yang dihidangkan kepada pelanggan. Nasi separuh berbentuk semi bulat.

Di sebelah Restoran Raff terdapat sebuah surau yang agak besar untuk kegunaan masyarakat sekitar.

Kali pertama saya menjejakkan kaki ke Labuan selepas hampir sepuluh tahun adalah persekitaran yang bersih. Tidak banyak sampah yang kelihatan di kawasan terminal dan sekitarnya. Namun saya perasan keadaan jalan raya semakin sesak.

Berjalan-jalan sekitar kawasan gerai, kebanyakan kedai di hadapan terminal feri menjual minuman alkohol dan rokok bebas cukai. Terdapat pelbagai jenis minuman alkohol di sini yang dijual oleh peniaga etnik Cina. Rata-ratanya mereka mendominasi penjualan arak. Tidak terdapat penjual Islam yang menjual arak kerana minuman keras ini diharamkan dalam agama Islam.

Selain minuman alhokol berjenama, jenama Tiger, Heineken dan Carlsberg juga banyak dijual. Ia menjadi pemandangan biasa jika kita nampak berkotak-kotak minuman Heineken diletakkan pada kaki tangga khususnya berhampiran kelab malam.

Labuan memiliki banyak kelab malam sama ada kecil atau besar, baru atau lama dari satu bangunan ke satu bangunan.

Rokok juga sangat mudah dilihat di sini. Saya dapati suasana yang janggal semasa berjalan di sekitar pekan Labuan iaitu kebanyakan lelaki sama ada muda atau lanjut usia dilihat santai menghisap rokok. Di restoran merokok, di kaki lima merokok, menunggu penumpang teksi pun merokok, berjalan-jalan sambil merokok, menunggu bas pun merokok dan memandu kereta sambil merokok.

Merokok adalah pemandangan biasa di Labuan ketika ini.

Status bebas cukai menjadikan harga rokok dan arak relatifnya lebih murah di Labuan.

Dari segi pembangunan infrastruktur, Labuan menunjukkan perubahan yang ketara. Kini lebih banyak hotel bajet dibuka bagi memenuhi permintaan pelancong. Di kawasan sekitar hotel ini terdapat kedai dobi layan diri 24 jam pada harga yang lebih mahal sedikit. Untuk mencuci pakaian, biasanya berharga enam ringgit dan mengering pada harga lima ringgit.

Selain itu, hampir semua bank utama berada di sini.

Perubahan yang jelas ialah pembinaan Urban Transformation Centre (UTC) yang menempatkan agensi kerajaan, pasar, restoran dan kedai. UTC memudahkan orang ramai berurusan dengan kerajaan dan membeli-belah barangan keperluan seharian.

Ujana Kewangan juga semakin aktif dengan pembukaan banyak kiosk di aras bawah. Penjualan pelbagai jenis barang dapat menarik lebih ramai pengunjung untuk datang ke kompleks tersebut. Kewujudan kiosk yang banyak juga disumbangkan oleh pertambahan pejabat dan pekerja di situ.

Jalan raya sekitar pulau Labuan semakin baik, bertar dan menghubungkan semua laluan utama. Terdapat projek menaik taraf jalan raya yang dilakukan di banyak laluan.

Saya memilih untuk makan ketam segar di Anjung Ketam Kampung Nagalang, tidak jauh dari lapangan terbang. Di sini hanya da satu gerai yang menyediakan masakan laut khususnya ketam dan ikan. Saya memilih ketam dan ikan segar untuk makanan tengah hari. Memang sedap dan menyelerakan. Sebelum itu, pada sebelah malamnya saya menjamu selera ketam segar di Mr Crab Seafood & Steamboat Restaurant.

Harga tiket dari Labuan ke Brunei lebih murah. Feri paling akhir bertolak pukul 3.30 petang.

Saya akan datang lagi ke Labuan untuk makan ketam segar dan murah.

No comments:

Post a Comment