Thursday, February 22, 2018

Rakyat bijak, rasuah rendah







Saya bertanya kepada pelajar tentang keinginan mereka untuk berhijrah ke negara luar. Soalannya begini: Sekiranya kamu diberi pilihan memilih negara luar  untuk berhijrah, negara manakah yang menjadi pilihan?

Berbagai-bagai ragam jawapan yang saya dapat. Antaranya ialah Amerika Syarikat, Jerman dan Australia. Kebanyakannya meletakkan sasaran negara maju, jauh sekali negara-negara dunia ketiga atau negara membangun.

Lalu seorang pelajar merumuskan begini: Jika kita memilih negara yang rakyatnya lebih bijak, kita akan terasa lebih dungu. Jika kita memilih negara yang rakyatnya dungu, kita akan terasa lebih bijak.

Daripada rumusan ini, kami membuat perbincangan tentang ciri-ciri negara yang rakyatnya lebih bijak. Perbincangan ini lebih kepada menguji kecerdasan minda supaya pelajar-pelajar dapat berfikir negara manakah yang sepatutnya menjadi piihan mereka.

Perbezaan antara negara yang rakyatnya bijak dan dungu terletak pada tiga komponen iaitu kadar rasuah, bilangan universiti dan tahap pendapatan.

Negara yang memiliki kadar rasuah yang rendah menunjukkan rakyatnya mengamalkan nilai hidup yang hebat iaitu bersabar untuk mencapai kejayaan dan mementingkan moral hidup.

Bilangan universiti yang banyak menunjukkan rakyat negara itu suka kepada ilmu dan mahu mencetuskan perubahan. Negara itu juga mungkin lebih maju dalam inovasi dan teknologi.

Tahap pendapatan tinggi berkait dengan dua ciri sebelum ini. Ia menunjukkan impak terhadap masyarakat dan negara apabila kadar rasuah  menjadi rendah dan lebih banyak rakyat yang mahu belajar sehingga ke universiti.

Ketiga-tiga komponen ini, anehnya wujud dalam kebanyakan negara yang umat Islam bukan majoriti dan Islam tidak pun menjadi agama rasmi negara mereka. Finland, sebuah negara yang hebat dalam pendidikan di dunia memiliki kadar rasuah paling rendah dan tahap pendapatan penduduk yang tinggi.

Rangsang minda kita untuk berfikir tentang masyarakat yang bukan Islam tetapi mengamalkan nilai-nilai yang digalakkan oleh Islam, kehidupan mereka lebih maju kehadapan berbanding kehidupan masyarakat Islam yang seringkali dikaitkan dengan rasuah, tahap pendidikan yang rendah dan tidak mempunyai wang yang banyak unutk kehidupan mereka.
Post a Comment