Friday, November 18, 2016

Dasar Trump undang cabaran ekonomi global








Donald Trump dipilih menjadi presiden Amerika Syarikat yang ke-45 dalam pilihan raya baru-baru ini. Kemenangan Trump mengejutkan ramai pihak di dalam dan luar negara Amerika Syarikat kerana kempennya disifatkan anti pendatang, anti-Islam dan anti globalsiasi.

Ramalan agensi penarafan Moody’s Analytics adalah seramai empat juta pekerjaan hilang dan tiga juta pekerjaan tidak akan wujud dalam era Trump. Keadaan ini sudah tentu menjejaskan ekonomi Amerika Syarikat dalam pelbagai bentuk. Cadangan Trump untuk mengenakan cukai import sehingga 45 peratus ke atas barangan dari China sudah tentu memberi kebimbangan dan membentuk suasana panik ke atas syarikat-syarikat gergasi Amerika yang telah lama melabur di luar negara khususnya China.

Salah satu syarikat ini ialah Apple.

Apple beroperasi di 28 buah negara dengan negara utama ialah China yang mana separuh daripada penyedia bekalan berada di situ. IPhone dan iPad dipasang di situ sebelum diedarkan ke gudang Apple seluruh dunia. Apple mendapat faedah daripada rantaian bekalan komponen yang mempunyai halangan dagangan yang rendah dan rangkaian operasi kilang yang berdekatan antara satu sama lain.

Cadangan Trump untuk mengenakan cukai import yang lebih tinggi bermakna meningkatkan kos kepada syarikat untuk membawa masuk barangan mereka ke Amerika Syarikat. Sudah semestinya syarikat akan menyerahkan kos ini kepada pengguna menyebabkan harga barang naik. Seterusnya pelanggan akan berfikir dua kali untuk membeli.

Apple wajar berada dalam kebimbangan kerana Trump mahu memastikan syarikat itu beroperasi di Amerika Syarikat berbanding negara lain.

Trump dilaporkan pernah berkata “kita mahu memastikan Apple mula membina komputer mereka di sini (Amerika), bukannya di negara lain”.

Pada Apple, pelaburan mereka di luar negara khasnya China adalah kerana dua perkara, pertama, pengelompokan kilang pembuatan komponen pada satu tempat mewujudkan kepelbagaian skala ekonomi dan mengurangkan kos. Kedua, pekerja mahir sangat ramai di China berbanding di Amerika Syarikat kerana sistem pendidikan Amerika yang tidak lagi memberi keutamaan kepada pendidikan vokasional.

Dalam kes Apple, untuk membuat plat logam pada bahagian belakang bingkai telefon pintar syarikat itu perlukan seseorang yang terlatih pada tahap piawaian tertentu sebelum produk tersebut dapat dikeluarkan.

Syarikat-syarikat Amerika Syarikat yan lain turut mengalami keadaan yang serupa. Kebanyakannya sudah berkira-kira mencari jalan bagi mengelakkan operasi mereka dipindahkan semula ke negara itu. Sekiranya Trump masih mahu memaksa syarikat-syarikat gergasi Amerika kembali beroperasi di negara itu, dunia bakal berhadapan dengan suasana baru yang diramal lebih mencabar.

Bagaimanapun, sudah pasti negara-negara lain melakukan pelarasan dalam pelbagai bentuk bagi memastikan ekonomi mereka tidak terjejas.


No comments:

Post a Comment