Friday, August 22, 2014

Kepulangan jenazah mangsa MH17 dinanti






Al-Fatihah untuk mangsa kemalangan udara MH17 yang tiba di Malaysia.

Kepulangan jenazah dinanti-nantikan oleh ahli keluarga, sahabat handai dan seluruh rakyat Malaysia. Lebih sebulan kejadian itu berlaku, semua jenazah yang telah dikenal pasti dapat disempurnakan pengkebumian mereka dengan penuh hormat dan bangga.

Perasaan ahli keluarga yang dapat menerima jenazah ahli keluarga mereka tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Bagi ahli keluarga Allahyarham Mohd Ali, mereka tidak sabar untuk menatap wajah, memeluk dan mencium jenazahnya. Dapat melihat jenazah sudah mencukupi kerana impak kemalangan udara berkenaan sangat besar kepada tubuh manusia.

Semua pihak yang terlibat dalam urusan jenazah bermula dari mencari di medan kejadian, di hospital dan seterusnya memandikan dan mengkafankan jenazah sehinggalah kepada raptai menyambut jenazah di lapangan terbang dan mengiring sampai ke kubur, tidak dapat digambarkan kepuasan memberi khidmat secara terhormat.

Ucapan tahniah kepada pemimpin negara yang bertindak pantas mengusahakan pasukan penyelamat dapat membawa keluar sebahagian besar mangsa berkenaan dalam keadaan genting dan sukar.

Sesungguhnya semua rakyat Malaysia turut bersimpati dan berdukacita atas kejadian ini. Semoga setiap daripada kita dapat menahan kekuatan hati dan redha atas kejadian yang tidak pernah diduga akan berlaku.

Kepada Allah kita datang dan kepada Allah kita dikembalikan.



Tuesday, August 19, 2014

Kemiskinan bukan penghalang untuk capai kejayaan - Najib








Kemiskinan bukan penghalang untuk mencapai kejayaan jika ia disertai dengan semangat serta keinginan yang kuat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata, semangat yang kental, kesabaran, sentiasa berusaha serta mempunyai cita-cita tinggi merupakan pendorong utama untuk berjaya dan semua itu mampu mengatasi kekayaan harta benda yang dimiliki.

"Ia bukan sama ada kamu miskin harta namun apa yang penting jika kamu kaya dari segi peribadi, kuat semangat, tekun, mempunyai keazaman dan impian yang tinggi.

"Itu lebih penting daripada kemudahan dari segi material, kejayaan dari segi kewangan. Kalau kita ada semangat tabah dan cekal...ia asas kepada kejayaan," katanya ketika berucap melancarkan program TV 1Malaysia Ikon di sini, hari ini.

Najib menarik perhatian apabila berkata Malaysia merupakan sebuah bumi bertuah kerana terdapat banyak peluang yang diwujudkan oleh kerajaan untuk rakyat daripada pelbagai latar belakang mengubah khidupan masing-masing ke arah yang lebih baik. – BERNAMA

(Utusan Malaysia, 19 Ogos, 2014)


 

Monday, August 18, 2014

Ciri-ciri unggul masyarakat Islam





Penulis: Yusuf Al-Qardhawi
Tahun:2012 (edisi terjemahan)
Penerbit: Penerbitan Seribu Dinar Sdn Bhd, Kuala Lumpur.
Muka Surat: 606

Arus kebangkitan Islam semakin meluas. Sebahagian daripada umat Islam yang sudah lama terlena telah terjaga dari tidur lalu mencari-cari di manakah Islam berada. Malangnya mereka hanya mendapati Islam pada individu-individu tertentu. Sukar bagi mereka untuk melihat sebuah "masyarakat Islam" yang benar-benar mempamerkan ciri-ciri keislaman yang tulen lagi unggul. Lantaran itu, mereka sering menggambarkan Islam dengan pelbagai gambaran dan tafsiran yang jauh meleset dari hakikat yang sebenar.

Fenomena ini semakin buruk jadinya apabila terdapat faktor-faktor sekeliling yang sentiasa mencari peluang untuk merosakkan imej "masyarakat Islam" yang sebenar. Musuh tradisi seperti Yahudi, Kristian, sekularisme, kapitalisme dan pelbagai anutan lain cuba memasukkan jarum-jarum halus mereka melalui pelbagai prasarana informasi canggih.

Antara mereka yang giat di arena antarabangsa ialah Yusuf Al-Qardhawi, seorang ulama terkenal. Dalam buku ini beliau mengenengahkan ciri-ciri unggul masyarakat Islam yang menjadi idaman. Terdapat sebelas ciri utama yang sering disalah fahami oleh kebanyakan umat Islam. 

Beliau mengupas tentang masyarakat Islam dari pelbagai sudut sama ada ekonomi, politik atau sosial. Kupasan beliau yang jujur dan berani ini dapat memberi keyakinan kepada umat Islam bahawa Islamlah satu-satunya sistem yang dapat menyelamatkan dunia. Secara tidak langsung, perbahasan ini dapat menjawab sebahagian besar alasan dan dolak-dalih para pemerintah yang enggan melaksanakan sistem Islam.



Sunday, August 17, 2014

Tips mahu orang suka







Jika kita sebagai pemimpin, sama ada pemimpin dalam keluarga, ketua jabatan, abang atau kakak sulung, ketua operasi, ketua balai dan sebagainya, menyuruh orang lain melaksanakan tanggungjawab yang sempurna bagi mencapai visi dan misi pada hakikatnya terlalu banyak cabaran. 

Bagaimana kalau anda menggunakan pendekatan ini? 

Berikan mereka satu tugas atau tujuan supaya wujud perasaan yang mereka sedang bekerja untuk satu matlamat yang begitu penting. 

Selepas itu, berikan pengiktirafan, ajak mereka ikut serta, beri dorongan, latihan, pinta pandangan, libatkan dalam proses membuat keputusan, berikan pujian, minta nasihat, berikan ruang untuk mereka bekerja dan akhirnya berkongsi kejayaan dengan mereka. 

Lakukan langkah-langkah ini dan anda akan dapati lebih ramai yang suka bekerja dengan anda.


Saturday, August 16, 2014

Kualiti hidup







Bekerja dan mendapat gaji, bonus hujung tahun dan anugerah khidmat cemerlang adalah keinginan setiap orang yang bekerja. 

Namun bekerja semata-mata ganjaran duit akan menghilangkan sifat-sifat prihatin terhadap kesihatan diri. 

Berapa ramai orang yang bergaji besar tetapi berulang-alik ke hospital setiap masa, mengambil ubat tiga atau empat kali sehari dan hampir tidak boleh melakukan senaman? 

Falsafah bekerja harus bertukar. Bekerja untuk mendapatkan gaji, kesihatan tubuh badan, cukup tidur, dapat bersenam dan beramal ibadat. 

Inilah yang dinamakan hidup berkualiti.

Friday, August 15, 2014

Temubual penjual cendol








Soalan (S): Boleh terangkan sedikit mengenai latar belakang makcik khususnya pendidikan, perniagaan yang dilakukan dan keadaan kesihatan ketika ini.


Puan Foziah (PF): Makcik datang dari keluarga susah…kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Macam tu lah keadaannya. Adik-beradik makcik ramai… sepuluh orang. Mak ayah kerja kampung, kami adik-beradik ada yang tak habis sekolah. Makcik sendiri nasib baik sikit, tamat sekolah rendah. Lepas sekolah makcik tolong mak jual nasi lemak…berjalan keliling kampung.

Sekarang ni makcik duduk dengan anak-anak, dua orang. Suami dah meninggal…sakit jantung. Makcik kena bekerja untuk anak-anak makcik. Biar anak-anak berjaya dalam pelajaran.

Selepas suami meninggal, hidup makcik sangat susah. Makcik pernah tinggal di garaj kereta. Macam-macam kerja makcik buat, cari upah. Anak laki-laki ambil upah cuci pinggan, anak perempuan ambil upah sebagai pencuci rambut. Kalau ada orang nak buang barang-barang, kalau masih elok makcik minta untuk anak-anak.

Sebelum ni pun makcik pernah jual cendol tepi jalan tapi tak ada lesen. Pernah cuba mohon dulu tapi tak pernah dapat. Tak tahulah apa sebabnya. Kali ini makcik rasa hidup lebih baik. Bantuan dari pusat zakat untuk perniagaan cendol ni bolehlah makcik start kembali, dengan modal RM500 sudah cukup untuk makcik, lesen berniaga pun dah ada.

Alhamdulillah, kesihatan makcik masih baik, harap-harap Allah bagilah tubuh badan yang kuat untuk makcik bekerja demi anak-anak makcik.


S: Adakah makcik libatkan diri dalam persatuan atau organisasi berkaitan usahawan atau masyarakat sama ada di kawasan tempat tinggal atau di peringkat negeri?


PF: Makcik tak masuk mana-mana persatuan. Macam mana nak masuk, hari-hari nak uruskan perniagaan. Pagi-pagi lagi dah kena urus barang-barang jualan, kemudian jaga gerai sampai ke petang. Lepas tu berkemas dan cari barang lain pula untuk esok.

Kalau di surau tu adalah…dengan kawan-kawan jemaah, tapi tak adalah nak masuk persatuan mana-mana.


S: Pada pandangan makcik, sejauh mana aktiviti dalam masyarakat dapat membantu saudari lebih aktif untuk mengubah keadaan hidup.


PF: Makcik rasa bagus kalau masuk persatuan…macam-macam aktiviti boleh buat. Kalau kita susah, mereka dapat bantu. Tapi kerja makcik sehari suntuk, susah nak joint. Tak ada masa.


S: Adakah makcik merasai perubahan keadaan hidup selepas menyertai persatuan masyarakat seperti menghadiri kursus-kursus berkaitan keusahawanan atau peningkatan kemahiran?


PF: Susah la nak cakap. Setakat ni makcik lebih senang dengan kerja makcik. Mungkin ke depan ni makcik boleh masuk persatuan. Bantuan zakat pun dah cukup.


S: Adakah makcik mempunyai pekerja untuk membantu perniagaan sekarang? Jika ada bagaimana ia membantu pekerja makcik untuk mengubah hidup? Di samping itu apakah cabaran-cabaran yang dihadapi?


PF: Makcik kerja seorang…kadang-kadang anak-anak bantu. Beli barang semuanya makcik dan anak-anak buat. Tak harap bantuan orang lain.

Cabaran yang makcik hadapi sekarang ni keperluan nak bergerak ke sana-sini, nak beli barang, nak hantar cendol. Kadang-kadang ada pelanggan yang minta hantar cendol, mereka beli borong. Jadi kalau makcik ada motosikal rasanya lebih baik sikitlah.

Cabaran lain makcik rasa tempat berniaga kurang ramai orang. Tepi jalan ni kadang-kadang orang fikir kebersihan. Kalau makcik dapat ke kawasan ramai orang, perniagaan cendol ni lebih baik sikit.


S: Adakah makcik mendapat pembiayaan perniagaan untuk menjalankan bisnes ini?


PF: Setakat ni pusat zakat banyak memberi bantuan dan sokongan. Makcik baru dapat gerai tolak ni, mudah sikit nak berniaga. Bantuan lesen berniaga pun mereka bantu dapatkan. Modal yang makcik ada boleh bantu sikit-sikit.

Makcik tak ada pinjam dari mana-mana bank, bantuan dari pusat zakat saja setakat ni. Rasa malu pula nak minta bantuan lagi.


S: Adakah makcik menerima galakan dari mana-mana pihak untuk menyimpan wang atau membeli aset?


PF: Ada…dari pusat zakat sendiri. Mereka bagi sokongan untuk makcik berniaga, beri tunjuk ajar cara nak simpan duit buat modal pusingan. Jual cendol ni pendapatan kecil tapi sikit-sikit lah makcik simpan.

Makcik kena bahagikan pendapatan untuk keperluan harian, untuk anak-anak sekolah.


S: Pada pandangan makcik, hidup telah berubah kerana melibatkan diri dalam perniagaan.


PF: Berubah tu ada, lebih baik. Ada pendapatan sendiri…walaupun tak banyak. Makcik akan terus berusaha. Hidup susah mengajar makcik untuk jimat-cermat.



Thursday, August 14, 2014

Langkah Khalid







Suasana politik di Selangor mencapai kemuncak pergolakan apabila menteri besar dipecat. Tan Sri Khalid Ibrahim atau lebih mudah dikenali sebagai TSKI dipecat sebagai anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila bertegas tidak mahu menyerahkan jawatan kepada calon pilihan parti tersebut, Datin Seri Dr Wan Azizah, isteri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Keputusan memecat diambil atas alasan yang diberikan oleh Dato' Dr Tan Kee Kwong, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR seperti enggan menangguhkan proses dan perbincangan mengenai projek Langat 2; enggan menangguhkan kenaikan elaun Speaker, Menteri Besar, EXCO dan ADUN negeri Selangor; gagal mematuhi keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang dipersetujui sendiri oleh beliau untuk melibatkan Jawatankuasa Penstrukturan Air Selangor dalam isu penstrukturan aset air Selangor; berkeras untuk meneruskan projek Lebuhraya KIDEX walaupun parti sudah mengarahkan beliau untuk mengkaji semula projek tersebut kerana ia bertentangan dengan matlamat dan manifesto Pakatan Rakyat yang dibentangkan sebelum Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu; dan gagal memberikan penjelasan sepenuhnya kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat mengenai isu pelupusan hutang beliau dengan Bank Islam bernilai hampir RM70 juta.

Tuduhan-tuduhan ini dikemukakan sebagai bukti TSKI tidak layak untuk menjadi menteri besar dan perlu digantikan segera.

Sudah banyak analisis yang dibuat oleh media, media sosial, tokoh politik dan pemerhati politik dari perspektif masing-masing. Tulisan ini memberi fokus kepada strategi TSKI untuk berhadapan dengan cabaran politik yang dihadapi dari sudut personaliti, cara fikir dan gaya tindakan bagi menyelamatkan kerjaya politik dan jawatan yang disandang.

Saya melihat TSKI memiliki daya fikir yang lebih baik daripada sebahagian ahli politik sedia ada. Pengalamannya dalam misi 'serangan sebelum subuh' untuk menguasai Guthrie Corporation PLC daripada Bursa Saham London pada 8 September, 1981 mengajar beliau bagaimana melakukan perancangan yang teliti dan strategi yang betul akan berjaya juga akhirnya. Kejayaan ini memberi keyakinan kepada beliau bagaimana merancang, menguasai dan memusnahkan impian musuh politik.

Selepas dipecat, beliau mengambil tindakan satu demi satu yang mendahului musuh politik. Pertama, menghadap Sultan Selangor untuk memaklumkan perkembangan politik dirinya dan kekuatan sokongan yang dimiliki. Langkah awal ini berjaya dan TSKI masih kekal berkuasa. 

Langkah kedua, sebagai tindak balas dipecat, beliau dengan berani dan yakin memecat exco dari PKR dan DAP kerana berkomplot untuk mengehadkan kuasa menteri besar. Bahasa mudahnya ialah mereka tidak mahu memberi kerjasama, jadi wajarlah disingkirkan. Tindakan ini juga berjaya. Walaupun  exco yang terlibat enggan menerima pemecatan berkenaan, TSKI menunjukkan perkenan Sultan Selangor melalui surat yang diterima dari istana. Surat berkenaan menutup mulut pengkritik yang enggan menerima kenyataan.

Langkah ketiga, mengadakan mesyuarat exco bersama exco dari PAS. Pada masa yang sama menghalang semua exco yang dipecat daripada menghadiri mesyuarat berkenaan. Kejayaan mesyuarat exco menunjukkan beliau lebih kuat dan ada sokongan.

Langkah keempat, menyaman pihak yang berterusan menjejaskan maruahnya. Hebahan saman ini pantas dilaporkan oleh media. Fungsi saman berkenaan ialah membuatkan pihak terlibat sibuk dengan kes saman dan tidak memberi tumpuan kepada perkembangan politik. 

Langkah kelima ialah menonjolkan individu atau pemimpin yang berpengaruh dalam PKR yang mengisytiharkan mereka tidak lagi menjadi ahli PKR. Beliau mungkin boleh meminta cawangan parti yang menyokongnya untuk membubarkan cawangan berkenaan sebagai tanda protes. Bagaimanapun proses yang melibatkan individu lebih mudah berbanding berkumpulan.

Langkah keenam, merancang dengan beradab untuk mewujudkan lompong kuasa yang dapat menyokong dirinya sebagai menteri besar. Prosesnya rumit tetapi beliau harus melakukannya.

Dalam tempoh krisis politik bermula, riak wajah TSKI kurang menunjukkan kesedihan atau kemurungan sebaliknya beliau mempamerkan senyuman dan tanda "bagus" di samping memberi mesej yang jelas kepada rakyat Selangor. Justeru tindakan memecat lima exco dari PKR dan DAP dilakukan dengan bersungguh-sungguh supaya semua elemen dan pengaruh kedua-dua parti dalam pentadbirannya dapat dihapuskan serta-merta.

TSKI dijangkakan tidak memberi muka kepada Ketua Umum PKR untuk mendapatkan kembali kuasa Pakatan Rakyat. Kenyataannya berkaitan Pakatan Rakyat yang tidak berdaftar merupakan mesej demi mesej yang bakal menghilangkan persepsi positif pengundi terhadap gabungan tiga parti itu. 

Di sebalik semua perkembangan ini, bagaimana TSKI dapat melakukan langkah demi langkah dalam bentuk yang tersusun dan menang? Saya berpendapat beliau mempunyai sebuah 'pasukan atur cepat' yang telah dibentuk sebaik sahaja merasai dirinya akan dipecat. Ahli-ahlinya tentulah terdiri daripada orang yang setia dan yakin dengan kepimpinannya. Sepanjang enam tahun menjadi pemimpin sudah tentu beliau mempunyai ramai pengikut yang setia dan sanggup berjuang. 

TSKI tidak mengambil pendekatan 'roadshow' mengajak pengikutnya turun ke jalan raya, sebaliknya menggunakan setiap ruang dan peluang yang dimiliki untuk lawan. Antaranya menziarahi Datuk Nik Aziz dan cuba akrab dengan kepimpinan dan ahli PAS. Beliau juga menjemput ahli-ahli PAS dalam majlis doa selamat di rumahnya. Pengalaman sebagai ahli korporat dilihat mengukuhkan keyakinan beliau untuk berjaya dalam pertelingkahan ini.

Sikap mengambil mudah terhadap TSKI mungkin menyebabkan PKR memecat beliau. Namun sejarah panjang sebagai ahli korporat dan pemimpin politik membuktikan TSKI seorang yang berani berhadapan dengan konflik, bersedia dengan cabaran dan gemar mencetuskan kegemparan yang memeningkan musuh politik.

Konflik yang dikatakan bermula dengan 'Langkah Kajang' oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya tidak kesampaian. Ketika dalam UMNO, Tun Dr Mahathir dikatakan menurunkan banyak ilmu politik kepada beliau namun ada satu ilmu yang tidak diturunkan menyebabkan Amwar Ibrahim selalu gagal dalam tindakannya. Anwar hanya bijak merancang dan bertindak tetapi tidak pasti bagaimana hendak membuat kesimpulan. Oleh kerana tidak tahu menyimpul, beliau akan terus kecewa.

Biar apa pun hasilnya, rakyat Selangor sendiri yang harus menentukan nasib dan masa hadapan mereka. Doa kita ialah Selangor akan terus maju, aman dan makmur.


Wednesday, August 13, 2014

Elak salah eja di akhbar







Kesalahan ejaan bahasa Melayu di akhbar-akhbar utama negara bukanlah selalu. Namun kadang-kadang kedapatan juga kesilapan kecil tetapi memberi maksud yang jauh beza. Contohnya Arab Saudi dieja Arab Saufi.

Di mana kedudukan Arab Saufi ini?

Pembaca yang mengetahui terdapat kesilapan akan syak maksud tersebut ialah Arab Saudi. Namun bagi pelajar, mereka tentulah tidak faham dan inginkan kepastian. Akhbar boleh mengelak daripada terus melakukan kesilapan dengan berusaha sedikit menyemak kembali perkataan yang ditaip supaya semuanya betul.

Kesilapan kecil begini memberi gambaran bahawa editor akhbar tidak memantau ejaan biar pun betul tatabahasanya. Editor harus mengambil tanggungjawab membetulkan segera kesilapan berkenaan supaya pembaca meyakini bahawa kesilapan berkenaan tidak disengajakan.

 

Tuesday, August 12, 2014

Ajak lebih baik daripada suruh







Mengajak orang lain membuat kebaikan bukanlah semudah berkata, “Buat ini, saya hendak tengok esok”. 

Sebaliknya kena ada pendekatan lain yang dapat mendorong orang lain membuat kebaikan atau menyertai misi kita. 

Pendekatan atau teknik yang saya maksudkan ialah mesej tentang visi, impian, harapan dan apa sahaja yang dimasukkan ke dalam fikiran. Sudah tentu tindakan ini mengambil masa yang lebih lama dan usaha berterusan. 

Prinsipnya ialah tidak boleh menyuruh sebaliknya mengajak. 

Dengan mengajak, ia tentu membiak dari seorang kepada dua, empat, lapan sehingga seratus. 

Kesimpulannya, ajak dan pelawa ke arah kebaikan lebih berkesan berbanding menyuruh atau memerintah.


Monday, August 11, 2014

Social change






Penulis: Steven Vago
Tahun: 2004 (Fifth edition)
Penerbit: Pearson Education, Inc., New Jersey, USA.
Muka Surat: 453

Edisi kelima buku ini merupakan maklum balas terhadap permintaan yang meluas bagi analisis sosiologikal sebagai sebahagian daripada isu yang amat diberikan perhatian iaitu perubahan sosial. Edisi ini juga menunjukkan pertambahan komponen multibudaya dan keantarabangsaan. Pada masa yang sama, kandungan buku ini mengandungi ujian kelas, pedagogikal dan kerangka organisasi yang mengekalkan penulis sedia, lebih komprehensif, bermaklumat dan mesra pembaca.

Terdapat banyak ulasan dan usul yang diberikan oleh pelajar dan sarjana yang telah menggunakan buku ini sebagai bahan pembelajaran dan pengajaran serta penyelidikan. Hampir setiap muka surat telah disemak untuk kemas kini maklumat, analisis lebih lanjut dan mengurangkan jurang pengetahuan akademik.

Ada penambahan seksyen baru, input lama telah dibuang dan terdapat senarai bacaan cadangan di setiap bab. Konsep dan idea utama telah dikembangkan sebagai tindak balas terhadap teori dan analisis empirikal.

Justeru pembaca akan merasai pengalaman baru ketika membaca buku ini.

Terdapat sepuuh bab yang berkaitan dengan perubahan seperti teori perubahan, corak perubahan, jangka masa perubahan, reaksi terhadap perubahan, impak perubahan, strategi perubahan dan penilaian perubahan.

Bagi mereka yang berminat hendak mengetahui lebih lanjut perubahan sosial dalam masyarakat, buku ini menjadi buah tangan yang sangat penting.