Saturday, February 25, 2017

Siasatan polis bakal dedah dalang pembunuhan







Syabas dan tahniah kepada pasukan polis, pegawai perubatan dan agensi-agensi yang terlibat dalam menyelesaikan kes pembunuhan Kim Jong-nam yang disyaki diracun ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) baru-baru ini. Kejayaan ini sedikit demi sedikit menguak misteri kematian dan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap keupayaan pasukan penyiasat memuktamadkan kes ini.

Kelantangan duta besar Korea Utara membuat pelbagai tohmahan dan tuduhan terhadap pasukan penyiasat dan kerajaan Malaysia telah dapat dipatahkan apabila pendedahan polis menunjukkan terdapat kecenderungan kes berkenaan telah dirancang dan dikatakan ada kaitan dengan ejen Korea Utara.

Antara pendedahan ini adalah penggunaan bahan radioaktif VX sebagai bahan pembunuh, merekrut wanita sebagai ejen pembunuhan, membuat latihan agresif kaedah membunuh di beberapa tempat dan mengenal pasti beberapa orang warganegara Korea Utara yang telah melarikan diri semasa hari kejadian.

Seterusnya kehadiran seorang ejen negara itu yang bekerja di sebuah syarikat di Cheras tanpa menerima gaji dan tidak datang bekerja tetapi mempunyai keluarga di Jalan Kuchai Lama. Lelaki ini menimbulkan banyak persoalan khususnya tentang bagaimana beliau membayar sewa rumah dan membiayai keluarga serta pengajian anaknya di universiti swasta negara ini.

Penglibatan seorang kakitangan kedutaan Korea Utara menambah syak terhadap penglibatan rejim negara itu bagi memastikan sasaran terbunuh.

Kita sedar pasukan polis bertungkus lumus melengkap siasatan mereka kerana kes ini telah menarik tumpuan banyak pihak di peringkat antarabangsa. Seperti yang ditegaskan Timbalan Ketua Polis Negara bahawa pihak polis tidak berminat mencampuri urusan politik Korea Utara tetapi sangat berminat untuk mengetahui kenapa pembunuhan itu dilakukan di Malaysia dan bagaimana pembunuhan itu dilakukan supaya suspek  dan dalang dapat ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

Justeru, ulasan duta besar Korea Utara terhadap polis dan kerajaan Malaysia tidak dapat diterima. Syak wasangka beliau terhadap keupayaan agensi penyiasat hanya menunjukkan sikap prasangka dan memandang rendah semua tindakan yang dilakukan setakat ini untuk merungkai komplot pembunuhan itu. Kenyataan perdana menteri Malaysia bahawa duta besar Korea Utara bersikap biadap dalam hubungan diplomatik adalah refleksi kerajaan Malaysia terhadap tindak-tanduk negara itu dalam menyelesaikan kes berkenaan.

Episod pembunuhan Kim Jong-nam tidak dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat seperti dikehendaki duta besar Korea Utara. Sebaliknya perlu dibuat secara profesional dan teliti kerana ia merupakan kes jenayah. Agak aneh apabila pihak kedutaan begitu inginkan mayat mangsa tetapi tidak peduli nasib dua orang ejen pembunuh dari Vietnam dan Indonesia.

Malaysia wajar mengambil pendekatan tegas dan mengingatkan Korea Utara bahawa negara ini bukannya tempat untuk membunuh musuh politik mereka. Di samping itu, pembongkaran komplot pembunuhan ini dapat meningkatkan imej pasukan penyiasat Malaysia dalam menyelesaikan kes berprofil tinggi. Pada masa yang sama memberi mesej kepada mana-mana negara dan sesiapa sahaja yang mahu menjadikan negara ini sebagai tempat kancah percaturan kuasa.



Post a Comment