Wednesday, January 31, 2018

Aceh tegas laksana etika pakaian ikut syariat







Arahan pentadbiran wilayah Aceh ke atas pengendali pesawat agar memastikan setiap anak kapal mematuhi etika pakaian syariah ketika berada di wilayah itu menunjukkan ketegasan yang sangat nyata. Setidak-tidaknya mereka amat mengambil berat pelaksanaan syariat Islam di Aceh.

Salah satu pesawat dari Malaysia adalah Air Asia. Umum mengetahui anak-anak kapal pesawat ini terutama wanita memakai pakaian yang mendedahkan sebahagian pangkal kaki. Kadangkala rambut yang pelbagai fesyen menarik perhatian anak mata lelaki berhidung belang yang ingin mencuci mata masing-masing.

Dalam penerbangan biasa (kecuali penerbangan khas umrah dan haji), anak-anak kapal wanita Air Asia mengenakan pakaian sendat yang mendedahkan bentuk badan.

Keluarga yang membawa anak-anak terpaksa memujuk anak-anak dengan melalaikan mereka bersama aktiviti lain supaya anak-anak tidak memerhati cara berpakaian anak-anak kapal ini. Orang-orang beriman yang berkopiah dan berjanggut juga melirik jauh mata mereka daripada memerhati anak-anak kapal wanita itu supaya tidak muncul titik-titik hitam dalam hati mereka.

Ketegasan pentadbir wilayah Aceh dalam isu ini amat dihargai.

Nampaknya mereka tidak berkompromi dengan pelaksanaan syariat Islam biar pun atas nama perniagaan yang menguntungkan iaitu kedatangan pelancong yang semakin ramai. Tidak seperti sesetengah negara yang mempunyai satu dua pemimpin yang tidak peduli dosa atau pahala dengan membenarkan penjualan minuman keras atau percampuran lelaki dan wanita yang mencetuskan bunga-bunga maksiat ketika persembahan artis.

Aceh merupakan wilaya istimewa di Indonesia. Ia diberi kebenaran melaksanakan undang-undang syariah selepas perseteruan yang berpanjangan dengan Jakarta. Pelaksanaan syariat Islam ini telah dikenakan ke atas pesalah judi, khalwat dan zina iaitu disebat di hadapan khalayak. 

Pelaksanaan undang-undang syariat Islam secara konsisten di Aceh menandakan keupayaan mereka untuk menjadikan masyarakat di sana mengikut cara hidup Islam. Namun begitu, masih banyak perkara yang perlu diselesaikan seperti kemiskinan dan mobiliti sosial masyarakat. 

Kita tidak mahu masyarakat miskin terus dikenakan hukuman sedangkan mereka yang kaya lebih mudah terlepas. Apabila kemiskinan dalam masyarakat dapat diatasi, undang-undang syariat adalah penegak keadilan yang tulen dalam masyarakat.




Post a Comment