Tuesday, January 30, 2018

Ubah mentaliti penghuni PPR








Kehidupan di pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) tidak sedamai dan setenteram di kawasan taman perumahan. Berbagai-bagai jenis dan watak penghuni yang tinggal di aras bawah hingga paling atas adalah penentu kepada damai dan tenteram sesebuah PPR.

Kediaman bertingkat seperti PPR sentiasa ada masalah. Bermula dari butang lif yang hilang atau rosak hinggalah membuang kerusi dari tingkat 16, semuanya menunjukkan refleksi pemikiran dan sikap penghuni PPR.

Butang lif hilang kerana penghuni lebih gemar mengguna jari kaki untuk menekan panel lif atau menggunakan “tendangan kung fu” untuk “kesan yang hebat”. Akhirnya semua orang tidak dapat menggunakan lif termasuk yang menendang tadi.

Kes yang mudah ini berkait rapat dengan mentaliti penghuni PPR sendiri. Rata-ratanya adalah golongan berpendapatan rendah, ahli keluarga yang ramai dan sebagainya suka mengamalkan budaya tidak peduli dengan orang sebelah.

Apa-apa yang berlaku kepada jiran sebelah rumah enggan diambil tahu. Sakit demam atau kematian juga tidak diendahkan malah diswastakan sahaja kepada agensi kerajaan atau organisasi sukarelawan.

Ada juga motosikal yang patut diletakkan di bawah dibawa naik ke atas untuk parkir. Nasib baik lif tidak muat untuk membawa kereta “bersiar-siar” di tingkat 20.

Mentaliti dan sikap penghuni PPR boleh diubah.

Perubahan dari dalam bermula apabila penghuni PPR sendiri yang mengambil inisiatif mengubah persepsi semua penghuni. Ia harus bermula dari dalam PPR sendiri sama ada melibatkan persatuan penduduk atau sekumpulan penghuni yang prihatin.

Perubahan juga boleh berlaku dari luar. Cara ini melibatkan agensi penguatkuasa dan pihak berautoriti yang menggerakkan usaha menyedarkan penghuni PPR tentang keadaan sebenar kehidupan mereka.

Kedua-dua perubahan ini boleh dikatakan sebagai proses intervensi untuk melemahkan dan mengurangkan kes-kes atau budaya negatif yang melingkari kehidupan penduduk PPR. Budaya negatif ini boleh jadi di fikiran, emosi, jiwa atau tingkah laku penghuni PPPR di semua peringkat umur.

Keberkesanan proses intervensi in bergantung kepada strategi dan kaedah pelaksanaan. Ia juga perlu diambil kira strategi yang sesuai untuk golongan muda, pelajar dan kanak-kanak supaya budaya lama dapat dihilangkan dan diganti dengan budaya baru.

Di sinilah letaknya kesungguhan dan kreativiti pelaksana untuk mengubah suasana kehidupan penghuni PPR. Suasana lesu dan kuyu PPR boleh diubah dengan kolaborasi pelbagai pihak supaya tragedi “kerusi terbang” di PPR Seri Pantai tidak berulang. Ia mungkin bermula dengan membuang sampah bersaiz kecil seperti plastik, botol kicap atau kotak-kotak kosong. Namun membuang kerusi adalah kes yang luar biasa yang tidak pernah berfikir.


Post a Comment