Thursday, June 13, 2013

Husam mesti tabah dan cekal hati








Datuk Husam Musa, Ahli Dewan Undangan Negeri Salor telah memohon untuk tidak menghadirkan diri bagi majlis angkat sumpah di Dewan Undangan Negeri. Beliau juga memohon untuk tidak hadir dalam persidangan dewan yang bermula pada Ahad ini.

Selepas tidak dilantik menjadi Exco, Husam dilihat mula mengurangkan penampilan diri apatah lagi baru-baru ini gagal dalam satu kes saman. Tindakannya yang mengambil sikap berkenaan dilihat memberi isyarat kecewa selepas kalah dalam pertarungan satu lawan satu dengan Datuk Tengku Adnan di Putrajaya dalam Pilihanraya Umum ke-13.

Peranan Husam dalam menggerakkan ekonomi Kelantan walaupun kurang publisiti ada kesannya seperti Koridor Depu, Jihad Ternak Kambing Janapari, Dinar Emas, Jambatan Palekbang dan Royalti Minyak. Program-program yang dirancang ini ada yang berjaya dan ada yang gagal. Barangkali prestasi yang tidak menentu inilah yang membuatkan Husam kurang digemari untuk dilantik menyambung tugas Exco seterusnya.

Ketika berkempen di Putrajaya, janji Husam untuk membaiki kehidupan penduduk bandar itu sangat meyakinkan namun kebanyakannya telah dan sedang dilaksanakan oleh Tengku Adnan. Ramainya sambutan dalam ceramah beliau tidak dizahirkan dalam bentuk undi kerana rata-rata kakitangan awam masih kurang yakin dengan keupayaan Husam sebagai pemimpin mereka.

Lalu apakah Husam masih ada harapan dalam politik negeri atau negara?

Husam wajar membuat perancangan dan mengguna pakai strategi yang bersifat populariti dan kompetensi untuk memenangi hati pengundi jika berhasrat memenangi pilihan raya akan datang. Oleh kerana terlalu yakin, Anwar Ibrahim menyatakan kunci kepada kejayaan pembangkang berada pada tangan Husam iaitu menang di Putrajaya. Namun kunci yang dimaksudkan itu gagal berfungsi dan Anwar perlu mencari kunci baru yang lebih hebat.

Kepada Husam, beliau wajar untuk terus mencekalkan hati dan terus berusaha sehingga berjaya. Mengambil kata-kata Tun Dr Mahathir "hanya yang cekal dan tabah akan berjaya", Husam juga boleh berjaya jika beliau bersabar dan berusaha sepenuh hati. 

 

Wednesday, June 12, 2013

Nilai murni rakyat Jepun patut dicontohi








oleh Jeniri Amir

Ketika meminta seorang rakan untuk menguruskan permohonan visa ke Jepun sebulan lalu, dia membayangkan beberapa kesulitan yang bakal dihadapi. Jika hendak pergi ke negara 128 juta penduduk itu, anda perlu mengemukakan sijil pernikahan, selain pernyataan kewangan bank.

Semua itu sebenarnya berbaloi kerana Jepun bakal membuka mata anda dari banyak segi. Sesampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai, Osaka sesudah mengharungi penerbangan sejauh 5,212 kilometer yang memakan masa sekitar enam jam, anda boleh memilih untuk menaiki bas atau kereta api laju. Perjalanan 50 minit ke Stesen Osaka, segera mengejutkan anda bagaimana stesen pengangkutan serba moden itu digabungkan dengan pusat beli-belah terkemuka yang mengagumkan. Syarikat Hankyu yang mengendalikan satu daripada syarikat kereta api laju, juga menyediakan perkhidmatan bas dan feri, serta perhotelan dan perniagaan lain. 
 

Apakah yang hebat mengenai Jepun selain daripada keupayaannya untuk bangkit dalam waktu pantas sesudah menjadi padang jarak padang tekukur selepas Perang Dunia Kedua? Jepun hancur musnah dari segi fizikal dan ekonomi selepas perang. Ketika perang, rakyatnya sanggup berkorban untuk negara dan maharaja. Selepas perang, rakyatnya menderita dan jatuh miskin. Namun, rakyat Jepun dengan disiplin dan azam membara bekerja kuat untuk membina semula negara yang hancur musnah.

Jepun mengalami pertumbuhan ekonomi luar biasa sejak pertengahan 1950-an. Pertumbuhan ekonominya mencecah 10 peratus pada dekad 1960-an dan lima peratus pada dekad 1970-an. Jepun mengeluarkan banyak produk dan menjualnya ke negara asing. Kini Jepun mendukung peranan utama hampir dalam setiap bidang usaha antarabangsa.

Terkenal dengan kemodenan

Jepun bukan hanya terkenal dengan makanan sushi, tempura, okonomiyaki atau persembahan kabuki, tetapi kemodenan dan kemajuan dari segi kota dan bandar, serta bidang teknologi dan perindustrian. Kemodenannya dapat disaksikan di hampir semua bandar terutama Tokyo, Osaka, Hiroshima, Kobe, Fukuoka, Nagoya atau Yokohama. Tempoh 15 hari yang ditetapkan dalam visa anda, tentu tidak memadai untuk mengenali Jepun, apatah lagi jika anda hendak mengembara dari kepulauan Kyushu di sebelah selatan ke Hokkaido di utara.

Menelusuri kota dan bandar berkenaan, anda kagum bagaimana dalam waktu singkat Jepun dapat membangunkan dan memajukan negara itu. Kebanyakan bandar Jepun memang padat. Sesetengah daripada penduduk Jepun tinggal di tiga kota utama: Tokyo, Nagoya dan Osaka. Sebanyak 27 peratus penduduknya tinggal di Tokyo dan kawasan sekitar. Disebabkan kepadatan penduduk dan nilai tanah yang begitu tinggi, apartmen dan rumah orang Jepun adalah kecil. Jadi, jangan hairan jika rakan Jepun anda tidak membawa anda ke rumah. Mereka akan meraikan anda di restoran atau hotel. Berderet-deret restoran yang menyediakan makanan Jepun di pelbagai kota. Anda terbayang, orang Jepun memang suka makan di luar.

Kesembilan ramai penduduk

Jepun sebagai negara kesembilan paling ramai penduduk mengalami kadar kelahiran menurun kerana hanya sekitar 1.1 juta bayi lahir setahun. Jepun mengalami masalah penuaan penduduk, dengan kini 20 peratus penduduknya berusia 65 tahun ke atas, dan Jepun mempunyai penduduk berusia seratus tahun ke atas sebanyak 46,000 orang. Mengapakah kadar kelahiran merosot? Bagi rakyat Jepun, mempunyai banyak anak adalah sesuatu yang membebankan termasuk dari segi kewangan. Ibu bapa terpaksa membelanjakan banyak wang untuk tuisyen bagi memungkinkan mereka melanjutkan pelajaran ke kolej. Lagipun, semakin kurang yang mahu mendirikan rumah tangga. Jangka hayat rakyat Jepun begitu tinggi kerana gaya hidup sihat dan pemakanan mereka.

Setahun selepas Malaysia dibentuk, sudah ada perkhidmatan kereta api laju dari Tokyo ke Osaka. Kini, perkhidmatan shinkansen atau kereta api laju menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang cekap dan pantas ke merata-rata kota, selain perkhidmatan kereta api bawah tanah. Tidak susah bergerak di Jepun kerana hakikatnya, kos pengangkutan tidaklah terlalu mahal. Anda tidak perlu risau. Di dalam kereta api, anda dapati penumpang membaca bahan bacaan dan bermain dengan alat canggih. Anda tidak mendapati orang Jepun bercakap menggunakan telefon dalam pengangkutan awam kerana itu dianggap menceroboh ruang peribadi penumpang lain.

Seperkara yang mengagumkan saya mengenai rakyat Jepun adalah bagaimana mereka menjaga kecantikan dan kebersihan bandar. Sukar bagi anda untuk melihat sampah sarap di mana-mana, termasuk di lorong belakang.

Penulis ialah pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak
 
(Berita Harian, 8 Jun 2013)

 

Tuesday, June 11, 2013

Exam no fear









Musim peperiksaan di institusi pengajian tinggi telah bermula minggu ini. Semua mahasiswa sedang memberi tumpuan maksimum kepada peperiksaan masing-masing dengan harapan tinggi untuk mendapat keputusan cemerlang. Keputusan itu nanti akan menentukan di mana kedudukan mereka dan sejauh mana tahap pencapaian dalam tahun-tahun pengajian berikutnya.

Cara pelaksanaan peperiksaan akhir di universiti amat berbeza dengan sekolah. Di universiti, pensyarah diberi autonomi untuk merangka soalan, memeriksa jawapan dan memberi markah serta menentukan gred pelajar. Gred tidak ditentukan berdasarkan markah dalam peperiksaan semata-mata sebaliknya ditentukan oleh kerja kursus, laporan, kuiz, latihan dan komitmen sepanjang semester. Ada kalanya pelajar perlu membawa 60 peratus markah sebelum dapat mengambil peperiksaan kahir.

Walaupun markah peperiksaan akhir hanya 40 peratus, pelajar akan gagal sepenuhnya jika tidak menghadirkan diri untuk peperiksaan akhir itu.

Belajar di universiti adalah suatu keistimewaan bagi mereka yang berjaya di sekolah. Ia melambangkan kesungguhan dan ketekunan mencari ilmu. Tidak semua pelajar dapat meneruskan pengajian ke universiti kerana pelbagai masalah. Ada yang perlu bekerja sambil belajar, berhutang atau menamatkan alam persekolahan lebih awal kerana gagal dalam peperiksaan.

Jadi, untuk mencapai tahap mahasiswa di universiti, peperiksaan adalah halangan paling besar yang perlu dihadapi. Tidak perlu takut dengan peperiksaan kerana jika bersedia, ia akan membawa pelajar ke arah kecemerlangan akademik dan sahsiah diri.

 

Monday, June 10, 2013

Mendidik anak laki-laki




 
Penulis: Khalid Asy-Syantut
Tahun: 2013
Penerbit: PT Aqwam Media Profetika, Solo, Indonesia
Muka Surat: 208
 
Tarbiah menjadi teras kepada keseluruhan isi buku ini. Tarbiah bermula di rumah dan berlanjutan sehingga terbentuk sebuah masyarakat Islam. Keluarga dan institusi masjid juga berperanan membentuk individu muslim dan keluarga Islam.
 
Bagi menyingkap keperluan tarbiah ini, penulisnya membincangkan dengan panjang lebar tentang konsep remaja dari perspektif Barat yang telah meresapi pemikiran akademik di Barat dan Timur serta menjadi perbincangan yang panjang. Salah satu pertanyaannya ialah tentang tempoh akil baligh bagi kanak-kanak yang dianggap fasa kritikal bagi perkembangan seseorang remaja. 
 
Buku ini mengajak pembaca untuk membuang jauh-jauh teori yang dikemukakan di Barat yang tidak bersandarkan ilmu wahyu. Bermula dengan fakta bahawa pemuda yang cukup keperluan jasmani dan rohani akan melewati masa muda dengan aman dan sejahtera tanpa merasai gejolak jiwa. Beliau juga menarik minat pembaca untuk memikirkan bahawa Islam tidak memberi istilah remaja sebaliknya pemuda yang dikaitkan dengan semangat maju dan masa depan yang cerah.
 
Penulis juga memberikan perbandingan dua buah masyarakat yang membentuk kehidupan pemuda. Antara masyarakat materialis dan masyarakat kampung yang masih bebas daripada gaya hidup masyarakat kota. Perbandingan ini seterusnya merumuskan bahawa sejauh mana komiten masyarakat terhadap Islam, sejauh itu ia akan memberi jaminan bagi pemuda untuk melewati fasa kehidupannya dengan baik dan selamat. 
 
Buku ini amat berkesan kepada ibu bapa yang sedang mencari maklumat berkaitan keperluan menjadikan masjid sebagai pusat utama membentuk pergaulan dan sahsiah soleh supaya krisis nilai yang berlaku dalam masyarakat Islam dapat dirawat. Buku ini juga penuh dengan teknik dan petua untuk membentuk akhlak anak-anak lelaki yang dapat menjadi generasi Islam yang kompeten pada masa depan.
 
“Tidak ada Islam tanpa jemaah, tidak ada jemaah tanpa kekuasaan dan tidak ada kekuasaan tanpa ketaatan.” Umar Al-Khattab

 

Sunday, June 09, 2013

Program Nasional Pemberdayaan Masyarakat Mandiri




Penyanyi jalanan di Pekanbaru, Riau mencari wang di warung tepi jalan.


Program Nasional Pemberdayaan Masyarakat Mandiri (PNPM) adalah program yang menaungi aktiviti PNPM Mandiri Perdesaan, PNPM Mandiri Generasi, PNPM Mandiri RESPEK, PNPM Mandiri Pasca Bencana, PNPM Mandiri R2PN, PNPM Mandiri Perkotaan dan PNPM Mandiri Pelancongan. Pelancaran PNPM Mandiri dilakukan oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada 30 April 2007 di Kota Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia. Program ini merupakan pengembangan yang lebih luas daripada perogram-program pembasmian kemiskinan yang pernah dijalankan sebelum ini.
 
Matlamat PNPM Mandiri adalah sebagai payung daripada pelbagai program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan oleh jabatan dan agensi kerajaan Indonesia yang menggunakan konsep pembangunan komuniti sebagai pendekatan operasional. Di peringkat awal, terdapat dua program yang menjadi teras iaitu Program Pengembangan Kecamatan (PPK) dan Program Pembasmian Kemiskinan di Perkotaan (P2KP). Sebelum PNPM Mandiri dilaksanakan, terdapat banyak program pembasmian kemiskinan di Indonesia yang menggunakan pendekatan pembangunan komuniti seperti Inpres Desa Tertinggal (IDT). Program ini bermula pada tahun 1993 iaitu di awal Repelita VI melalui bantuan dana pusingan sebanyak Rp20 juta (RM17.5juta) setahun kepada lebih 20 ribu kawasan desa terpinggir. Selain bantuan modal, peserta turut diberikan bantuan teknikal yang bersesuaian dalam tempoh tiga tahun.
 
Peringkat kedua program pembasmian kemiskinan dan pembangunan komuniti ialah Program Pemgembangan Kecamatan (PPK) yang dilaksanakan oleh Departemen Dalam Negeri (1998), Program Pembasmian di Perkotaan (P2KP) yang dilaksanakan oleh Departemen Pekerjaan Umum (1999), Pemberdayaan Ekonomi Masyarakat Pesisir (PEMP) yang dilaksanakan oleh Departemen Kelautan dan Perikanan, Kelompok Usaha Bersama (KUBE) yang dilaksanakan oleh Departemen Sosial. Terdapat juga program-program lain yang diuruskan oleh pelbagai agensi yang bergerak sendirian, tidak bersepadu dan sektoral.
 
PNPM Mandiri Perdesaan
 
Salah satu program pembangunan komuniti yang menyokong PNPM Mandiri ialah PNPM Mandiri Perdesaan yang menyasarkan komuniti desa luar bandar. PNPM Mandiri Perdesaan melibatkan pelaksanaan mekanisme dan prosedur PPK sejak 1998-2007. Program ini menggunakan kegiatan dalam bidang infrastruktur desa, pengurusan dana pusingan bagi wanita, pendidikan dan kesihatan komuniti. Tiga komponen utama yang menjadi teras program ini ialah Dana Bantuan Langsung Masyarakat (untuk pembangunan), Dana Operasional Kegiatan (untuk latihan dan pembangunan komuniti) dan Perdampingan Masyarakat.
 
Dalam menjayakan PNPM Mandiri Perdesaan, peserta digalakkan untuk melibatkan diri dalam setiap tahap bermula dari perancangan, membuat keputusan sehingga pelaksanaan. Direktorat Pemberdayaa masyarakat dan Desa (PMD), Kementerian Dalam Negeri menjadi agensi penting dalam melaksanakan program ini. Sumber untuk membiayai program ini ialah dari Anggaran Pendapatan dan Belanja Daerah (ABDB), Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility), dana hibah dan pinjaman dengan kerjasama Bank Dunia.
 
Prinsip-Prinsip PNPM 
 
Oleh kerana PNPM menyesuaikan sepenuhnya mekanisme dan prosedur Program Pengembangan Kecamatan (PPK), prinsip-prinsip dalam PNPM sebenarnya meneruskan agenda yang telah dilaksanakan oleh PPK di samping memberi penambahbaikan kepada program sedia ada. Prinsip dan ciri PNPM ditunjukkan dalam jadual di bawah. 

 


Prinsip

Ciri-Ciri

Fokus pembangunan manusia

Setiap aktiviti bermatlamat meningkatkan maruah peserta.

Autonomi

Masyarakat diberi kemudahan untuk megambil bahagian dalam menentu dan menguruskan aktiviti pembangunan secara pengurusan kendiri (swakelola).

Desentralisasi

Urusan aktiviti pembangunan sektoral dan wilayah diserahkan kepada pegawai daerah sesuai dengan keupayaannya.

Orientasi masyarakat miskin

Aktiviti yang dilaksanakan mengutamakan kepentingan dan keperluan masyarakat miskin dan kurang mampu.

Penglibatan masyarakat

Masyarakat terlibat secara aktif dalam setiap proses membuat keputusan pembangunan dan menjalankan pembangunan bersama-sama.

Kesetaraan dan keadilan gender

Setiap orang mempunyai kesaksamaan dalam menunaikan peranannya di setiap tahap pembangunan dan dapat menikmati manfaat tersebut secara adil.

Demokratik

Proses membuat keputusan dilakukan secara musyawarah dan muafakat.

Telus dan akauntabiliti

Masyarakat memiliki akses yang mencukupi ke atas maklumat dan proses membuat keputusan sehingga aktiviti dapat dilaksanakan secara terbuka dan bertanggungjawab.

Keutamaan

Kerajaan dan masyarakat memberi keutamaan untuk memenuhi program pembasmian kemiskinan dan memperkasa pelbagai sumber.

Kolaborasi

Semua pihak yang berkepentingan dalam pembasmian kemiskinan digalak mewujudkan kerjasama dan sinergi.

Kesinambungan

Setiap keputusan wajar mengambil kira peningkatan kesejahteraan masyarakat.

 

PNPM Mandiri Perdesaan menjadi program pembangunan komuniti yang terbesar di Indonesia merangkumi 42,319 kawasan termiskin di negara itu. Pengelolaan program ini diletakkan di bawah Direktorat Jenderal Pemberdayaan Masyarakat dan Desa bersama Tim Koordinasi yang merangkumi pejabat Menko Kesro, Bapennas, Depdragi, Depkau dan Departemen Kimpraswil. Di peringkat kecamatan (daerah), ketua seksyen PMD merupakan pengurus projek atau Penanggungjawab Operasional Kegiatan (PjOK).
 
Pemantauan dan penilaian PNPMM melibatkan proses penglibatan masyarakat oleh Tim Pemantau yang bertindak mengawasi penggunaan dana yang merangkumi pemeriksaan harga, pengelompokan produk, pengauditan dan laporan status kemajuan projek. Masyarakat juga mengkaji laporan kemajuan program yang dibentangkan oleh Tim Pelaksana Kegiatan (TPK). Seterusnya semua bentuk pencapaian dipaparkan di Papan Informasi setiap kawasan yang terlibat.

 

Saturday, June 08, 2013

Falsafah di sebalik Israk Mikraj






oleh Khairuddin Haiyon 
 
Terdapat tiga makhluk Allah yang terlibat dalam peristiwa Israk Mikraj iaitu Nabi Muhammad, seekor haiwan bernama Buraq dan malaikat Jibrail AS. 
 
Rasulullah SAW mewakili manusia yang dijadikan dari tanah dan dibekalkan akal dan nafsu, manakala Buraq pula mewakili binatang yang hanya dibekalkan nafsu tetapi mempunyai akal yang tidak sempurna sebagaimana manusia.
 
Jibrail AS pula adalah mewakili makhluk Allah yang dicipta daripada cahaya dan hanya memiliki akal sahaja.
 
Secara ringkasnya perlakuan makhluk-makhluk Allah itu adalah berdasarkan kepada apa yang ada kepada mereka iaitu akal dan nafsu. Akal adalah kemuncak kemuliaan pada setiap makhluk.
 
Akal yang diberikan oleh Allah jika digunakan dengan sebaiknya akan mendorong ke arah kebaikan dan kesejahteraan namun jika menggunakan hanya kepada pertimbangan akal semata-mata tidak boleh menjamin kebaikan dan kesejahteraan melainkan mesti dilandaskan berdasarkan kepada syariat Allah.
 
Hal ini adalah kerana kebaikan dan keburukan sesuatu perkara bukan mengikut pertimbangan akal semata-mata tetapi mestilah didasari oleh syariat dan peraturan Allah selaku pencipta dan pentadbir.
 
Oleh yang demikian, Allah telah mengutus para nabi dan rasul untuk memimpin manusia ke arah kebenaran.
 
Pertemuan
 
Dalam peristiwa Mikraj, ketiga-tiga makhluk Allah iaitu Rasulullah sendiri, malaikat Jibrail dan Buraq bergerak dari satu lapisan langit kepada satu lapisan langit sehingga sampai di suatu tempat dikenali sebagai Sidratul Muntaha.
 
Apabila tiba di Sidratul Muntaha, di situlah terhentinya perjalanan itu, lalu Jibrail berundur, maka Rasulullah bertanya kepadanya: "Apakah sampai di sini engkau harus meninggalkan aku? Jibrail menjawab: "Aku tidak boleh melangkah walau setapak pun melewati tempat ini."
 
Rasulullah sendiri bertemu dengan Allah di mana diriwayatkan bahawa jarak di antara Baginda dengan Allah hanyalah jarak anak panah atau dekat lagi. Firman Allah dalam surah al-Najm ayat kelapan dan sembilan iaitu: Kemudian ia mendekatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad SAW), lalu ia berjuntai sedikit demi sedikit sehingga jarak sekadar dua hujung busar panah atau lebih dekat lagi.
 
Maka terbuka segala tabir, terbukalah hijab, sehingga baginda melihat wajah Allah. Maka di situlah juga Rasulullah mendapat perintah mengejakan solat sebanyak 50 waktu solat sehari semalam.
 
Persimpangan
 
Rasulullah SAW seorang manusia yang sempurna dapat mengatasi ketinggian malaikat mahupun Buraq untuk bertemu Allah dan ini bererti akal waras yang dipandu syariat dapat mengawal nafsu menjadikan manusia mencapai kedudukan yang amat tinggi di sisiNya.
 
Sebaliknya manusia yang diperkudakan oleh nafsu semata-mata tanpa pertimbangan akal yang dipandu syariat menjadikan manusia di kedudukan yang amat rendah dan hina di mata makhluk dan tiada nilai sedikitpun di sisi Allah. 
 
Firman Allah dalam surah al-Tin ayat keempat dan keenam bermaksud: Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikannya ke tempat yang serendah-rendahnya neraka, kecuali orang yang beriman dan beramal saleh maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.
 
Fitrah

Secara fitrahnya kita dapat merasai tentang nilai kemanusiaan dan kemuliaan akal. Manusia dalam keadaan mana sekalipun sentiasa meletakkan akal lebih tinggi daripada pinggang (nafsu). 

Kita merasa amat tidak selesa apabila kita berbaring dalam keadaan yang condong bila mana kedudukan kepala ke bawah dari pinggang kita. Mengapa? Jawapannya kerana kedudukan tersebut telah meletakan kedudukan kemaluan (nafsu) lebih tinggi dari kepala (akal/otak).

Dalam kedudukan yang sama (berbaring) ditempat yang rata permukaannya sekalipun kita merasa tidak merasa selesa apatah lagi sebaliknya. Bila kita letak bantal sebagai alas kepala, baru kita rasa selesa. Kita berjalan, duduk, makan, minum, semua keadaan tetap meletakkan kepala di atas mengatasi punggung.

Binatang adalah makhluk yang ada akal tetapi tiada sempurna dan nafsu. Adanya nafsu untuk kelangsungan kehidupan di dunia. Akal tidak sempurna sebagaimana manusia, jin dan malaikat. 

Manusia yang mahu bersujud di hadapan Allah adalah manusia yang paling mulia di sisinya. Ketika bersujud, manusia berada dalam keadaan yang paling rendah dan hina kerana sengaja meletakkan kepala lebih rendah daripada kemaluan.

Ia dilakukan semata-mata sebagai tanda kehambaan daripada seorang makhluk kepada khalik iaitu pencipta. Semasa di Padang Mahsyar nanti ketika Rasulullah memohon syafaat kepada Allah bagi memulakan perbicaraan terhadap umatnya dan umat-umat seluruhnya, baginda bersujud terlebih dahulu di hadapan Allah sehingga diperkenankan. 

Oleh demikian, Allah memerintahkan kepada seluruh malaikat dan iblis untuk sujud kepada Adam. Semua sujud kecuali iblis. Mereka enggan dan takbur, maka jadilah mereka daripada kalangan orang-orang yang kafir. 

Firman Allah di dalam Surah al-Baqarah ayat 34: Dan ingatlah ketika Kami berfirman kepada para malaikat: Sujudlah (tunduklah dengan membongkokkan badan sebagai memberi penghormatan) kepada Nabi Adam: Lalu mereka sekalian sujud melainkan Iblis, ia enggan dan takbur serta ia menjadi sebahagian daripada golongan orang-orang yang kafir.

 
Penulis ialah Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Unit Penerangan dan Penerbitan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

 
(Utusan Malaysia, 8 Jun 2013)

Friday, June 07, 2013

GST turunkan harga barang, perkhidmatan








Pelaksanaan lebih telus, kos operasi perniagaan lebih rendahPelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan menyebabkan kenaikan dalam harga barangan dan perkhidmatan, sebaliknya mampu mengurangkannya kerana ia bakal menurunkan kos operasi peniaga, kata firma percukaian PricewaterhouseCoopers Taxation Sdn Bhd.

Pengarah Eksekutif Kanannya, Wan Heng Choon, berkata GST juga adalah lebih telus dan seragam berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikenakan ketika ini yang mempunyai banyak kelemahan seperti cukai bertindih, cukai berganda dan cukai bertingkat yang menjadi punca harga sesetengah barangan dan perkhidmatan menjadi mahal.

Jaminan pengecualian

“Selain itu, kerajaan juga telah memberikan jaminan akan memberikan pengecualian ke atas barangan keperluan tertentu seperti produk pertanian dan makanan asas jika GST dilaksanakan bagi menggantikan SST,” katanya pada taklimat media mengenai GST di Kuala Lumpur, semalam.

Wan menjelaskan, GST bakal menurunkan kos operasi perniagaan kerana peniaga yang berdaftar boleh menuntut cukai ke atas GST yang dibayar ke atas input perniagaan, selain syarikat yang mencatatkan pendapatan tahunan kurang daripada RM500,000 adalah dikecualikan daripada membayar GST.

“Kos perniagaan akan berkurangan selepas GST menggantikan SST kerana seseorang peniaga itu tidak lagi perlu membayar cukai jualan atas pembelian meja, kerusi dan kemudahan lain, sekali gus boleh menawarkan harga yang lebih murah hasil penjimatan daripada pembayaran cukai itu,” katanya.

Konsep nilai ditambah

GST adalah cukai kepenggunaan berasaskan kepada konsep nilai ditambah kerana ia dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan di setiap peringkat pengeluaran dan pengedaran dalam rantaian pembekalan, termasuk barang dan perkhidmatan yang diimport.

Perbezaan GST dengan SST ialah dari segi skop pengenaan cukai yang lebih meluas iaitu ia dikenakan pada semua peringkat pengeluaran dan pengedaran di samping peniaga boleh menuntut kredit cukai ke atas GST yang dibayar terhadap input perniagaannya.Ini berbanding sistem SST yang mana cukai jualan hanya dikenakan pada satu peringkat pengeluaran iaitu semasa barang dikeluarkan daripada kilang atau diimport, sementara cukai perkhidmatan pula dikenakan ke atas perkhidmatan tertentu pada peringkat ia disediakan kepada pengguna.

Wan berkata, Malaysia perlu memperkenalkan GST berikutan kelemahan SST sedia ada yang hanya menguntungkan golongan peniaga, selain ia juga mampu mengurangkan kadar cukai yang dikenakan ke atas pendapatan individu dan korporat.

Faedah seluruh rakyat

Beliau berkata, GST yang sudah dilaksanakan di lebih 140 negara seluruh dunia juga apabila dilaksanakan bukan hanya akan memberi faedah kepada golongan berpendapatan rendah, malah seluruh rakyat selain meningkatkan hasil cukai kerajaan serta mengelakkan ketirisan dalam menjana pendapatan negara.

Katanya, kira-kira 70 peratus Perusahaan Kecil dan sederhana (PKS) di negara ini dijangka menikmati pengecualian GST, manakala syarikat besar pula akan dikecualikan daripada membayar cukai bagi beberapa yuran profesional.“Justeru, pelaksanaan GST akan memberikan situasi menang-menang kepada rakyat dan kerajaan,” katanya.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan tidak akan melaksanakan GST dalam masa terdekat kerana masih mengkaji implikasi pelaksanaan serta kadarnya.

(Berita Harian, 7 Jun 2013)
 

Thursday, June 06, 2013

Abenomics, teras keyakinan Jepun

 
 
 
 
 
 
oleh Karim Raslan
 
Pada 9 Mei lalu, perusahaan bank Jepun, Sumitomo Mitsui Banking Corp (atau SMBC) mengejutkan pasaran Asia-Pasifik apabila membeli 40 peratus saham Bank Tabungan Pensiunan Nasional (BTPN) dari Indonesia menerusi dua peringkat transaksi.

Pada peringkat pertama, SMBC dijangka membayar sejumlah USD946 juta untuk menguasai 24.26 peratus saham BTPN. Selain itu, pasaran turut dikejutkan minggu lepas apabila Dai-ichi Life Insurance membeli 40 peratus saham Panin Life, juga dari Indonesia, dengan nilai transaksi berjumlah USD295 juta.

Dalam situasi berasingan, Suntory Holdings dari Osaka, Jepun berjaya mendapat persetujuan untuk menyenaraikan divisyen makanan dan minuman ringannya dalam pasaran saham Tokyo. Sejurus dengan itu, mereka dijangka melaksanakan Saham Terbitan Awam (Initial Public Offering/IPO) bernilai USD4.4 billion – IPO terbesar di Asia tahun ini.

Saya meramalkan Suntory akan menggunakan hasil pendapatan dari IPO tersebut untuk mengembangkan sayap mereka ke luar negara, terutama ke Asia Tenggara. Pada 2012, perusahaan-perusahaan dari Jepun membelanjakan USD84.6 bilion untuk aktiviti pembelian saham luar negara.

Jadi, apa yang dapat anda ketahui daripada semua perkara ini? Hebohkan kepada semua, Jepun telah kembali! Setelah bergelumang dengan ketidakstabilan politik dan situasi ekonomi yang tiada hala tuju, kini Jepun tampak sudah kembali ke arah pemulihan. Mengapa? Cuma satu perkataan: Abenomics.

Perkataan itu berasal dari nama Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, yang kembali memegang tampuk pemerintahan bersama partinya, Parti Demokratik Liberal (LDP) pada Disember 2012. Penggal pertama Abe sebagai Perdana Menteri pada 2006-2007 kurang memberangsangkan. Kini, secara perlahan, beliau memimpin Jepun kembali ke arah kemajuan.

Jadi, apakah maksud “Abenomics”? Menurut Yoshito Hori, Managing Partner GLOBIS Capital Partners dalam penulisannya bertarikh 22 Mei 2013, Abenomics merangkumi “tiga anak panah”.

“Anak panah” pertama berkait dengan dasar monetari secara agresif iaitu dengan mensasarkan tahap inflasi mereka pada dua peratus, mendepresiasikan nilai Yen dan memperluas aktiviti quantitative easing.

Hal ini bakal mencetuskan suatu pusingan devaluasi kompetitif di seluruh Asia Pasifik apabila setiap negara menyesuaikan diri dengan penurunan nilai Yen. Untuk merealisasikan sasaran ini, pada Mac lepas, Abe menggantikan Gabenor Bank Negara Jepun (BOJ), Masaaki Shirakawa dengan Presiden Bank Pembangunan Asia (ADB) Haruhiko Kuroda – yang lebih berani melaksanakan dasar-dasar tersebut.

Seterusnya “anak panah” kedua adalah mengenai dasar fiskal. Abe telah mengambil keputusan menaikkan perbelanjaan fiskal negara kepada dua peratus dari jumlah keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Manakala “anak panah” terakhir berkait dengan reformasi struktur untuk memacu pembangunan, termasuk menyertai rundingan Perkongsian Trans-Pasifik demi merangsang pelaburan di sektor swasta.

Usaha tersebut tampak membuahkan hasil: di sebalik kejatuhan mendadak pasaran minggu lepas, ekonomi Jepun berkembang 3.5 peratus dari tahun ke tahun pada penggal kedua 2013. Hal ini dipacu oleh penggunaan swasta, yang membentuk 60 peratus daripada KDNK Jepun.

Penyusutan nilai Yen juga membantu aktiviti eksport negara tersebut menjadi lebih kompetitif. Pada April 2013, kiriman luar negara berkembang sebanyak 1.1 peratus dari tahun ke tahun. Di samping itu, dasar pertahanan dan luar negara turut dirombak apabila Abe meningkatkan lagi perbelanjaan ketenteraan – buat yang pertama kali dalam 11 tahun.

Harus diingat bahawa kerancakan pembangunan Jepun akan memberikan impak strategik kepada ekonomi Asia Tenggara. Seperti contoh, Bank Negara Thailand telah menurunkan kadar faedah kepada 2.5 peratus daripada 2.75 peratus dengan alasan untuk menyaingi penyusutan nilai Yen.

Begitu juga dengan Korea Selatan dan Australia yang melakukan perkara sama. Malah sesetengah negara berkemungkinan mengambil langkah kawalan modal demi menangani banyaknya kemasukan wang ke Jepun.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa rintangan kepada Abenomics. Kadar pulangan bond Jepun tetap mengecewakan dan isu-isu struktur seperti beban hutang yang tinggi masih lagi tidak diselesaikan.

Namun begitu, teras asas Abenomics lebih menjurus kepada meningkatkan keyakinan negara Jepun. Selepas bertahun-tahun dilanda kemelesetan ekonomi dan bergantung kepada Amerika, Jepun sekarang sedang bangkit dan menuju kembali ke arah kemajuan.
 
(Sinar Harian, 4 Jun 2013)

Monday, June 03, 2013

Encik Nizam yang selamba






"Encin Nizam ada?" tanya saya kepada dua orang kerani di kaunter PPS.

"Nizam yang mana yek? Nizam Budin ke?" soal salah seorang kerani.

"Saya tak pasti yang mana satu Nizam, tapi yang jaga markah pelajar rasenye."

Kerani berbaju kurung biru mengalih badannya ke arah Encik Nizam lalu mengeloi.

"Nizam, ada pelajar nak jumpa." Saya senyum apabila dikatakan pelajar.

Encik Nizam datang dengan selamba dan mukanya kurang ceria. Mungkin rasa diganggu.

"Hah ada apa?" tanya Encik Nizam.

"Tak ada Encik Nizam, saya nak salinan markah rakan saya dari Indonesia, Pak Yusuf, boleh ke?"

Saya menerangkan tujuan hendak berjumpanya.

"Ni Pak Yusuf pelajar PhD tu? Dia dah nak habis dah. Buat apa you nak?"

"Hari Khamis ni saya akan ke Pekanbaru, jadi dia pesan pada saya untuk bawa slip markah sekali. Harap-harap ada le."

Kerani baju kurung biru di kaunter mencelah.

"Yusuf ni patut habis semester ni, dah lama sangat dia belajar ni.."

Saya mengangguk dan sengih sedikit lalu berkata, "Kalau nak tau apa maksud Pak Yusuf, cuba cakap dengan dia."

Saya hulurkan telefon bimbit untuk beliau bercakap dan mendapat gambaran sebenar apa yang Pak Yusuf inginkan.

Selepas bercakap, barulah Encik Nizam dan kerani tersebut bergerak mencari fail Pak Yusuf. Sambil menyelak beberapa helaian kertas, mereka hanya jumpa satu helaian yang berkaitan dengan subjek yang telah diambil Pak Yusuf untuk melengkapkan pengajiannya, itupun semester 2006/2007.

"Oh... dah lama Pak Yusuf belajar, masih belum habis lagi. Tak apa nanti saya tolong dia," detik hati saya.

Encik Nizam terpandang kad perniagaan Yusuf, membelek dan berkata, "Ini Yusuf tu?"

Saya jawab ya, "Dia timbalan rektor dan seorang peguam."

Saya lihat Encik Nizam terus diam seketika dan membawa fail untuk dibuat salinan. Hampir lima  minit menunggu barulah dia datang sendiri memberi sesalinan kertas yang diminta. Sebelum itu beliau agak meninggikan suara tetapi di hujungnya nampak ketertiban melayan tetamu.

Saya pernah nampak Encik Nizam sebelum ini tetapi jarang bertegur sapa. Selepas berurusan dengan pejabatnya tahulah saya tahu bagaimana layanan khidmat pelanggan yang diberikan.

Saya juga perasan bahagian ini tidak mahu menghubungi pelajar terus ke telefon bimbit sebaliknya memilih menggunakan emel dan surat. Bagi pelajar dewasa yang sibuk dengan kerja, kadang-kadang dua tiga hari tidak tengok kotak emel. Mereka lebih selesa jika dapat dihubungi dengan telefon bimbit untuk memaklumkan perkembangan pelajaran. Tanpa telefon, laporan kemajuan pun mereka tidak tahu tempohnya telah tamat.

Kerja Encik Nizam okey cuna dia kena tahu masa, tempat dan dengan siapa dia bercakap untuk  membahasakan diri supaya perkhidmatan yang diberikan akan memberi kepuasan kepada pelanggan.

Nampaknya Encik Nizam kena pergi kursus perkhidmatan pelanggan cemerlang suatu hari nanti.