Tuesday, February 13, 2018

Ketatkan Akta Pekerjaan lindungi pembantu rumah







Dari semasa ke semasa, kita dikejutkan dengan kematian pembantu rumah warga asing. Kes terbaru melibatkan kematian pembantu rumah dari Indonesia, Adelina Lisao yang mati didera majikannya. Biarpun beliau diselamatkan polis daripada didera di Taman kota Permai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, keadaannya terlalu parah untuk diselamatkan.

Penderaan ke atasnya telah menyebabkan kecederaan di kepala. muka dan kedua-dua kaki.

Kes penderaan pembantu amah kerap mendapat liputan media dan menjadi perhatian ramai. Tanpa mengira latar belakang majikan yang mendera, kebanyakan amah tidak berupaya lari daripada deraan berkenaan.

Pelbagai bentuk deraan ini seperti ditampar pada muka, dipukul pada badan dan ditendang. Selain itu, bentuk deraan yang tidak dapat dikesan serta-merta adalah disuruh tidur di luar rumah atau dikurangkan jumlah makanan yang sepatutnya.

Ada juga yang diminta bekerja lebih masa tanpa rehat yang cukup.

Penderaan yang bersifat fizikal lebih berat daripada mental kerana pembantu rumah ini kadangkala tidak tahu di mana hendak mendapatkan rawatan. Mungkin kerana mereka tidak tahu di mana farmasi atau klinik yang berdekatan atau tidak mempunyai wang untuk membeli ubat kerana majikan tidak pernah memberi gaji.

Nasib pembantu rumah seringkali tidak dibela jika mereka sendiri tidak bertindak awal. Ada dalam kalangan mereka yang baru kali pertama ke negara ini hanya mengharapkan majikan menguruskan segala keperluan makan minum, pakai dan sakit. Jika majikan buat-buat tidak tahu, kesihatan mereka sudah pasti terjejas dan tidak lagi produktif. Akibatnya mereka tidak berdaya untuk bekerja.

Berbalik kepada majikan yang mendera ini, biasanya mereka menganggap pembantu rumah boleh dieksploitasi melakukan pelbagai kerja malah hingga lebih masa tanpa ada masa rehat secukupnya.

Kerenah majikan yang sebegini mengundang bahaya kepada pembantu rumah yang benar-benar mengharapkan pekerjaan supaya dapat menghantar wang kepada keluarga. Peringkat awal mungkin ditawarkan pelbagai janji manis namun lama-kelamaan tidak dibayar gaji yang sepatutnya diterima.

Punca kepada penyelesaian masalah ini boleh bermula pada akta atau undang-undang yang lebih tegas dan memihak kepada keadilan kedua-dua pihak iaitu majikan dan pembantu rumah. Persepsi majikan bahawa pembantu rumah umpama “hamba” wajar ditukar kerana pada hakikatnya pembantu rumah sama seperti pekerjaan yang lain iaitu menguruskan hal ehwal domestik rumah tangga.

Walaupun majikan mempunyai kawalan yang meluas ke atas corak kerja pembantu rumah, akta yang digubal sepatutnya berupaya mengehadkan tingkah laku majikan dan menunaikan hak-hak pembantu rumah yang sepatutnya ada pada mereka.

Media juga berperanan menyebarkan maklumat dan berita berkaitan penderaan pembantu ini. Dalam kes Yim Pek Hua dengan Nirmala Bonat, majikan Nirmala telah dikenakan hukuman 18 tahun penjara. Ada juga kes yang melibatkan kemarahan pembantu rumah akibat tidak tahan didera dan tidak dibayar gaji berbulan-bulan. Sekurang-kurangnya liputan yang meluas ini menjadi peringatan kepada majikan yang mahu mendera pembantu rumah supaya berjaga-jaga kerana jika tidak mereka juga akan menerima nasib yang seperti Pek Hua yang merengkok dalam penjara.

Penderaan pembantu rumah bukan sahaja memberi persepsi negatif kepada industri ini malah menjejaskan imej negara dan hubungan diplomatik antara negara. Tindak balas negara pengeksport pembantu rumah boleh sahaja berlaku bila-bila masa sebagai hukuman kepada negara penerima supaya lebih tegas ke atas majikan yang mendera ini.



Post a Comment