Sunday, November 20, 2016

Bersih 5 beri impak berfikir








Perhimpunan Bersih 5 di Kuala Lumpur memberi pelbagai isyarat kepada kerajaan Malaysia yang diterajui Barisan Nasional. Antara isyarat ini adalah rasa tidak puas hati sekelompok masyarakat Malaysia terhadap sistem pentadbiran perdana Menteri Najib Razak ketika ini. Isyarat kedua ialah Bersih 5 direstui oleh bekas-bekas pemimpinan kerajaan Barisan Nasional yang sudah meluat dengan Najib Razak dan ‘menteri-menteri yang merapu’.

Perkembangan perhimpunan Bersih 5 telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dalam membina kesedaran masyarakat Malaysia terhadap pentadbiran Barisan Nasional. Ia tidak sahaja disambut di Malaysia malah di luar negara biar pun dalam kunatiti bilangan peserta yang sedikit.

Bersih 5 dianjurkan sebagai usaha memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menyertai pilihan raya yang bebas.

Bersih 5 kali ini disertai oleh bekas perdana menteri Malaysia keempat, Tun Dr Mahathir. Penyertaan beliau memberi impak besar terhadap cara berfikir masyarakat Malaysia khususnya Melayu untuk melihat corak pentadbiran kerajaan sedia ada. Kesungguhan beliau dapat dibaca melalui tulisan di blog chedet.cc yang mendedahkan bagaimana penyelewengan terhadap 1MDB dan tindakan-tindakan aneh oleh pentadbiran Najib Razak.

Kemuncak kepada tulisan beliau ialah dakwaan MO1 yang difailkan oleh Jabatan Keadilan, Amerika Syarikat.

Kita dapat mengagak bahawa tindakan MO1 sebagai kleptokator wang negara telah memusnahkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang disegani. Kita juga dapat merasakan bahawa semakin hari negara ini sudah kurang dihormati apatah lagi kedudukan ekonomi yang terjejas kerana kejatuhan nilai wang ringgit.

Prestasi tadbir urus yang baik tidak dapat dibanggakan kerana kes rasuah bertambah buruk. Dulu kita hanya mendengar rasuah ribuan ringgit namun kini rasuah sudah ratusan juta ringgit. Apa lagi yang kita katakan apabila wang berlonggok-longgok dijumpai dalam pejabat pegawai kanan kerajaan bersepah di sana sini?

Kes seperti ini belum pernah berlaku dalam masyarakat kita namun ketika era pentadbiran kerajaan ketika ini kita dapat melihat rasuah dan penyelewengan berlaku di hadapan kita.

Sejauh mana kesedaran rakyat terhadap keperluan menukar rejim pentadbiran masih belum diketahui secara jelas. Bagaimanapun, momentum kesedaran ini semakin menebal khususnya dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum. Barangkali masanya sudah hampir untuk kita melihat sistem pentadbiran negara yang mengekalkan integriti yang lebih tegas, membanteras rasuah dan meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan. Era pentadbiran kerajaan yang bergelumang dengan rasuah dan penyelewengan yang memperbodohkan rakyat sudah berakhir.

No comments:

Post a Comment