Wednesday, January 03, 2018

Paradigma baru pendekatan pengajaran di sekolah







Sekolah-sekolah di Putrajaya tidak lagi mengkelaskan pelajar mengikut pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya mengumpulkan pelajar dengan sasaran membina nilai kerjasama, upaya komunikasi, kolaborasi dan kreatif.

Dalam erti kata lain, pelajar yang bijak membaca, mahir matematik dan boleh menulis dapat membantu rakan-rakan pelajar yang masih lemah dalam pembacaan, kira-kira dan penulisan.

Transformasi kaedah pembelajaran ini sangat diraikan.

Sistem pendidikan yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa menunjukkan pemikiran masyarakat juga berubah seiring dengan pencapaian ilmu dan peningkatan kualiti hidup. Persaingan berasaskan pencapaian akademik semata-mata tidak dapat membina kemahiran-kemahiran asas yang perlu ada dalam masyarakat seperti kerjasama, tolak ansur atau berunding.

Oleh kerana keluarga merupakan unit asas kepada masyarakat, pendekatan kaedah pengajaran seperti ini dapat membudayakan semula kemahiran-kemahiran yang telah lama dipinggirkan. 

Peranan sekolah sebagai unit pembentuk nilai dan moral masyarakat dapat disuburkan dan diperkasakan kembali apabila dapat memecahkan kotak pemikiran lama masyarakat kita yang melihat kecemerlangan akademik semata-mata adalah ukuran kejayaan pelajar.

Pendekatan ini berbeza dengan sistem yang diamalkan dalam sistem pendidikan Singapura.

TheConversation dalam artikel yang bertajuk "Why is Singapore’s school system so successful, and is it a model for the West?" merumuskan pendekatan negara itu adalah guru yang banyak bergantung kepada buku teks, helaian kerja, contoh tugasan dan membanyak latihan. Mereka juga banyak mengenengahkan keupayaan menguasai prosedur saintifik dan memahami masalah dengan jelas khususnya matematik.

Kelas dikuasai oleh guru dan seboleh-bolehnya mengelak daripada diadakan perbincangan.

Justeru, rejim pengajaran di Singapura memberi tumpuan kepada transformasi pengetahuan berpandukan kurikulum dan prestasi peperiksaan ini yang dilihat sangat berkesan. Strategi ini mencatatkan kedudukan terbaik dalam Trends in International Mathematics and Science Study (TIMMS) dan Programme for International Student Assessment (PISA).

Hakikat pendidikan tidak hanya mengukur pencapaian markah pelajar. Ia lebih daripada itu. Ia tidak hanya berkisar mendapat 100 peratus, berjaya memasuki universiti tersohor dan keluar dengan pencapaian hebat ijazah kelas pertama.

Apakah produk ini dikatakan hebat sebagai impak pendidikan berkualiti?

Pendidikan wajar menjadi satu kebanggaan dan tangga-tangga kejayaan hidup. Ketika Tamadun Islam berkembang dan gah di Barat, perpustakaan terkenal dijadikan pusat pembelajaran di Baghdad, Kardova dan Kaherah. Pembuat dasar ketika itu telah mewujudkan sekolah rendah untuk kanak-kanak dan universiti sebagai tempat meneruskan pembelajaran.

Sistem pendidikan ini melahirkan ilmuan yang merentas pelbagai bidang pengajian yang menjadi pemacu kepada kemajuan dunia moden hari ini.

Percampuran kepelbagaian bakat dan kepintaran dalam sebuah kelas juga menzahirkan pandangan bahawa kanak-kanak tidak dihadkan kepada mana-mana pengetahuan atau fakta yang harapnya dipelajari di sekolah. 

Pendidik juga perlu mengambil kira perkembangan emosi, sosial dan kesejahteraan fizikal yang berperanan penting dalam membentuk "orang yang sempurna".

Tokoh agamawan Islam, Al-Ghazali berkata bahawa mencegah anak-anak daripada bermain dan desakan berterusan terhadap pembelajaran akan membunuh hati mereka, menghilangkan ketajaman akal serta membebankan hidup.

Lalu beliau mencadangkan proses pendidikan harus mencampurkan aktiviti yang menyeronokkan seperti teater, sukan dan bermain dengan binatang mainan.

Paradigma pemikir-pemikir dalam pendidikan mungkin sudah melihat kepentingan saranan Imam Al-Ghazali ini dalam perkembangan pendidikan di Malaysia. Jika benar, ia suatu yang menggembirakan kerana Tamadun Islam dahulu telah berjeya malahirkan ramai ilmuan dan tokoh yang mencetuskan perubahan dalam kehidupan masyarakat. Mereka ini tidak hanya cemerlang dalam satu-satu bidang malah menguasai pelbagai kemahiran.

Justeru, melalui pendekatan merai perbezaan kepintaran dan kebolehan pelajar di sekolah  ini menolak sama sekali budaya "semua A" sebaliknya membawa keazaman untuk sama-sama berjaya.


Post a Comment